Saturday, June 8, 2024

Ilmu yang diamalkan dan yang tidak diamalkan

 Ilmu yang diamalkan dan yang tidak diamalkan

Ilmu mempunyai kedudukan yang mulia dalam agama Islam. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi seseorang dalam menjalani kehidupan ini. Dengan ilmu, seseorang menjadi jelas dalam menapaki jalan kebenaran yang akan menghantarkannya ke syurga Allah Subhanahuwata’ala. Menjadi jelas jalan-jalan kesesatan yang patutnya ia hindari. Seseorang dapat meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat juga kerana ilmu. Dan peribadatan kepada Allah Subhanahuwata’ala tidak akan tegak, melainkan dengan ilmu. Oleh kerananya, Allah Subhanahuwata’ala menuntut kita agar mendahulukan ilmu sebelum beramal,


فَاعْلَمْ اَنَّهٗ لَآ اِلٰهَ اِلَّا اللّٰهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِۚ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوٰىكُمْ 


Maksudnya:”Ketahuilah, bahawa tidak ada tuhan (yang patut disembah) selain Allah dan mohonlah ampunan atas dosamu dan atas (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat usaha dan tempat tinggalmu”. Muhammad ayat 19.


Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah Sallahua'laihiwasallam telah bersabda,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ


Maksudnya:”Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah Sallahua'laihiwasallam telah bersabda: Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah Subhanahuwata’ala akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah Subhanahuwata’ala akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya)”. Riwayat Muslim (4867) 


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ


Maksudnya:”Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim”.  Riwayat Ibnu Majah ( Sunan Ibnu Majah 224)


Ilmu yang dimaksud dalam hadith di atas adalah ilmu agama, ilmu yang dapat menegakkan agama seseorang untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Demikian pula, tujuan penciptaan langit dan bumi ini adalah agar seseorang dapat mengenal Allah Subhanahuwata’ala,


اَللّٰهُ الَّذِيْ خَلَقَ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ وَّمِنَ الْاَرْضِ مِثْلَهُنَّۗ يَتَنَزَّلُ الْاَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ ەۙ وَّاَنَّ اللّٰهَ قَدْ اَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا


Maksudnya:”Allah yang menciptakan tujuh langit dan dari (penciptaan) bumi juga serupa. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Mahakuasa atas segala sesuatu, dan ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu”. At-Thalaq ayat 12.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidaklah berdoa untuk meminta tambahan sesuatu, kecuali ilmu,


وَقُلْ رَّبِّ زِدْنِيْ عِلْمًا


Maksudnya:”Dan katakanlah, ‘Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku”. Thaha ayat 114.


Dalil-dalil di atas menunjukkan keutamaan ilmu dan keagungannya.


Tujuan ilmu adalah untuk amal


Pepatah arab pernah mengatakan, 


الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ 


Maksudnya: “Ilmu tanpa amal umpama pohon tidak berbuah”.


Perhubungan antara ilmu dengan amal adalah amat erat sekali. Sehebat mana sekali pun ilmu seseorang itu, tetapi jika tidak diamalkan atau tidak diperkongsikan samalah seperti pohon yang tidak berbuah.


Ilmu yang dipelajari tidak akan bermanfaat jika seseorang itu tidak mengamalkannya. Tujuan mempelajari ilmu bukan sekadar pengetahuan dan wawasan saja, melainkan untuk amal soleh.


Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan kita agar meminta jalan yang lurus dan berlindung dari dua penyimpangan sikap terhadap ilmu. 


Sikap yang pertama adalah beramal tanpa ilmu. Sikap yang kedua adalah berilmu, namun tidak beramal.


Sebagaimana dalam firman Allah Subhanahuwata’ala,


صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ەۙ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّاۤلِّيْنَ


Maksudnya:”(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”. Al-Fatihah ayat  7.


