HAKIKAT SYAITAN
Syaitan adalah salah satu dari jenis makhluk halus yang tak dapat kita lihat dengan mata kepala, tetapi ia melihat kita. Selalu berbisik-bisik di telinga, dan mengganggu konsentrasi, tanpa pernah tahu dimana ia berada, apa yang sedang ia lakukan. Dan akhirnya, kita tidak penah memperolehi jawapan dari siapakah syaitan itu. Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya yang mengkhabarkan tentang keberadaan syaitan kepada kita.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman''.Al-‘Araf ayat 27.
Perkara ini juga ada dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya : "Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)''. Riwayat al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)
Begitu juga, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abi Talib yang menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya : “Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam, ketika masuk ke kanif (tempat buang air), ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)''. Riwayat Ibn Majah (297), dan diriwayatkan juga oleh Imam al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.
Allah Subhanahuwata'ala telah mengenalkan kepada kita tentang keberadaan syaitan dan kisah awal permusuhannya dengan manusia, sikap manusia yang benar dalam menghadapi syaitan; sama ada syaitan yang tidak berwujud nyata dan syaitan berwujud nyata.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ.فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ
Ertinya:''Dan Kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim. Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan". Al-Baqarah ayat 35-36
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ
Ertinya : “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)''. Al-‘Araf ayat 27.
Allah Subhanahuwata'ala sentiasa menyuruh hamba-Nya agar selalu memohon perlindungan kapada-Nya dari syaitan dan kejahatan manusia. Kerana, hanya kekuatan Tuhan yang mampu menandingi segala kekuatan makhluk-Nya. Sama ada makhluk-Nya yang mukmin mahupun yang kafir, yang taat mahupun yang menentang, yang memilih jalan kesesatan mahupun yang diciptakan hanya untuk taat kepada Allah.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَقُلْ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ.وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ
Ertinya:''Dan katakanlah: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku". Al-Mu'minun ayat 97-98
Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah mengajar kita beberapa panduan yang boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan membacakan surah al-Baqarah dan ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Ertinya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya".Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735)
Menurut Ibnu Mas’ud R.A pula, kata beliau:
إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ
Ertinya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut".Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jamal-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)
Nabi Sallallahu'alaihiwasallam juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ
Maksudnya: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap".Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765)
Secara keseluruhan, mereka adalah makhluk Tuhan yang harus tunduk kepada kehendak-Nya. Maka, tidak seorang pun dari makhluk yang boleh lari dan menghindar dari ketentuan-Nya. Sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran,
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ
Ertinya:""Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-hamba-Nya. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui''. AI-An'am ayat 18.
Segala sesuatu di alam ini, tidak ada yang dapat lari dari kehendak Tuhan. Hanya saja ada beberapa jenis hamba yang diberikan pilihan untuk melakukan ketentuan syariat-Nya atau tidak melakukannya. Mereka diberikan pilihan seperti ini, juga atas ketentuan Tuhan. Kerana, Allah Subhanahuwata'ala Mahakuasa untuk menjadikan hamba-Nya taat kepada-Nya mahupun menentang-Nya. Kalau saja Tuhan berkehendak untuk menjadikan mereka semua taat, la Mahakuasa melakukannya.
Firman Allah yang menerangkan tentang hal ini, dapat kita perhatikan dalam Al-Quran surah al-Syu'ara' ayat 3 dan 4,
لَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ أَلَّا يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ. إِنْ نَشَأْ نُنَزِّلْ عَلَيْهِمْ مِنَ السَّمَاءِ آيَةً فَظَلَّتْ أَعْنَاقُهُمْ لَهَا خَاضِعِينَ
Ertinya:''Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman. Jika kami kehendaki nescaya Kami menurunkan kepada mereka mukjizat dari langit, maka senantiasa kuduk-kuduk mereka tunduk kepadanya.
Ayat ini merupakan teguran kepada Rasulullah yang bersedih atas penolakan sebahagian manusia terhadap seruannya, dan pengingkaran mereka terhadap keimanan yang beliau sampaikan.
Rasulullah bersedih atas sikap mereka, kerana beliau sedar akan ancaman dan siksa yang telah menanti kedatangan umatnya yang ingkar di akhirat kelak. Dan beliau juga diutus untuk keselamatan universal, hingga beliau sangat menginginkan untuk menyelamatkan seluruh manusia dari jalan yang sesat dan siksaan Allah Subhanahuwata'ala.
Dalam ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala menegaskan kepada Rasulullah bahawa mereka yang menentang perintah Allah bukan bererti mereka akan selamat dari ketentuan-Nya. Sebab, sebenarnya jika Allah berkehendak, maka la akan menjadikan mereka semua taat kepada-Nya. Akan tetapi, sebaliknya, Allah memberikan pilihan kepada mereka untuk beriman atau tidak beriman, taat atau tidak taat, dan bebas memilih untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukannya.
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
Ertinya:''Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?''. Yunus ayat 99
Al-Syaukani berkata: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, pasti semua orang di muka bumi ini akan beriman. Maksudnya, mereka pasti akan bersatu dalam keimanan tanpa ada perselisihan atau pertengkaran. Namun, Allah tidak menghendaki demikian kerana hal ini bertentangan dengan kemaslahatan yang dikehendaki Allah yang penuh dengan hikmah yang mendalam. Maka adakah kamu hendak memaksa manusia supaya mereka semua menjadi orang-orang yang beriman? Kerana hal itu di luar kemampuan dan kekuasaanmu, wahai Muhammad''. Lihat Fath al-Qadir, 2/312.
Kebebasan memilih ini merupakan bahagian dari iradah kehendak Tuhan. Jadi, Iradah Allah inilah yang memberikan kebebasan bagi mereka untuk taat kepada-Nya atau menentang-Nya. Jadi, tidak seorang-pun dari makhluk-Nya yang lari dan keluar dari kehendak-Nya.
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
Ertinya:''Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek. Al-Kahfi ayat 29
Aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang merupakan aliran majoriti umat Islam. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah meyakini bahawa manusia bebas memilih tindakannya namun keberhasilannya bergantung kepada kehendak Allah Subhanahuwata'ala. jika pilihan tersebut bersesuaian dengan kehendak-Nya, maka Allah Subhanahuwata'ala akan mempermudahkannya. Jika sebaliknya, maka ia akan disulitkan-Nya.
Sifat-sifat syaitan
Secara umumnya, syaitan ertinya segala sesuatu yang menjauhkan manusia dari ketaatan pada perintah Allah dan logika kebenaran; cenderung mengajak manusia untuk melakukan maksiat, dan selalu berusaha untuk menjerumuskannya kepada kejahatan. Jadi, segala yang memiliki sifat-sifat d atas adalah syaitan.
Selanjutnya, kita juga harus mengetahui bahawa ada jenis syaitan dari golongan jin dan pula syaitan dari golongan manusia. Masing-masing memiliki sifat-sifat yang sama, dan target yang sama pula, iaitu; mengajak kepada perbuatan maksiat dan melakukan kerosakan di bumi.
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Ertinya:''Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan''.Al-An'am ayat 112
Syaitan-syaitan dari golongan jin adalah para jin yang melakukan maksiat dan menghalang-halangi manusia dari kebenaran, serta mengajak mereka kepada kekafiran. Syaitan-syaitan dari golongan manusia pun melakukan hal dan missi yang sama. Jadi, pengertian syaitan di sini adalah sifat-sifat tertentu untuk misi dan sasaran yang tertentu pula.Istilah syaitan bukan petunjuk atau nama bagi seseorang. Maka, segala sesuatu yang mengajak kepada kekafiran, kemusyrikan dan kemaksiatan disebut syaitan.
Dalam sebuah doa, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah menggabungkan antara kejahatan nafsu dan kejahatan syaitan. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam mengucapkan,
اللَّهمَّ فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ ومَلِيكَهُ، أشهَدُ أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ
Maksudnya: “Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya''.
Riwayat Abu Daud (5067), al-Tirmizi (3392), al-Nasa'ie (7699) dan Ahmad (7961)
Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa maksud “شر الشيطان” ialah bisikan was-wasnya serta godaan kesesatannya, sedangkan maksud syirkah (شرْكه) pula ialah apa-apa yang mendorong ke arah melakukan syirik dengan Allah. Ia juga boleh dibaca dengan syarakah (شركه) iaitu tali-tali dan perangkap syaitan yang bertujuan memfitnah dan menggoda manusia. Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/276
Iblis
Sedangkan Iblis, ia adalah syaitan dari golongan jin. Memiliki martabat yang tinggi, dan lama ia hidup bersama para malaikat. Iblis juga salah satu dari jenis makhluk pilihan Allah, tetapi berbeza dengan malaikat. Iblis tidak boleh memberontak dan durhaka kepada perintah (amr) Allah, meskipun ia diberi hak untuk memilih. la hanya boleh enggan dan berontak untuk tunduk (tho'ah) kepada-Nya. Kerana itulah dikatakan bahawa kedurhakaan dan pemberontakan yang ia lakukan bukan terhadap perintah Allah, tetapi durhaka dan berontak dari taat dan tunduk kepada Allah.
Di dalam surah al-Kahfi ayat 50, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً
Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin salain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu". Al-Kahfi ayat 50.
Perkataan iblis seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi mempunyai dua pendapat:
1-Ia adalah isim a’jam (bukan nama bahasa arab) yang tiada musytaq dengan sebab itulah ia tidak ditasrif Inilah pendapat Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan juga Ibn al-Anbari.
2-Ia musytaq daripada perkataan iblas iaitu putus asa, inilah yang diriwayatkan daripada Abi Soleh dan telah disebut oleh Ibn Qutaibah.
No comments:
Post a Comment