Wednesday, September 22, 2021

Hadiah menurut perspektif Islam

Hadiah menurut perspektif Islam


Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi hadiah sesama manusia. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا


Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. Surah al-Nisa’ ayat 4.


Ibn al-‘Arabi berkata mengenai pemberian dari seorang isteri kepada seorang suami (apabila telah diberi sebagai hadiah) maka pemberian tersebut halal bagi suaminya. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/25]. Ayat ini menunjukkan bahawa pemberian sesuatu atau menghadiahkan sesuatu kepada seseorang adalah dibolehkan.


Hadiah pada bahasa ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Ulama’ mazhab Syafi’i meletakkan makna istilah pada hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/252].


Dalam kitab Al-Mughni, Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa hukum memberi dan menerima hadiah adalah dianjurkan. Ini kerana hadiah berpotensi menumbuhkan rasa cinta, mempereratkan kasih sayang dan juga kebahagiaan di antara mereka yang saling memberi hadiah.


Hukum Hadiah; 

Diperbolehkan dengan kesepakatan (ulama') umat ini. Apabila tidak terdapat di sana larangan syar’i. Terkadang disunnahkan untuk memberikan hadiah apabila dalam rangka menyambungkan silaturrahim, kasih sayang dan rasa cinta. Terkadang disyariatkan apabila dia termasuk di dalam bab ‘Membalas Budi dan Kebaikan Orang Lain dengan Hal yang Semisalnya’. Dan terkadang pula, boleh menjadi haram atau perantara menuju perkara yang haram, jika ia merupakan hadiah yang berbentuk suatu yang haram, atau termasuk dalam kategori sogok-menyogok dan yang sehukum dengannya. 


Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang shahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman. [Lihat: Rawdatu al-Tholibin; 5/365-366].


Hukum Menerima Hadiah; 

Para ulama berselisih pendapat tentang orang yang diberikan  hadiah, apakah wajib menerimanya atau disunatkan sahaja? 


Pendapat yang kuat bahawasanya orang yang diberikan hadiah yang mubah dan tidak ada penghalang syar’i yang menghendaki ia menolaknya, maka wajib menerimanya, ini berdasarkan beberapa  dalil, 


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجِيبُوا الدَّاعِيَ وَلَا تَرُدُّوا الْهَدِيَّةَ وَلَا تَضْرِبُوا الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Mas'ud ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Hadirilah orang yang mengundang, janganlah kalian menolak hadiah dan janganlah kalian memerangi kaum muslimin". Riwayat Ahmad(3645)


أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ عُمَرَ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِينِي الْعَطَاءَ فَأَقُولُ أَعْطِهِ مَنْ هُوَ أَفْقَرُ إِلَيْهِ مِنِّي فَقَالَ خُذْهُ إِذَا جَاءَكَ مِنْ هَذَا الْمَالِ شَيْءٌ وَأَنْتَ غَيْرُ مُشْرِفٍ وَلَا سَائِلٍ فَخُذْهُ وَمَا لَا فَلَا تُتْبِعْهُ نَفْسَكَ


Maksudnya:"Bahawa 'Abdullah bin 'Umar radhiallahu'anhuma berkata; Aku mendengar 'Umar berkata,: "Rasulullah ﷺ pernah memberiku suatu pemberian lalu aku berkata kepada beliau, "Berikanlah kepada orang yang lebih faqir dariku". Maka beliau bersabda, "Ambillah. Jika telah datang kepadamu dari harta ini sedangkan kamu bukan orang yang akan menghambur-hamburkannya dan tidak pula meminta-mintanya, maka ambillah. Selain dari itu maka janganlah kamu menuruti nafsumu". Riwayat Bukhari (1380)


Hukum Menolak Hadiah;

Maka jelaslah bahawa    menerima hadiah adalah wajib. Justeru itu,  tidak dibolehkan menolaknya melainkan kerana wujudnya uzur syar’i. Sebagaimana Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam melarang kita untuk menolak hadiah dengan sabda beliau,

وَلَا تَرُدُّوا الْهَدِيَّةَ


Maksudnya:"...janganlah kalian menolak hadiah….". Riwayat Ahmad(3645)


Namun terkadang, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menolak hadiah dikeranakan satu-satu sebab. Di antaranya:


Dari Ash Sha’bi bin Jutsamah radhiyallahu ‘anhu, menceritakan beliau memberi hadiah seekor keledai liar kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berupa, lalu Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam menolaknya. Maka tatkala Beliau melihat ada sesuatu di raut wajah Ash Sha’bu, beliau berkata,


