Thursday, February 6, 2020

Ganjaran langkahan kaki ke Masjid


Ganjaran langkahan kaki ke Masjid 


Rasulullah Sallahualaihiwasallam banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan berjalan kaki untuk solat berjemaah di masjid. 
Diantara hadithnya adalah sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam :
صَلاةُ أحَدِكُمْ في جَماعَةٍ، تَزِيدُ على صَلاتِهِ في سُوقِهِ وبَيْتِهِ بضْعًا وعِشْرِينَ دَرَجَةً، وذلكَ بأنَّهُ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أتى المَسْجِدَ لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لا يَنْهَزُهُ إلّا الصَّلاةُ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رُفِعَ بها دَرَجَةً، أوْ حُطَّتْ عنْه بها خَطِيئَةٌ، والمَلائِكَةُ تُصَلِّي على أحَدِكُمْ ما دامَ في مُصَلّاهُ الذي يُصَلِّي فِيهِ
Maksudnya: Solat seseorang daripada kalangan kamu bersama dengan jemaah melebihi solatnya di tempat kerja atau rumahnya sebanyak 20 lebih kali ganda. Ini kerana ia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid hanya ingin mendirikan solat semata-mata. Tidak dia melangkah satu langkahan kecuali akan diangkat dengannya satu darjat dan dihapuskan dengannya satu dosa kesalahan. Malaikat sentiasa mendoakannya selagimana dia berada di masjid yang dia mendirikan solat tersebut.Hadith riwayat al-Bukhari (2219) dan Muslim (649)

Rasulullah Sallahualaihiwasallam menyebut dalam hadith di atas bahawa apabila seseorang itu melangkah satu langkahan ke masjid untuk mendirikan solat, maka diangkat satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu dosa.
Dalam sebuah Hadith yang panjang Rasulullah  Sallahualaihiwasallam bersabda:
                                        وكلُّ خطوَةٍ تخطوها إلى الصلاةِ صدَقَةٌ                                       
Maksudnya: Dan pada setiap langkah untuk menuju solat (berjemaah di masjid) adalah sedekah.Hadith riwayat al-Bukhari (2891) dan Muslim (1009)
Dalam hadith di atas Rasulullah Sallahualaihiwasallam menyebut bahawa setiap langkahan kaki seseorang ke masjid merupakan sedekah.
Dalam hadith yang lain pula  Rasulullah Sallahualaihiwasallam ada menyebutkan bahawa tentang kelebihan seseorang yang  banyak langkahannya ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah dengan diampunkan dosanya dan ditambahkan pahalanya.Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ
Maksudnya: Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah Subhanahuwata'ala akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat RAnhum menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasulullah Sallahualaihiwasallam!”. Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda, “Menyempurnakan basuhan wuduk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat.”Hadith riwayat Ibn Majah: (776)
أَعْظَمُ النّاسِ أجْرًا في الصَّلاةِ أبْعَدُهُمْ، فأبْعَدُهُمْ مَمْشًى والذي يَنْتَظِرُ الصَّلاةَ حتّى يُصَلِّيَها مع الإمامِ أعْظَمُ أجْرًا مِنَ الذي يُصَلِّي، ثُمَّ يَنامُ
Maksudnya: Orang yang paling besar ganjarannya dalam menunaikan solat ialah sesiapa yang paling jauh perjalanannya (menuju solat berjemaah). Dan, orang yang menunggu solat untuk didirikan bersama imam adalah lebih besar ganjarannya berbanding seseorang yang mendirikan solat (bersendirian) kemudian tidur.Hadith riwayat al-Bukhari (651) dan Muslim (662)
Imam al-Nawawi menyatakan kelebihan berjalan kaki menuju ke masjid dengan menyatakan bahawa ia akan menghapuskan dosa-dosa kecil seseorang itu dan juga mengangkat darjatnya di sisi Allah Subhanahuwata'ala.
Berdasarkan hadith-hadith di atas juga, ianya menunjukkan bahawa tentang keutamaan berjalan kaki menuju ke masjid dan ia lebih afdhal berbanding menaiki kenderaan ke masjid.
Diantara hadith yang menyokong dalam hal ini,adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah bersabda,
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksudnya: Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.Riwayat al-Bukhari (908)
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa  Kita diperintahkan dan juga digalakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.
Imam al-Qurthubi telah  menyebutkan bahawa:‘’Sesungguhnya dilarang untuk berlari-lari menuju solat adalah kerana ia akan menghilangkan kekhusyukan (di dalam solat) disebabkan kepenatan dan juga terputus nafas yang disebabkan perbuatan berlari tersebut’’. Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (1/165).

