Sunday, December 8, 2024

NILAI SEGALA AMAL BERDASARKAN NIAT

NILAI SEGALA AMAL BERDASARKAN NIAT

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Lihat: Kemus Dewan Edisi Keempat, 1080]

Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:

Telah berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. [Lihat: al-Majmu’, 310/1]

Telah berkata Ibn Abidin:

قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ

Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah Subhaahuwata'ala dengan perbuatan”. [Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1]

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa niat adalah lintasan hati dalam ketika ingin melakukan sesuatu perkara. Antara faedah atau fungsi niat adalah:

Pertama: Membezakan ibadah daripada ibadah-ibadah yang lain. Contohnya antara puasa yang wajib dengan puasa yang sunat.

Kedua: Membezakan ibadah daripada adat. Contohnya, seseorang itu mandi dan diniatkan bahawa ia adalah mandi janabah maka mandi tersebut akan mendapat pahala. Jika seseorang itu mandi untuk menghilangkan kepanasan maka tidak akan mendapat pahala kerana mandiannya itu bukanlah berbentuk ibadah. Daripada inilah, para ulama’ mengeluarkan satu kaedah iaitu:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.

Niat merupakan asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah diniatkan hanya kepada Allah Subhaahuwata'ala. Tambahan pula, niat juga yang akan menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah Subhaahuwata'ala.  

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhaahuwata'ala tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah Subhaahuwata'ala melihat kepada hati dan amalan kamu". Riwayat Muslim (2564)

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

Nilai segala amal berdasarkan niat, Huraiannya: 

Perkataan 'Niat' bererti: 

(1) Tujuan yang membangkit dan menggerakkan hati seseorang hendak melakukan sesuatu perkara yang tertentu. 

(2) Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu. 

Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu. 

Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf dan dikirakan perkara yang dilakukan itu. 

Tiap-tiap satu perbuatan atau amal yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat tidak didorong oleh niatnya, dengan sebab itu maka tiap-tiap amal yang baik dan yang buruk dinilai berasaskan niat orang yang melakukannya. Cara menilai yang demikian menjadi asas bagi segala amal dalam Islam. Menurut asas yang tersebut maka satu-satu amal yang dikerjakan oleh dua orang dengan dorongan dua niat yang berlainan maka nilainya dikira berlainan pula. 

Bagi menjelaskan keadaan asas itu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda menerangkan amal berhijrah sebagai contoh. Berhijrah daripada Mekah ke Madinah pada masa itu adalah diwajibkan ke atas orang-orang Islam. Dalam pada itu amalan berhijrah itu diberi nilaian yang berlainan dengan sebab berlainan niat orang yang melakukannya, sebagaimana yang ternyata daripada sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dalam hadith ini.

Soal Niat 

Sebelum memulakan sesuatu amal hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya, dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti, kerana niat itu menjadi asas, dan segala amal tetap menjadi pengikutnya; jika baik niat seseorang maka baikah amalnya, dan jika buruk dan rosak niatnya maka buruklah dan rosaklah pula amalnya.

Olehitu, tiap-tiap seorang janganlah ia menuturkan sesuatu perkataan. atau mengerjakan sesuatu amalan, atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan, melainkan hendaklah ia menjadikan niatnya semata-mata untuk "bertaqarrub" (mendekatkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala yang ditentukan oleh Allah Subhanahuwata'ala bagi amal yang diniatkan itu.

Benar atau tidaknya niat yang didakwakan oleh seseorang.

Disyaratkan bagi benarnya niat seseorang hendaklah disertakan dengan amal; maka sesiapa yang menuntut ilmu misalnya, dan mendakwa bahawa niatnya pada mencapai ilmu itu ialah untuk beramal dan mengajarkannya. kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapat ilmu itu maka nyatalah niatnya yang tersebut tidak benar.

Juga sesiapa yang mencari kekayaan dunia dan mendakwa bahawa ia mencari kekayaan dunia itu ialah dengan tujuan 'berdikari' tidak bergantung kepada orang, dan kerana hendak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, memberi sedekah kepada fakir miskin, dan melakukan silaturrahim kepada kaum kerabat, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapatnya, maka nyatalah tidak benar niatnya itu. 

Niat tidak dapat mengubah keadaan maksiat.

Sebenarnya niat itu tidak memberi kesan dan tidak dapat mengubah sama sekali akan hakikat sesuatu perbuatan buruk atau sesuatu maksiat. Perkara yang buruk tetap buruk, walaupun orang yang melakukannya mendakwa bahawa perkara itu dilakukan dengan niat Yang baik.

Misalnya: Orang yang meminum arak dengan niat hendak menguatkan badan untuk berbuat ibadat, maka niatnya yang demikian tidak menjadikan perbuatannya itu baik, bahkan niat mendampingkan diri dengan melakukan maksiat itu dikirakan niat yang jahat, dan niat itu juga menambahkan kejahatan kepada maksiat yang dilakukan itu.

Oleh itu, tiap-tiap seorang sepatutnya berusaha dengan bersunguh sungguh menguasai niatnya untuk mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan seharusnya pula berniat ketika melakukan perkara-perkara yang harus sebagai bantuan untuk menolongnya mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala. 

Elok juga diketahui bahawa sesuatu amal boleh dihimpunkan padanya beberapa niat, dan orang yang mengerjakannya mendapat pahala bagi tiap-tiap niat yang diniatkannya itu. 

Misalnya: Dalam perkara-perkara taat, apabila seseorang membaca al-Quran hendaklah meniatkan untuk bermunajat dengan Allah Subhanahuwata'ala kerana orang yang membaca al-Quran adalah orang yang bermunajat terhadap Tuhannya; dan hendaklah juga meniatkan untuk mendapat ilmu pengetahuan daripada al-Quran, kerana al Quran menjadi sumbernya dan juga hendaklah ia meniatkan untuk mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri dan pendengar-pendengarnya dengan bacaan al-Quran itu, dan lain-lain lagi daripada segi niat niat yang baik. 

Dalam perkara-perkara yang harus pula, apabila makan minum hendaklah ia meniatkan untuk mematuhi perintah Tuhannya yang berbunyi,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah''.Al-Baqarah ayat 172

Dan juga meniatkan dengan makan minum itu untuk mendapat tenaga dan kekuatan yang memudahkannya mengerjakan taat kepada Allah Subhanahuwata'ala, dan tuga meniatkan untuk melahirkan syukur kepada Allah yang memerintahkan dengan firman-Nya,

كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ

Maksudnya:"...Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya..." Saba ayat 15

Dan demikianlah seterusnya yang seharusnya dilakukan mengenai niat-niat yang baik. Perlu diketahui, seseorang itu tidak sunyi - semasa ia berniat- untuk melakukan sesuatu perkara, daripada salah satu daripada tiga keadaan:

Pertama - Bahawa ia berniat serta bertindak melakukannya.

Kedua - Ia berniat dan tidak bertindak melaksanakannya sedang ia boleh bertindak; maka hukum keadaan niat yang demikian dan keadaan niat yang pertama ada diterangkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya:''Dari Ibnu Abbas radhiallahu'anhuma, dari Nabi ﷺ yang beliau riwayatkan dari firman Rabbnya ﷻ, beliau bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan. Kemudian Allah jelaskan, 'Barang siapa yang berniat melakukan suatu kebaikan, namun belum ia amalkan, Allah telah mencatat baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna, hanya saja jika ia amalkan, Allah mencatatnya sepuluh kebaikan yang dilipatgandakan hingga tujuh ratus kali lipat, bahkan dilipatgandakan dengan jumlah yang tak terhingga. Sebaliknya, barang siapa yang berniat melakukan keburukan, kemudian tidak ia amalkan, Allah telah mencatat baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna, hanya saja jika ia melakukan keburukan tersebut, Allah hanya mencatat baginya satu keburukan saja''. Riwayat Bukhari(6010)

Ketiga - ia berniat untuk melakukan sesuatu perkara, sedang ia tidak mampu melakukannya, lalu ia berkata dalam hatinya "Kalaulah aku terdaya melakukannya nescaya aku lakukan, maka ia beroleh balasan bagi apa yang diniatkannya itu, sama seperti yang didapat oleh orang yang mengerjakannya.

Hendaklah diingat lagi. sesuatu amal itu ada kalanva dikerjakan dengan perasaan riak semata-mata dan ada kalanya bercampur dengan riak. Kedua-dua jenis ini tidak ada pahala padanya bahkan haram dilakukan. Demikian juga tidak ada pahala bagi mana-mana amal yang dikerjakan semata-mata dengan tujuan mendarat keuntungan dunia, seperti berjuang di medan perang untuk mendapat harta rampasan sahaja; tetapi kalau perjuangannya itu untuk meninggikan agama Allah serta mendapat harta rampasan perang, maka perjuangannya yang tersebut mendapat pahala, walaupun tidak sepenuhnya 

Selain itu, sesiapa yang melakukan sesuatu amal ibadat kemudian terlintas di hatinya perasaan riak semasa ia mengerjakannya, lalu ia menolaknya dengan serta merta maka tidaklah tercacat amal ibadatnya itu; masalah ini diakui sahnya secara ijmak Kalau ia teruskan perasaan riak itu maka hampalah amal ibadatnya yang tersebut daripada beroleh pahala kalaulah perkara yang dikerjakannya itu berhubung antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya, seperti yang terdapat dalam solat dan juga yang terdapat di dalam amalan haji; tetapi kalau perkara yang dikeriakannya itu tidak berhubung antara satu dengan yang lain, seperti membaca al-Quran, bertasbih dan bertahlil, maka ia hanya mendapat pahala bagi bahagian yang tidak ada perasaan riak padanya; kalau pula satu-satu amal ibadat yang dikerjakan itu sempurna dan bersih suci dari segala yang mencacatkanaya, kemudian ia dipuji orang lalu ia bergembira dengan pujian itu, maka yang demikian tidak merosakkan ibadatnya yang telah sempurna itu.

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

Maksudnya:''Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan''.Hud ayat 15


No comments:

Post a Comment

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid  Syaitan sentiasa mengunjungi tempat-tempat ibadah, majlis zikir, dan masjid-masjid. Di sana, ia beru...