Thursday, April 23, 2020

Ramadhan Kareem tiba lagi

Ramadhan Kareem tiba lagi.

الحمد لله, segala puji dan syukur dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahuwata'ala pentadbir sekalian alam kerana dengan limpahan rahmat dan kasih-sayang-Nya kita semua masih dapat lagi menikmati dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam, selawat dan salam ke atas 
junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam ahli keluarga baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam. 

Umat Islam sekali lagi akan menyambut kehadiran Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan datang saban tahun bagi membuka peluang kepada umat Islam untuk melipatgandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya.

Apabila diri kita dipilih untuk berada dalam bulan Ramadhan, ia adalah sesuatu perkara yang wajib disyukuri.

Sehubungan itu, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan melaksanakan amal ibadat wajib dan sunat sepanjang Ramadhan.

Usah jadi orang yang rasa biasa dengan kehadiran Ramadhan. Ia mengaggap seolah-olah Ramadhan hanya datang bagi memenuhi kalendar Hijri pada setiap tahun sahaja. 

Lebih malang lagi jika ada yang menganggap kehadiran Ramadhan adalah membebankan diri kerana perlu menahan daripada makan dan minum sepanjang waktu siang.

Ramadhan perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadhan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan lain.

Diantara salah satu dari tanda keimanan seorang Muslim adalah bergembira dengan datangnya bulan Ramadhan. Ibarat akan menyambut tamu agong yang ia nanti-nantikan, maka ia persiapkan segalanya dan tentu hatinya menjadi sangat senang dengan tamu Ramadhan yang akan datang. Tentu lebih senang lagi jika ia menjumpai Ramadhan.

Hendaknya seorang muslim bimbang akan dirinya jika tidak ada perasaan gembira akan datangnya Ramadhan. Iaitu ia hanya merasa biasa-biasa saja dan tidak ada yang istimewa. Boleh jadi ia akan terluput dari kebaikan yang banyak. Kerana ini adalah kurniaan dari Allah Subhanahuwata'ala dan seorang muslim wajib bergembira.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

ﻗُﻞْ ﺑِﻔَﻀْﻞِ ﺍﻟﻠّﻪِ ﻭَﺑِﺮَﺣْﻤَﺘِﻪِ ﻓَﺒِﺬَﻟِﻚَ ﻓَﻠْﻴَﻔْﺮَﺣُﻮﺍْ ﻫُﻮَ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِّﻤَّﺎ ﻳَﺠْﻤَﻌُﻮﻥَ

Maksudnya:“Katakanlah: ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” .(Yunus ayat 58)

Lihatlah bagaimana para ulama dan orang salih sangat merindukan dan berbahagia jika Ramadhan akan datang. Ibnu Rajab Al-Hambali berkata,

ﻗَﺎﻝَ ﺑَﻌْﺾُ ﺍﻟﺴَّﻠَﻒُ : ﻛَﺎﻧُﻮْﺍ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻥَ ﺍﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳُﺒَﻠِّﻐَﻬُﻢْ ﺷَﻬْﺮَ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ، ﺛُﻢَّ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻧَﺎﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳَﺘَﻘَﺒَّﻠَﻪُ ﻣِﻨْﻬُﻢْ

Maksudnya:“Sebahagian salaf berkata, ‘Dahulu mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dipertemukan lagi dengan Ramadhan. Kemudian mereka juga berdoa selama enam bulan agar Allah menerima (amal-amal salih di Ramadhan yang lalu) mereka.“ (Rujuk: Latha’if Al-Ma’arif hal. 232)

Kegembiraan tersebut adalah kerana banyaknya kemuliaan, keutamaan, dan barakah pada bulan Ramadhan. Beribadah semakin nikmat dan lazatnya bermunajat kepada Allah Subhanahuwata'ala. 

Khabar gembira mengenai datangnya Ramadhan sebagaimana dalam hadith berikut.

