Wednesday, April 1, 2026

Nikmat Syawal Dan Kemenangan

Nikmat Syawal Dan Kemenangan

Kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Kemenangan ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi kemenangan menundukkan hawa nafsu serta mendidik jiwa menjadi insan yang lebih bertaqwa kepada Allah Subhanahu'wata'ala.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa". Surah al-Baqarah ayat 183

Dalam satu hadith, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 عَنْ عَبْدِ اَللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ لَنَا رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم: يَا مَعْشَرَ اَلشَّبَابِ! مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ اَلْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ, فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ, وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ, وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ ; فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ 

Maksudnya:''Abdullah Ibnu Mas'ud ra. berkata: ‘Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda pada kami: "Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu/benteng''. Muttafaq 'Alaih

Imam Al-Ghazali, dalam Ihya 'Ulumiddin (juz 3, hal. 85) menjelaskan beberapa faedah atau manfaat saat perut dalam keadaan lapar. Di antara faedah terbesarnya adalah dapat menaklukkan hawa nafsu yang berpotensi untuk menjerumuskan dalam perbuatan maksiat. 

Menurut Imam Al-Ghazali, sumber utama perbuatan maksiat adalah hawa nafsu dalam diri manusia. Sementara ‘bahan bakar’ hawa nafsu itu sendiri adalah makanan. Dengan mengurangkan makan, maka hawa nafsu akan meredup dan seseorang mampu mengendalikan dirinya. Jika seseorang mampu mengendalikan diri, maka ia mampu arahkan tubuhnya untuk melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan maksiat.

Puasa ialah ibadah wajib di bulan Ramadan yang bertujuan melatih jiwa mencapai takwa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia mendidik ketaatan, mengawal nafsu, serta memupuk kesedaran pengawasan Allah (muraqabah). Hasilnya, puasa membentuk peribadi yang bertakwa, lebih berakhlak, dan mampu menjauhi larangan Allah dalam kehidupan seharian. 

Berikut adalah poin utama mengenai puasa dan takwa:Matlamat Utama: 

1-Tujuan utama puasa, sebagaimana disebut dalam al-Quran (Surah Al-Baqarah: 183), adalah untuk menjadikan seseorang itu bertakwa.

2-Latihan Jiwa (Tarbiah): Puasa mendidik individu mengendalikan ego, menahan amarah, dan melembutkan hati.

3-Kesedaran Allah (Muraqabah): Puasa melatih manusia bertindak kerana Allah, bukan kerana dilihat manusia, yang mana ini adalah benih takwa.

4-Perisai Diri: Takwa yang dihasilkan daripada puasa bertindak sebagai perisai daripada perbuatan dosa dan maksiat.

5-Lebih Daripada Menahan Lapar: Puasa yang sebenar melibatkan penjagaan hati dan akhlak daripada perkara yang sia-sia, bukan hanya lapar dan dahaga.

Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam selepas berjaya menunaikan ibadah puasa dan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan. Ia diraikan sebagai tanda kembali kepada fitrah, mengukuhkan silaturahim melalui ziarah-menziarahi, serta meraikan kegembiraan bersama keluarga dan sahabat dengan penuh kesederhanaan.

Syawal merupakan salah satu bulan terbaik yang penuh keistimewaan, selepas bulan Ramadhan bagi umat Islam. Umat Islam dianjurkan untuk semakin meningkatkan ibadah dan amalan kepada Allah Subhanahuwata'ala pada bulan Syawal. Jadi amalan pada bulan Ramadhan tidak hanya berakhir di bulan puasa saja, namun terus berlanjutan dan ditingkatkan pada bulan Syawal.

Keistimewaan bulan Syawal adalah dengan melaksanakan ibadah sunnah. Salah satu ibadah sunnah yang terkenal pada bulan Syawal adalah puasa 6 hari di bulan Syawal. Namun, tidak hanya puasa 6 hari saja yang membuat bulan Syawal menjadi semakin istimewa malah banyak lagi keistimewaan yang boleh didapati. 

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun''.

Riwayat Muslim (1164)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan ketika menghuraikan hadith di atas:

‌وَقَضِيَّةُ ‌الْمَتْنِ ‌نَدْبُهَا حَتَّى لِمَنْ أَفْطَرَ رَمَضَانَ وَهُوَ كَذَلِكَ إلَّا فِيمَنْ تَعَدَّى بِفِطْرِهِ

Maksudnya: Poin utama matan hadith ialah hukum sunat berpuasa (enam hari pada bulan Syawal), termasuk bagi yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, kecuali bagi sesiapa yang tidak berpuasa dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran). [Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (1984) al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/457]

Syawal juga mengingatkan kita kepada beberapa nikmat besar yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada kita. Diantaranya:

Pertama: Nikmat iman dan Islam.

Inilah nikmat yang paling agung kerana dengannya kita mengenal Allah subhanahuwata'ala, melaksanakan ibadah dan menjalani kehidupan berlandaskan syariat-Nya.

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:''Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman''. Surah Al-An'am ayat 125

Daripada Anas bin Malik RA. 

:"ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: "Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, dia akan merasai kemanisan iman: (1) Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain keduanya, (2) Dia mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan (3) Dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka''. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (16) dan Muslim (43)

Kedua: Nikmat kesihatan dan umur.

Tidak semua orang diberi peluang untuk bertemu Ramadhan dan seterusnya menikmati Syawal. Maka peluang kehidupan ini hendaklah digunakan untuk terus beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya:''Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi Sallallahu'alaihwasallam bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang''. Riwayat Bukhari (5933)

Ketiga: Nikmat ukhuwah dan silaturahim.

Bulan syawal adalah bulan silaturahim yang merupakan salah satu ibadah yang sudah menjadi tradisi di bulan Syawal. Salah satu keistimewaan bulan Syawal ini biasanya dilakukan dengan pelbagai aktiviti seperti ziarah-menziarahi  sedara mara jauh dan dekat serta saling bermaafan dengan keluarga, jiran tetangga, dan kawan-kawan.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan sesama keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Daripada Anas bin Malik radiallahu anhu, beliau telah mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim''. Riwayat al-Bukhari (2067)

Ramadhan telah mendidik kita dengan sifat sabar, qana’ah dan kesederhanaan. Nilai-nilai ini sepatutnya diteruskan dalam kehidupan seharian termasuk dalam mengurus rezeki dan harta. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Furqan, ayat 67,

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Maksudnya:''Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian''.

Akhirnya, marilah kita hayati firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 148,

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:''Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu''.



No comments:

Post a Comment

Nikmat Syawal Dan Kemenangan

Nikmat Syawal Dan Kemenangan Kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Kemenangan ini buka...