Wednesday, May 28, 2025

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Segala pujian hanyalah bagi Allah Subhanahuwata’ala, Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki kepada makhluk ciptaan-Nya, yang menciptakan kehidupan dan ujian padanya, agar manusia mengenal erti syukur, sabar dan taqwa. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, ikutan kita dalam semua aspek kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:''Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang''. Al-Nahl ayat 18

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. Lihat Hasyiyah al-Syabramalisi, 1/22.

Bersyukur adalah diperintahkan oleh Tuhan. Allah Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: ''Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata''. Surah al-Nahl ayat 114.

Allah Subhanahuwata’ala melimpahkan nikmat-Nya setiap detik, setiap minit, setiap jam, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun dan setiap saat selama mana kita masih diberikan hidup di dunia ini. Mulai dari bangun tidur di pagi hari hingga kita memejamkan mata untuk tidur kembali di malam hari, nikmat Allah selalu dilimpahkan kepada kita. Oleh sebab itu, kita sebagai manusia yang selalu dibanjiri dan dilimpahi kenikmatan oleh Allah, kita harus senantiasa mensyukuri apapun yang Allah telah berikan. Ketika dipagi hari kita masih diberikan izin oleh Allah untuk menghirup udara pagi yang segar, dengan badan yang sihat dan penuh semangat untuk menjalani aktiviti kita di hari ini, itu merupakan nikmat yang terkadang dilupakan oleh manusia. Kondisi kita seperti ini mungkin saja dirindukan oleh orang-orang yang sedang diberikan ujian sakit kepala yang hanya dapat terbaring di tempat tidur. Ketika kita masih diberikan izin oleh Allah untuk merasakan nikmatnya rasa makanan, itu juga merupakan nikmat yang harus kita syukuri. Boleh jadi hal ini sangat diinginkan oleh orang yang sedang diberikan ujian sakit mulut ataupun sakit gigi. Hal ini seperti yang disampaikan dalam hadith riwayat Muslim,

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ؛ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Seorang mukmin itu sungguh menakjubkan, kerana setiap perkaranya itu baik. Namun tidak akan terjadi demikian kecuali pada seorang mu’min sejati. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur, dan itu baik baginya. Jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar, dan itu baik baginya''. Riwayat Muslim (7692)

Keadaan ekonomi dunia terus berubah-ubah. Nilai mata wang yang tidak stabil, harga barangan keperluan yang meningkat, dan tekanan kehidupan, kesan dari kos hidup yang semakin dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Situasi ini menuntut kita untuk bertindak dengan bijak dan berpandukan ajaran Islam dalam mengurus kehidupan serta tidak berlebih-lebihan dan berbelanja mengikut kemampuan.

Islam tidak sekadar agama ibadah, tetapi juga agama pengurusan. Islam mendidik umatnya agar menghindari pembaziran, walaupun ketika memiliki harta yang banyak. Firman Allah Subhanahuwata’ala, 

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan...”. Surah al-Isra’ ayat 27

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475.

Begitu juga dengan hadith Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta''. Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kepada yang perkara tidak bermanfaat bahkan juga boleh memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

1-Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

2-Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.

3-Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Islam menganjurkan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan dan keseimbangan dalam segala hal, termasuk dalam berbelanja. Jangan turutkan hawa nafsu, sebaliknya utamakan keperluan dan manfaat. Beli apa yang perlu, bukan apa yang kita mahu semata-mata. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Maksudnya:''Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian''. Al-Furqan ayat 67

Ayat ini seharusnya menjadi panduan dalam kehidupan kita menguruskan sumber kekayaan dan sumber kewangan dengan kaedah yang mampu menyelamatkan diri daripada terjebak dalam kesukaran di kemudian hari.Allah mendidik para hamba-Nya agar menjalani kehidupan di dunia ini dengan cara berderhana dan tidak melampaui batas.

Malahan, Baginda Sallallahu'alihiwasallam turut sama memperingatkan umatnya supaya memilih jalan hidup yang sederhana. Daripada Mutharrif bin Abdillah berkata:

خَيْرُ الْأُمُورِ أَوْسَاطُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan''. Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6176). Dhaif

Walaupun dari sudut status hadith ini adalah dhaif, tetapi maknanya adalah tepat kerana Islam melarang umatnya bersifat melampau (ekstrim). Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan larangan untuk seseorang itu bersifat melampau dalam beragama. Antaranya adalah:

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Sallallahu'alihiwasallam bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya: “’Musnahlah golongan yang melampau''. Riwayat Muslim (2670)

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan maksud “الْمُتَنَطِّعُونَ” ialah mereka yang terlalu teliti, melampau dan melepasi had atau batasan dalam perkataan dan perbuatan mereka. Lihat: al-Minhaj, 220/16.

Justeru, dalam persoalan menguruskan harta kekayaan dan sumber kewangan, seharusnya kita memilih jalan tengah yang sentiasa mengambil jalan bersederhana tanpa memboros dan melampau. Menjalani dan mendepani cabaran kehidupan dunia dengan cara berhemah yang penuh kesederhanaan merupakan jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Hal demikian bukan bermakna Islam melarang atau menegah umatnya memperoleh kekayaan dan menggunakannya, sebaliknya apa yang Islam tegah hanya perbuatan dan amalan hidup yang melampau batas hingga lupa bahawa sumber nikmat yang dikecapi itu adalah amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau di dunia, kita akan menghitung dan mengambil penuh cakna setiap sen dan ringgit yang kita keluarkan, maka sedemikianlah halnya di akhirat nanti, setiap sen dan ringgit turut dipertanggungjawabkan dan diambilkira untuk hitungan dosa dan pahala.

Dari Abu Barzah al-Aslami, Nabi Sallallahu'alihiwasallam bersabda,

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ.

Maksudnya:''Tidak akan bergeser dua telapak kaki(tertahan dalam hisab) seorang hamba pada hari kiamat sampai dia ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang umurnya kemana dihabiskannya, tentang ilmunya bagaimana dia mengamalkannya, tentang hartanya; dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, serta tentang tubuhnya untuk apa digunakannya''. Riwayat Tirmizi(2341)

Menjalani dan mendepani cabaran kehidupan dunia dengan cara berhemah yang penuh kesederhanaan merupakan jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Hal demikian bukan bermakna Islam melarang atau menegah umatnya memperoleh kekayaan dan menggunakannya, sebaliknya apa yang Islam tegah hanya perbuatan dan amalan hidup yang melampau batas hingga lupa bahawa sumber nikmat yang dikecapi itu adalah amanah Allah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau di dunia, kita akan menghitung dan mengambil penuh cakna setiap sen dan ringgit yang kita keluarkan, maka sedemikianlah halnya di akhirat nanti, setiap sen dan ringgit turut dipertanggungjawabkan dan diambilkira untuk hitungan dosa dan pahala.

