Thursday, May 16, 2024

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Profesion sebagai seorang guru adalah antara bidang pekerjaan yang mulia. Guru mempunyai darjat dan martabat yang tinggi, di mana kalimah keramat gelaran cikgu atau ustaz sentiasa abadi dalam kehidupan guru dan tidak pernah dipencenkan oleh masyarakat sekalipun mereka sudah lama bersara. Panggilan guru tersebut akan kekal sehingga ke liang lahad pun pasti dibawa bersama.


Sememangnya status sebagai seorang guru atau ustaz bukanlah satu perkara yang mudah. Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru atau bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan karenah serta perangai pelbagai pihak terutamanya ibubapa dan pelajar-pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mendidik generasi yang terbaik.


Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. Riwayat al-Tirmizi (2609)


Mulianya guru sehingga mereka digelar dengan pelbagai gelaran seperti cikgu, ustaz, maulana, tok guru, syeikh, dan juga kadang-kadang disifatkan sebagai mursyid, murabbi, muaddib dan lain-lain. Ini jelas menunjukkan ianya disanjung kerana dengan merekalah manusia menjadi manusia bahkan diisi dengan jati diri, akhlak, modal insan di samping membawa kepada ma’rifatullah.


Guru juga dikenali sebagai mu’allim yang memberi maksud pemberi dan pengajar ilmu. Oleh kerana guru memiliki segunung ilmu, maka sudah pasti ia dapat menaungi, membimbing, mengasuh dan mendidik murid dan pelajarnya sehingga jadilah mereka dengan watak-watak mulia, soleh, berpekerti dan lain-lain sekalipun menjawat pelbagai jawatan atau menceburi pelbagai bidang tugas dan pekerjaan. Sudah pasti ilmu yang diterima oleh seseorang sejak mengenali alif, ba, ta, dari gurunya sentiasa menjadi azimat dan panduan dalam menempuh rencah kehidupan.


Justeru itu, kehadiran guru sebagai pembimbing dalam belajar menjadi sangat penting, agar pencari ilmu tidak jatuh ke dalam keraguan dan kebimbangan. Sebagaimana kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali  :


فَاعْلَمْ أَنَّ الْأُسْتَاذَ فَاتِحٌ وَمُسَهِّلٌ، وَالتَّحْصِيْلُ مَعَهُ أَسْهَلُ وَأَرْوَحُ


Maksudnya: Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan."(Minhajul 'Abidin ilaa Janhati Rabbil 'Alamiin, halaman 8).


Manusia mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali R.A berkata,


النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ


Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.


Beliau juga berkata,


الْعِلْمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَالِ، الْعِلْمُ يَحْرُسُكَ، وَأَنْتَ تَحْرُسُ الْمَالَ، الْعِلْمُ يَزْكُو عَلَى الْعَمَلِ، وَالْمَالُ تُنْقِصُهُ النَّفَقَةُ... وَالْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَأَمْثَالُهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ،


Maksudnya:“Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 1/80, Tarikh Dimasyq, 14/18, Tazkirah al-Huffaz, 1/11 dan Tahzib al-Kamal, 24/220)


Keutamaan Mengajar Ilmu


Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajarkan ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  bersabda,


مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya”. Riwayat Muslim (1893)


Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah Subhanahuwata’ala yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar Kurniaan-Nya. 

Lihat Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh al-Salihin.


Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ


Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun”.

Riwayat Muslim (1017)


Mulianya guru kerana dia telah membawa bersamanya ilmu. Begitu juga dengannya dia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau mu’allim ialah:

Kebaikan yang Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda,


مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ


Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya”.

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)


Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A,


وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا


Maksudnya:” Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu”. 

Riwayat Bukhari (3495) dan Muslim (2526)


Guru menjadi penunjuk jalan kebaikan. 


Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.Ahuma, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ


Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun”.

Riwayat Muslim (1017)


Guru selamat daripada celaan. 


Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda,


الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا


Maksudnya: “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.” 

Riwayat Ibn Majah (4112) dan al-Tirmizi (2322)
Syeikh Syuaib al-Arnaut menghukumkan sanad hadith ini sebagai hasan


Peranan pelajar dan murid.


Sebagai pelajar dan murid pula, wajib kita memuliakan guru kita dan antara tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan ialah:


Menghormati dan memuliakannya, walaupun sudah selesai dari bangku sekolah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda,


لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَفِ لِعَالِمِنَا


Maksudnya: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami”.

Riwayat Ahmad (5/323) dan al-Bazzar (2718)


Imam Nawawi berkata: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut”. Lihat al-Majmu’, 1/84.


Berdoa untuk kepada guru. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,


مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” 

Riwayat Abu Daud (1672)


Hal ini juga sepertimana yang telah dilakukan oleh salaf al-Soleh. Antaranya disebut bahawa Imam Ahmad selalu berdoa untuk Imam al-Syafi’e yang menjadi gurunya.


Ulama’ Islam di zaman silam amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Kata al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) Rahimahullah: 


طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم


"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu".

(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)


Al-Imam Malik (wafat 179H) Rahimahullah pernah berkata: “Ibuku pernah menyuruhku pergi kepada Rabi’ah (salah seorang guru kepada al-Imam Malik) dan mempelajari darinya adab dan kemudian barulah ilmunya”. [Lihat  Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh. Tartib al-Madarik wa al-Taqrib al-Masalik, 1/130]


Sebenarnya terlalu banyak kelebihan guru dan penuntut ilmu. Justeru, memadai apa yang telah disebutkan di atas.




No comments:

Post a Comment

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...