ﻗَﺪْ ﺟَﺎﺀَﻛُﻢْ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥُ، ﺷَﻬْﺮٌ ﻣُﺒَﺎﺭَﻙٌ، ﺍﻓْﺘَﺮَﺽَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺻِﻴَﺎﻣَﻪُ، ﺗُﻔْﺘَﺢُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ، ﻭَﺗُﻐْﻠَﻖُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﺤِﻴﻢِ، ﻭَﺗُﻐَﻞُّ ﻓِﻴﻪِ ﺍﻟﺸَّﻴَﺎﻃِﻴﻦُ، ﻓِﻴﻪِ ﻟَﻴْﻠَﺔٌ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِﻦْ ﺃَﻟْﻒِ ﺷَﻬْﺮٍ، ﻣَﻦْ ﺣُﺮِﻡَ ﺧَﻴْﺮَﻫَﺎ ﻓَﻘَﺪْ ﺣُﺮِﻡَ

Maksudnya:“Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan atas kamu berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan 1000 bulan. Siapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh ia terhalangi.” (Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad (2/385). (Dinilai Sahih oleh Syeikh Al-Arna’uth dalam Takhrijul Musnad,8991)

Ramadhan dipilih Allah Subhanahuwata'ala sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa. Puasa pula dikaitkan dengan takwa.

Firman Allah Subhanahuwata'ala, 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Wahai! orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah ayat 183)

Pada bulan Ramadhan, orang Islam dilarang melakukan sesuatu yang hukumnya halal pada bulan selain Ramadhan. Orang Islam boleh makan dan minum pada waktu siang sepanjang 11 bulan, tetapi perbuatan itu dilarang pada bulan Ramadhan.

Itulah yang membuktikan ketakwaan diri seorang hamba apabila berjaya meninggalkan perkara yang biasanya halal, tetapi diharamkan pada bulan Ramadhan.

Ramadhan juga dimuliakan Allah Subhanahuwata'ala kerana ia menjadi bulan pilihan diturunkan al-Quran. Firman Allah Subhanahuwata'ala; 

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah Ayat 185)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya,  menafsirkan ayat 185 Surah al-Baqarah mengatakan: “(Dalam ayat ini) Allah Subhanahuwata'ala memuliakan bulan puasa iaitu bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain. Allah Subhanahuwata'ala memuliakan Ramadhan kerana memilihnya sebagai bulan untuk diturunkan al-Quran daripada bulan-bulan lainnya. Sebagaimana pada bulan Ramadhan ini juga Allah menurunkan kitab-kitab yang lain kepada para nabi.” 

Bukan itu sahaja, Ramadhan juga dimuliakan kerana padanya ditetapkan satu malam lebih baik beramal padanya daripada seribu bulan. Sebagaimana firman Subhanahuwata'ala, 

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya:"Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan". (Al-Qadr Ayat 3)

Bilangan 1000 bulan, jika ditukar ke dalam jumlah tahun sama dengan 83 tahun 4 bulan. Suatu waktu yang sangat lama, sementara keistimewaan malam al-Qadr melebihi jumlah itu. Ini merupakan kekhususan bagi umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, di mana umur mereka rata-rata tidak mencapai waktu 1000 bulan. Maka diatas kemurahan Allah Subhanahuwata'ala, mereka diberi malam al-Qadr yang istimewa. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pun menganjurkan umatnya untuk berusaha mendapatkannya dengan menghidupkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, sebagaimana disebut oleh sekelian banyak hadith.

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam turut menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan menerusi sabdanya, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila menjelmanya Ramadhan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :

Ramadhan merupakan bulan yang paling banyak mempunyai kelebihannya bagi orang yang berpuasa, antaranya ialah :

1-Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.
2-Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati dibulan puasa terlepas daripada azab kubur.
3-Pada bulan puasa juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.
4-Digalakkan oran yang berpuasa agar berlumba-lumba membuat kebajikan dan kebaikan, kerana setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda.
(Rujuk:Kitab Riyadhus Salihin oleh Imam al-Nawawi) 

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Boleh ditafsir secara zahir dan hakikat yang mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.”

Ibn Hajar al-Haitami dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam menyebut: “Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya.”

Manakala ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia

Hadith itu sepatutnya dijadikan motivasi oleh setiap Muslim untuk menggandakan amalan mereka.

Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala ditawarkan kepada mereka yang melakukan kebaikan dalam bulan Ramadhan.

Sebarang bentuk kemungkaran perlu dijauhi kerana umat Islam perlu memberi fokus kepada pelaksanaan amal ibadat yang disyariatkan dalam Islam sepanjang Ramadhan.