Islam juga memberi penekanan kepada perancangan dan pengurusan kewangan, bukan hanya untuk individu, malah untuk masyarakat dan negara. Lihatlah bagaimana kisah Nabi Yusuf alaihissalam menjadi salah satu teladan terulung dalam merancang dan mengurus sumber kewangan dan makanan ketika Mesir bakal menghadapi kemarau panjang. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

 قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ

Maksudnya:''Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan''. Surah Yusuf ayat 47

Inilah salah satu kisah terbaik dalam merancang dan mengurus kewangan. Ketika baginda menjadi menteri kewangan di Mesir, baginda telah merancang dengan teliti menghadapi tujuh tahun kemakmuran dan tujuh tahun kemarau. Inilah prinsip perancangan dan pengurusan kewangan jangka panjang yang bijak. Nabi Yusuf alaihissalam bukan sahaja berhemat dalam penggunaan hasil, tetapi merancang dan menyimpan untuk menghadapi masa depan. 

Mesir telah berjaya bertahan dan mendepani cabaran kemarau teruk untuk tempoh tujuh tahun. Kejayaan Mesir ini turut dikongsi oleh seluruh Timur Tengah yang mendapatkan bantuan Mesir yang juga berdepan dengan situasi yang sama termasuk Palestin.

Melihat kejayaan Mesir dalam usaha berhadapan dengan krisis kemarau panjang yang berlarutan, ia adalah hasil usaha dan idea Nabi Yusuf AS yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir. Beberapa formula telah disusun oleh Nabi Yusuf AS agar Mesir mampu bertahan ketika musim kemarau tersebut.

Inilah yang perlu kita contohi dan seharusnya diamalkan pada hari ini. Menyimpan semasa senang untuk digunakan semasa susah. Kisah ini sangat relevan dengan keadaan kita hari ini. Kita tidak hanya bekerja keras mencari rezeki, bahkan perlu membuat perancangan dan mengurusnya seperti membuat simpanan perbelanjaan serta hidup bersederhana agar tidak tertekan apabila menghadapi krisis.

Apa jua yang yang kita usahakan dalam keberadaan kita di dunia ini, taqwa merupakan kunci utama dalam menjalani kehidupan termaksuklah mencari rezeki yang halal dan diberkati kerana ianya adalah tuntutan agama. Rezeki yang Allah kurniakan untuknya iaitu yang telah menjadi miliknya menurut syarak, hendaklah diurus dan digunakan mengikut syariat Islam untuk kegunaan diri sendiri dan keluarganya sama ada urusan dunia apatah lagi urusan agamanya. Carilah rezeki halal lagi berkat dan uruskanlah kewangan dengan bijak sebagai tanda bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

...وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ...

Maksudnya:''...Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya...." Surah At-Talaq ayat 2-3

Sedarlah bahawa, segala nikmat yang Allah beri adalah amanah. Kita akan dipertanggungjawabkan atas bagaimana kita menggunakan rezeki tersebut. Maka, perbaikilah pengurusan kewangan kita. Didiklah diri, keluarga dan anak-anak supaya berdisiplin dalam perbelanjaan dan mengutamakan simpanan untuk masa hadapan. 

Hayatilah makna sabdaan Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam. Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam pernah bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah". Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Sekiranya kita terlalu memikirkan punca masalah tanpa memikirkan cara penyelesaiannya, dibimbangi kita akan kalah dengan hasutan syaitan dan akhirnya tidak melakukan apa-apa usaha dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Kita tidak boleh mengubah sesuatu takdir yang berlaku, tetapi kita boleh mengubah cara kita melihat setiap takdir yang berlaku.

Thursday, May 22, 2025

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim

Optimis adalah sikap selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu perkembangan, kemungkinan atau sebagainya. Optimis seorang yang beriman bukan sekadar pandangan positif, malah didasari dengan sangkaan baik dan keyakinan yang kukuh terhadap kebijaksanaan Allah Subhanahuwata'ala, kehendak-Nya dan janji-janji-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Firman Allah Subhanahuwata'ala, 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Maksudnya:''Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan''. Surah Al-Syarh ayat 5-6

Ayat di atas mengandungi pesanan kepada insan yang beriman dalam menghadapi musibah, ujian, cabaran dan segala kesulitan. Jelas, bahawa Allah Subhanahuwata'ala menjamin bagi setiap kesulitan pasti disusuli dengan kemudahan. Oleh itu, jangan mudah berputus asa, bahkan kita perlu terus optimis dalam menghadapi pancaroba kehidupan. Sikap optimis mencerminkan keyakinan bahawa hanya Allah Subhanahuwata'ala Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Setiap yang terjadi pasti membawa hikmah yang besar buat hamba-hamba-Nya. Yakinlah bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah menyiapkan kemudahan dan jalan keluar untuk insan yang sabar, bersyukur lagi berserah diri kepada-Nya.

Kehidupan ini adalah sebagai medan ujian, ujian kesusahan dan kesenangan. Firman Allah Subhanahuwata'ala,

الم.أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ.وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta''. Surah al-‘Ankabut ayat 1-3

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat di atas berbentuk pertanyaan, tetapi bertujuan untuk menunjukkan pengingkaran. Maknanya adalah Allah Subhanahuwata'ala pasti akan menguji para hamba-Nya yang beriman mengikut tahap keimanan mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang sahih daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ، يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي الْبَلَاءِ

Maksudnya: “Manusia yang paling dahsyat diuji adalah para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian orang-orang yang hebat selepas mereka. Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah''.

Riwayat al-Tirmizi (2398), al-Nasa’ie (7481) dan Ahmad (1481)

Kehidupan di dunia ini adalah medan ujian. Kita diuji dengan senang atau susah, dengan nikmat atau musibah. Berbahagialah insan yang sentiasa positif dalam apa juga situasi yang dihadapi. Inilah orang yang optimis dengan sifat syukur dan sabar. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memuji mereka di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Suhayb bin Sinan radiallahua'nhu bahawa baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya:''Dari Shuhaib, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Perkara seorang mukmin sangat mengagumkan. Segala apa yang terjadi, itu yang terbaik untuknya. Dan hal itu tidak akan pernah didapatkan oleh seorangpun kecuali pada diri seorang mukmin. Bilamana ia mendapatkan kenikmatan, senantiasa ia bersyukur, dan itu baik untuknya. Bilamana ia tertimpa musibah, senantiasa ia bersabar dan itu juga baik untuknya''. Riwayat Muslim (5318)

Seseorang yang mengatakan "aku beriman" terkadang dia diuji dengan kekangan dan keterbatasan seperti kekurangan pemilikan, harta atau kesempitan kewangan. Pelbagai implikasi yang mungkin timbul akibat ujian daripada masalah kewangan. Antaranya tekanan mental atau perasaan sehingga menyebabkan masalah rumahtangga atau masalah sosial yang lain. Ingatlah bahawa, walau apa pun situasinya, cabaran hidup ini adalah untuk menguji sejauh mana ketaatan kita mematuhi segala perintah Allah subhanahu wata'ala dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Jangan kerana masalah kewangan kita mengambil hak orang! Jangan kerana kesempitan kita mencari jalan keluar dengan cara yang haram lagi dimurkai Alllah Subhanahuwata'ala! Jangan kerana ujian kehidupan kita bertindak di luar pedoman syariat dan merosakkan hubungan sesama insan! Bersabarlah dengan ujian yang pasti hadir di sepanjang kehidupan. 

Sabar dan syukur adalah dua sifat mahmudah yang dapat membantu seorang insan untuk optimis dalam kehidupan. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menganjurkan bacaan doa ketika ditimpa musibah agar mendapat pahala di atas musibah yang menimpa dan gantian sesuatu yang lebih baik. Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan daripada Ummu Salamah radiallahu'anha bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengajarkannya doa,

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَصَابَ أَحَدَكُمْ مُصِيبَةٌ فَلْيَقُلْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ عِنْدَكَ احْتَسَبْتُ مُصِيبَتِي فَأْجُرْنِي فِيهَا وَأَبْدِلْنِي مِنْهَا خَيْرًا

Maksudnya:''Dari Abu Salamah bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Apabila salah seorang dari kalian tertimpa musibah hendaknya ia mengucapkan; إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ عِنْدَكَ احْتَسَبْتُ مُصِيبَتِي فَأْجُرْنِي فِيهَا وَأَبْدِلْنِي مِنْهَا خَيْرًا (Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kami kepada-Nya akan kembali. Ya Allah, aku mengharapkan pahala musibahku di sisi-Mu maka berilah aku pahala padanya dan gantilah untukku yang lebih baik darinya!)....''. Riwayat Tirmizi (3433)

Manakala syukur ialah pengiktirafan seorang hamba terhadap kurniaan Tuhannya dengan pujian terhadap-Nya. Sesungguhnya, syukur itu meraih reda dan nikmat daripada Allah Subhanahuwata'ala. Sebaliknya kufur atau tidak syukur itu mengundang murka atau azab Allah Subhanahuwata'ala. Firman Subhanahuwata'ala,

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya:''Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Surah Ibrahim ayat 7

Bersyukur di atas nikmat Allah adalah wajib dan tidak harus seseorang itu meninggalkannya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)''.Surah al-Baqarah ayat 152.

Begitu juga firman Allah Subhanahuwata'ala,

فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya". Surah al-Araf ayat 69.

Al-Hulaimi berkata: Thabit dengan dua ayat ini dan seumpamanya yang bahawa wajib bersyukur kepada Allah bagi hamba-hamba-Nya kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak. Lihat al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, 2/545.

Tahukah kita bahawa dapur Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sering tidak berasap? Baginda Sallallahu'alaihiwasallam kerap kali hanya menjamah air dan tamar demi mengalas perut yang lapar. Tempat tidur baginda cuma beralaskan tikar yang kasar. 

Hal ini berdasarkan hadith berikut,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ نَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حَصِيرٍ فَقَامَ وَقَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً فَقَالَ مَا لِي وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Maksudnay:''Dari 'Abdullah berkata, Rasulullah ﷺ tidur di atas tikar lalu beliau bangun, tikar itu membekas di lambung beliau, kami berkata, Andai kami membuatkan hamparan lunak untuk Anda. Beliau bersabda, "Apa urusanku dengan dunia, aku di dunia tidak lain seperti pengendara yang bernaung di bawah pohon setelah itu pergi dan meninggalkannya''. Riwayat Tirmizi(2299)

Hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadith, daripada Aisyah R.anha berkata,

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ طَعَامِ الْبُرِّ ثَلَاثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ

Maksudnya: “Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda Sallallahu'alaihiwasallam wafat, keluarga Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut''.Riwayat al-Bukhari (5416) dan Muslim (2970)

Hadith ini menunjukkan kepada kita akan kezuhudan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dalam menolak kebaikan dunia bagi mendapatkan kebaikan kehidupan yang kekal abadi (Akhirat). Imam Ibn Battal ada menyatakan bahawa kezuhudan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ini bukanlah dalil bagi menyatakan bahawa kelebihan orang yang miskin berbanding orang yang kaya. Akan tetapi, ini menunjukkan akan kelebihan sikap keyakinan (pada rezeki), berpada dan tidak berlebih dalam perkara yang berkaitan dengan kelazatan dunia. Lihat: Fath al-Mu’in, 8/239.

Renungkan pedoman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam untuk mengharungi kehidupan dunia sebagaimana hadith riwayat Muslim rahimahullah daripada Abu Hurairah radiallahu'anhu,

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ 

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, ia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Pandanglah orang yang berada di bawah kalian (dalam masalah harta dan dunia), jangan memandang orang yang ada di atas kalian, itu lebih baik membuat kalian agar tidak mengkufuri nikmat Allah". Riwayat Muslim (5264)

Tuntasnya, sabar dan syukur adalah tonggak seorang Mukmin untuk optimis mendepani hari-hari yang bakal dilalui. Sifat optimis adalah manifestasi keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Setiap hari berlangsung bersama harapan, kebaikan, dan rahmat Allah subhanahuwata'ala. Tingkatkan kualiti ibadah dan laksanakan amanah serta tangungjawab dengan sebaiknya. Tautkan kasih sayang dalam keluarga serta masyarakat dengan menjalinkan hubungan yang harmoni dengan keluarga, tetangga dan masyarakat. 

Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah Subhanahuwata’ala,


مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ

Maksudnya:''Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat''. Al-Syura ayat 20


Wednesday, May 14, 2025

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati

Semua manusia setelah meninggal dunia, mereka akan berada di Alam Barzakh atau Alam Kubur sementara menunggu perhitungan dan pembalasan amal di padang Masyar. Selepas mayat dikebumikan maka tiada lagi peluang bagi si mati beramal sendiri untuk menambah bakalan pahala untuk dibawa ke alam akhirat. Namun begitu para ulama' ada menyebutkan bahawa pahala si mati akan berterusan melalui perkara berikut:

Punca atau sebab yang diusahakan oleh si mati masa hidup di dunia.

Punca atau sebab yang diusahakan oleh orang yang masih hidup untuk mereka yang telah meninggal dunia.

Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه

Maksudnya: Apabila matinya anak Adam, maka amalnya terputus kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya''. Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi dalam syarhnya menyebut: Ulama’ berkata: Hadith ini bermaksud bahawa setiap amalan orang yang mati terputus disebabkan oleh kematiannya kecuali disebabkan oleh tiga perkara yang mempunyai sebabnya. Anaknya adalah daripada hasilnya, begitu juga dengan ilmu yang diajarkannya melalui pembelajaran, begitu juga dengan sedeqah jariah iaitu wakaf. Dan pada hadith ini juga terdapat kelebihan berkahwin untuk dapatkan anak yang soleh. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/85

Namun menurut Ulama terdapat beberapa perkara yang jika dilakukan oleh seseorang yang masih hidup untuk si mati maka akan bermanfaat untuk si mati tersebut dan dijelaskan dalam al-Quran dan Al-Sunnah bahawa pahalanya akan sampai kepada si mati, di antaranya:

1- Puasa

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya daripada 'Aisyah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya''. Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut. Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/202.

2-Haji

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya daripada Ibnu Abbas bahawa seorang wanita dari kabilah Khath'am bertanya kepada Nabi: Wahai Rasulullah, sesungguhnya haji telah wajib bagi ayahku ketika usianya tua dan tidak boleh lagi menaiki kenderaan, adakah aku boleh buat haji untuknya?, Rasulullah menjawab: "Ya, boleh". Peristiwa ini terjadi ketika haji Wada'.

 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَتْ امْرَأَةٌ مِنْ خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ قَالَ نَعَمْ

Maksudnya:''Dari Ibnu 'Abbas radhiallahu'anhuma berkata, Ada seorang wanita dari suku Khats'am pada pelaksanaan Haji Wada' lalu berkata, "Wahai Rasulullah, kewajipan yang Allah tetapkan buat para hamba-Nya tentang haji sampai kepada bapakku ketika dia sudah berusia lanjut sehingga dia tidak mampu untuk menempuh perjalanannya, apakah terpenuhi kewajipan untuknya bila aku menghajikannya? Beliau menjawab, "Ya". Riwayat Al-Bukhari (1721)

Hadith ini menunjukkan bolehnya menunaikan haji bagi seseorang yang belum sempat melaksanakannya sewaktu ia hidup.

''Hukum melaksanakan badal ini diharuskan oleh syarak menurut jumhur fuqaha''. 

Lihat Shams al-Din, Muḥammad bin Ahmad al-Khatib al-Shirbini al-Shafi’i. MughnI Al-Muhtaj Ila Al-Maʿrifati Maʿanī Al-Alfaz Al-Minhaj (Kaherah: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994) Jil. 2, ms. 218; Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muhamad Bin Qudamah. Al-Mughni (Riyadh, Arab Saudi: Dar ‘alam al-Kutub, (1997) Jil. 3, ms. 222; .Ala’uddin Abu Bakr Bin Mas’ud al-Kasani. Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Sharai’ ( Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1910). Jil. 2, ms. 213.

3- Sedekah

Memberikan sedekah atas nama orang yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan, sama ada untuk ibu atau ayah. Mereka akan mendapat manfaat dari pahala amal kebajikan yang dilakukan oleh individu yang masih hidup, dengan niat pahalanya diberikan kepada mereka. Yang demikian merupakan perkara yang telah disepakati dikalangan ulama.' Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: «نَعَمْ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: “Sesungguhnya ibuku meninggal secara mengejut (tiba-tiba), aku menyangka kalau dia dapat bercakap nescaya dia akan bersedekah, maka adakah dia mendapat pahala sekiranya aku bersedekah untuknya?” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Ya''. Riwayat Bukhari (1388)

Sedekah bagi pihak orang yang telah meninggal dunia adalah diharuskan dan pahalanya sampai kepadanya. Hal ini tidak bercanggah dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya''. Surah al-Najm ayat 39-41.

Apabila seseorang memberikannya sebahagian dari hasil usahanya maka dia mendapat lebihan harta dari usaha orang tersebut.

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi  menjelaskan bahawa orang yang mati akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa  para ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Imam al-Qurtubi berkata lagi bahawa ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mati. Lihat al-Tazkirah, hlm. 279.

Ath-Thabarani meriwayatkan dalam al-Mu'jam al-Awsath daripada Ibnu 'Amr, beliau berkata Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda.

إِذَ تَصَدَّقَ بِصَدَقًةٍ تَطَوُّعًا فًلْيَحْعَلْهَا عَنْ أَبَوَيْهِ، فَيَكٌوْنُ لَهُمَا أَجْرُهَا وَلَا يَنْتَقِصُ مِنْ أَجْرِهِ شَيْئاً

Maksudnya: "Jika salah seorang di antara kamu bersedekah sunat hendaklah dia jadikan pahalanya untuk kedua orang tuanya, sehingga keduanya mendapat pahala sedekah tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang bersedekah tersebut". Diriwayatkan oleh ath-Thabarani dan ad-Dailami juga meriwayatkan hadith yang sama sebagaimana dikatakan oleh as-Suyuthi.

Berkata Imam al-Ramli: “(Pada menyatakan sedekah bermanfaat kepada mayyit) baginya, dan termasuklah contohnya ialah berwakaf dengan mushaf (al-Quran) atau selainnya, menggalikan perigi, menanamkan pokok daripada hartanya ketika dia masih hidup atau selepas matinya menggunakan harta orang lain''. Lihat Nihayah al-Muhtaj (6/92)

4-DO'A DAN ISTIGHFAR 

Do'a dan istighfar orang yang masih hidup bermanfaat untuk orang yang sudah meninggal dunia, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Maksudnya"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang". Al-Hasyr ayat 10.