Dari Adi bin Hatim dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam  bersabda,


عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَهُودُ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ وَالنَّصَارَى ضُلَّالٌ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ بِطُولِهِ


Maksudnya:”Dari Adi bin Hatim dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: "Yahudi dimurkai dan Nasrani sesat." Kemudian ia menyebut hadith secara panjang lebar.  Riwayat Tirmizi (2878)


Berkata Ibnu Katsir rahimahullah,”Dan perbezaan antara dua jalan -iaitu agar dijauhi jalan keduanya, ini kerana jalan orang yang beriman menggabungkan antara ilmu dan amal. Adalah orang Yahudi kehilangan amal, sedangkan orang Nasrani kehilangan ilmu. Oleh kerananya, orang Yahudi memperolehi kemurkaan dan orang Nasrani memperoleh kesesatan. Barangsiapa mengetahui, kemudian tidak mengamalkannya, layak mendapat kemurkaan. Berbeza dengan orang yang tidak mengetahui, iaitu orang-orang Nasrani, ketika mempunyai maksud-maksud tertentu, tetapi mereka tidak memperoleh jalannya, kerana mereka tidak masuk sesuai dengan pintunya. Iaitu tidak mengikuti kebenaran. Maka, jatuhlah mereka ke dalam kesesatan”. Lihat Ibnu Katsir, hal. 4/503.


Yahudi mendapatkan laknat Allah kerana berilmu namun tidak beramal. Mereka mengetahui dan mengenal Allah Subhanahuwata’ala dan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, namun tidak mahu tunduk dan mengikuti.


Nasrani pula dihukum tersesat kerana beramal tapi tidak berilmu.Nasrani adalah orang yang bersemangat dalam beramal, namun mereka tersesat kerana tidak membangunkan amal tersebut di atas ilmu yang haq.


Adapun seorang muslim berada di tengah-tengah dua keadaan ini, mereka berilmu dan beramal, mereka itulah yang akan mendapat petunjuk.


Justeru itu, barangsiapa yang berilmu namun tidak beramal, maka mereka adalah yang dimurkai, berhak mendapat murka Allah Subhanahuwata’ala, disebabkan oleh kelalaian mereka dalam mewujudkan tujuan dari ilmu, iaitu amal saleh. Dan barangsiapa yang beramal tanpa ilmu, maka mereka adalah orang yang tersesat dari jalan Allah Subhanahuwata’ala dan jalan yang lurus


Di saat seorang itu berjuang bermati-matian mencari ilmu, namun  jika hanya untuk mengilmui dirinya tanpa mengamalkannya, maka dia telah berhenti ditengah jalan. Dia telah menyia-nyiakan perjuangannya mencari ilmu selama Ini .


Seseorang tidak dapat menegakkan agama, kecuali dengan ilmu dan amal soleh. Kerana dengan kedua hal itu, Allah Subhanahuwata’ala mengutus Rasul-Nya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


هُوَ الَّذِيْٓ اَرْسَلَ رَسُوْلَهٗ بِالْهُدٰى وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهٗ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهٖۙ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ


Maksudnya:”Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar untuk diunggulkan atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”. At-Taubah ayat  33.


Al-huda(الْهُدٰى) yakni ilmu yang bermanfaat, diinul haq (دِيْنِ الْحَقِّ) yakni amal soleh. 


Menurut Tafsir Ibnu Katsir,

Kemudian Allah Subhanahuwata’ala berfirman: (Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur'an) dan agama yang benar) Petunjuk adalah sesuatu yang dibawa beliau. berupa berita-berita yang benar, keiimanan yang benar, dan ilmu yang bermanfaat. Agama yang benar adalah amal soleh yang benar dan bermanfaat di dunia dan akhirat. (untuk dimenangkan-Nya atas segala agama) iaitu di atas semua agama, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith, dari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bahawa beliau bersabda,


عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ زَوَى لِي الْأَرْضَ حَتَّى رَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَإِنَّ مُلْكَ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا


Maksudnya:”Dari Syaddad bin Aus sesungguhnya Nabi Shallallahu'alaihiwasallam bersabda: " Allah Azzawajalla telah mendekatkan bumi kepadaku sehingga saya dapat melihat timurnya dan baratnya. Sesungguhnya kerajaan umatku akan sampai pada apa yang ditampakkan kepadaku….”.


