Wednesday, March 20, 2024

Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah)

Puasa Ramadhan yang berkualiti (6 langkah)

Puasa Ramadhan adalah ibadah khusus yang akan dinilai secara langsung oleh Allah Subhanahuwata'ala. Oleh kerana itu, pahala puasa tidak terhad kepada 10 hingga 700 kali ganda. Pahala puasa tidak terbatas kepada suatu batas yang tertentu sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.


Dalam riwayat Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


 كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى 


Maksudnya“Setiap amalan kebaikan anak Adam akan dilipatgandakan menjadi 10 hingga 700 kali dari kebaikan yang semisal. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (yang ertinya), “Kecuali puasa, amalan tersebut untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya kerana dia telah meninggalkan syahwat dan makanannya demi Aku". Riwayat Muslim (1151).


Maka, nilai puasa di sisi Allah sangat bergantung pada kualitinya. Semakin berkualiti puasa, semakin tinggi nilainya di sisi Allah. Sebaliknya, puasa yang kualitinya hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tidak ada nilainya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. 


Sepertimana difahami dari sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah (1690)][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]


Mengerjakan amal secara optimum dan berusaha untuk mendapatkan kualiti tertinggi adalah satu kemestian. Inilah sebabnya Dr. Musthafa Dieb Al-Bugho dan Muhyidin Mistu dalam Al-Wafi ketika menjelaskan hadith yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah  bersabda,


‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu”.Riwayat Muslim (1955)


Keduanya berkata bahawa: 

Hadith ini adalah nas (dalil) yang menunjukkan kemestian menerapkan ihsan. Iaitu dengan melaksanakan sesuatu tindakan dengan baik dan maksimal.


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


Maksudnya:”Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. Al-Mulk ayat 2


Begitu juga dengan puasa. Marilah kita menunaikan puasa dengan sebaik mungkin agar ianya benar-benar menjadi puasa yang berkualiti. 


Bagaimana caranya agar puasa kita berkualiti?


Pertama: Ikhlas


Puasa yang berkualiti kita mesti lakukan dengan ikhlas. Bukan sahaja puasa, malahan segala amal akan ditentukan oleh niat yang menjadi syarat diterimanya setiap amalan itu.


Ini sepertimana hadith riwayat Saidina Umar al-Khattab RA Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam, 


إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى


Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap perkara akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya”. Muslim (1907)


Keutamaan puasa Ramadhan yang berupa keampunan atas dosa-dosa yang telah lalu juga hanya diberikan kepada orang yang puasanya dilandasi keikhlasan.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Maksudnya:”Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Bukhari (37).


Kedua: Meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa.


Agar puasa menjadi berkualiti, ianya mestilah sah. Ini bermakna kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu:


a.Makan atau minum dengan sengaja. 


Jika seseorang makan dan minum dalam keadaan lupa, itu tidak membatalkan puasanya.


Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ نَسِىَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ


Maksudnya:”Barangsiapa yang lupa, padahal ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, hendaknya ia meneruskan puasanya. Kerana ia diberi makan dan minum oleh Allah”. Riwayat Bukhari(1933), Muslim(1155)


b.Muntah dengan sengaja


Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ ذَرَعَهُ الْقَىْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَمَنِ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ


Maksudnya:”Barangsiapa didesak muntah, ia tidak wajib mengqadha, tetapi siapa yang menyengaja muntah hendaklah ia mengqadha. Riwayat  Tirmizi(653)


c.Mengeluarkan mani/sperma, baik kerana mencium isterinya atau dengan cara lain, selain dari bersetubuh dan mimpi.


Jika bersetubuh ia terkena kafarat, jika kerana mimpi maka tidak mempengaruhi puasanya.


Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Nabi Sallalahu'alaihiwasallam,


لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ


Maksudnya: “Tidak berbuka (batal puasa) sesiapa yang muntah, tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam”. Riwayat Abu Daud (2376)


d.Meniatkan berbuka. 


Persoalan sama ada berniat untuk membatalkan puasa itu menyebabkan puasa terbatal atau tidak sememangnya menjadi perbahasan para ulama. Dalam mazhab Syafi’e sendiri ada dua pandangan dalam isu ini.


Menurut Imam al-Syirazi:


وَمَنْ نَوَى الخُرُوجَ مِن الصَّومِ بَطَلَ صَومَهُ وَقيلَ لَا يَبْطُلُ


Maksudnya: Sesiapa yang berniat untuk keluar daripada puasa, terbatallah puasanya; ada juga pandangan yang menyatakan bahawa tidak batal”. Rujuk al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Abu Ishaq al-Syirazi (t.t) ‘Alam al-Kutub, hlm. 66.