Jumhur ulama’ mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi manfaat kepada si mati.  Imam al-Nawawi berkata, ijma’ ulama’ berpendapat bahawa do’a ke atas si mati dapat memberi manfaat dan sampai pahala kepadanya. Lihat al-Azkar, hlm. 150.

Terdapat banyak hadith yang sangat masyhur menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mendoakan ahli kubur, seperti do'a baginda ketika menziarahi perkuburan al-Baqi' di Madinah. Hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam setiap kali ketika bermalam di rumahnya, Baginda Sallallahu'alaihiwasallam akan keluar berjalan menuju ke Perkuburan Baqi’ pada waktu lewat malam dan mengucapkan:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنينَ، وَأتاكُمْ ما تُوعَدُونَ، غَداً مُؤَجَّلُونَ، وَإنَّا إنْ شاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحقُونَ؛ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ

Maksudnya: Selamat sejahtera ke atas kamu para penghuni kediaman kaum yang beriman. Telah datang kepada kamu apa yang dijanjikan untuk kamu. Kami, insyaallah akan mengikuti kalian. Ya Allah! Kurniakanlah keampunan untuk para penghuni perkuburan Baqi ini''. Riwayat Muslim, Riyadhussolihin (581)

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah berdoa,

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا

Maksudnya:''..."Ya Allah berilah ampunan bagi yang masih hidup di antara kami dan yang sudah meninggal dunia...''.Riwayat a-Nasaei(1960),Ahmad(8453)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawasanya Aisyah R.A berkata: Alangkah sakitnya kepalaku lalu 

 قَالَتْ عَائِشَةُ وَا رَأْسَاهْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاكِ لَوْ كَانَ وَأَنَا حَيٌّ فَأَسْتَغْفِرَ لَكِ وَأَدْعُوَ لَكِ....

Maksudnya:''...Aisyah berkata, "Aduh kepalaku sakit." maka Rasulullah ﷺ bersabda, "Kalaulah kematianmu terjadi dan aku masih hidup, tentu aku memintakan ampun untukmu dan mendoakan kebaikan bagimu...''. Riwayat Al-Bukhari (5234)

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Ra ,Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ فَيَقُولُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Maksudnya:''Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesungguhnya Allah ﷻ akan mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga. Hamba tersebut kemudian berkata, 'Ya Rabb, dari manakah semua ini?' Maka Allah menjawab, 'Dari doa anakmu yang selalu memintakan ampunan untukmu''. Riwayat Ahmad (10202)

Ath-Thabarani juga meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

يَتْبَعُ الرَّجُلَ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ الحَسَنَاتِ أَمْثَالُ الجِبَالُ، فَيَقُوْلُ؛ أَنَّ هَذَا؟ فَيُقَالُ؛ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ". روه الطَّبَرَنِيُّ

Maksudnya: "Pada hari kiamat seseorang diikuti kebaikan sebesar gunung, lalu dia bertanya: Dari mana aku memperolehi semua ini?. Dikatakan kepadanya: dari istighfar anakmu untuk kamu". Riwayat ath-Thabarani.

Begitu juga sebagai dalil, telah menjadi perkara yang sunat juga di dalam solat jenazah untuk berdoa demi kebaikan jenazah. Lafaznya seperti:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا

Maksudnya: Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا وَأَكْرِمْ نُزُلَها وَوَسِّعْ مُدْخَلَها واغسلها بالماء والثلج والبرد ونقها من الخطايا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْها دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِها وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِها وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهَا وَأَدْخِلْهَا الْجَنَّةَ وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Maksudnya: ''Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya. Muliakan tempat turunnyanya, luaskan tempat tinggalnya (di dalam kubur), mandikannya dengan air, salji dan air dingin. Bersihkannya daripada kekotoran dosanya sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka''.

Lihat al-Majmu’ (5/236)

5- Membaca al-Quran untuk si mati

Secara ringkasnya menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, pendapat yang kuat adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada mereka dapat memberi manfaat dan sampai kepada mereka. Inilah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian ulama yang lain serta sebahagian ulama mazhab Syafi‘I sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. Lihat al-Azkar, hlm. 164-165. 

Imam Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairami al-Mishri asy-Syafi’i didalam Tuhfatul Habib ‘alaa syarhi al-Khathib(Hasyiyah al-Bujairami ‘alaa al-Khatib) berkaitan ziarah qubur menyatakan ;

 وَكَمَا يَنْتَفِعُ الْمَيِّتُ بِذَلِكَ يَنْتَفِعُ الْمُتَصَدِّقُ وَالدَّاعِي وَيَحْصُلُ لَهُ أَيْ الْمَيِّتِ ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ إذَا نَوَاهُ أَوْ قَرَأَ عِنْدَهُ أَوْ دَعَا لَهُ عَقِبَهَا اهـ

Maksudnya : Sebagaimana si mati mendapatkan manfaat dengan hal itu, orang yang menyedekahkan (pahala bacaan a-Quran) dan yang berdoa juga mendapat manfaat, dan sampai bagi si mati pahala bacaan al-Qur’an apabila diniatkan untuknya atau dibacakan disisinya, atau didoakan untuknya mengiringi bacaan al-Qur’an.

Imam asy-Syaf'e mengatakan bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada mayat; maksud Imam asy-Syaf'e adalah jika bacaan tersebut tidak disertai dengan doa إِيْصَالٌ (doa agar disampaikan pahala bacaan kepada si mati) atau bacaan tersebut tidak dilakukan di kubur si mati kerana Imam asy-Syafi'e mempersentujui kedua perkara ini (membaca al-Quran dengan diakhiri doa إِيْصَالٌ dan membaca al-Quran di atas kubur si mati)". Lihat Izhar al-'Adidah as-Sunniyyah,Beirut :Dar al-Masyari', h. 295.

Doa إِيْصَالٌ adalah dengan mengatakan: 

اللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُ إِلى فُلَانٍ  

Maksudnya: "Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si Fulan".

Doa إِيْصَالٌ difahami dari maksud hadith وَأَدْعُوَ لَكِ (maka saya akan berdoa untuk kamu), dari hadith berikut,

قَالَتْ عَائِشَةُ وَا رَأْسَاهْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاكِ لَوْ كَانَ وَأَنَا حَيٌّ فَأَسْتَغْفِرَ لَكِ وَأَدْعُوَ لَكِ....

Maksudnya:''...Aisyah berkata, "Aduh kepalaku sakit." maka Rasulullah ﷺ bersabda, "Kalaulah kematianmu terjadi dan aku masih hidup, tentu aku memintakan ampun untukmu dan mendoakan kebaikan bagimu...''. Riwayat Al-Bukhari (5234)

Az-Za' farani berkata: "Aku bertanya kepada asy-Syafi'e tentang membaca al-Quran di kubur, beliau menjawab: "Boleh dan tidal mengaпра". Lihat As-Suyuti, Syarh ash-Shudur Bi Syarh Haal al-Mawta Wal Qubur, Beirut:Dar al-Fikr, h. 269.

Hal ini juga dijelaskan oleh para ulama' mazhab Syafi'e seperti al-Khattabi, al-Baghawi, an-Nawawi, Ibnu Rif'ah, Imam Taqiyyudin as-Subki dan lain-lain.

Hadith Ma'qil Bin Yasar bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

إِقْرَؤُا يس عَلَى مَوتَاكُمْ

Maksudnya: “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal di antara kamu”. Riwayat Abu Daud (2714). Sebahagian mereka menyatakan hadith ini sahih( Lihat: Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 3002) dan sebahagian lagi menyatakan hadith dhaif (Lihat: al-Azkar, 144)

Hadith ini mempunyai syawahid berkaitan membaca yasin untuk orang yang hendak meninggal. Syawahid Terhadap Hadith Ini;

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan terdapat sebuah hadith yang terdapat di dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad yang hasan [Lihat: al-Isobah, 5/249], daripada Safwan RA:

حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ، أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ، حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ، فَقَالَ: " هَلْ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَقْرَأُ يس؟ " قَالَ: فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ، قَالَ: وَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ: إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا.

Maksudnya: “Menceritakan kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata : “Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin ?”. Dia (Safwan) berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”. Riwayat Ahmad (16355)

Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnouth ketika mentahqiqkan kitab al-Azkar karangan Imam al-Nawawi RA, perkataan “إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا” adalah mawquf kerana ia merupakan perkataan daripada Ghudaif RA dan Ghudaif adalah seorang sahabat. Adapun al-Mashyakhah di dalam syawahid itu bermaksud orang yang berada di antara sahabat dan juga tabi’in yang besar dan orang seperti mereka ini tidak akan berkata-kata dengan pendapat mereka sendiri (terutamanya dalam perkara agama). Maka dengan itu, hukumnya adalah marfu’. Lihat: al-Azkar, 144

Makna “عَلَى مَوْتَاكُمْ”

Para ulama’ berbeza pendapat dalam memahami perkataan atau lafaz ini dengan mengatakan  bahawa yang dikehendaki oleh hadith adalah membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak atau yang dimaksudkan adalah membaca Yasin kepada orang yang telah meninggal dunia.

Sesiapa yang berpegang dengan hadith ini maka bagi mereka sunat membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak atau telah meninggal dunia walaupun terdapat perbezaan dalam memahami makna hadith ini. Tambahan pula, tidak ada larangan seseorang muslim itu membaca al-Quran lalu menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Ini kerana, telah dinaskan oleh para ulama’ bahawa pahala itu sampai kepada si mati berdasarkan keumuman dalil yang terdapat dalam masalah sampainya pahala amalan seseorang itu kepada orang yang telah meninggal dunia. 

6-Membaca الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ untuk si mati

Pada asasnya hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran, zikir, tahlil adalah diharuskan berdasarkan pandangan jumhur Ulama' yang menyatakan bahawa membaca ayat al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia akan memberi manfaat kepada si mati dengan syarat;

1. Diniatkan bacaan al-Quran atau zikir tersebut kepada si mati ketika membacanya.

2. Mendoakan supaya pahala bacaan al-Quran atau zikir tersebut disampaikan kepada si mati selepas selesai membacanya.Iaitu doa إِيْصَالٌ (doa sampaikan)

Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

 عَنْ أَسِيدِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ عُبَيْدٍ مَوْلَى بَنِي سَاعِدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Maksudnya:“Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah as-Sa'idi r.a, katanya: "Pada suatu ketika kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datanglah kepadanya seorang lelaki dari Bani Salamah. Orang itu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada amalan yang dapat saya amalkan sebagai kebaktian saya kepada dua orang tua saya setelah keduanya meninggal dunia?" Baginda menjawab: "Ya, masih ada iaitu mendoakan untuk keduanya, memohonkan pengampunan kepadanya, melaksanakan wasiat kedua orang itu setelah kematiannya, mempereratkan hubungan kekeluargaan yang tidak dapat dihubungi kecuali dengan adanya kedua orang tua itu serta memuliakan kawan taulannya''. Riwayat Abu Dawud(4476)

Hadith tentang zikir yang dibaca oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ketika saat pengkebumian Sa’d bin Mu'az pada dasarnya adalah sebagai hadith Mutaba’ah (penguat secara luaran) dari hadith-hadith Sahih tentang Sa’d bin Mu'az yang selamat daripada siksa kubur. Hadith tersebut adalah:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الأَنْصَارِيِّ، قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا إِلَى سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ حِينَ تُوُفِّيَ، قَالَ: فَلَمَّا صَلَّى عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُضِعَ فِي قَبْرِهِ وَسُوِّيَ عَلَيْهِ، سَبَّحَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَبَّحْنَا طَوِيلًا، ثُمَّ كَبَّرَ فَكَبَّرْنَا، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، لِمَ سَبَّحْتَ؟ ثُمَّ كَبَّرْتَ؟ قَالَ: ” لَقَدْ تَضَايَقَ عَلَى هَذَا الْعَبْدِ الصَّالِحِ قَبْرُهُ حَتَّى فَرَّجَهُ اللهُ عَنْهُ ”

Maksudnya:“Jabir bin Abdillah berkata: “Pada suatu hari kami keluar bersama Rasulullah shalla Allahu ‘alaihi wa sallam menuju sahabat Sa’ad bin Mu’az ketika meninggal dunia. Setelah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menunaikan solat jenazah kepadanya, ia diletakkan di pemakamannya, dan tanah diratakan di atasnya, maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam membaca tasbih. Kamipun membaca tasbih dalam waktu yang lama. Kemudian Nabi membaca takbir, maka kami membaca takbir. Lalu Nabi ditanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau membaca tasbih kemudian membaca takbir?” Nabi menjawab: “Kubur hamba yang soleh (Sa’ad bin Mu’az) ini benar-benar menjadi sempit kepadanya, hingga Allah melapangkannya baginya''. Riwayat (14344)