Ibadat fardu seperti solat dan zakat fitrah perlu ditunaikan dalam bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, zikir dan doa, solat Tarawih, qiamullail, sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadhan.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Diantaranya, Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

 Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ

Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.”
(Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah)

Berdasarkan nas hadith di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang member makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat. 
Justeru itu, maka teramat wajarlah bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. 

Diceritakan bahawa tokoh-tokoh ulama terdahulu menunjukkan sifat yang amat memberati dalam hal memberi makan orang yang berpuasa,diantara mereka ialah:

1-Hasan al-Basri member makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
2-Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
3-Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
4-Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Ulama salaf sentiasa teruja ingin berada dalam bulan Ramadhan. Mereka memahami keistimewaan yang disediakan Allah Subhanahuwata'ala dalam bulan Ramadan kepada hamba-Nya.

Salaf al-soleh berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala enam bulan sebelum datangnya Ramadhan agar mereka dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Kemudian setelah berakhirnya Ramadhan, mereka berdoa agar amalan yang mereka kerjakan sepanjang bulan Ramadhan diterima Allah Subhanahuwata'ala.

Begitulah sifat salaf al-soleh yang mendahului kita. Mereka memandang tinggi terhadap bulan Ramadan kerana memahami hakikat bulan Ramadan adalah satu rahmat besar daripada Allah Subhanahuwata'ala kepada manusia.

Akhir kalam, 

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”.

Doa ini ada di rekodkan dalam beberapa buah kitab hadith,  diantaranya ialah:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: "اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ". وَكَانَ يَقُولُ: " لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ".

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda Sallahual'aihiwasallam bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Musnad Imam Ahmad, no. Hadith 2228] Juga disebut oleh Ibn Sunni, al-Baihaqi,al-Bazzar, Musnad al-Bazzar,  dan Abu Nu’aim dengan lafaz yang sedekit berbeza. 

Walaupun begitu hadith ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh para ulama’ hadith. Antaranya ialah:

1-Imam al-Nawawi. [Al-Azkar, 1:189]
2-Imam Ibn Rejab. [Lathaif al-Ma’arif, 1:121]
3-Syeikh Syu’aib al-Arnaout. [Sunan Abu Daud, 4: 180]

Dinyatakan bahawa hadith ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah. Walaubagaimanapun, matan hadith tersebut tidak mempunyai masalah dari segi maknanya dan tidak pula bertentangan dengan syariat Islam. 

Lebih-lebih lagi kita pula dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah Subhamahuwata'ala selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.



Tuesday, April 21, 2020

Hidup adalah ujian( الفتنة ) dan ujian adalah penentu darjat seseorang insan di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Justeru itu tidak akan ada seorang insan pun yang akan terlepas dari ujian. Al-Hikam 115

Hidup adalah ujian( الفتنة ) dan ujian adalah penentu darjat seseorang insan di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Justeru itu tidak akan ada seorang insan pun yang akan terlepas dari ujian. 
Al-Hikam 115

Ada sebelas makna الفتنة yang disebut di dalam al-Quran dan adapun  coretan pada kali ini adalah merujuk kepada maksud cubaan atau ujian dalam bahasa melayu. 

Kalimah Fitnah ( الفتنة ) dalam bahasa arab bermaksud: Ujian dan cubaan.Imam Ibnu Hajar berkata : Asal kepada makna fitnah adalah الإختبار (ujian) dan الإمتحان (ujian)

Ibnu Manzur berkata: Al-Azhari dan lainnya berkata:“Asal makna fitnah adalah الإبتلاء (cubaan), الإمتحان (Ujian) dan الإختبار (ujian).”.”

Fitnah dari segi bahasa. 
Ibn Faaris berkata : " فَتَنَ (Fa-ta-na) merupakan perkataan asal bagi perkataan ujian atau percubaan". Dari aspek kata-kerja (فعل), فَتَنَ boleh bereti  أَغْرَى iaitu Goda atau menawan, cubaan, persona, glamour, memukau, keinginan. Ia juga boleh membawah erti سَحَرَ atau sihir. (Lihat:Maqaayiis al-Lughah, 4/472)

Maka فِتْنَة (Fit-nah) boleh membawa erti - godaan, tarikan, terpedaya, yang masdarnya إِغْراء . Ia juga boleh membawa erti مِحْنَة (Mih-Nah) iaitu bala, bencana, cubaan, tribulasi dsb.