Dalam sebuah riwayat daripada Ubai bin Ka’ab R.A beliau berkata:
كَانَ رَجُلٌ لاَ أَعْلَمُ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ مِمَّنْ يُصَلِّي الْقِبْلَةَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ أَبْعَدَ مَنْزِلاً مِنَ الْمَسْجِدِ مِنْ ذَلِكَ الرَّجُلِ وَكَانَ لاَ تُخْطِئُهُ صَلاَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ لَوِ اشْتَرَيْتَ حِمَارًا تَرْكَبُهُ فِي الرَّمْضَاءِ وَالظُّلْمَةِ فَقَالَ مَا أُحِبُّ أَنَّ مَنْزِلِي إِلَى جَنْبِ الْمَسْجِدِ فَنُمِيَ الْحَدِيثُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَهُ عَنْ قَوْلِهِ ذَلِكَ فَقَالَ أَرَدْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْ يُكْتَبَ لِي إِقْبَالِي إِلَى الْمَسْجِدِ وَرُجُوعِي إِلَى أَهْلِي إِذَا رَجَعْتُ فَقَالَ ‏أَعْطَاكَ اللَّهُ ذَلِكَ كُلَّهُ
Maksudnya: Ada seorang lelaki yang mana aku tidak ketahui seorang pun dari kalangan manusia yang menunaikan solat menghadap ke arah kiblat dari kalangan penduduk Madinah yang lebih jauh rumahnya dengan masjid berbanding lelaki tersebut. Meskipun begitu dia tidak pernah terlepas menunaikan solat berjamaah di masjid. Aku berkata kepadanya: ‘’Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor himar (keldai) yang dapat kamu naikinya pada musim panas dan juga pada waktu gelap’’. Lalu beliau berkata: ‘’Aku tidak suka rumahku bersebelahan dengan masjid’’. Lalu hal tersebut diketahui oleh Rasulullah Sallahualaihiwasallam maka baginda pun bertanya kepada lelaki tesebut terhadap kenyataannya itu. Maka lelaki itu menjawab: ‘’Yang aku mahukan wahai Rasulullah adalah dituliskan ganjaran pahala terhadap datangnya aku ke masjid dan pulangnya aku kepada keluargaku’’. Maka Rasulullah Sallahualaihiwasallam menjawab: ‘’Semoga Allah memberikan kepada kamu kesemua perkara tersebut’’.Riwayat Abu Daud (557)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Jabir R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَا اغْبَرَّتْ قَدَمَا عَبْدٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَمَسَّهُ النَّارُ
Maksudnya: Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah.Riwayat al-Bukhari (2811

Tuesday, February 4, 2020

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki (تَشَبَّهَ

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki (تَشَبَّهَ)

Hukum tasyabbuh (تَشَبَّهَ) adalah "HARAM" dan ianya adalah salah satu dari dosa-dosa besar. Kerana telah tsabit dari nas-nas syar’ie bahawa Allah Subhanahuwata'ala melaknat orang yang melakukannya melalui lisan Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam. Diantaranya adalah hadith dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sebagaimana sabda Baginda Sallahualaihiwasallam:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ.

