Kemajuan dan kemakmuran menurut perspektif Islam
Kemajuan dan kemakmuran bukanlah konsep yang asing dalam Islam. Malah, al-Quran dan al-Sunnah sarat dengan panduan bagi sebuah ummah itu menjadi umat yang terbaik (خَيْرَ أُمَّةٍ).Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah al-Jumu'ah, ayat 10
فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: ''Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)''.
Ayat tadi menggariskan antara formula asas kepada kejayaan umat ialah keseimbangan antara usaha duniawi iaitu mencari rezeki, meneroka ilmu dan memajukan ekonomi dengan pergantungan penuh kepada Allah Subhanahuwata'ala melalui ibadah dan taqwa. Sesungguhnya kejayaan sebenar di dunia dan akhirat dicapai melalui ibadah yang ikhlas dan ketakwaan yang berterusan kepada Allah Subhanahuwata'ala. Beribadah kepada Allah secara berterusan dan istiqamah sepanjang hayat adalah kewajipan setiap mukmin berdasarkan Surah Al-Hijr ayat 99,
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
Maksudnya:'' Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)''. Al-Hijr ayat 99
Perintah beribadah dalam ayat ini bermaksud amalan ketaatan seperti solat dan zikir tidak terikat pada masa atau musim tertentu (seperti hanya pada bulan Ramadhan), tetapi wajib dilakukan sepanjang akal dan hayat masih ada.Pengertian Al-Yaqin menurut Majoriti ulama tafsir mentafsirkan perkataan al-yaqin sebagai kematian, kerana ia adalah satu kepastian yang diyakini akan dilalui oleh setiap yang bernyawa. Rehat yang sebenar bagi seorang hamba di dunia ini bukanlah dengan berhenti beribadah, melainkan apabila kaki mula melangkah masuk ke dalam syurga.
Kemuliaan seseorang Muslim di sisi Allah Subhanahuwata'ala tidak diukur melalui keturunan, pangkat, harta, pengaruh sosial atau pujian manusia. Ukuran sebenar kemuliaan ialah takwa iaitu keadaan hati yang sentiasa takut, patuh, berharap dan tunduk kepada Allah Subhanahuwata'ala sehingga terpancar pada akhlak, ibadah, amanah dan hubungan sesama manusia. Ini neraca rabbani yang membebaskan manusia daripada penilaian zahir yang sering menipu.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya:''Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal''. Al-Hujurat ayat 13
Ummah yang maju tidak hanya diukur dari sudut bangunan pencakar langit, kepesatan teknologi, atau kekayaan material semata-mata. Kemajuan yang hakiki di sisi Islam turut merangkumi ketinggian sahsiah, integriti, kekuatan ilmu pengetahuan, dan kemakmuran yang dikongsi bersama secara adil.
1-Sahsiah (Keperibadian & Akhlak Unggul)
Sahsiah merujuk kepada pembentukan peribadi, moral, dan etika berteraskan acuan iman. Al-Quran dan hadith meletakkan pembentukan sahsiah mulia (akhlak mahmudah) sebagai intipati utama ajaran Islam.
Menurut Al-Quran: Allah Subhanahuwata'ala memuji sahsiah luhur Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam sebagai contoh terbaik bagi manusia menerusi Surah al-Qalam ayat 4,
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ
Maksudnya:''Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung''.
Menurut Hadith: Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam menegaskan bahawa misi utama baginda adalah untuk menyempurnakan sahsiah manusia:
Hadith daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya“ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kesolehan akhlak''. [HR Ahmad dalam Musnad-nya (8952), Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (273), Al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Imân (7609), Al-Khara’ith dalam Makârim al-Akhlaq (no. 1), dan lain-lain.
2-Integriti (Amanah & Kejujuran)
Dalam Islam, integriti bukan sekadar kod etika kerja, tetapi lahir daripada kerohanian, keimanan, serta ketakwaan kepada Allah Subhanahuwata'ala (rasa diawasi atau muraqabah). Sifat utama integriti diringkaskan melalui nilai amanah, jujur, dan menjauhi khianat serta rasuah.
Menurut Al-Quran: Surah al-Anfal ayat 27 melarang keras sebarang bentuk penyelewengan integriti,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:''Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui''.
Menurut Hadith: Kekurangan integriti seperti menipu, mungkir janji, dan khianat merupakan cerminan sifat munafik. Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda:
Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Maksudnya: “Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhinatinya''. Riwayat al-Bukhari(33) dan Muslim(59)
3-Kekuatan Ilmu Pengetahuan.
Islam mewajibkan umatnya mencari ilmu kerana ia merupakan asas pembentukan adab, prasyarat keadilan, dan suluh kehidupan. Ilmu membina kekuatan pemikiran (intelektual) agar manusia tidak mudah dimanipulasi atau terjerumus ke dalam kezaliman akibat kejahilan.
Menurut Al-Quran: Wahyu pertama yang diturunkan (Surah al-'Alaq: 1-5) bermula dengan perintah membaca (Iqra'), yang melambangkan kepentingan ilmu. Seterusnya, darjat orang berilmu diangkat tinggi seperti dalam Surah al-Mujadilah ayat 11,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya:''Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.
Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah Subhanahuwata'ala mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]
Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda,
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.
Maksudnya:''Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim''. Riwayat Ibnu Majah.