Al-Azhari  mengatakan, “Inti makna fitnah di dalam Bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.”

Dan asalnya diambil dari ucapan seseorang: 
أنا أختبر الفضة والذهب
Maksudnya:“Saya menguji perak dan emas”.

Maksudnya adalah saya melelehkan keduanya dengan api agar terpisahkan antara yang buruk dengan yang bagus. Makna inilah makna yang ditunjukkan oleh firman Subhanahuwata'ala:

يَوْمَ هُمْ عَلَى النَّارِ يُفْتَنُونَ

Maksudnya: “(Hari pembalasan itu) ialah pada hari ketika mereka diazab di atas api Neraka.”
Adz -Dzaariyaat ayat 13

Maksudnya adalah dibakar dengan api Neraka” (Tahdziibul Lughah: 14/296).

Ibnu Faris rahimahullah berkata:

“الفاء والتاء والنون أصل صحيح يدل على الابتلاء والاختبار” ( مقاييس اللغة 4/ 47)

Maksudnya:"Huruf ف، ت، ن adalah huruf dasar yang sahih menunjukkan kepada cubaan dan ujian".(Lihat: Kitab Maqayisul Lughah: 4/472).

Ibnul Atsiir rahimahullah berkata:

الامتحان والاختبار … وقد كثر استعمالها فيما أخرجه الاختبار من المكروه، ثم كثر حتى استعمل بمعنى الإثم والكفر والقتال والإحراق والإزالة والصرف عن الشيء (النهاية 3 / 410).

Maksudnya:“(Secara bahasa maknanya) “Ujian… dan (kata fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai, kemudian setelah itu banyak digunakan untuk makna-makna: dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.”
(Lihat: An-Nihayah 3/410)

Ibnul A’rabi telah meringkas makna-makna fitnah secara bahasa, iaitu:

“الفتنة الاختبار، والفتنة المحنة، والفتنة : المال، والفتنة الأولاد، والفتنة الكفر، والفتنة اختلاف الناس بالآراء والفتنة الإحراق بالنار” . (لسان العرب لابن منظور).

Maksudnya:“Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat diantara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api". (Lihat: Lisanul Arab, Ibnu Manzhur)

Adapun dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani:
“Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu”.

Rujuk:
تعريفات الجرجاني. ( الفتنة ) 
الفتنة: ما يتبين به حال الإنسان من الخير والشر، يقال: فتنت الذهب بالنار، إذا أحرقته بها؛ لتعلم أنه خالص أو مشوب، ومنه: الفتانة، وهو الحجر الذي يجرب به الذهب والفضة.

Dimulai coretan ini dengan kata-kata Syeikh Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam pada fasal yang ke 115 , Kata beliau:

 لِيُخَفِّفْ أَلَمَ الْبَلاَءِ عَلَيْكَ عِلْمُكَ بِأَنَّهُ سُبْحَانَهُ هُوَ الْمُبْلِى لَكَ فَالَّذِى وَاجَهَتْكَ مِنْهُ الأَقْدَارُ هُوَ الَّذِى عَوَّدَكَ حُسْنَ الاَخْتِيَارِ 

Maksudnya:"Seharusnya terasa ringan kepedihan bala yang menimpa kepadamu, kerana engkau mengetahui bahawa Allah yang menguji padamu, maka Tuhan yang menimpakan kepadamu takdir-Nya itu. Dia pula yang telah memberi kepadamu sebaik-baik apa yang dipilihkan untukmu.  Hikam fasal 115

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala yang mulia:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya:"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". Al-Mulk ayat 2

(Yang menjadikan mati) di dunia (dan hidup) di akhirat, atau yang menjadikan mati dan hidup di dunia. Nuthfah pada asalnya sebagai barang mati, kemudian jadilah ia hidup; pengertian hidup ialah kerana ia mempunyai perasaan. Pengertian mati adalah kebalikannya. Pengertian lafal al-khalqu berdasarkan makna yang kedua ini berarti memastikan (supaya Dia menguji kamu) atau mencuba kamu di dalam kehidupan ini (siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya) maksudnya yang paling taat kepada Allah. (Dan Dia Maha Perkasa) di dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang durhaka kepada-Nya (lagi Maha Pengampun) kepada orang yang bertaubat kepada-Nya.( Rujuk: Tafsir al-Jalalyn) 

Juga firman Allah Subhanahuwata'ala yang mulia:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. Al-Anbiya Ayat 35.