Syeikh Syuaib al-Arnauth berkata tentang status hadithnya:

ﺇﺳﻨﺎﺩﻩ ﺣﺴﻦ ﻣﻦ ﺃﺟﻞ اﺑﻦ ﺇﺳﺤﺎﻕ، ﻭﻣﺤﻤﻮﺩ- ﻭﻳﻘﺎﻝ: ﻣﺤﻤﺪ- ﺑﻦ ﻋﺒﺪ اﻟﺮﺣﻤﻦ ﻟﻢ ﻳﺮﻭ ﻋﻨﻪ ﻏﻴﺮ ﻣﻌﺎﺫ ﺑﻦ ﺭﻓﺎﻋﺔ، ﻭﻭﺛﻘﻪ ﺃﺑﻮ ﺯﺭﻋﺔ ﻛﻤﺎ ﻓﻲ “اﻟﺠﺮﺡ ﻭاﻟﺘﻌﺪﻳﻞ” 7/316، ﻭﺫﻛﺮﻩ اﺑﻦ ﺣﺒﺎﻥ ﻓﻲ “اﻟﺜﻘﺎﺕ” 5/373.

Hadith ini riwayat Ahmad. Sanadnya Hasan, kerana Ibnu Ishaq. Sementara Mahmud adalah Muhammad bin Abd Rahman, yang meriwayatkan darinya hanya Mu'az bin Rifaah. Ia dinilai dipercayai oleh Abu Zurah dalam al-Jarh wa at-Ta’dil (7/316) dan Ibnu Hibban memasukkannya dalam ats-Tsiqat (5/373)

ﻭاﻟﺤﺪﻳﺚ ﻓﻲ “ﺳﻴﺮﺓ اﺑﻦ ﻫﺸﺎﻡ” ﻋﻦ اﺑﻦ ﺇﺳﺤﺎﻕ 3/263. ﻭﺃﺧﺮﺟﻪ اﻟﻄﺒﺮاﻧﻲ (5346) ﻣﻦ ﻃﺮﻳﻖ ﻣﺤﻤﺪ ﺑﻦ ﺳﻠﻤﺔ، ﻭاﻟﺒﻴﻬﻘﻲ ﻓﻲ “ﺇﺛﺒﺎﺕ ﻋﺬاﺏ اﻟﻘﺒﺮ” (113) ﻣﻦ ﻃﺮﻳﻖ ﻳﻮﻧﺲ ﺑﻦ ﺑﻜﻴﺮ، ﻛﻼﻫﻤﺎ ﻋﻦ ﻣﺤﻤﺪ ﺑﻦ ﺇﺳﺤﺎﻕ، ﺑﻬﺬا اﻹﺳﻨﺎﺩ. ﻭﺃﻭﺭﺩﻩ اﻟﺒﺨﺎﺭﻱ ﻓﻲ “اﻟﺘﺎﺭﻳﺦ اﻟﻜﺒﻴﺮ” 1/148 ﻣﺨﺘﺼﺮا: ﺩﻓﻦ ﺳﻌﺪ ﺑﻦ ﻣﻌﺎﺫ ﻭﻧﺤﻦ ﻣﻊ اﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ.

Hadith ini terdapat dalam Sirah Ibni Hisham 3/263 dari Ibnu Ishaq. Diriwayatkan oleh ath-Thabrani 5346. Oleh al-Baihaqi dalam Itsbat Azab al-Qabri 113. Dan al-Bukhari dalam at-Tarikh al-Kabir 1/147.

Maksud الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ, adalah dari hadith yang diriwayatkan oleh Abi said al-Khudri beliau berkata: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اسْتَكْثِرُوا مِنْ الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ قِيلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمِلَّةُ قِيلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمِلَّةُ قِيلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمِلَّةُ قِيلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ التَّكْبِيرُ وَالتَّهْلِيلُ وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

ِ قال شعيب الأرناؤوط: حديث حسن لغيره.

Maksudnya:''Dari Abu Sa'id Al-Khudri dari  beliau bersabda," perbanyaklah kalimah dari mengucapkan الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ maka ada yang bertanya, " Apakah الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ Itu wahai Rasulullah'', beliau menjawab الْمِلَّةُ. Lalu ditanyakan lagi," Apakah الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ Itu wahai Rasulullah'', beliau menjawab الْمِلَّةُ.Lalu ditanyakan lagi," Apakah الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ Itu wahai Rasulullah'', beliau menjawab الْمِلَّةُ.Lalu ditanyakan lagi," Apakah الْبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ Itu wahai Rasulullah'', beliau menjawab, ''التَّكْبِيْرُ وَالتَّهْلِيْلُ وَالتَّسْبِيْحُ وَالتَّحْمِيْدُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّه. Riwayat Ahmad(11288)

Amalan-amalan ini akan terus mendatangkan pahala kepada seseorang setelah kematiannya. Demikian juga, hukum ini berlaku bagi segala kebaikan yang telah dilakukan oleh seseorang dan meninggalkan kesan setelah kematian.”

Berdasarkan sepotong hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun''.Riwayat Muslim (1017)

Wednesday, May 7, 2025

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan

Manusia dikenali dan dikenang bukan sekadar pada masa hidupnya, tetapi juga kerana atsar (jejak) kehidupannya. Sama saja, jejak kebaikan atau keburukan. Mereka yang meninggalkan jejak kebaikan akan mendapat ganjaran atas setiap kebaikannya bilamana orang lain mengikuti jejak kebaikan tersebut. Begitu juga dengan jejak keburukan. Ini sebagaimana pesanan baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, dari Jarir bin Abdullah R.A,

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بها بَعْدَهُ،مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ. ومَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بها مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya:'' Barangsiapa yang melakukan(merintis) dalam Islam suatu perkara yang baik(sunnah), dia mendapat pahalanya daripada perbuatan baiknya tersebut, dan juga mendapat pahala dari orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Barangsiapa yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang buruk, dia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun''. Riwayat Muslim (1017)

Menjelaskan hadith di atas, Al-Hafizh Al-Nawawi (w. 676 H) mengatakan, pada hadith ini terdapat dorongan untuk memulakan perkara kebaikan dan menggariskan perbuatan-perbuatan terpuji, serta peringatan atas perbuatan yang bermula dengan kebatilan-kebatilan dan perkara-perkara yang tercela". Lihat Syarh Shahih Muslim (7/104)

Imam Nawawi juga menyatakan, “Disunatkan membantu kepada perkara yang baik dan haram membantu kepada kemungkaran. Sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka akan diberi ganjaran seperti mana orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat. Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat...ini bermaksud ganjaran dan balasan akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya”. Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 16/226-227.