Maksudnya: Nabi Sallahualaihiwasallam telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) & al-Tirmizi (2785)


Ibn al-Athir berkata: الْمُتَرَجِّلاَتِ ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. الْمُخَنَّثِ  pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. [Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. Dar al-Fikr, 2/203]

Dalam riwayat yang lain:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) & Ibn Majah (1904)

Al-Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah Sallahualaihiwasallam terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. [Subul al-Salam. Dar al-Hadith, 2/421]

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. [Tuhfah al-Ahwazi. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 8/57]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki.

Penyerupaan Dari Sudut Pakaian

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُل.  

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”Riwayat Abu Daud (4098). Syeikh Syu’aib al-Arnaout mengatakan bahawa sanadnya sahih.

Al-Imam al-Zahabi berkata: “Apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya.

Laknat juga akan menimpa pada si suami jika dia yang menyuruh isterinya berpakaian seperti itu, ataupun dia rela isterinya berpakaian seperti itu dan tidak mencegahnya kerana sebagai seorang suami, dia wajib berusaha untuk meluruskan (memperbetulkan) isterinya supaya taat kepada perintah Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya dan menjauhkannya daripada melakukan dosa dan maksiat. Ini bersesuaian dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ ٦

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.  (Al-Tahrim: 6)

Al-Imam al-Qutrubi[17] dalam mentafsir ayat di atas mengatakan bahawa wajib ke atas  seorang lelaki untuk memberbaiki dirinya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Memperbaiki ahli keluarganya sepertimana pemimpin memperbaiki orang bawahannya. Mengajarkan mereka halal dan haram, menjauhi maksiat dan dosa dan juga perkara lain yang melibatkan hukum-hakam, [Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 18/195]

Justeru itu marilah kita bertaubat kepada Allah  terhadap segala maksiat yang telah kita lakukan, tanpa merlengah-lengahkan masa atau menunggu-menungu saat sehingga Allah menurunkan bala-Nya.Mari kita sama-sama hayati firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut

وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا

Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Surah Fatir: 45)

Wednesday, January 22, 2020

Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab- Fasal 16

Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab- Fasal 16
 Berkata Ibnu Atho’illah As-Sakandari rahimahullah; 
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي أَظْهَرَ كُلَّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ بِكُلِّ شَيءٍ؟كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ في كُلِّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ لِكُلِّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الظّاهِرُ قَبْلَ وُجودِ كُلِّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَظْهَرُ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الواحِدُ الَّذِي لَيْسَ مَعَهُ شَيءٌ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَقْرَبُ إلَيْكَ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟ كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَلولاهُ ما كانَ 
وُجودُ كُلِّ شَيءٍ؟ يا عَجَباً كَيْفَ يَظْهَرُ الوُجودُ في العَدَمِ؟ أَمْ كَيْفَ يَثْبُتُ الحادِثُ مَعَ مَنْ لَهُ وَصْفُ القِدَمِ؟

Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu,padahal Dialah yang menzahirkan (menampakkan) segala-galanya. Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang tampak nyata bersama segala-galanya. Bagaiman mungkin dihijab oleh sesuatu padahal Dialah yang terlihat pada setiap sesuatu. Bagaiman akan dapat ditutupi oleh sesuatu. Bagaiman mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang lebih nyata (tampak) sebelum wujud setiap sesuatu. Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang Maha Esa yang tidak ada sesuatu pun di samping-Nya. Bagaimana akan dihijab oleh sesuatu, padahal Dia (Allah) lebih dekat kepadamu daripada segala-galanya. Bagaiman mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal tanpa-Nya, nescaya tidak akan wujud segala-galanya. Alangkah ajaibnya, bagaimana tampak wujud di dalam ‘adam(tiada). Atau bagaimana thabit sesuatu yang baharu (حَادِثْ), di samping zat yang bersifat qidam (sedia ada)
Syeikh al-Buti berkata: “Mungkin inilah hikmah yang paling panjang bagi Imam Ibn ‘Atho’illah sebagai penyokong dan penguat kepada hikmah sebelumnya”.

Mafhum lafaz:

1- Menzahirkan setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي أَظْهَرَ كُلَّ شَيءٍ؟
 “Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Allah yang menzahirkan segala sesuatu?”
2-Zahir dengan setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ بِكُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang tampak zahir pada segala sesuatu?”
3-Zahir pada setiap sesuatu (makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ في كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang terlihat dalam tiap sesuatu?”
4-Zahir bagi setiap sesuatu (makhluk)
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ لِكُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang tampak pada segala sesuatu?”
5-Yang zahir sebelum wujudnya sesuatu makhluk:
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الظّاهِرُ قَبْلَ وُجودِ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana akan dapat dibayangkan, bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia ada zahir sebelum adanya sesuatu?”
6-Lebih zahir daripada setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَظْهَرُ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia lebih tampak jelas dari segala sesuatu?”
7-Tiada bersama-Nya sesuatu (makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الواحِدُ الَّذِي لَيْسَ مَعَهُ شَيءٌ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang Esa dan tidak ada di sampingnya sesuatu apa pun?”
8-Lebih dekat daripadamu daripada setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَقْرَبُ إلَيْكَ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia lebih dekat kepadamu dari segala sesuatu?”
9-Tanpa-Nya tiadalah wujud setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَلولاهُ ما كانَ وُجودُ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal seandainya tidak ada Dia, niscaya tidak akan ada segala sesuatu?”
10-Sungguh takjub(ajaib):
يا عَجَباً كَيْفَ يَظْهَرُ الوُجودُ في العَدَمِ؟ أَمْ كَيْفَ يَثْبُتُ الحادِثُ مَعَ مَنْ لَهُ وَصْفُ القِدَمِ؟
“Sungguh sangat ajaib, bagaimana tampak wujud di dalam ‘adam (tiada)? Atau bagaimana dapat bertahan sesuatu yang hancur itu, di samping Zat yang bersifat Qidam?”

Pengarang (Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari rahimahullah) menerangkan banyak dalil yang menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala bersifat wajib al-wujud yang sepatutnya tidak mungkin dihijabkan oleh sesuatu pun kerana semuannya adalah makhluk-Nya. Begitu juga Allah menciptakan makhluk-Nya sebagai dalil untuk makrifah-Nya
Pengajaran dari kalam hikmah
1- Menzahirkan setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي أَظْهَرَ كُلَّ شَيءٍ؟
 “Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Allah yang menzahirkan segala sesuatu?”
Al-Syurnubi berkata: “Pengarang menjelaskan beberapa dalil yang menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala tidak mungkin dihijab oleh mana-mana makhluk atau alam.
Perkatan اظَاهِرُ : Apa-apa yang batin pada alam ghaib, maka Dialah yang menzahirkannya pada alam realiti.
Syeikh Zarruk berkata: “Hal ini sebagai tanda dan dalil bagi setiap yang ada kerana dikhusus-Nya dengan iradat-Nya, dizahirkan dengan kudrat-Nya, disempurnakan dengan hikmah-Nya dan bertajalli pada-Nya dengan rahmat-Nya”.
Syeikh al-Buti berkata:”Natijahnya ialah sesuatu yang wujud tidak mungkin menjadi penghalang untuk melihat Allah dan beriman dengan-Nya. Hal ini adalah kerana wujudnya sesuatu yang menjadi dalil kepada wujudnya Allah Subhanahuwata’ala. Justeru bagaimana pula makhluk boleh menghijab Khaliq”.
2-Zahir dengan setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ بِكُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu boleh menghijab Allah, padahal Dia yang tampak zahir pada segala sesuatu?”
Benarlah kata ulama bahawa setiap athar menunjuk kepada penciptanya.
Perkataan ظَهَرَهُ; Dengan maksud makrifah iaitu ketika menzahirkan sesuatu daripada tiada, ia menunjukkan sifat Allah Subhanahuwata’ala yang tersendiri dengan kesempurnaan, kekal dan qadim,
وَفِي كلِّ شَيْءٍ لهُ آيَة تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ واحِد
“Dan pada setiap sesuatu terdapat tanda, Menunjukkan Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Esa”.

