Wednesday, May 7, 2025

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan

Manusia dikenali dan dikenang bukan sekadar pada masa hidupnya, tetapi juga kerana atsar (jejak) kehidupannya. Sama saja, jejak kebaikan atau keburukan. Mereka yang meninggalkan jejak kebaikan akan mendapat ganjaran atas setiap kebaikannya bilamana orang lain mengikuti jejak kebaikan tersebut. Begitu juga dengan jejak keburukan. Ini sebagaimana pesanan baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, dari Jarir bin Abdullah R.A,

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بها بَعْدَهُ،مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ. ومَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بها مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya:'' Barangsiapa yang melakukan(merintis) dalam Islam suatu perkara yang baik(sunnah), dia mendapat pahalanya daripada perbuatan baiknya tersebut, dan juga mendapat pahala dari orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Barangsiapa yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang buruk, dia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun''. Riwayat Muslim (1017)

Menjelaskan hadith di atas, Al-Hafizh Al-Nawawi (w. 676 H) mengatakan, pada hadith ini terdapat dorongan untuk memulakan perkara kebaikan dan menggariskan perbuatan-perbuatan terpuji, serta peringatan atas perbuatan yang bermula dengan kebatilan-kebatilan dan perkara-perkara yang tercela". Lihat Syarh Shahih Muslim (7/104)

Imam Nawawi juga menyatakan, “Disunatkan membantu kepada perkara yang baik dan haram membantu kepada kemungkaran. Sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka akan diberi ganjaran seperti mana orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat. Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat...ini bermaksud ganjaran dan balasan akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya”. Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 16/226-227.

Selain itu Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya menyatakan, orang yang menanggung dosa yang diajarinya sehingga ke hari kiamat adalah orang yang masih belum bertaubat di atas dosanya itu. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 12/193)

Hadith ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara-perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak. 

Lafaz سُنَّةً حَسَنَةً dan سُنَّةً سَيِّئَةً menunjukkan keluasan cakupannya (mubham). Ia mencakupi segala perkara yang baik dan buruk dalam pandangan Islam. Ini menjadi berita gembira (bisyarah) bagi orang yang melakukan kebaikan dan menjadi sebab orang lain turut melakukan kebaikan serupa. Sebaliknya, ia menjadi ancaman dan peringatan bagi orang yang melakukan keburukan dan membukakan jalan bagi orang lain untuk turut melakukan keburukan yang serupa. Dia akan mendapat ganjaran akibat membukakan pintu keburukan tersebut. Sama saja, bagi keburukan lisan mahupun perbuatan.

Mereka yang mengajak ke arah kebaikan akan memperoleh ganjaran yang setimpal, sama seperti ganjaran yang diterima oleh orang-orang yang mengikutinya. Sebaliknya, jika seseorang mengajak orang lain kepada kesesatan iaitu keburukan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa yang ditanggung oleh mereka yang mengikutinya.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَن دَعا إلى هُدًى، كانَ له مِنَ الأجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن أُجُورِهِمْ شيئًا، ومَن دَعا إلى ضَلالَةٍ، كانَ عليه مِنَ الإثْمِ مِثْلُ آثامِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن آثامِهِمْ شيئًا.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan menanggung dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun dosa mereka''

Riwayat Muslim (6748)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Orang yang menunjukkan kebaikan adalah seperti pelakunya, dan orang yang menunjukkan kejahatan juga seperti pelakunya. Sesiapa yang membuka pintu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama seperti pahala orang yang mengamalkannya. Dan sesiapa yang membuka pintu kejahatan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa orang yang melakukannya, kerana dia adalah sebab dan perantara dalam kebaikan atau kejahatan. Sebab dan perantara membawa hukum yang sama seperti tujuan. Diriwayatkan bahawa anak Adam yang pertama kali membunuh saudaranya menanggung dosa setiap pembunuhan dalam kalangan Bani Adam, kerana dialah orang pertama yang melakukan pembunuhan, lalu orang yang membunuh mengikutinya. Ini adalah seruan kepada semua orang agar menjadi pembuka pintu kebaikan dan penutup pintu kejahatan, menasihati kepada kebaikan dan mengamalkannya, serta memberi peringatan kepada orang lain tentang keburukan setelah menjauhinya. Lihat Fath al-Mun‘im Syarh Sahih Muslim, 10/215'

Hadith ini juga memberi motivasi untuk menjadi contoh yang baik dan melaksanakan dakwah dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan masyarakat. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman,

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya''. Surah Ali Imran ayat 104.

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91.

Pada hadith yang lain Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam turut bersabda,

 عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أُبْدِعَ بِي فَاحْمِلْنِي فَقَالَ مَا عِنْدِي فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا أَدُلُّهُ عَلَى مَنْ يَحْمِلُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ 

Maksudnya:'' Dari Abu Mas'ud Al Anshari dia berkata, "Seorang laki-laki datang kepada Nabi ﷺ seraya berkata, "Wahai Rasulullah, jalan kami telah terputus kerana haiwan tungganganku telah mati, oleh kerana itu bawalah saya dengan haiwan tunggangan yang lain." Maka beliau bersabda, "Saya tidak memiliki (haiwan tunggangan yang lain)." Tiba-tiba ada seorang laki-laki yang berkata, "Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan seseorang yang dapat membawanya (memperoleh penggantinya)." Maka beliau bersabda, "Barang siapa dapat menunjukkan suatu kebaikan, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang melakukannya''. Riwayat Muslim (3509)

Menjadi lumrah kehidupan manusia dalam membantu di antara satu sama lain, dan ini merupakan perkara yang diambil berat di dalam Islam. Allah Subhanahuwata'ala telah menetapkan garis panduan di dalam hal ini. Firman Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan''. Surah al-Maidah ayat 2.

Dalam setiap perkara yang dilakukan pastinya ada ganjaran yang diberikan, sekiranya baik perbuatan itu maka baik balasannya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya buruk perkara yang dilakukan maka buruklah balasannya.

Syeikh al-Maraghi di dalam kitabnya menyatakan, “Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan hambanya untuk melakukan perkara yang termaktub di dalam kitab-Nya. Sehinggalah mengakibatkan musibah serta azab siksaan yang berat bagi mereka yang membantu untuk melakukan perkara yang tidak mengikuti syara’. Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/46.

Dalam perkara keburukan, Islam melarang keras umatnya untuk membantu serta melakukan perkara bercanggah dengan syariat. Ini kerana, sesiapa yang memberi pertunjuk kepada sesuatu perkara, maka Allah Subhanahuwata'ala akan membalas dan memberi ganjaran terhadap apa yang dilakukannya dengan mengikut apa yang dilakukannya.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

لِيَحْمِلُوا أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۙ وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Maksudnya: (Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu''. Surah al-Nahl ayat 25.

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat di atas dengan membawa pandangan Imam Mujahid katanya: Yang dimaksudkan (يَحْمِلُونَ أَثْقَالَهُمْ (“Ialah mereka akan menanggung segala dosanya dan dosa yang mengikutinya. Dan mereka tidak akan diberi keringanan azab siksaan kerana dosa orang yang mengikutinya''. Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/566.

Kesimpulannya, betapa pentingnya mengajak kepada kebaikan dan menjauhkan diri daripada mengajak kepada keburukan kerana setiap usaha dakwah membawa ganjaran berlipat ganda, manakala ajakan kepada keburukan akan menyebabkan dosa yang sama beratnya. Ini mengingatkan kita akan tanggungjawab sosial dalam menyebarkan petunjuk yang bermanfaat, kerana kesan ajakan seseorang bukan sahaja mempengaruhi dirinya, tetapi juga orang lain yang mengikutinya.

No comments:

Post a Comment

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati

Amalan-amalan bermanfaat yang dilakukan oleh Orang Hidup untuk Si Mati Semua manusia setelah meninggal dunia, mereka akan berada di Alam Bar...