Selain itu Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya menyatakan, orang yang menanggung dosa yang diajarinya sehingga ke hari kiamat adalah orang yang masih belum bertaubat di atas dosanya itu. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 12/193)

Hadith ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara-perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak. 

Lafaz سُنَّةً حَسَنَةً dan سُنَّةً سَيِّئَةً menunjukkan keluasan cakupannya (mubham). Ia mencakupi segala perkara yang baik dan buruk dalam pandangan Islam. Ini menjadi berita gembira (bisyarah) bagi orang yang melakukan kebaikan dan menjadi sebab orang lain turut melakukan kebaikan serupa. Sebaliknya, ia menjadi ancaman dan peringatan bagi orang yang melakukan keburukan dan membukakan jalan bagi orang lain untuk turut melakukan keburukan yang serupa. Dia akan mendapat ganjaran akibat membukakan pintu keburukan tersebut. Sama saja, bagi keburukan lisan mahupun perbuatan.

Mereka yang mengajak ke arah kebaikan akan memperoleh ganjaran yang setimpal, sama seperti ganjaran yang diterima oleh orang-orang yang mengikutinya. Sebaliknya, jika seseorang mengajak orang lain kepada kesesatan iaitu keburukan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa yang ditanggung oleh mereka yang mengikutinya.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَن دَعا إلى هُدًى، كانَ له مِنَ الأجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن أُجُورِهِمْ شيئًا، ومَن دَعا إلى ضَلالَةٍ، كانَ عليه مِنَ الإثْمِ مِثْلُ آثامِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن آثامِهِمْ شيئًا.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan menanggung dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun dosa mereka''

Riwayat Muslim (6748)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Orang yang menunjukkan kebaikan adalah seperti pelakunya, dan orang yang menunjukkan kejahatan juga seperti pelakunya. Sesiapa yang membuka pintu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama seperti pahala orang yang mengamalkannya. Dan sesiapa yang membuka pintu kejahatan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa orang yang melakukannya, kerana dia adalah sebab dan perantara dalam kebaikan atau kejahatan. Sebab dan perantara membawa hukum yang sama seperti tujuan. Diriwayatkan bahawa anak Adam yang pertama kali membunuh saudaranya menanggung dosa setiap pembunuhan dalam kalangan Bani Adam, kerana dialah orang pertama yang melakukan pembunuhan, lalu orang yang membunuh mengikutinya. Ini adalah seruan kepada semua orang agar menjadi pembuka pintu kebaikan dan penutup pintu kejahatan, menasihati kepada kebaikan dan mengamalkannya, serta memberi peringatan kepada orang lain tentang keburukan setelah menjauhinya. Lihat Fath al-Mun‘im Syarh Sahih Muslim, 10/215'

Hadith ini juga memberi motivasi untuk menjadi contoh yang baik dan melaksanakan dakwah dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan masyarakat. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman,

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya''. Surah Ali Imran ayat 104.

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91.

Pada hadith yang lain Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam turut bersabda,

 عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أُبْدِعَ بِي فَاحْمِلْنِي فَقَالَ مَا عِنْدِي فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا أَدُلُّهُ عَلَى مَنْ يَحْمِلُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ 

Maksudnya:'' Dari Abu Mas'ud Al Anshari dia berkata, "Seorang laki-laki datang kepada Nabi ﷺ seraya berkata, "Wahai Rasulullah, jalan kami telah terputus kerana haiwan tungganganku telah mati, oleh kerana itu bawalah saya dengan haiwan tunggangan yang lain." Maka beliau bersabda, "Saya tidak memiliki (haiwan tunggangan yang lain)." Tiba-tiba ada seorang laki-laki yang berkata, "Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan seseorang yang dapat membawanya (memperoleh penggantinya)." Maka beliau bersabda, "Barang siapa dapat menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya''. Riwayat Muslim (3509)

Menjadi lumrah kehidupan manusia dalam membantu di antara satu sama lain, dan ini merupakan perkara yang diambil berat di dalam Islam. Allah Subhanahuwata'ala telah menetapkan garis panduan di dalam hal ini. Firman Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan''. Surah al-Maidah ayat 2.

Dalam setiap perkara yang dilakukan pastinya ada ganjaran yang diberikan, sekiranya baik perbuatan itu maka baik balasannya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya buruk perkara yang dilakukan maka buruklah balasannya.

Syeikh al-Maraghi di dalam kitabnya menyatakan, “Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan hambanya untuk melakukan perkara yang termaktub di dalam kitab-Nya. Sehinggalah mengakibatkan musibah serta azab siksaan yang berat bagi mereka yang membantu untuk melakukan perkara yang tidak mengikuti syara’. Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/46.

Dalam perkara keburukan, Islam melarang keras umatnya untuk membantu serta melakukan perkara bercanggah dengan syariat. Ini kerana, sesiapa yang memberi pertunjuk kepada sesuatu perkara, maka Allah Subhanahuwata'ala akan membalas dan memberi ganjaran terhadap apa yang dilakukannya dengan mengikut apa yang dilakukannya.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

لِيَحْمِلُوا أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۙ وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Maksudnya: (Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu''. Surah al-Nahl ayat 25.

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat di atas dengan membawa pandangan Imam Mujahid katanya: Yang dimaksudkan (يَحْمِلُونَ أَثْقَالَهُمْ (“Ialah mereka akan menanggung segala dosanya dan dosa yang mengikutinya. Dan mereka tidak akan diberi keringanan azab siksaan kerana dosa orang yang mengikutinya''. Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/566.

Kesimpulannya, betapa pentingnya mengajak kepada kebaikan dan menjauhkan diri daripada mengajak kepada keburukan kerana setiap usaha dakwah membawa ganjaran berlipat ganda, manakala ajakan kepada keburukan akan menyebabkan dosa yang sama beratnya. Ini mengingatkan kita akan tanggungjawab sosial dalam menyebarkan petunjuk yang bermanfaat, kerana kesan ajakan seseorang bukan sahaja mempengaruhi dirinya, tetapi juga orang lain yang mengikutinya.

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh...