Setiap Hamba Akan Dibangkitkan Seperti Keadaan Saat Ia Meninggal
Antara tujuan utama penciptaan manusia adalah agar mereka mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata'ala. Di dalam al-Qur’an ada diceritakan bahawa dunia merupakan tempat persinggahan bagi setiap insan dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke alam akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Ertinya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak". al-Syura ayat 20
Keadaan seorang hamba saat dibangkitkan selepas kematian adalah tergantung pada bagaimana keadaannya saat dia meninggal dunia. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah seperti sedang beribadah, sujud, membaca Al-Qur’an atau dalam keadaan mendapat redha daripada Allah Subhanahuwata'ala maka kelak dia dibangkitkan dalam keadaan yang bahagia. Tetapi jika dia meninggal dalam keadaan su’ul khotimah seperti sedang melakukan maksiat, mabuk, berzina, atau dalam keadaan Allah Subhanahuwata'ala murka kepadanya maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
Ertinya:''Dari Jabir, ia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: "Setiap hamba akan dibangkitkan seperti keadaan saat ia meninggal''. Riwayat Muslim (5126)
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
Ertinya: “Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya''. Riwayat Bukhari (6607)
Kematian atau al-Maut, perkataannya pendek terdiri dari beberapa huruf sahaja tetapi sangat memberi bekas terhadap manusia. Setiap penyakit Allah turunkan bersamanya penawar, kecuali kematian. Sesungguh mana pun kita cuba untuk melupakan kematian namun kematian tidak pernah melupakan kita, sejauh mana pun kita lari dari kematian tetapi kematian itu tetap akan mengejar kita, sejauh mana pun kita bersembunyi dari kematian namun kematian tetap menjumpai kita.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Ertinya:''Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". Al-Juma'ah ayat 8
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ
Ertinya:''Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh,...". Al-Nisa' ayat 78.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Ertinya:''Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan''. Al-Ankabut ayat 57.
Perkataan “setiap” dalam ayat bermaksud semua kehidupan termasuk malaikat yang meniup sangkakala, apa yang membezakan kita adalah amal yang kita lakukan. Berdasarkan hadith di atas, kita dianjurkan untuk memperbaiki amal agar amalan kita diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala. ''Mintalah'' kepada Allah agar kita meninggal dalam keadaan husnul Khotimah, kerana meninggal dalam keadaan husnul khotimah itu hakikatnya bukan kemahuan kita tetapi kemahuan Allah Subhanahuwata'ala. Mohonlah kasih sayang dan belas kasihan dari Allah Subhanahuwata'ala, jika Allah sayang pada seseorang hamba, maka hamba tersebut akan diberi taufiq untuk beramal soleh sebelum dia meninggal dunia sehingga dia meninggal dalam keadaan husnul khotimah. Seseorang yang masanya dipenuhi membaca Al-Qur’an, kemungkinan dia meninggal adalah dalam keadaan membaca Al-Qur'an, demikian seseorang yang istiqomah di masjid maka kemungkinan nyawanya dicabut ketika dia berada di masjid.
Lafaz doa yang dimaksudkan adalah seperti ini,
اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
Ertinya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk''.
Terdapat sebuah hadith yang makna hadith tersebut sama seperti lafaz doa di atas. Tambahan pula, hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban yang mana ia menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah berdoa agar diwafatkan dalam keadaan atau kesudahan hidup yang baik serta agar dijauhkan daripada kehinaan dunia dan juga azab api neraka.
Daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Ertinya: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat''. Riwayat Ibn Hibban (949)
Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, Allah akan membinanya untuk beramal dengan maksud Allah menjadikannya melakukan amalan soleh.Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
Ertinya:''Dari Anas, ia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membinanya untuk beramal.” Para sahabat pun bertanya: “Bagaimana cara Allah membinanya untuk beramal?” Beliau menjawab: “Allah akan memberikan taufik kepadanya untuk mengerjakan amal soleh sebelum ia meninggal''. Riwayat Ahmad (11595)
Ini kerana seseorang itu dinilai kepada amalan akhirnya. Justeru, makin tua, makin banyaklah amalan yang baik sepatutnya dilakukan oleh seseorang hamba Allah. Begitu juga, terdapat hadith yang lain, jika Allah inginkan kebaikan kepada hamba, Allah akan faqihkannya dalam agama. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda,
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
Ertinya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya''.Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain''.Lihat Fath al-Bari, 1/165.
Sekali peristiwa jenazah seorang telah berlalu di dekat baginda, lalu baginda berucap,
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرَّ عَلَيْهِ بِجَنَازَةٍ فَقَالَ مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ فَقَالَ الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلَادُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ
Ertinya:'Dari Abu Qatadah bin Rabi'i bahawa ia menceritakan bahawasanya; Suatu ketika iringan jenazah melalui di hadapan Rasulullah ﷺ, maka beliau bersabda, "مُسْتَرِيحٌ dan َمُسْتَرَاحٌ." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah itu مُسْتَرِيحٌ dan َمُسْتَرَاحٌ?" beliau menjawab, "Seorang hamba yang mukmin يَسْتَرِيحُ (akan beristirahat) dari memakmurkan dunia, sementara seorang hamba yang fajir, justeru seluruh hamba, negeri, pepohonan dan binatang melata akan يَسْتَرِيحُ (beristirahat) dari (kezalimannya)''. Riwayat Muslim(1579)
Terdapat satu riwayat yang menyatakan bahawa kubur merupakan salah satu daripada taman syurga sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ertinya: ''Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka''.Riwayat al-Tirmizi (2460). Kata Imam al-Tirmizi, hadis ini gharib.
Syeikh Sulaiman bin Nasir berkata: hadith ini menjadi dalil bahawa kubur terkadang menjadi cahaya bagi pemiliknya, dan terkadang menjadi satu kegelapan. Lihat Syarh Kitab al-Jana’iz min al-Bulugh, hlm. 11.
Syeikh Khalid al-Muslih menyatakan di dalam kitabnya Syarah al-Tahawiyah : Hadith ini membahagikan manusia di dalam kubur kepada mendapat nikmat dan yang mendapat azab. Kubur merupakan tempat dikebumikan orang mati. Taman atau al-Raudhah pula berdasarkan bahasa arab adalah tempat banyaknya air, tempat yang cantik dan luas. Maka tempat yang lapang, luas yang banyak airnya dan dihadiri ramai di dinamakan al-Raudhah di dalam istilah bahasa arab. Kubur pula merupakan salah satu tempat tinggal daripada tempat-tempat hari akhirat, dan ianya merupakan tempat yang nikmat yang benar dan ianyat merupakan taman dari taman-taman syurga. Hal ini kerana apabila matinya manusia dan dikebumikan, maka dia akan melihat tempatnya di syurga sekiranya dia daripada ahli syurga. Dia juga akan melihat tempatnya di neraka sekiranya dia daripada ahli neraka.
Justeru, Kubur adalah tempat nikmat yang dijanjikan untuk ahli iman, kerana ianya menunjukkan tempatnya di syurga dan bukan bermakna syurga itu berada di kubur, tetapi ianya menunjukkan bahawa pada syurga itu terdapatnya kenikmatan. Kemudian ruh ini tidak semestinya berada di dalam jasad, tetapi ianya berada di syurga sekiranya ianya adalah ruh orang yang beriman. Lihat Syarh al-Tahawiyah, 18/5.
Isu azab kubur ataupun nikmat, ia termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak mungkin dikiaskan dengan hukum dunia semata-mata berdasarkan penglihatan atau pancaindera kerana alam tersebut dikenali sebagai alam barzakh yang sifatnya berbeza dengan alam dunia.
Semoga Allah menjauhkan kita daripada azab kubur, serta memudahkan kita dalam menjawab soalan daripada dua Malaikat, iaitu Munkar dan Nakir dan diberikan nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
Ertinya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati''.
No comments:
Post a Comment