(Tiap-tiap yang berjiwa itu akan merasakan mati) di dunia (dan Kami akan menguji kalian) mencuba kamu (dengan keburukan dan kebaikan) seperti miskin, kaya, sakit dan sihat (sebagai cobaan) kalimat ini menjadi Maf'ul Lah, maksudnya supaya Kami melihat, apakah mereka bersabar dan bersyukur ataukah tidak. (Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan) kemudian Kami akan membalas kamu. ( Rujuk: Tafsir al-Jalalyn) 

Juga firman Allah Subhanahuwata'ala yang mulia:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِي الْأَسْوَاقِ ۗ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ ۗ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا

Maksudnya:"Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan kami jadikan sebahagian kamu cobaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu maha Melihat". Al-Furqan ayat 20.

(Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar) maka kamu adalah sama seperti mereka dalam hal ini. Maksudnya, telah dikatakan pula hal yang serupa terhadap mereka, sebagaimana apa yang dikatakan kepadamu sekarang ini. (Dan Kami jadikan sebagian kamu cobaan/ujian bagi sebagian yang lain) yakni orang yang kaya dicoba/diuji dengan adanya orang fakir dan orang yang sihat dicoba/diuji dengan adanya orang yang sakit, dan orang yang terhormat dicoba/diuji dengan adanya orang yang rendah. Maka golongan yang kedua dari orang-orang tadi mengatakan, 'Mengapa aku tidak seperti dia dalam segala hal?' (Mahukah kamu bersabar?) di dalam menghadapi perkataan yang kamu dengar dari orang-orang yang kamu mendapat ujian dari mereka. Istifham atau kata tanya di sini mengandung erti perintah, maksudnya bersabarlah kamu (dan adalah Rabbmu Maha Melihat") terhadap orang-orang yang sabar dan yang tidak sabar.( Rujuk: Tafsir al-Jalalyn).

Juga firman Allah Subhanahuwata'ala yang mulia:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya:"Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar". 
Al-Tagabun Ayat 15

(Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian/cubaan) bagi kamu yang melupakan kamu dari perkara-perkara akhirat (dan di sisi Allah lah pahala yang besar) maka janganlah kamu lewatkan hal ini, kerana kamu sibuk dengan harta benda dan anak-anak kamu.   (Rujuk: Tafsir al-Jalalyn).

Diantara tanda kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala dan kehebatan pentadbiran-Nya adalah jelas kelihatan pada mati dan hidup. Sunnah الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ dipamerkan kepada manusia bersama matlamat yang diciptakan kerananya adalah untuk menguji siapakah manusia yang paling baik amalannya.

Kehidupan insan di dunia ini akan selalu berhadapan dengan kesusahan dan ujian Dan hidup di dunia ini tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Justeru itu,  manusia tidaklah seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain.

Tidak akan ada habisnya jika memperbincangkan masalah-masalah kehidupan yang ada di sekitar kita. Setiap insan memiliki pengalaman hidup yang berbeza-beza dalam menghadapi setiap persoalan yang datang silih berganti. 
Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan keewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi. Orang yang baik akan diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah Subhanahuwata'ala.

Hidup ini akan selalu bergandengan dengan masalahnya. Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa adalah sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya.

Setiap yang diberi hidup pasti akan mendapatkan bahagiannya dalam hal ujian. Juga tidak ada kesempatan untuk mengelak dari apa yang sudah ditetapkan. Juga tidak ada yang dapat menghindari dari apa yang telah ditakdirkan. Masing-masing di antara manusia mendapatkannya secara adil dan merata.

Andaikata! Jika terdapat seorang insan yang mampu berbuat baik secara sempurna dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala dan berkelayakan dalam memberikan manfaat bagi hamba-hamba-Nya yang lain, maka sebenarnya baginya adalah bahagian yang besar berupa ujian rahmat dari sisi Allah Subhanahuwata'ala.

Apapun ujian yang dihadapi, baik itu masalah peribadi, masaalah keluarga, perjuangan untuk kemaslahatan umat atau menegakkan agama Allah, kesemuanya memerlukan sikap cermat dan kesabaran yang utuh. Justeru itu, bagi mereka yang beriman kepada Allah pasti akan berusaha sekuat tenaga untuk menyelesaikannya beserta dengan memohon pertolongan dari Allah Subhanahuwata'ala. 

Bagi insan yang beriman kepada Allah dan juga beriman kepada hari akhirat,  mereka sentiasa berkeyakinan bahawa Allah Ta’ala senantiasa memberikan yang terbaik kepada makhluk-Nya. Potensi dan kelebihan melekat pada diri manusia. Meski demikian, manusia memiliki kesempatan untuk menjadi dirinya sendiri.

Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah Subhanahuwata'ala. Segala keputusan Allah Subhanahuwata'ala adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya. Keyakinan ini seperti yang dicatat dalam firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:

وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya:".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui".Al-Baqarah ayat 216

Juga sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:

أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya:"....kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah hendak menjadikan padanya kebaikan yang banyak. Al-Nisa Ayat 19

Mengingatkan hakikat inilah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengajar satu doa, dari Abdullah bin Umar, dia berkata, “Di antara doa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya:"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, dari berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, dari siksa-Mu yang datang secara tiba-tiba, dan dari segala kemurkaan-Mu". Riwayat Muslim  2739.

Namunpun begitu, tidak semua kenikmatan itu terdapat kebaikan. Terkadang boleh saja berlaku, apabila seseorang itu mendapat nikmat yang banyak, dapat berakibatkan kepada sikap yang melampau sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat. Al- Syura ayat 27

Nikmat yang banyak juga terkadang boleh menjadkan seseorang itu lupa akan peringatan Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ

Maksudnya: Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka-ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan kepada mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). Al-An’am ayat 44

Al-Maraghi berkata: “Semua pintu kesenangan itu dibuka sebagai cubaan dan ujian bagi mereka, yang menyebabkan sebahagian daripada mereka ada yang lupa daratan dan semakin zalim, bukannya mereka bertambah bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala. Kesenangan itu kemudiannya bertukar menjadi bala bencana dan menjadi fitnah.”

Sebagaimana yang dikisahkan tentang hal penduduk Saba’ di Yaman pada zaman dahulu Yang telah diberikan dengan kelebihan dari segi keduniaan. Kemudian Allah Subhanahuwata'ala mengutus kepada mereka rasul-rasul yang memerintahkan kepada mereka agar memakan rezeki Allah dan bersyukur kepada-Nya dengan cara mengesakan dan menyembah-Nya; mereka tetap diseru oleh para rasul selama masa yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata'ala. Akan tetapi mereka berpaling dari apa yang diperintahkan oleh para rasul kepada mereka. Akhirnya mereka diazab dengan didatangkan kepada mereka banjir besar yang memporak-porandakan seluruh negeri, sebagaimana Firman  Allah Subhanahuwata'ala:

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَى أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ

Maksudnya: Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
Surah Saba’ ayat 16).

Al-Tabari mengatakan bahawa sesudah mereka mengambil sikap tidak mahu percaya kepada para rasul Allah Subhanahuwata'ala, maka datanglah banjir besar yang menyebabkan runtuhan empangan yang membendung takungan air banjir yang telah digunakan untuk menyiram pokok dan tanaman yang subur itu dan menenggelamkan kebun buah-buahan mereka, lalu bumi tempat tumbuhnya kebun itu menjadi rosak binasa (Al-Qurtubi, 14:286). Setelah itu bumi hanya menghasilkan buah-buahan yang tidak berguna dan tidak sedap dimakan.

Hal ini sebaliknya kepada orang yang beriman. Bagi mereka, pintu kesenangan dibuka oleh Allah Subhanahuwata'ala supaya mereka bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih di atas anugerah-Nya. Lalu mereka menggunakan kesemua itu dengan amalan-amalan kebaikan dan bukannya amalan-amalan yang mendapat balasan yang berupa pertambahan nikmat di dunia dan pahala yang baik di akhirat kelak.

Begitu pula ada sebahagian manusia disaat dihadapkan pada masalah hidup, akan menjadi nyata dan tampak akan sifat kemanusiaannya. Apabila berhadapan persoalan hidup yang susah dan rumit orang cenderung mengeluh dan berkecil hati, seakan hidup ini tidak adil. Ada orang yang akan menjadi beranggapan negatif terhadap Tuhan. Mereka akan berkata:
“Mengapa kesusahan hidup selalu menimpaku?”, atau dengan ungkapan lain “Bilakah hidup keluargaku akan sejahtera dan berkecukupan?”. Pertanyaan semacam itu sangat mungkin akan muncul dalam kehidupan setiap orang.

Berkenaan dengan sifat manusia ini, Allah Ta'ala ada memberikan penjelasan dalam firman-Nya:

فإذا مسّ الإنسان ضرّ دعانا ثمّ إذا خوّلناه نعمة منّا قال إنّما أوتيته على علم بل هى فتنة ولكنّ أكثرهم لا يعلمون

“Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku”. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.” Az-Zumar ayat 49

Terhadap segala macam kenikmatan dan ujian yang datang, manusia memiliki pilihannya sendiri. Siapapun boleh melakukannya, antara bersyukur, mengeluh,bersabar hingga malahan kufur. Setiap pilihan membawa akibat tersendiri bagi pelakunya.

Allah Azza wa Jalla berfirman dalam hadith qudsi: 

اِبْنَ آدَمَ ، إِنْ صَبَرْتَ وَاحْتَسَبْتَ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُوْلَى ، لَمْ أَرْضَ ثَوَابًا دُوْنَ الْجَنَّةِ 

Maksudnya: "Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari ganjaran pada saat awal musibah (yang menimpa), maka Aku tidak meredhai pahala bagimu selain surga. Rieayat Ibnu Majah, 1597. Hasan. 
Maksud hadith di atas adalah, apabila seorang hamba redha dengan musibah yang menimpanya, maka Allâh akan redha memberikan pahala kepadanya dengan syurga.

Firman Allah Subhanahuwata'ala, 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya:"....Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas". Al-Zumar ayat 10.

Sudah menjadi ketentuan Allah Subhanahuwata'ala, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah.

Di manapun dan bilapun manusia akan tetap menemui ujian sesuai dengan apa yang telah Allah Ta’ala tetapkan. Ketentuan-Nya berlaku bagi siapapun tanpa terkecuali. Terhadap ujian yang diberikan itu hendaknya manusia berfikir dan merenungi akan hikmah dan pelajaran berharga di balik setiap ujian yang datang. Adakah itu peringatan, cobaan atau malah hukuman?











Saturday, April 18, 2020

Hati akan menjadi keras atau akan mati jika tidak zikrullah. (Fitrah) Al-Hikam, 58

Hati akan menjadi keras atau akan mati jika tidak zikrullah. (Fitrah) 

Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain hal. Apabila hati diisi  dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Bagi menunjukkan betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala telah menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23,

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Maksudnya:" Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tak ada baginya seorang pemimpinpun".

Itulah petunjuk Allah, dengan kitab-Nya itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi Sallahu'alahiwasallam bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

Oleh kerana itu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi (kebendaan).

Justeru itu, hati dari jenis ini akan cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.
Sebagaimana firman Allah Subhanahiwata'ala, 

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal diantara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, karena takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan". Surat Al-Baqarah Ayat 74.

Syeikh Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam pada fasal yang ke 58 ada menyebut,. Kata beliau:

مِنْ عَلَامَاتِ مَوْتِ الْقَلْبِ عَدَمُ الْحُزْنِ عَلَىْ مَا فَاتَكَ مِنَ الْمُوَافِقَاتِ، وَتَرْكُ الْنَّدَمِ عَلَىْ مَا فَعَلَهُ مِنْ وُجُوْدِ الْزَّلَّاتِ

Maksudnya:"Di antara tanda-tanda kematian hati (adalah) tidak adanya kesedihan atas apa-apa yang meninggalkanmu berupa (amalan-amalan) yang sesuai (al-muwafiqati). Dan tidak meninggalkan penyesalan atas apa-apa yang telah engkau lakukan berupa ketergelinciran- ketergelinciran (perbuatan-perbuatan yang menyimpang)."
Al-Hikam pada fasal yang ke 58

Kalau orang yang hatinya mati, ia tidak akan menjadi sedih dengan kehilangan kekhusyukan dalam solat. Tidak menjadi sedih dengan hilangnya kesabaran, kepemurahan, kejujuran dan semua kebaikan penghias hati.

Adapun orang yang hidup hatinya akan sedih dengan kehilangan kekhusyukan dalam solat, kehilangan kemampuan untuk boleh bersabar, bersyukur, berbuat kebaikan, terlebih lagi, kehilangan sesuatu yang sesuai dengan fitrah dirinya.

Pada fasal ini tersimpan banyak rahsia-rahsia yang penting. Bukan sekadar tentang sebuah kesedihan kerana telah meninggalkan perbuatan baik atau menyesal kerana berbuat dosa. Namun pada kalam hikmah ini ada istilah الْمُوَافِقَاتِ,, iaitu diertikan sebagai suatu kebaikan atau amal hasanah, ianya terkait dengan istilah teknik dalam suluk. الْمُوَافِقَاتِ adalah apa yang sesuai dengan diri kita, yakni fitrah.

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya:"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". 
(Surah Ar-Ruum ayat 30)

Menghadapkan wajah kita kepada Agama Allah, itulah fitrah. Beragama adalah sebuah fitrah. Manusia boleh mengerjakan semua perkara akan tetapi ia tidak akan bahagia jika tidak menemukan pekerjaan yang sesuai fitrahnya. Kerana seperti apa yang tercatat dalam Surah Ar-Ruum ayat 30 itu, manusia dicipta sesuai dengan fitrah. Dan menghadapkan wajah kepada Agama Allah adalah fitrah manusia. Seiring dengan hilangnya hijab dan dosa, maka seseorang itu akan secara automatik akan mencari sebuah orientasi, senantiasa mencari jalan kepada sesuatu keadaan yang menjadi fitrahnya.

Fitrah manusia, menurut Ibnu Arabi, adalah kecenderungan manusia untuk mencari imam, mencari seorang penuntun, teladan atau وَلِيًّا مُرْشِدًا 
atau sesuatu yang boleh memimpin dirinya ke hadirat Allah Ta'ala. Fitrah manusia adalah satu simbol, kecenderungan, untuk mencari hal yang lebih tinggi. Sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata'ala, 

۞ وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزَاوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَتْ تَقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا

Maksudnya:"Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Itu adalah sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya". Al-Kahfi ayat 17

Setiap manusia memiliki fitrahnya. Tidak ada bayi yang lahir kemudian terus menjadi gay atau lesbian, (ini adalah sebagai satu contoh penyimpangan dalam perjalanan hidup msnusia). Setiap bayi lahir dalam keadaan fitrah, iaitu insan yang menghadapkan wajahnya kepada Agama Allah. Setiap bayi adalah seorang pencari Tuhan. Semua manusia, di mana pun mereka, jika disentuh oleh hal yang berkenaan ilahiah, akan runtuh hatinya.

Begitu juga Sabda Nabi Sallahu'alahiwasallam menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi.(Riwayat Bukhari 1385)

Terrdapat doa khusus yang telah diajar oleh Baginda Sallahu'alahiwasallam dalam memelihara hati ini daripada terpesong. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya, Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi Sallahu'alahiwasallam banyak membaca:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah Sallahu'alahiwasallam, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda Sallahu'alahiwasallam menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah Subhanahuwata'ala yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.” [Riwayat al-Tirmizi (2140)][Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi] 

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallahu'alahiwasallam memperbanyakkan berdoa dengan doa tersebut kerana hati ini kadang-kadang ia cenderung kepada ketaatan dan kadang-kadang pula ia cenderung kepada kemaksiatan. Selain itu juga, hati ini juga kadang-kadang cenderung kepada sedar dan kadang-kadang cenderung kepada alpa. Untuk itu, doa ini bertujuan agar ditetapkan hati ini di atas agama tanpa terpesong sedikitpun daripada agama yang mulia dan jalan (agama) yang lurus ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 291/6]

Doa ini merupakan salah satu daripada doa-doa yang terbaik kerana ia diajar oleh Nabi Sallahu'alahiwasallam sendiri. Dan tidak ada tempat yang khusus untuk dibacakan doa ini dan ia boleh dibaca dalam apa jua keadaan, samaada  di dalam solat ataupun di luar solat. 

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama   Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim m...