Firman Allah Subhanahuwata’ala,

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” Surah Fusillat ayat 53.

Al-Sabuni berkata: “Kami zahirkan tanda-tanda dan hujah kami kepada orang musyrikin bahawa al-Quran itu sebenarnya diturunkan daripada Allah Subhanahuwata’ala dan pada segenap ufuk-ufuk bermaksud di langit dan di bumi termasuk matahari, bulan, bintang-bintang, pohon kayu dan semua keajaiban alam ‘Ulwi dan Sufli( علوى و سفلى)

Syeikh al-Buti berkata: “Ayat sebelumnya bermaksud setiap makhluk di sekelilingmu diwujudkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Justeru, ia sebagai dalil bahawa Allah Subhanahuwata’ala ialah penciptanya daripada ‘adam (tiada). Sementara ayat ini pula bermaksud sesuatu selepas wujudnya yang menjurus kepada satu matlamat yang menjadi tempat bergantungnya kemaslahatan kehidupan. Ia menunjukkan wujudnya orang yang dimudahkan tahkiknya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Dengan kata lain ia zahir secara tajalli sebagai peningkatan bagi tahkik maslahat yang dikenali istilah "العِلَّةُ الغَائِيَة“.

Pada kalam ini menerangkan bahawa sesuatu dalam alam ini adalah tanda menunjukkan atas adanya Allah Subhanahuwata’ala. Oleh kerana itu maka Allah tidak tersembunyi dengan alam, sebab Allah Subhanahuwata’ala dapat terlihat di dalam alam. Inilah yang dimaksudkan bahawa alam seluruhnya adalah ‘Madlul’ dan Allah sebagai ‘Dalil’

3-Zahir pada setiap sesuatu (makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ في كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang terlihat zahir dalam tiap sesuatu?”
Hal ini adalah kerana Dia tajalli dengan sifat-sifat dan nama-Nya yang baik.
Perkataan ظَهَرَ في / لَهُ: Semua tanda yang zahir secara menyeluruh dan iradat-Nya menyatakan bukti-bukti hikmah-Nya dan dalil rahmat-Nya seolah-olah cermin untuk makrifah-Nya. Dengan melihat kepada alam segala sifat Allah Subhanahuwata’ala. Terserlah padanya. Justeru itu, mana mungkin sifat allah Subhanahuwata’ala dihijab.
4-Zahir bagi setiap sesuatu (makhluk)
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَ لِكُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang zahir pada segala sesuatu?”
Perkataan ظَهَرَ لِكُلِّ / لَهُ: Dengan sesuatu yang dizahirkan padanya maka jadilah dia ’arif dengan-Nya mengikut kadar makrifah-Nya. Justeru itu, apa-apa pun yang wujud membawa kepada makrifah-Nya menurut kadar kemampuan. Dengan itu, mengingkarinya pula adalah kafir tanpa maaf.

Yakni Allah Subhanahuwata’ala tajalli atau terang dengan nyata bagi tiap-tiap sesuatu di dalam alam ini. Bagi orang yang telah begitu dekat kepada allah Subhanahuwata’ala, maka apa jua yang dia lihat, maka ia melihat Allah Subhanahuwata’ala. Oleh kerana itulah ia sujud kepada Allah Subhanahuwata’ala dan ia mensucikan Allah dengan bertasbih kepada-Nya, sebagai langit, bumi dan seluruh isinya menyatakan kebesaran Allah Subhanahuwata’ala dalam ucapannya masing-masing. Ini pengertian kalam Allah di dalam al-Quran,

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun”. Al-Isra ayat 44

5-Yang zahir sebelum wujudnya sesuatu makhluk:
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الظّاهِرُ قَبْلَ وُجودِ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana akan dapat dibayangkan, bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia ada zahir sebelum wujudnya sesuatu?”
Hal ini bagi memastikan al-Dzahir(الظّاهِرُ) nama bagi-Nya sejak azali lagi. Ini kerana Dialah yang menzahirkan sesuatu sebelum wujudnya, Dialah yang menzahirkan sesuatu sebelum wujudnya, Dialah yang awal yang tiada didahului oleh apa-apa pun.
Justeru itu, tidak mungkin alam ini mendinding atau menutup Allah Subhanahuwata’ala sehingga Allah tidak mungkin dapat dilihat, sebab Allah Subhanahuwata’ala sudah ada tanpa permulaan, sebelum ada segala sesuatu.

6-Lebih zahir daripada setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَظْهَرُ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia lebih tampak jelas/zahir dari segala sesuatu?”
Hal ini demikian kerana yang wujud pasti lebih nyata daripada yang tiada. Zat Allah Subhanahuwata’ala yang bersifat wajib ada, sedangkan yang lain wujudnya disebabkan Dia yang mengadakannya. Oleh itu yang wajib ada pasti lebih zahir pada akal tanpa keraguan.
7-Tiada bersama-Nya sesuatu (makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ الواحِدُ الَّذِي لَيْسَ مَعَهُ شَيءٌ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia yang Esa dan tidak ada di sampingnya sesuatu apa pun?”
Hal ini adalah kerana selain-Nya tiada wujud yang hakiki kerana pada azali tiada sesuatu pun bersama-samanya. Sebaliknya Dialah yang Esa lagi Tunggal. Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam,

كان اللهُ ولم يكن شىءٌ غيرُهُ، وكان عرشُهُ على الماءِ وكُتِبَ في الذِّكرِ كلَّ شىءٍ، و خَلَقَ السمَوَاتِ والأرضِ

“Dialah Allah dan tidak ada sesuatu selain-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas air dan telah ditulis di Lomahfuz setiap sesuatu dan kemudian diciptakan langit dan bumi”.
Di sini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa tiada suatu pun yang bersama-sama-Nya, sama ada air, ‘Arasy atau lainnya. Hal juga ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala mencipta air terlebih dahulu daripada ‘Arasy, kemudian ‘Arasy berada di atas air.
8-Lebih dekat daripadamu daripada setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَهُوَ أَقْرَبُ إلَيْكَ مِنْ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dia lebih dekat kepadamu dari segala sesuatu?” Hadith Riwayat al-Bukhari
Hal ini adalah kerana thabit penguasaan-Nya dan ada (Qayyum-Nya) ke atasmu. Inilah Allah Subhanahuwata’ala yang melakukan apa-apa sahaja terhadapmu mengikut qadak dan qadar-Nya. Dialah yang lebih dekat dan hampir kepadamu sehingga lebih hampir daripada dirimu dan nafsumu. Sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala,
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Qaf ayat 16.
Al-Sabuni berkata: “kami lebih dekat padanya daripada urat lehernya sendiri iaitu urat yang besar pada tengkuk yang bersambung dengan hati.
Abu Hayyan berkata: “dan Kami lebih dekat kepadanya. Ia bermaksud dekat ilmu. Yakni kami mengetahui segala halnya dan tiada satupun yang tersembunyi.
9-Tanpa-Nya tiadalah wujud setiap sesuatu(makhluk):
كَيْفَ يُتَصَوَّرُ أَنْ يَحْجُبَهُ شَيءٌ وَلولاهُ ما كانَ وُجودُ كُلِّ شَيءٍ؟
“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal seandainya tidak ada Dia, niscaya tidak akan ada segala sesuatu?”
Sehingga Allah Subhanahuwata’ala menyaksikan segala sesuatu daripada makhluknya seperti firman Allah Subhanahuwata’ala,

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? Fussilat ayat 53.

Hal ini adalah kerana segala makhluk merendahkan diri kepada-Nya dan Dia terkaya dari sesuatu, ما شاءَ اللهُ كانَ وما لم يشاءُ لم يَكن.

10-Sungguh takjub(ajaib):
يا عَجَباً كَيْفَ يَظْهَرُ الوُجودُ في العَدَمِ؟ أَمْ كَيْفَ يَثْبُتُ الحادِثُ مَعَ مَنْ لَهُ وَصْفُ القِدَمِ؟
“Sungguh sangat ajaib, bagaimana wujud boleh zahir di dalam ‘adam (tiada)? Atau bagaimana dapat bertahan sesuatu yang hancur itu, di samping Zat yang bersifat Qidam?”

Syeikh Zarruq berkata;”Hal ini adalah kerana makhluk bermula dengan ‘tiada’ daripada zat-Nya dan sifat-Nya. Qadim pula tidak thabit bagi sesuatu kerana Dialah asalnya”.

Dihikayatkan bahawa seorang lelaki ketika bersama-sama al-Junaid berkata الحمد لله tanpa menyebut رَبِّ العالَمِيْنَ. Al-Junaid menyuruhnya menyebut رَبِّ العالَمِيْنَ lantas lelaki tersebut menjawab:”Yang manakah lebih mulia antara رَبِّ العالَمِيْنَ dan Allah sehingga disebutnya bersama-sama Allah?” Jawab al-Junaid:”Sebutlah wahai saudara kerana yang baharu bila didekatkan dengan Qadim akan lenyaplah yang baharu dan kekallah yang qadim.

Berpegang dengan firman Allah Subhanahuwata’ala,
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat.A-Syura ayat 11

Ayat lengkapnya adalah berbunyi,

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat.A-Syura ayat 11.


Tuesday, January 7, 2020

Keperkasaan Allah Subhanuahuwata’ala(Antara yang menunjukkan Kewujudan Allah)

Keperkasaan Allah Subhanuahuwata’ala(Antara yang menunjukkan Kewujudan Allah)

Berkata Ibnu Atho’illah As-Sakandari rahimahullah,

مِمَّا يَدُلُّكَ على وجُودِ قهرِهِ سُبْحانهُ ان حجبكَ عَنهُ بما ليسَ بموجُودٍ مَعَهُ

Maksudnya: "Antara yang menunjukkan kewujudan Allah yang Maha Perkasa kepadamu ialah Dia menutup penglihatanmu kepada-Nya dengan sesuatu yang tidak wujud bersama-Nya".

قهرِهِ: Kekuasaan-Nya, iaitu antara sifat-Nya, Allah Subhanuahuwata’ala memberi balasan segera kepada sesiapa yang keluar daripada sifat perhambaan.

حجبكَ: Iaitu kamu didindingkan daripada-Nya dengan makhluk atau alam.

Telah sepakat ulama ‘Arifin dan Muhaqqiqin bahawa selain dari Allah Subhanuahuwata’ala pada hakikatnya tidak ada. Dimana semuanya tidak dapat dikatakan ada sebagaimana ada-Nya Allah Subhanuahuwata’ala, sebab barangsiapa yang berpendapat bahawasanya alam ini bersifat ada seperti adanya sifat Allah Subhanuahuwata’ala, maka bererti ia telah musyrik,iaitu mempersyarikatkan atau mempersekutukan Allah Subhanuahuwata’ala dengan yang  lain-lainnya. Dan ianya adalah bertentangan dengan hakikat Tauhid yang murni. Sebagaimana firman Allah Subhanuahuwata’ala,

وَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ ۘ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ ۚ لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Janganlah kamu sembah di samping (menyembah) Allah, tuhan apapun yang lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya-lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.Al-Qasas ayat 88

Teranglah dengan ayat ini bahawa yang bersifat ada pada hakikatnya dan sebenarnya adalah Allah Subhanuahuwata’ala. Selain daripada allah meskipun kita lihat adanya, tetapi adalah menurut pandangan lahiriah semata-mata. Kerana segala-segalanya yang terjadi pada selain Allah adalah dengan kehendak-Nya menurut ilmu-Nya dan dengan Kekuasaan-Nya. Dan pada suatu waktu semua selain Allah akan tiada dan akan  binasa.

Antara tanda kekuasaan Allah Subhanuahuwata’ala ialah Dia terhijab ketika zahir-Nya dan Zahir pada batin-Nya.

Tanda zahir kekuasaan-Nya (قهرِهِ) ialah Dia terdinding tanpa hijab, jauh tetapi sebenarnya Dia dekat dan dekat, walaupun Dia jauh.

Sebahagian al-‘Arifin berkata,

أَبَى المُحَقَّقُونَ أَنْ يَشْهَدُونَ غَيْرَ اللهِ لما حَقَّقُهُمْ بِهِ مِنْ شُهُودِ الْقَيُّمِيَّة وإِحَاطَةِ الديمُومِيَة

Maksudnya:”Ahli tahkik enggang bersaksi dengan yang lain selain Allah kerana tatkala Dia telah mentahkikkan mereka dengan kesaksaksian Allah Subhanuahuwata’ala yang Qayyum (Berdiri Dengan Sendirinya) dan penguasaan Allah Subhanuahuwata’ala yang Daim (Yang Kekal)”.

Abu Hasan al-Syazili berkata,
إِنَّ لَنَظُرُ إِلَى اللهِ بِنَظْرِ الْإِيمَانِ وَالْإِقَانِ فَيُغنِينَ ذَلِكَ عَنْ الدَّلِيْلِ وَلْبُرهَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami melihat kepada Allah Subhanuahuwata’ala dengan penglihatan Iman dan Yakin. Justeru itu, kami tidak memerlukan sebarang dalil dan bukti”.
Ibn ‘Ata’ dalam kitabnya al-Tanwir berkata,

فَمَا سِوَى اللهُ تَعَالَى عِنْدَ أَهلِ الْمَعْرِفَةِ لَا يُوصِفُ بِوُجُودٍ وَلَا فَقْدٍ

Maksudnya:”Maka yang lain selain Allah Subhanuahuwata’ala menurut ahli makrifah tidak disifatkan dengan ada dan tiada”
.
Kebanyakkan manusia, penglihatannya, pendengarannya dan perasaannya terdinding kepada Allah Subhanuahuwata’ala disebabkan syahwat keduniaan. Meskipun pada syariat dan hukum fiqh syahwat keduniaan itu tidak diharamkan, akan tetapi hal keadaan ini dapat melupakan kita kepada Allah Subhanuahuwata’ala, apabila tidak dijaga dan tidak dipimpin.
Allah Subhanuahuwata’ala yang Maha Agung dan Maha Perkasa, apabila hijab-hijab ini sudah terangkat dari kita, maka pada waktu itu kita pasti fana pada segala-galanya dan terbukalah bagi kita dalam perasaan dan penglihatan kita sendiri atas Kebesaran dan Keagungan Allah Subhanuahuwata’ala. Di waktu itu kita akan karam dalam ke Agungan Ta’zim kepada Allah Subhanuahuwata’ala, sehingga akal perasaan kita tertumpah pada-Nya.

Ditanya Abu Sa'id bin al-'Arabi tentang الفَنَاء (Binasa). Beliau berkata: "Binasa ia zahirnya kebesaran dan ketinggian Allah Subhanuahuwata’ala pada hamba yang menyebabkan akal dan jiwanya lupa pada dunia,ahwal, maqamat zikir-zikir kerana dia tenggelam dalam kebesaran Tuhannya.

الفَنَاء mempunyai tiga darjat, iaitu:
1- (الفَنَاء ) pada perbuatan,
Tiada yang melakukannya melainkan Allah Subhanuahuwata’ala.

2- (الفَنَاء ) pada sifat,
Tiada yang hidup, yang mengetahui dan lain-lain lagi pada hakikatnya melainkan Allah Subhanuahuwata’ala.

3- (الفَنَاء ) pada Zat,
Tiada yang wujud secara mutlak melainkan Allah  Subhanuahuwata’ala.

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama  Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim muk...