Dalam permasalahan ini, Sheikh al-‘Imrani menjelaskan bahawa terdapat dua pendapat (fatwa) Imam al-Syafi’i tentang isu ini, salah satunya puasa terbatal jika berniat untuk membatalkannya, kerana puasa ialah ibadah yang perlu kepada penentuan jenis puasa (ta’yin) dalam niat, dan ia akan terbatal jika berniat untuk keluar daripadanya”. Rujuk al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’e oleh Abu al-Husain Yahya al-‘Imrani (2000) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, tahqiq: Qasim Muhammad al-Nuri 3/494


Selain itu, para ulama Syafi’i mutaqaddimin(terdahulu) juga berselisih pendapat dalam perkara ini sama ada batal atau tidak. Namun begitu Imam Nawawi telah mentarjih salah satu daripada pandangan tersebut sebagai pandangan yang muktamad dalam mazhab, kata beliau:


وَلَوْ جَزَمَ نِيَّةَ الْخُرُوجِ مِنْهُ، لَمْ يَبْطُلْ عَلَى الْأَصَحِّ.


Maksudnya: Jika seseorang itu berniat secara pasti untuk keluar daripada puasa, menurut pendapat yang lebih sahih, puasanya tidak batal”. Rujuk Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin oleh Abu Zakariyya Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi (1991) Beirut: al-Maktab al-Islami, Cetakan Ketiga, tahqiq: Zuhair al-Syawisy, 1/225 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Abu Zakariyya Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 2/384-385


Perkara ini juga dijelaskan oleh ulama mutakhir mazhab Syafi’i, antaranya Sheikh Zakariyya al-Ansari yang menyatakan:


(وَلَوْ نَوَى الصَّائِمُ تَرْكَ الصَّوْمِ) مُنَجِّزًا أَوْ مُعَلِّقًا كَأَنْ قَالَ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ أَوْ إذَا جَاءَ فُلَانٌ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ (أَوْ) نَوَى (قَلْبَهُ نَفْلًا) أَوْ فَرْضًا آخَرَ (لَمْ يَضُرَّ كَالْحَجِّ)


Maksudnya: Jika seseorang yang berpuasa itu berniat untuk meninggalkan puasa secara pasti atau menggantungnya, contohnya dengan berkata “aku tinggalkan puasa” atau “aku keluar daripada puasa” atau “jika si fulan datang, aku tinggalkan / keluar daripada puasa” atau jika dia berniat untuk menukar niat puasa itu kepada puasa sunat atau puasa fardu yang lain, puasanya tidak batal, sepertimana haji”. Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib oleh Abu Yahya Zakariyya al-Ansari (t.t) Dar al-Kitab al-Islami 1/414

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa jika seseorang itu berniat untuk membatalkan puasanya tapi tidak meneruskan niatnya itu, puasanya tidak terbatal.


Adapun suntik, infus mahupun operasi laser tidak membatalkan puasa.  Syeikh Dr Yusuf Qardhawi berpendapat bahawa suntik dan infus tidak membatalkan puasa. Namun seseorang yang disuntik atau diinfus kerana sakit, ia tidak wajib berpuasa.


Ketiga: Meninggalkan pembatal pahala puasa.


Ikhlas serta meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja tidak cukup untuk membuat puasa kita berkualiti.


Perkara lain yang perlu kita lakukan adalah meninggalkan hal-hal yang membuat puasa menjadi sia-sia. 


رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ


Maksudnya:”Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar…”. Riwayat Ibnu Majah (1690).


Caranya adalah dengan menjauhi apa yang Allah haramkan. Di antaranya adalah menjaga emosi kita agar tidak marah dan tidak berdusta seperti sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ



Maksudnya:”Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam berkata: "Puasa adalah perisai, apabila salah seorang diantara kalian berpuasa maka janganlah ia berkata kotor dan melakukan perbuatan bodoh. Apabila terdapat seseorang memusuhinya atau mencelanya maka hendaknya ia mengatakan; aku sedang berpuasa”. Abu Daud(2016)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْجَهْلَ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَا حَاجَةَ لِلَّهِ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ


Maksudnya:”Dari Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan palsu, bodoh dan melakukannya, maka Allah tidak mempunyai keperluan meskipun dia meninggalkan makanan dan minumannya”. Ibnu Majah(1679)


Keempat: Meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat.


Kita sering berjumpa dengan orang yang berpuasa kemudian mengisi hari mereka dengan perkara yang tidak bermanfaat. Dengan alasan untuk melupakan lapar dan dahaga sepanjang hari berpuasa di hadapan televisyen, bermain game dan sebagainya. Perkara seperti ini harus ditinggalkan agar puasa kita benar-benar berkualiti.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, " Di antara tanda baiknya Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya". Tirmizi (2239)


Kelima: Mempuasakan seluruh anggota tubuh, fikiran, dan hati.


Mempuasakan semua anggota badan, minda dan hati Inilah yang diistilahkan oleh Imam Ghazali dengan puasa khusus dalam Ihya' Ulumiddin dan ditegaskan oleh Ibnu Qudamah dalam Mukhtashar Minhajul Qasidin.


Pertama: Mempuasakan mata dengan menahannya dari pandangan kepada sesuatu yang tercela dan dibenci syariat serta melalaikan dari Allah Subhanahuwata’ala.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda,


النَّظْرَةُ سَهْمٌ مَسْمُوْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْسَ، فَمَنْ غَضَّ بَصَرَهُ عَنْ مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ لله أَوْرَثَ الله قَلْبَهُ حَلاَوَةً إِلىَ يَوْمِ يَلْقَاهُ


Maksudnya:"Pandangan merupakan anak panah beracun dari anak-anak panah iblis. Maka barang siapa yang menahan pandangannya dari kecantikan seorang wanita kerana Allah, nescaya Allah akan mewariskan rasa manis dalam hatinya sampai hari pertemuan dengan-Nya". Riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak,V:313.


Kedua: Mempuasakan lidah dengan memeliharanya dari berbicara tanpa tujuan, dusta, memfitnah, mengumpat, berkata buruk, berkata kasar, permusuhan dan menzalimi orang lain.


Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ


Maksudnya:”Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam berkata: "Puasa adalah perisai, apabila salah seorang diantara kalian berpuasa maka janganlah ia berkata kotor dan melakukan perbuatan bodoh. Apabila terdapat seseorang memusuhinya atau mencelanya maka hendaknya ia mengatakan; aku sedang berpuasa”. Abu Daud(2016)


Ketiga: Mempuasakan telinga dari mendengarkan segala sesuatu yang haram dan makruh. Kerana segala sesuatu yang haram diucapkan adalah haram pula untuk didengarkan.


سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ


Maksudnya:’Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan makanan haram”.  Al-Maidah  ayat 42.


Keempat: Mempuasakan tangan dari menzalimi orang lain, mengambil sesuatu yang bukan haknya, serta melakukan perbuatan yang dilarang syariat.


يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".An-Nur ayat 24


Kelima: Mempuasakan kaki dari berjalan ke arah yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.


يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".An-Nur ayat 24


Keenam: mempuasakan hati dari penyakit-penyakit ruhiyah seperti dengki, irihati, marah, kecintaan pada dunia, dan sebagainya.


أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ


Maksudnya:”Anas bin Malik radliallahu 'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, saling mendengki, saling membelakangi(memutus hubungan), dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga hari”. Bukhari (5605)


Ketujuh, menjaga fikiran dari membayangkan hal-hal yang disukai syahwat dan dibenci syariat, serta dari tipu daya dan fikiran merosakan.


قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَزِنَا الْعَيْنَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَ آللِّسَانِ الْمَنْطِقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ


Maksudnya:”Dikatakan Abu Hurairah dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina anak keturunan Adam yang pasti ia jumpai, zina kedua mata adalah melihat, zina lidah adalah mengucap, zina hati adalah berangan dan bernafsu, dan kemaluan akan membenarkan hal tersebut atau mendustakannya”. Abu Daud 1840.


Keenam: Memperbanyakan amal soleh sepanjang bulan Ramadhan.


Di saat kita meninggalkan hal yang haram dan tidak bermanfaat, pada saat yang sama kita hendaklah memperbanyak amal soleh pada saat berpuasa. Seperti memperbanyak tilawah Al-Qur’an, berzikir kepada Allah, solat sunat, tafakur, mengkaji ilmu-ilmu agama, memperbanyak infaq, dan sebagainya.


Rasulullah dan para sahabatnya sangat memahami tentang keutamaan Ramadhan dan bagaimana memperbaiki kualiti puasa mereka. Justeru itu dalam kesempatan istimewa ini mereka memperbanyak amal soleh. Ibnu Abbas menuturkan bagaimana peningkatan amal soleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, khususnya tadarus dan infaq:


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ


Maksudnya:”Dari Ibnu 'Abbas radliallahu 'anhuma berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah manusia yang paling dermawan dan terutama pada bulan Ramadlan ketika malaikat Jibril 'alaihissalam mendatanginya dan Jibril alaihissalam mendatanginya setiap malam dari bulan Ramadhan, dia mengajarkan al-Qur'an kepada beliau Sallallahu‘alaihiwasallam. Sungguh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ketika didatangi Jibril 'alaihissalam kedermawanannya melebihi angin yang berhembus". Bukhari (2981)


Demikianlah 6 langkah agar puasa berkualiti. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dimudahkan Allah Subhanahuwata’ala sehingga akhirnya mencapai darjat taqwa dan kelak dimasukkan ke dalam syurga-Nya. 


أقول هذا القول وأستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين من كل ذنب فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم














No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...