Sebab kita dimasukkan ke syurga bukan sekadar kerana ilmu yang kita ketahui, akan tetapi kerana amal soleh,


وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ اُولٰۤىِٕكَ اَصْحٰبُ الْجَنَّةِ ۚ هُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ 


Maksudnya:”Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu penghuni syurga. Mereka kekal di dalamnya”. Al-Baqarah ayat 82.


Allah Subhanahuwata’ala menyebutkan iman dan amal soleh sebagai sebab untuk masuk syurga. Firman lainnya,


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّنْ ذَكَرٍ اَوْ اُنْثٰى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهٗ حَيٰوةً طَيِّبَةًۚ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ اَجْرَهُمْ بِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ


Maksudnya:”Barangsiapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. An-Nahl ayat 97.


Akibat ilmu yang tidak diamalkan


Al-Qur’an dan As-Sunnah telah memberikan ancaman keras bagi orang yang tidak beramal padahal dia mempunyai ilmu, atau dia mengajak orang lain kepada kebaikan dan beramal tetapi dirinya sendiri tidak mengerjakannya. Sungguh ini adalah perkara yang tidak bermanfaat sama sekali.


Dari Usamah bin Zaid, ia mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ


Maksudnya:”Usamah berkata; "Aku mendengar Beliau bersabda: Pada hari qiyamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keledai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; "Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma'ruf dan melarang kami berbuat mungkar?". Orang itu berkata; "Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma'ruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat mungkar, namun malah aku mengerjakannya”. Riwayat Bukhari (3027)


Dari Abu Barzah Al Aslami ia berkata: Rasulullullah Salallahu'alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ مَا فَعَلَ بِهِ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلَاهُ


Maksdnya:”Dari Abu Barzah Al Aslami ia berkata: Rasulullullah Salallahu'alaihiwasallam bersabda: "Dua kaki manusia tidak bergeser (dari tempat berdirinya) di hari kiamat hingga ia ditanya tentang umurnya untuk apa dihabiskan, tentang ilmunya apa yang telah dilakukannya, tentang hartanya dari mana ia dapatkan serta untuk apa ia belanjakan, dan tentang badannya untuk apa ia pergunakan”. Riwayat Darimi (536)


Di antara balasan yang akan diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada orang yang tidak mengamalkan ilmu yang telah diamanahkan kepadanya  adalah Allah Subhanahuwata’ala akan menghilangkan keberkatan dan Allah Subhanahuwata’ala menjadikan hatinya keras tidak dapat menerima hidayah. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِّيْثَاقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوْبَهُمْ قٰسِيَةً ۚ يُحَرِّفُوْنَ الْكَلِمَ عَنْ مَّوَاضِعِهٖۙ وَنَسُوْا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوْا بِهٖۚ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلٰى خَاۤىِٕنَةٍ مِّنْهُمْ اِلَّا قَلِيْلًا مِّنْهُمْ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ ۗاِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِيْنَ


Maksudnya:”(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, maka Kami melaknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka mengubah firman (Allah) dari tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebagian pesan yang telah diperingatkan kepada mereka. Engkau (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka, kecuali sekelompok kecil di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”. Al-Maidah ayat 13.


Menurut Tafsir Ibnu Katsir;

“Disebabkan oleh pelanggaran janji yang mereka (bani Israil) lakukan, mereka dilaknat”, yakni dijauhkan dari kebenaran dan petunjuk. “Hati mereka menjadi keras”, maknanya iaitu tidak mampu mengambil pelajaran dari peringatan. وَنَسُوْا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوْا بِهٖۚ  maknanya, iaitu mereka meninggalkan beramal atas pesan dan peringatan  yang telah diberikan”. Lihat Tafsir Ibnu Katsir.


Menurut Tafsir Al-Qurthubi;

“Melupakan janji kepada Allah Ta’ala yang telah diambil oleh para Nabi atas mereka untuk beriman kepada Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam”. Lihat Tafsir Al-Qurthubi.