ٍ عَنْ الصَّعْبِ بْنِ جَثَّامَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ أَنَّهُ أَهْدَى لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِمَارًا وَحْشِيًّا وَهُوَ بِالْأَبْوَاءِ أَوْ بِوَدَّانَ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَلَمَّا رَأَى مَا فِي وَجْهِهِ قَالَ أَمَا إِنَّا لَمْ نَرُدَّهُ عَلَيْكَ إِلَّا أَنَّا حُرُمٌ


Maksudnya:"Dari As Sha'bi bin Jatstsamah radhiallahu'anhum bahwa dia menghadiahkan Rasulullah ﷺ seekor keledai liar di Abwa; atau di Waddan namun beliau menolaknya. Ketika beliau melihat raut mukanya, beliau berkata, "Kami tidak bermaksud menolak keledai tersebut, tapi kami menolaknya kerana kami sedang ihram". Riwayat Bukhari(2573)


Ibnu Hajar berkata, “Di dalam hadith ini ada dalil bahawasanya tidak boleh menerima hadiah dan tidak halalnya hadiah (ketika ihram).”


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah meninggalkan pemberian daging dhob kerana Beliau tidak menyukainya. Diceritakan oleh Ibnu Abbas ra,  Ummu Hafidz pernah memberi hadiah kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berupa keju, samin, dan dhob(daging biawak),


نْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَهْدَتْ خَالَتِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقِطًا وَسَمْنًا وَأَضُبًّا فَأَكَلَ مِنْ الْأَقِطِ وَالسَّمْنِ وَتَرَكَ الْأَضُبَّ تَقَذُّرًا وَأُكِلَ عَلَى مَائِدَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَوْ كَانَ حَرَامًا مَا أُكِلَ عَلَى مَائِدَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:"Dari Ibnu Abbas, ia berkata; Bibiku telah menghadiahkan kepada Rasulullah ﷺ keju, mentega dan dhob (biawak padang pasir). Kemudian beliau makan sebahagian mentega serta keju dan meninggalkan dhob kerana merasa tidak senang. Dan daging tersebut dimakan (oleh para sahabat) dalam hidangan Rasulullah ﷺ, seandainya hal itu adalah haram maka tidak akan dimakan dalam hidangan Rasulullah ﷺ". Riwayat Al-Nasai(4244)


Apabila hadiah tersebut berupa suap-menyuap untuk membatalkan kebenaran dan menghalalkan kebatilan, maka hadiah tersebut tidak boleh diterima ketika itu.

Demikian pula apabila hadiah tersebut diperuntukkan bagi para pemimpin, para menteri, dan staf pejabat, agar mereka memberimu sesuatu yang bukan menjadi hakmu, atau mereka memaafkan kamu dari sesuatu yang tidak sewajar dari segi undang-undang untuk mereka maafkan, maka ketika itu haram bagimu memberikan hadiah dan haram bagi mereka menerima hadiah tersebut. Kerana itu adalah merupakan suap-menyuap, dan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ


Maksudnya:“Dari Abdullah bin Umar ia berkata; Rasulullah ﷺ melaknati penyuap dan yang disuap". Riwayat Tirmizi(1257)


Di sana ada keumuman dan kekhususan di kalangan para ulama antara hibah, pemberian (athiyah) dan sedekah. Dan garis tengah definisi di antara tiga perkara ini adalah niat, maka sedekah diberikan kepada seseorang yang memerlukan dan dalam rangka mencari wajah Allah Ta’ala. Sedangkan hadiah diberikan kepada orang yang fakir dan orang kaya, dan diniatkan untuk meraih rasa cinta dan membalas budi atas hadiah yang diberikan. Dan terkadang pemberian hadiah itu juga bertujuan untuk mencari keredhaan Allah. Adapun hibah dan athiyah pula, tidak ada di antara perbezaan antara keduanya dan terkadang dimaksudkan untuk memuliakan orang yang diberikan hibah atau athiyah saja dikeranakan suatu keistimewaan atau sebab tertentu dari sebab-sebab yang ada.


Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum dari hadiah dan juga sedekah, setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/120-121, 253].


Secara sosiologinya, memberi hadiah akan menimbulkan rasa cinta di antara sesama manusia, ukhuwah, dan memperteguhkan hubungan sosial. Rasulullah sendiri senantiasa memberikan pencerahan dan motivasi kepada para sahabat Beliau agar saling memberikan hadiah. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَهَادَوْا فَإِنَّ الْهَدِيَّةَ تُذْهِبُ وَغَرَ الصَّدْرِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kerana hadiah dapat menghilangkan kebencian hati". Riwayat Ahmad(8882),Hasan. 


Maka, jelaslah di sini bahawa perbuatan memberi dan menerima hadiah sangatlah dianjurkan dalam Islam bagi memupuk rasa kasih dan sayang begitu juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia.


Secara psikologi, seseorang yang diberi hadiah akan merasa bahagia, apatahlagi jika hadiah itu barang berharga. Oleh kerana itu, siapa saja yang diberi hadiah haruslah berusaha untuk membalasnya. Aisyah Ra.ha menceritakan, 


ِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيبُ عَلَيْهَا لَمْ يَذْكُرْ 


Maksudnya:"Dari 'Aisyah radhiallahu'anha berkata, "Adalah Rasulullah ﷺ menerima pemberiah hadiah dan membalasnya". Riwayat Bukhari(2396).


Secara normatif, memberi hadiah adalah berbuat kebajikan. Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


“إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran". Surah al-Nahl ayat 90.


Dalam ayat ini Allah Subhanahuwata'ala menyebutkan, “memberi kepada kaum kerabat”. Maksudnya, menurut pengarang Tafsir Jalalain, mereka dinyatakan secara khusus dalam ayat ini, sebagai pertanda bahawa mereka hendaklah dipentingkan terlebih dahulu. Begitu juga di dalam soal memberi hadiah, hendaknya kaum kerabat atau keluarga terdekat diberi keutamaan. Di dalam lafal تَذَكَّرُونَ menurut bentuk asalnya ialah huruf ت-nya diidghamkan kepada huruf ذ. Di dalam kitab Al-Mustadrak disebutkan suatu riwayat yang bersumber dari Ibnu Masud yang telah mengatakan, bahawa  ayat 90 surah An-Nahl, adalah ayat yang paling padat mengandungi anjuran melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan di dalam Al-Quran.


Berbeza pula dengan sedekah, terutama sedekah wajib atau zakat, yang mana kaum kerabat yang fakir dan miskinlah yang harus diutamakan. Dalam perundangan Islam, hadiah bukanlah sedekah walaupun ianya bernilai ibadah. Hadiah dapat diberikan kepada siapa saja, tanpa memandang miskin ataupun kaya, namunpun begitu tidak demikian halnya untuk sedekah dan zakat.


Abu Hurairah menceritakan bahawa ketika Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam diberikan makanan, beliau bertanya dahulu apakah makanan tersebut dari hadiah ataukah sedekah. 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أُتِيَ بِطَعَامٍ سَأَلَ عَنْهُ فَإِنْ قِيلَ هَدِيَّةٌ أَكَلَ مِنْهَا وَإِنْ قِيلَ صَدَقَةٌ لَمْ يَأْكُلْ مِنْهَا


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahwasanya, "Apabila Nabi ﷺ diberi makanan, maka beliau pasti menanyakannya. Bila dikatakan bahawa itu adalah hadiah, maka beliau memakannya, dan bila dikatakan bahawa itu adalah sedekah, maka beliau tidak memakannya". Riwayat Muslim (1790).


Sepanjang hidup Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, Beliau tidak menerima sedekah. Namun sepanjang hidupnya pula beliau sentiasa memberi sedekah dan hadiah, 


 “الْحَسَنُ بْنُ أَيُّوبَ الْحَضْرَمِيُّ قَالَ حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُسْرٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَلَا يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ


Maksudnya:"Al Hasan bin Ayyub Al Hadlrami ia berkata, telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Busr ia berkata, "Rasulullah ﷺ menerima hadiah tetapi beliau tidak menerima sedekah." Riwayat Ahmad (17028)


Inilah peribadi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang elegan, sama sekali beliau tidak mengharapkan belas kasihan para sahabatnya.


Diceritakan oleh Ibnu Abbas ra,  Ummu Hafidz pernah memberi hadiah kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berupa keju, samin, dan dhob(daging biawak),


نْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَهْدَتْ خَالَتِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقِطًا وَسَمْنًا وَأَضُبًّا فَأَكَلَ مِنْ الْأَقِطِ وَالسَّمْنِ وَتَرَكَ الْأَضُبَّ تَقَذُّرًا وَأُكِلَ عَلَى مَائِدَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَوْ كَانَ حَرَامًا مَا أُكِلَ عَلَى مَائِدَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:"Dari Ibnu Abbas, ia berkata; Bibiku telah menghadiahkan kepada Rasulullah ﷺ keju, mentega dan dhob (biawak padang pasir). Kemudian beliau makan sebahagian mentega serta keju dan meninggalkan dhob kerana merasa tidak senang. Dan daging tersebut dimakan (oleh para sahabat) dalam hidangan Rasulullah ﷺ, seandainya hal itu adalah haram maka tidak akan dimakan dalam hidangan Rasulullah ﷺ". Riwayat Al-Nasai(4244)


