Makruh Mencita-citakan Mati
Kematian itu menukarkan seseorang itu daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan dan daripada satu negeri (dunia) kepada satu negeri (akhirat).Inilah musibah yang sangat besar.Lebih-lebih lagi bagi manusia yang lalai daripadanya dan sedikit daripada mereka yang memikirkan tentangnya dan tidak beramal untuk menghadapinya. Para ulama telah ijmak bahawasanya mati itu adalah pengajaran bagi orang yang mengambil pengajaran dan fikir bagi orang yang mahu berfikir.Sesungguhnya mati adalah satu kepastian. Ini dinyatakan dalam nas dan telah difahami oleh semua manusia. Firman Allah Subhanahuwata'ala,
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Ertinya: “Setiap jiwa pasti merasai kematian dan kepada Kami pasti kami dikembalikan.”Surah al-Ankabut ayat 57.
Al-Qurtubi berkata: “Sesungguhnya Allah menyebut tentang kematian pasti dirasai untuk menggambarkan betapa kecilnya dan sedikitnya perkara dunia dan apa-apa yang menakutkannya.”
Walau sehebat mana kehidupan dan pangkat di dunia, tiada siapa pun yang dapat hidup kekal selama-lamanya. Begitu juga kematian tidak mungkin bertangguh apabila sampai ajalnya. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Ertinya: ““Bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan), maka apabila telah sampai masanya, mereka tidak dapat menangguhkannya walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya''. Surah al-A’raf ayat 34.
Kematian datang dengan tiba-tiba tanpa boleh disangka seperti kata Saidina Ali RA,
الْمَوْتُ يَأْتِي بَغْتَةً وَ الْقَبْرُ صُنْدُوقُ الْعَمَلِ
Ertinya: “Mati datang secara mengejut Sedangkan kubur menjadi tabung amalan seseorang”
Kematian tak dapat dihindari, tidak mungkin ada yang dapat lari daripadanya. Namun seribu kali sayang, sedikit sahaja yang mahu mempersiapkan diri menghadapinya. Berkata Khalifah Umar Abdul Aziz rahimahullah:,
مَا رَأَيْتُ يَقِينًا أَشْبَهَ بِالشَّكِّ مِنْ يَقِينِ النَّاسِ بِالْمَوْتِ ثُمَّ لَا يَسْتَعِدُّونَ لَهُ
Ertinya: “Aku tidaklah pernah melihat suatu yang yakin kecuali keyakinan akan kematian. Kemudian mereka tidak mempersiapkan untuknya.” (Tafsir al-Qurtubi, 10/64)
Adalah makruh pula mencita-citakan mati, atau berdoa supaya mati, barangkali disebabkan suatu bencana yang menimpa diri, seperti penyakit atau kemiskinan atau seumpamanya dari hal-hal yang menekan hidup seseorang di dunia. Hanya dibenarkan membuat demikian, apabila ia merasa takut ada sesuatu fitnah yang akan menimpa agamanya. Malah mencita-citakan mati atau berdoa untuknya dalam hal seumpama itu adalah harus.
لا يَتَمَنَّيَنَّ أحَدٌ مِنْكُمُ المَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ به، فإنْ كانَ لا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أحْيِنِي ما كانَتِ الحَياةُ خَيْرًا لِي، وتَوَفَّنِي إذا كانَتِ الوَفاةُ خَيْرًا لِي.
Ertinya: “Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Kalaulah hal tersebut memang harus, sebaiknya dia mengatakan (اللَّهُمَّ أحْيِنِي ما كانَتِ الحَياةُ خَيْرًا لِي، وتَوَفَّنِي إذا كانَتِ الوَفاةُ خَيْرًا لِي) ertinya; Ya Allah! hidupkanlah aku bila itu yang terbaik untukku, dan matikanlah aku bila itu yang terbaik untukku''. Riwayat Bukhari (5874)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ وَلاَ يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لاَ يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلاَّ خَيْرًا
Ertinya: Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian. Janganlah meminta kematian sebelum datang waktunya. Apabila salah seorang di antara kamu meninggal, maka terputuslah amalnya. Sesungguhnya tidak bertambah umur seorang mukmin kecuali kebaikan".Riwayat Muslim (6995)
Manakala dalam lafaz mengikut al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ
Ertinya: “Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana jika dia seorang yang berbuat baik, maka barangkali kebaikannya akan bertambah. Jika dia adalah seorang yang suka berbuat kejahatan pula, barangkali dia akan berubah''.Riwayat al-Bukhari (7235)
Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas, menukilkan daripada Imam al-Nawawi yang berkata: “Pada hadith ini terlihat jelas bahawa dimakruhkan mengharap kematian lantaran mudarat yang menimpanya atau penderitaan kerana perbuatan musuhnya, dan yang sejenisnya dari sukarnya kehidupan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)
Tetapi di sana ada beberapa pengecualian untuk berdoa supaya diambil nyawa. Iaitu jika seseorang bimbangkan kerugian atau fitnah pada kelangsungan agamanya, maka tidak makruh mengharapkan kematian. Inilah yang difahami daripada hadis di atas. Begitu pula beberapa salaf telah melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)
Ini sebagaimana doa Saidina Umar al-Khattab R.A:
اللَّهُمَّ كَبِرَتْ سِنِّي وَضَعُفَتْ قُوَّتِي وَانْتَشَرَتْ رَعِيَّتِي فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مُضَيِّعٍ وَلاَ مُفَرِّطٍ
Ertinya: ”Ya Allah! Umurku telah tua, kekuatanku telah lemah, rakyatku semakin ramai, maka cabutlah nyawaku tanpa kesengsaraan”.Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2405)
Begitu juga sepertimana yang berlaku kepada Saidatina Maryam tatkala dia tahu akan diuji dengan kelahiran anak tanpa bapa. Hal ini dirakamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam firman-Nya:
فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا
Ertinya: (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!". Surah Maryam ayat 23.
Ibnu Kathir berkata: Di dalamnya mengandungi dalil tentang dibolehkan mengharapkan kematian di saat terjadinya fitnah. Hal ini kerana Maryam mengetahui bahawa dia akan diuji dengan anak yang dilahirkannya ini berupa hilangnya dukungan manusia dan sikap mereka yang tidak akan membenarkan cerita yang disampaikannya. Setelah dahulunya dia adalah seorang ahli ibadah, kini menurut pandangan mereka, dia adalah seorang pelacur dan penzina. Maka dia pun mengucapkan: (يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا) “alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini,” sebelum kejadian ini. (وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا) “dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!,” iaitu aku tidak diciptakan dan tidak menjadi sesuatu apa pun. Itulah pendapat Ibnu Abbas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/323)
Sesungguhnya maut (mati) itu adalah suatu perkara yang ditetapkan atas sekalian manusia dan ketetapan itu berlaku atas orang-orang yang khusus dan orang orang yang umum Allah Subhanahuwata'ala telah menyamaratakan sekalian manusia dalam hal ini, tidak kira ia seorang yang kuat atau yang lemah, yang rendah keturunannya ataupun yang tinggi, termasuklah orang-orang besar seperti kaisar, kisra dan seumpamanya. Allah Subhanahuwata'ala juga telah menjadikan mati itu sebagai hadiah yang tiada samanya dan kedudukan yang tiada taranya bagi kaum Mu'minin. Tetapi bagi kaum kafirin (kufur) pula, mati merupakan suatu kesal yang tidak sudah dan tekanan jiwa yang sangat berat. Maha Suci Tuhan, Raja yang Berkuasa, hanya dalam segala kekuasaan-Nya yang kekal abadi, Dia Suci dari sifat mati dan binasa, Dialah yanq Awal tiada yang terdahulu daripada-Nya dan Dialah yang akhir tiada yang terakhir sesudah-Nya.
Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman,
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ertinya:''Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan''. Surah Al-Rahman ayat 26-27
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ertinya:''Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan". Surah Ali-Imran ayat 185
Hendaklah seseorang bersabar serta sentiasa memohon pertolongan dan kekuatan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Namun sekiranya terpaksa ucapkanlah sepertimana yang diajar oleh Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:
اللَّهُمَّ أَحْيِنِى مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِى وَتَوَفَّنِى إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِى
Ertinya: “Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku''.Riwayat Muslim (6990)
No comments:
Post a Comment