Ayat ini menunjukkan bahawa meninggalkan amal akan mendatangkan laknat dari Allah Subhanahuwata’ala. Selain itu, hati juga akan menjadi keras, tidak mampu menerima peringatan dan nasihat. Ketika hati keras dan tidak mendapat petunjuk, maka akan semakin menjauhkan seseorang dari Allah Subhanahuwata’ala. Dan itu merupakan seburuk-buruk balasan di dunia.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاِذْ قَالَ مُوْسٰى لِقَوْمِهٖ يٰقَوْمِ لِمَ تُؤْذُوْنَنِيْ وَقَدْ تَّعْلَمُوْنَ اَنِّيْ رَسُوْلُ اللّٰهِ اِلَيْكُمْۗ فَلَمَّا زَاغُوْٓا اَزَاغَ اللّٰهُ قُلُوْبَهُمْۗ وَاللّٰهُ لَا يَهْدِى الْقَوْمَ الْفٰسِقِيْنَ


Maksudnya:”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku, padahal kamu sungguh mengetahui bahawa sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu?’ Maka, ketika mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. As-Saff ayat 5.


Jika ilmu diamalkan


Allah Subhanahuwata’ala akan menambahkan petunjuk bagi yang mengamalkan ilmunya. Dan Allah Subhanahuwata’ala juga akan memberikan ketakwaan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَالَّذِيْنَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَّاٰتٰىهُمْ تَقْوٰىهُمْ


Maksudnya:”Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka”. Muhammad ayat 17.


Menurut Tafsir Ath-Thabari;

“Orang yang mendapat petunjuk adalah orang yang Allah Subhanahuwata’ala anugerahi kepada mereka untuk mengikuti petunjuk. Hati mereka lapang dengan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. Mereka menjadi orang yang senantiasa mendengarkan (petunjuk) Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam”. Lihat Tafsir Ath-Thabari.


Menurut Tafsir Ath-Thabari;

“Maka, Allah akan زَادَهُمْ هُدًى وَّاٰتٰىهُمْ تَقْوٰىهُمْ yakni tambahkan keimanan atas iman mereka. Allah Subhanahuwata’ala berikan ketakwaan kepada para muhtadin (orang yang mengikuti petunjuk)”. Lihat Tafsir Ath-Thabari)


Ayat ini berkenaan orang munafik yang disebutkan pada surah Muhammad ayat 16, di mana kaum munafik tersebut hadir dalam khutbah-khutbah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam di hari Jumaat. Namun, ketika mereka keluar dari majlis tersebut, mereka bertanya kepada para sahabat seperti Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, “Apa yang telah dikatakan Muhammad?” Mereka adalah orang yang mendengar, namun tidak dapat memahami. Hati mereka telah ditutup sehingga tidak mampu memahaminya.


Adapun orang beriman dan bertakwa, Allah Subhanahuwata’ala akan menambahkan ketakwaan dan Allah Subhanahuwata’ala akan ilhamkan petunjuk ke jalan yang lurus.


Menurut Tafsir Shafwah Tafasir;

“Imam Al-Fakhr rahimahullah berkata, “Allah Subhanahuwata’ala menjelaskan bahawa orang munafik itu mendengar (seruan Rasul), namun tidak memberi manfaat. Menyimak, namun tidak mendapat faedah. Adapun orang beriman al-muhtadi (yang mendapat petunjuk), mereka mendengarkan dan memahaminya, kemudian beramal dengannya. Sehingga hal ini membantah uzur orang munafik yang mendengar, namun tidak memahami apa yang disampaikan oleh Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam”. Lihat Tafsir Shafwah Tafasir.


Sebagai penutup, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dilaporkan sentiasa berdoa agar dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendatangkan manfaat.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي وَزِدْنِي عِلْمًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ


Maksudnya:”Dari Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdo'a: "Ya Allah, berilah aku manfa'at dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepadaku, ajarilah aku sesuatu yang bermanfaat bagiku, dan tambahkanlah ilmu kepadaku, segala puji bagi Allah atas setiap kondisi”. Riwayat Ibnu Majah (247)


No comments:

Post a Comment

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...