Daging biawak(dhob) di kalangan masyarakat Arab pada masa awal Islam termasuk komoditi yang Nabi Sallallahu'alaihiwasallam diamkan. Hal ini kemudiannya menjadi sunah taqririyah (yang mendapat persetujuan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam). Beliau sendiri tidak memakannya, walaupun Allah Subhanahuwata'ala memaafkan orang yang memakannya. Namun sebagai sebuah hadiah, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam tetap menerimanya.


Secara praktisnya hadiah boleh berupa masakan, seperti halnya dalam hadith berikut. Oleh kerana itu, kaum muslimah berpeluang  besar untuk saling memberi masakan kepada jiran tetangga masing-masing. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berseru,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَا نِسَاءَ الْمُسْلِمَاتِ لَا تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata; Nabi ﷺ bersabda, "Wahai para wanita muslimah, janganlah antara tetangga yang satu dengan yang lainnya saling meremehkan walaupun hanya dengan memberi kaki kambing". Riwayat Bukhari(5558)


Perlu diberi perhatian, hadiah yang diberikan adalah mesti berupa barang yang halal sahaja, 


عَنْ سَلْمَانَ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ السَّمْنِ وَالْجُبْنِ وَالْفِرَاءِ فَقَالَ الْحَلَالُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ


Maksudnya:"Dari Salman ia berkata, "Rasulullah ﷺ pernah ditanya tentang mentega, keju dan Al Fara (sejenis baju dari kulit)." Beliau lalu menjawab, "Halal adalah sesuatu yang telah Allah halalkan dalam kitab-Nya, dan haram adalah sesuatu yang telah Allah haramkan dalam kitab-Nya. Adapun yang Allah diamkan, maka itu adalah sesutau yang Allah maafkan". Riwayat Tirmizi(1648)


Kesimpulannya,tidak diragukan lagi bahawa hadiah dalam kehidupan antara individu dan komuniti manusia memiliki pengaruh yang signifikan untuk terwujudnya ikatan dan hubungan sosial, detik-detiknya senantiasa berulang setiap hari di acara-acara keagamaan, kemasyarakatan, dan selainnya. Dengan hadiah, terwujudlah kesempurnaan untuk meraih kecintaan, kasih sayang, akan lenyapnya kedengkian, dan terwujudnya kesatuan hati. 

Monday, September 20, 2021

Perniagaan pusat kecantikan dan Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan.

Perniagaan pusat kecantikan dan Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan. 

Hukum memulakan sesuatu perniagaan perlu dilihat kepada hukum asal akad muamalat sesama manusia ialah sah dan harus. (Rujuk al-Qawa’id li Ibn Rejab, hlm. 340)


Hal ini dikatakan demikian berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".Surah al-Jumu’ah ayat 10.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman, 


هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا


Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi".Surah al-Baqarah ayat 29.


Secara umumnya Islam membenarkan umatnya untuk berhias dan mencantikkan diri dengan cara yang bersederhana dan tidak tabarruj (berlebihan dalam berhias).


Walaupun begitu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian  bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى


Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab ayat 33.


Berhias dan mencantikkan diri pula adalah satu amalan yang terbaik sebelum mendirikan solat. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat), makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.


Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat dan tawaf. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. Juga diperbolehkan untuk makan dan minum tanpa berlaku boros, iaitu melampaui batas dalam melakukan setiap sesuatu. Sesungguhnya Allah membenci orang-orang yang berlebihan, meredhai orang yang menghalalkan sesuatu yang halal dan mengharamkan sesuatu yang haram.Tafsir Al-Wajiz oleh Dr. Wahbah az-Zuhaili,


Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمْ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمُ الْإِثْمِدُ يَجْلُو الْبَصَرَ وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ


Maksudnya:"Dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu Abbas ia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Pakailah pakaian yang putih, sebab ia adalah sebaik-baik pakaian kalian, dan kafanilah jenazah kalian dengannya. Sesungguhnya sebaik-baik celak kalian adalah itsmid (sejenis tumbuhan), itsmid dapat mempertajamkan pandangan dan menumbuhkan rambut". Riwayat Abu Daud(3380)


Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :


إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ


Maksudnya : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”

Riwayat Muslim (91).


Islam juga menguatkan semangat kebersihan dan kekemasan pada tempat-tempat berkumpulnya umat Islam seperti pada hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


مَا عَلَى أَحَدِكُمْ إِنْ وَجَدَ سَعَةً أَن يَتَّخِذَ ثَوبَيْنِ لِيَوْمِ الجُمُعَةِ غَيْرَ ثَوبَي مِهْنَتِهِ


Maksudnya: “Tidak salah seseorang kamu, apabila mempunyai kelebihan rezeki, menyediakan dua pakaian khusus untuk hari Jumaat selain dari dua pakaian biasa untuk bekerja.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (22/287)


Galakan ini tidak terhad kepada lelaki tetapi juga merangkumi wanita. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ


Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Surah al-Nur ayat 31


Meskipun begitu, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan dengan keadaan sederhana. Islam melarang umatnya daripada sikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.


Selain itu, Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam ayat yang lain tentang keharusan memakai perhiasan:


قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ


Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?".Surah al-A’raf ayat 32.


Menurut Tafsir as-Sa'di oleh Syaikh Abdurrahman bin Nashir . Allah mengingkari orang yang keras kepala dan mengharamkan hal-hal yang baik yang dihalalkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:”katakanlah ‘siapakah yang mengaharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya“ dari berbagai macam pakaian dengan berbagai macam jenisnya, dan rezeki yang baik-baik, berupa makanan dan minuman dengan beragam macamnya. yakni sipakah gerangan yang berani mengharamkan apa yang Allah halalkan sebagai nikmat kepada hamba-hambaNya? Siapakah gerangan yang mempersulit kepada mereka apa yang telah dilonggarkan Allah? Allah memberikan kelonggaran kepada hamba-hamba-NYa menggunakannya sebagai penolong dalam beribadah kepadaNya maka Dia tidak membolehkannya kecuali hanya untuk hamba-hamba-NYa yang beriman.


Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)


Perniagaan pusat kecantikan adalah satu urusniaga yang berhubung rapat dengan muamalat ijarah atau upah. 


Secara harfiah, ijarah berasal dari kata al-ajru dari bahasa Arab yang menurut bahasa Melayu berarti ganti dan upah. Sementara secara etimologi, ijarah bermakna menjual munafaat. Dalam erti luas, ijarah adalah akad atas kemunafaatan suatu barang dalam waktu tertentu dengan pengganti sejumlah tertentu yang telah disepakati.


Hukum mengambil upah(ijarah) bagi menyediakan perkhidmatan berdandan dan berhias di samping menjual barang atau produk kecantikan yang ditawarkan adalah dibolehkan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu pendandan dan pelanggan.


Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dalam kitabnya:


يَصِحُّ الِاسْتِئْجَارُ لِلْخِدْمَةِ ثُمَّ إنْ عَيَّنَا شَيْئًا اُتُّبِعَ وَإِلَّا اتَّبَعَ الْعُرْفُ اللَّائِقَ بِالْأَجِيرِ وَالْمُسْتَأْجِرِ


Maksudnya: Sah memberi upah kerana perkhidmatan. Jika kedua-duanya (pemberi upah dan orang yang diupah) menetapkan sesuatu perkara dalam khidmat itu maka, ikutilah. Sekiranya tiada, ikutilah kebiasaan uruf pengupah dan orang yang diupah.

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, 24/378)


Selain itu, keharusan mengambil upah atas perkhidmatan berhias ini juga disebut dalam satu kaedah fiqh:


الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم


Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.

(Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir, al-Suyuti, hlm. 60)


Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk menentukan bahawa sesuatu perkara yang tidak disebutkan dalilnya adalah halal. Hal ini juga berdasarkan pandangan Imam al-Syafie bahawa perkara yang halal ialah sesuatu perkara yang tiada dalil menunjukkan pengharamannya. (Rujuk al-Mantsur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Imam al-Zarkasyi, 2/70-71)


Kesimpulannya:

Berdasarkan keterangan di atas, Perniagaan pusat kecantikan ialah suatu muamalah ijarah yang dibenarkan dalam Islam juga menurut kaedah fiqh:


الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم


Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.


Juga bertepatan pula dengan hukum asal berhias itu sendiri adalah satu perkara yang dibenarkan. 


Namun, sekiranya pusat kecantikan itu melakukan perkara yang diharamkan dalam berhias seperti membuat tatu,menyambung rambut, mengikir gigi mengubah ciptaan Allah seperti plastic surgery, botox, dan sebagainya maka hukum membuka pusat kecantikan pada keadaan itu adalah haram. Hal ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala untuk mengelakkan diri daripada bersubahat dalam melakukan dosa:


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).Surah al-Ma’idah ayat 2.


Perkara yang perlu di beri perhatian oleh pengusaha pusat kecantikan ialah:


Premis pusat kecantikan tidak terdedah dan terbuka sehingga menampakkan aurat. Sebagaimana wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah:


وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ


Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”.

Surah an-Nur ayat 31.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ


Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya”.

Riwayat ibn Hibban (5598), Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan perawi-perawi hadith ini thiqah (dipercayai).


Mengkhususkan pusat kecantikan untuk pelanggan dan pekerja sesama jantina sahaja.


وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا


Maksudnya:"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya….". Al-Nur ayat 31.


Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ


Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Thabrani, Mu’jam Al-Kabir (20/211


Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan,diantaranya;


1-Haram Tabarruj (Berlebihan dalam berhias)


Bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)


Firman Allah Subhanahuwata'ala :


وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى


Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab ayat 33.


Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)


Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.  Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62.


2-Mengandungi unsur penipuan atau mengubah ciptaan Allah Subhanahuwata'ala. Hal berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ‏


Maksudnya: Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu di wajah, mengikir gigi untuk kecantikan dan mengubah ciptaan Allah."


Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari (4886) dan Muslim dalam Sahih Muslim (2125)


Imam al-Nawawi berkata dalam kitab Syarah-nya:


وَهَذَا الْفِعْلُ حَرَامٌ عَلَى الْفَاعِلَةِ وَالْمَفْعُولِ بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيثِ وَلِأَنَّهُ تَغْيِيرٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَلِأَنَّهُ تَزْوِيرٌ وَلِأَنَّهُ تَدْلِيسٌ


Maksudnya: Dan perbuatan ini adalah haram ke atas pembuat dan orang yang dibuat perbuatan itu berdasarkan hadis ini. Hal ini demikian kerana perbuatan itu mengubah ciptaan Allah SWT dan merupakan satu pemalsuan dan penipuan.


(Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim,14/107


3-Perbuatan yang dianggap melampau dan dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah.


Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ


Maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).”

Riwayat Muslim (5687)


Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam lalu Baginda bersabda:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ


Maksudnya: Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.

Riwayat al-Bukhari (5934)


Imam al-Nawawi berkata, hadith ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak. Inilah pendapat yang kuat. (Lihat Syarh Sahih Muslim al-Nawawi, 14/103)


Qias dengan larangan menyambung rambut kepada memakai bulu mata Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah Subhanahuwata'ala.


4-Haram menggunakan peralatan dan barang kosmetik dari najis dan  berbahaya.


Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan". Surah al-Baqarah ayat 195.


Diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda pada hari pembukaan kota Mekah:


إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ فَقَالَ لَا هُوَ حَرَامٌ


Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tetang lemak bangkai (haiwan ) yang digunakan untuk menyalut sampan,meminyakkan kulit dan digunakan sebagai pelita. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda : Tidak boleh. Ia tetap haram dijual.”


Sahih al-Bukhari ( 2236)  dan Sahih Muslim ( 4132)


Menurut Imam al-Nawawi:


بَيْعُ سِرْجِينِ الْبَهَائِمِ الْمَأْكُولَةِ وَغَيْرِهَا وَذَرْقِ الْحَمَامِ بَاطِلٌ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ هَذَا مَذْهَبُنَا


Maksudnya: Menjual najis haiwan yang boleh dimakan dan selainnya, serta najis burung adalah batil, dan hasil penjualannya adalah haram, dan inilah adalah mazhab kami (ulama Syafi’eyah). (Rujuk Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 9/230)



Saturday, September 18, 2021

Hukum Prank menurut perspektif Islam.

Hukum Prank menurut perspektif Islam. 

Prank menurut kamus dewan bahasa adalah usikan yang kebudak-budakan.


Prank adalah satu istilah moden yang digunakan bagi menggambarkan perbuatan mengusik seseorang dengan perkataan atau perbuatan sebagai bahan jenaka atau menguji seseorang.


BUDAYA prank pada hari ini semakin menular dalam masyarakat kita. Prank merupakan budaya seseorang merancang untuk melakukan tipu helah atau penipuan terhadap orang lain. Adakalanya, gurauan atau prank tersebut agak melampau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi seseorang. Seseorang yang terkena prank akan  merasa  malu,  kecewa dan  merasa  tertipu. Adakah gurauan ini masih berada dalam batasnya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada prank yang lucu, namun sering kali dianggap melangkaui batas dalam budaya masyarakat kita.


Budaya ini seiringan dengan mentaliti “loyar buruk” yang semakin meraih keberanian untuk berkembang. Budaya ini bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan.


Budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. “Bergurau tidak kena tempat”. Jika pada suatu ketika dahulu gurauan ini menjadi bahan ketawa, seperti siri America’s Funniest People sekitar tahun 1990-an dan Just for Laugh (Juste Pour Rire), lama-kelamaan gurauan ini berubah menjadi versi yang agresif, seperti Jackass,menjelang milenium baharu.


Mungkin bagi sesetengah orang, prank hanya gurauan semata-mata. Sejauh manakah gurauan itu hanya sekadar gurauan? Pernahkah kita terfikir bagaimana jika bahan cerita yang ingin kita guraukan itu mampu untuk memberikan reaksi di luar jangkaan kita? Pernahkah kita terfikir tentang sensitiviti orang lain? Bukan semua hal boleh dibawa bergurau dan bukan juga hidup ini perlu sentiasa serius sehingga tidak boleh langsung untuk kita bercanda ria. Namun demikian, biarlah gurauan kita itu bertempat dan berada dalam batasannya. Tidak semestinya jika sesuatu budaya itu diterima secara meluas oleh masyarakat, maka budaya tersebut betul. 


Prank juga biasanya dianggap sekadar untuk hiburan diri sendiri atau orang lain. Kini, prank semakin menjadi fenomena global, malah dinanti-nantikan bukan hanya dalam media sosial, bahkan turut rancak dalam radio dan televisyen. Prank juga boleh dijadikan sebagai tangkal pelaris untuk slot hiburan radio dan televisyen. Tambahan lagi, budaya ini makin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan pembuat video di Youtube dan media sosial yang lain kerana kebiasaannya video-video prank sebegini akan mendapat sambutan dan tontonan yang ramai. Hasil daripada tontonan tersebut, pemilik video akan memperoleh pengikut-pengikut baharu dan juga boleh dibayar oleh Youtube atas capaian dan tontotan yang tinggi tersebut. Oleh kerana itu, makin ramai yang menghasilkan video-video berunsurkan prank ini untuk mendapatkan tontonan yang tinggi dan sekaligus mendapat hasil pendapatan darinya.


Dengan jati diri yang rendah, apa-apa sahaja yang datang ke sini dari negara lain ditelan dan diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya, seperti parodi, menjatuhkan harga diri kita. Biarpun prank dan parodi kini menjadi begitu popular dan digilai ramai, kita seharusnya mengambil maklum bahawa parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan melakukan perbuatan lain yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu – ada rasa “malu” atau “tidak ada rasa malu”. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah untuk memalukan diri sendiri dan mangsa kita dengan prank itu, maka tepuk dada tanya iman.


Ada juga rancangan stesen radio tertentu mengejutkan orang yang dipanggil, menakutkan, mempersendakan, dan memalukan mereka menjadi sesuatu yang haram dari segi agama, apatah lagi rancangan itu didengar oleh ramai pendengar dan menimbulkan rasa malu atau kejutan kepada mangsa. Rancangan seperti itu hanya memperbodoh mangsa dan menjadikan mangsa bahan untuk ditertawakan oleh orang ramai secara yang memalukan. Secara tidak langsung, perbuatan ini sering mendedahkan aib peribadi mangsa yang tidak sepatutnya.


Hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa. Menghasilkan video-video atau ‘content’ prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum. Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat pada penonton serta dapat memberikan pengajaran.


Islam adalah agama fitrah yang diturunkan untuk manusia. Kita tidak mampu untuk membayangkan bagaimana Islam boleh menghalang naluri manusia ketawa dan bergembira.


Islam menerima semua perkara yang boleh menjadikan kehidupan itu lebih ceria dan bahagia.


Islam juga mahukan orang Islam ceria dalam kehidupan. Teladan sebenar kita ialah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang mana walaupun baginda menghadapi pelbagai kerumitan, kesusahan dan kesedihan, baginda tetap ada ruang untuk bergurau serta bersantai bersama sahabat.


Sahabat menyifatkan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagai seorang manusia yang menyeronokkan dan kita dapat melihat sendiri melalui sirah bagaimana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bergurau dengan isteri baginda serta mendengar cerita mereka.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam suka membangkitkan keceriaan dan kegembiraan terutama dalam perayaan dan majlis perkahwinan.


Imam An-Nawawi dalam kitab Riyadh As-Salihin, halaman 174 menyebutkan  satu kisah, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan bahawa dia tidak akan masuk syurga sehingga wanita tua tersebut beredar dengan perasaan yang sedih yang kemudiannya Rasulullah menjelaskan semula bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua tetapi akan masuk dalam keadaan muda.


عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوْزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ اُدْعُ اللهَ أَنْ يُدْخِلَنِيْ الْجَنَّةَ فَقَالَ: « يَا أُمَّ فُلَانٍ إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوْزٌ » قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِيْ فَقَالَ: «أَخْبِرُوْهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوْزٌ» إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ: (إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا) (رواه الترمذي في الشمائل المحمدية)


Maksudnya:"Dari Al-Hasan, ia berkata,Seorang wanita tua datang kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah Subhanahuwata'ala berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya (Surah al-Waqiah: 35-37). (Rujuk Syamail Muhammadiyyah h.144). Riwayat Tirmizi. 


Melalui kisah yang tersebut dalam hadith di atas, bahawa orang tua tidak  akan ada di dalam syurga. Malahan semua orang yang  masuk syurga akan kembali menjadi muda, kembali tampan dan cantik seperti sedia kala saat masih muda.


Oleh itu, dapat difahami bahawa bergurau atau bercanda adalah dibolehkan asalkan tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.


Hukum Gurauan Yang Melampau


Istilah melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang mana Allah Subhanahuwata'ala melarang perbuatan merendah-rendahkan orang lain, menyebarkan aib orang lain, memanggil orang lain dengan panggilan buruk dan lain-lain. Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرًا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءً مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرًا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim". Al-Hujurat ayat 11.


Jenaka itu bukan gurauan pada tempat yang serius dan saat yang diperlukan menangis.Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


أَفَمِنْ هَٰذَا الْحَدِيثِ تَعْجَبُونَ. وَتَضْحَكُونَ وَلَا تَبْكُونَ. وَأَنْتُمْ سَامِدُونَ


Maksudnya:"Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis? Sedang kamu melengahkan(nya)?. An-Najm Ayat 59-61.


Larangan bergurau dan membuat lawak jenaka adalah dengan syarat tidak menjadikan pendustaan sebagai jalan untuk menjadikan orang lain ketawa. 

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ


Maksudnya:" Dari Bahz bin Hakim ia berkata; telah menceritakan kepadaku Bapakku dari Bapanya ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Celakalah bagi orang yang berbicara lalu berdusta untuk membuat orang lain tertawa. Celakalah ia, celakalah ia". Riwayat Abu Daud(4438)


Salah satu bentuk kezaliman pada orang lain yang berkaitan dengan melampau dalam gurauan adalah sehingga membuatkan orang lain terperanjat. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا


Maksudnya:"Dari 'Abdurrahman bin Abu Laila ia berkata, " Para sahabat Muhammad ﷺ menceritakan kepadaku bahwa saat mereka sedang berjalan bersama Nabi ﷺ, salah seorang dari mereka tertidur. Lalu ada sebahagian sahabat mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya hingga orang yang tertidur itu terkejut. Maka Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak halal bagi seorang muslim membuat terkejut sesama saudaranya yang muslim". Abu Daud (5004)


Terdapat juga larangan mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut menyebabkan wujudnya unsur menakut-nakutkan atau merisaukan orang atau membuatkannya sedih. Yang mana pada kebiasaannya pemilik barang akan rasa risau dan sedih apabila barangannya hilang. 

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ ابْنِ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لَاعِبًا وَلَا جَادًّا وَقَالَ سُلَيْمَانُ لَعِبًا وَلَا جِدًّا وَمَنْ أَخَذَ عَصَا أَخِيهِ فَلْيَرُدَّهَا لَمْ يَقُلْ ابْنُ بَشَّارٍ ابْنَ يَزِيدَ وَقَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:"Dari Ibnu Abu Dzi`b dari Abdullah bin As Saib bin Yazid dari Bapanya dari Datuknya Bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Jangan sekali-kali salah seorang dari kalian mengambil barang milik saudaranya, baik untuk begurau atau sungguhan." Sulaiman berkata, "Untuk bergurau atau sungguhan. Maka barangsiapa mengambil tongkat milik saudaranya hendaklah ia kembalikan." Riwayat Abu Daud (5003)


Allah Subhanahuwata'ala melarang menyakiti orang lain. Kadang-kala prank atau gurauan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang menjadi mangsa prank tersebut. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


قَالَ لَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ وَاحِدٍ فَإِنَّ ذَلِكَ يُؤْذِي الْمُؤْمِنَ وَاللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَكْرَهُ أَذَى الْمُؤْمِنِ


Maksudnya:"....Dan diriwayatkan dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menyertakan yang satunya, kerana itu akan menyakitkan orang mukmin, dan Allah 'Azza wa Jalla membenci menyakiti orang mukmin". Riwayat Tirmizi(2751)



Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama   Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim m...