Thursday, April 9, 2026

Al-Quran Teman Hidup

Al-Quran Teman Hidup

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49)) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ.فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu''. Surah al-Qiyamah ayat 17-18.

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Al-Quran adalah kalam Allah Subhanahuwata'ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dalam Bahasa Arab, menerusi perantaraan Malaikat Jibril alaihissalam dan disampaikan kepada kita secara mutawatir yang dimulai dengan Surah al-Fatihah dan diakhiri dengan Surah al-Nas. Membacanya juga dikira ibadat. Firman Allah subhanahu wata'ala dalam Surah Fatir ayat 29,

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ

Maksudnya:''Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi''.

Bermakna orang yang membaca al-Quran tidak akan mengalami kerugian bahkan akan mendapat dan merasa keuntungan yang banyak.

Kelebihan membaca al-Quran juga dapat difahami melalui hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud. Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya :” Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910).Beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith hasan

Kita hendaklah sentiasa menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang kehidupan sama ada siang ataupun malam. Hendaklah kita sentiasa merujuk dan memandu diri ke arah jalan kebenaran melalui panduan al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, sentiasa mendekati dan tidak mudah lupa dengannya. Teman atau sahabat yang kita rapati ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia fana ini malah dia akan menjadi teman setia kita ketika berada di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) serta memberikan berita gembira buat orang-orang yang beriman”.Surah al-Isra’ ayat 9.

Ibn Kathir berkata: Allah Subhanahuwata'ala memuji Kitab-Nya yang Mulia, iaitu al-Quran, yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Al-Quran dipuji kerana memberikan petunjuk kepada jalan yang paling lurus dan menjelaskan dengan jelas jalan-jalan yang benar. Allah memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang melakukan perbuatan yang baik, bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 5/45)

Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda.

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya''. Riwayat Muslim (1910)

Begitu juga di dalam hadith yang lain menyebut,

يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ حَلِّهِ فَيُلْبَسُ تَاجَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ زِدْهُ فَيُلْبَسُ حُلَّةَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ ارْضَ عَنْهُ فَيَرْضَى عَنْهُ فَيُقَالُ لَهُ اقْرَأْ وَارْقَ وَتُزَادُ بِكُلِّ آيَةٍ حَسَنَةً

Maksudnya : “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan,tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah. Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan''. Riwayat Al-Tirmizi (2839)

Dan banyak lagi hadith-hadith yang semisal dengan hadith-hadith diatas. Namun begitu, adakah jika Al-Quran datang dalam bentuk lelaki, burung dan sebagainya bermakna Al-Quran adalah makhluk?. Sudah tentu tidak. Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Di antara yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :

المُراَدُ أَنَّ ثَوَابَهُما يَأتِي كَغُمَامَتَينِ

Maksudnya:“Yang dimaksudkan dengan hadith tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya''. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , 6/90).

Imam Abdul Rauf Al-Munawi menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadith ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Rujuk Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/81)

Jika kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, maka akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap tindakan yang dilakukan. Jiwa kita yang kosong akan pastinya diselubungi dengan hasutan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, dekatkanlah diri dengan al-Quran dan jauhkanlah diri daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia adalah musuh utama kita. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Zukhruf ayat 36,

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Maksudnya:'' Dan sesiapa yang memalingkan diri daripada pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami tentukan baginya syaitan (untuk menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya yang tidak renggang daripadanya''.

Teman sejati adalah penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan yang diredai oleh Allah Subhanahuwata'ala. Teman atau sahabat yang baik akan memberi nasihat dan galakkan untuk terus berada di jalan taqwa. Oleh sebab itu, bagi memastikan al-Quran hadir dalam diri kita, agar hidup ini sentiasa dipandu oleh-Nya, khatib ingin berkongsi beberapa cara untuk menjadikan al-Quran sebagai teman kita. Antaranya:

Pertama : Kita hendaklah mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari al-Quran iaitu belajar membaca, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayati dan mempraktikkannya dalam segenap aspek kehidupan. Al-Quran mempelajari al-Quran iaitu belajar membaca, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayati dan mempraktikkannya dalam segenap aspek kehidupan. Al-Quran adalah kitab hidayah, pengubat kepada segala penyakit jiwa dan hati manusia. Dengan menjadikan al-Quran sebagai teman yang sentiasa didekati, kita dijanjikan oleh Allah Subhanahuwata'ala dengan tempat di syurga nanti. Daripada Abdullah bin Amru radiallahu anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا"

Maksudnya:''Dikatakan kepada pembaca al-Quran (di akhirat): Bacalah dan naiklah (darjatmu), dan bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membacanya di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu (di syurga) adalah pada ayat terakhir yang engkau baca''. Riwayat Tirmidzi (2838), Hadith Hasan Sahih.

Kedua : Kita hendaklah meyakini akan mukjizat al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata'ala yang menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran akan menjadikan seseorang itu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum-hakam yang terkandung dalamnya bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti. Bahkan apa yang lebih utama adalah dapat menghindarkan diri kita daripada kesesatan yang nyata. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Taha ayat 123,

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

Maksudnaya:''Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari surga bersama-sama, sebagian kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka''.

Ketiga : Kita perlu berusaha untuk menghafaz beberapa ayat al-Quran agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani cabaran yang mendatang. Ayat-ayat yang kita baca dan hafaz adalah kalam yang sangat mulia yang dijanjikan syurga dengan membacanya, bahkan dijanjikan syafaat di akhirat nanti. Daripada Abu Umamah al-Bahili radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam bersabda,

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya....". Riwayat Muslim (1910)

Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan bahawa al-Quran ini boleh memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa yang kosong dan bermasalah. Kepada sesiapa yang menghadapi kecelaruan dalam jiwanya dan merasa tidak tenang, dekatilah al-Quran tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Baca dan fahamilah, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan kita, melunakkan hati yang keras dan memperoleh petunjuk daripada Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah ar-Ra’d ayat 28,

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya:''(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Setiap individu pastinya menghadapi pelbagai perasaan sama ada gembira, susah hati, sedih dan sebagainya. Sesusah manapun kehidupan yang dihadapi, dan seberat apapun masalah yang ditanggung, pastinya terasa lebih ringan dan damai jika ada teman yang setia bersama. Demikianlah hidup ini akan jadi lemah jika bersendirian tanpa saudara dan sahabat. Oleh itu, teman yang setia hendaklah dicari untuk kebaikan hidup itu. Sudah tentu al-Quran itu layak jadi teman kita di dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment

Al-Quran Teman Hidup

Al-Quran Teman Hidup Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. ( (Lihat ...