4-Keadilan
Keadilan(عَدْلٌ) bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya (bahasa Arab; وَضْعُ الشَّيْءِ فِي مَوْضِعِهِ ) yang betul mengikut syariat Allah. Keadilan mutlak dalam Islam bersifat sejagat; ia wajib ditegakkan tanpa mengira faktor keturunan, pangkat, mahupun rasa benci terhadap sesuatu kaum. Bertentangan pula dengan kezaliman (ظُلْمٌ) iaitu dengan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya (bahasa arab; وَضْعُ الشَّيْءِ فِي غَيْرِ مَوْضِعِهِ)
Menurut Al-Quran: Surah al-Ma'idah ayat 8, mengaitkan keadilan sebagai penanda aras ketakwaan,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:''Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.
Menurut Hadith: Hadith Qudsi menegaskan bahawa Allah Subhanahuwata'ala mengharamkan kezaliman dan memerintahkan keadilan dijalankan sesama makhluk.
Daripada Abu Zar al-Ghifariy RA daripada Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam sebagaimana yang Baginda riwayatkan bahawa Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
يَا عِبَادِي: إنِّي حَرَّمْت الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْته بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا؛ فَلَا تَظَالَمُوا
Maksudnya: ''Wahai hamba-Ku, sesungguhya aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkan kezaliman antara kamu, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman...''. Riwayat Muslim (2577)
Untuk merealisasikan aspirasi Ummah Maju Makmur, terdapat sekurang-kurangnya tiga teras utama yang perlu kita hayati dan amalkan bersama dalam kehidupan seharian:
Pertama: Pengukuhan Akidah dan Akhlak Mulia.
Kemajuan tanpa panduan moral akan membawa kepada keruntuhan dan penindasan. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ke muka bumi ini dengan misi yang jelas iaitu menyempurnakan akhlak yang mulia. Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak''. [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]
Di dalam al-Quran juga, Allah Subhanahuwata'ala telah mengakui bahawa kekasih-Nya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman-Nya:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik''. Surah al-Ahzab ayat 21
Sebuah masyarakat yang makmur memerlukan rakyat yang berintegriti, amanah, jujur dan saling menghormati antara satu sama lain. Sifat mazmumah seperti dengki, tamak, rasuah, dan khianat mesti dibanteras dari akar umbi agar nikmat kemakmuran dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Kedua: Penguasaan Ilmu Pengetahuan dan Inovasi
Islam meletakkan kedudukan orang berilmu di tempat yang tinggi. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'salaihiwasallam adalah seruan untuk membaca (Iqra'), yang menjadi asas kepada budaya ilmu.
Allah Subhanahuwata'ala juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah Subhanahuwata'ala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat''. Surah Al-Mujadalah ayat 11
Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah Subhanahuwata'ala mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]
Menurut hadith,kelebihan orang yang menuntut ilmu. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah Subhanahuwata'ala akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah Subhanahuwata'ala akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. Riwayat Muslim (4867)
Ummah yang maju adalah ummah yang menguasai pelbagai bidang ilmu sama ada sains, teknologi, ekonomi, kejuruteraan, mahupun sains kemanusiaan. Kita tidak boleh menjadi umat yang ketinggalan zaman. Kita perlu menjadi pencipta, pembawa perubahan, dan pelopor kepada inovasi yang membawa kebaikan kepada umat manusia, selari dengan tuntutan fardu kifayah.
Ketiga: Keterangkuman dan Keadilan Sosial serta Kesejahteraan Ekonomi
Kemakmuran yang sebenar tidak akan tercapai jika kekayaan hanya bertumpu pada segelintir pihak sahaja sementara yang lain terus terpinggir. Konsep Rahmatan lil 'Alamin yang dibawa oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menekankan pentingnya sifat belas kasihan, kepedulian sosial, serta agihan kekayaan yang adil melalui instrumen seperti zakat, sedekah, wakaf, dan amalan muamalat yang telus.
Ketika Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berhijrah ke Madinah, langkah pertama baginda sallallahu alaihi wasallam ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar serta membina piagam sosial yang menjamin hak dan tanggungjawab setiap warganegara tanpa diskriminasi. Inilah model masyarakat makmur yang harus kita teladani.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya:''Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam''. Surah al-Anbiya’ : 107)
Allah menjelaskan pengutusan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang tidak lain melainkan membawa kesejahteraan buat sekalian alam. Segala yang datang daripada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sememangnya membawa kebaikan dan rahmat buat sekalian manusia. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan, rahmat yang dibawa oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam merangkumi rahmat pada agama dan pada dunia. Rahmat pada agama disaksikan dengan kehadiran Islam yang disampaikan oleh Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Ini kerana, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab Jahiliah hidup dalam kebingungan dalam urusan agama mereka lantaran pegangan agama yang terzahir dalam kalangan mereka menyaksikan terdapatnya jurang perselisihan yang besar dalam menekuni kandungan kitab-kitab samawi terdahulu. Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ternyata meluruskan kecelaruan dalam meletakkan sempadan halal dan haram, lalu memberikan rahmat kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 22/193)
Marilah kita jadikan baginda Sallallahu'alaihiwasallam sebagai Uswatun Hasanah iaitu contoh ikutan terbaik dalam setiap tindak tanduk kita pada setiap masa dan keadaan sama ada di rumah, di tempat kerja, dan dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment