Friday, February 9, 2024

Ibrah dari peristiwa hijrah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.

Ibrah dari peristiwa hijrah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.

Allah Subhanahuwata'ala masih mengizinkan kita kembali bertemu dengan bulan Muharram. Bulan pertama dalam kalender Hijriah, kalender umat Islam yang menjadi salah satu syiar agama ini.


Kalender dan tanggal Hijriah ini disebut Hijriah bukan tanpa sebab. Merunut sejarahnya, Umar bin Khattab radhiyallahu anhu ketika berinisiatif untuk membuat penanda aras tahun pertama untuk kalender ini, beliau memulai hitungan tahun pertamanya bertepatan dengan tahun di mana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata'ala untuk berhijrah dari kota Makkah menuju Madinah.


Dalam peristiwa dan saat bersejarah ini, terdapat banyak sekali faedah dan pelajaran penting yang dapat kita ambil. Sekurang-kurangnya 6 pelajaran penting dari kisah hijrah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tersebut:


Pertama: Hijrah adalah pengorbanan.


Perintah hijrah yang Allah turunkan kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dan kaum muslimin Makkah ini membuat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan para sahabatnya mesti meninggalkan kota kelahiran mereka dan kota masa kecil mereka. Meninggalkan pula kaum kerabat dan keluarga tersayang. Saat beliau Sallallahu‘alaihiwasallam berangkat, lihat apa yang beliau katakan dengan penuh rasa kesedihan ini,


واللَّهِ إنَّكِ لخيرُ أرضِ اللَّهِ، وأحبُّ أرضِ اللَّهِ إلى اللَّهِ، ولولا أنِّي أُخرِجتُ منكِ ما خرجتُ


Makaudnya:"Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah, dan negeri Allah yang paling dicintai Allah. Kalau bukan lantaran aku dikeluarkan darimu, nescaya aku tidak keluar". Riwayat Tirmizi (3925)


Kedua: Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam hijrah bukan kerana menyerah.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam telah tinggal di kota Makkah selama beberapa waktu lamanya untuk menyeru umatnya menuju jalan hidayah dan kebenaran. Sayangnya, hanya sedikit yang beriman kepadanya. Berbagai penganiayaan dan penghinaan telah beliau rasakan. Dan tidak kurang beliau dan para sahabatnya juga disiksa oleh kaum kafir Quraisy.


Semua hal itu tidak serta merta menyurutkan semangat beliau di dalam berdakwah. Justeru semakin menguatkan dan meningkatkan kegigihan beliau di dalam berdakwah.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam berusaha terus mencari solusi alternatif untuk menjayakan dakwah yang telah beliau mulai, pergi ke Taif misalnya. Sayangnya, yang beliau dapatkan adalah penolakan yang lebih keras dari yang beliau harapkan. Dilukai dan dihina hingga dilempari batu.


Semenjak itu, beliau tidak menyerah. Beliau tampilkan dirinya di depan khalayak manusia, berdiri di depan suku-suku yang ada saat musim haji, sembari berkata,


أَلا رجلٌ يَحْمِلُنِي إلى قَوْمِهِ ، فإنَّ قُرَيْشًا قد مَنَعُونِي أنْ أُبَلِّغَ كَلامَ ربِّي


Maksudnya:"Adakah seorang laki-laki yang mahu membawaku kepada kaumnya, sesungguhnya orang-orang Quraisy telah melarang aku menyampaikan pesan Tuhanku". Riwayat Abu Daud (4734), Tirmizi (2925), Nasa’i dalam As-Sunan Al-Kubra (7727), Ibnu Majah (201), dan Ahmad (15192)


Banyak kabilah dan suku yang menolak beliau. Sehingga pada akhirnya, Allah Subhanahuwata’ala membuka hati sebahagian dari kaum Anshar dan terjadilah baiat Aqabah. Kemudian beliau hijrah ke kota Madinah, kota kaum Anshar yang menjadi perintis akan bakal berdirinya negeri Islam yang mulia ini.


Ketiga: Persahabatan yang penuh kesetiaan dan kebaikan.


Perkara itu nampak jelas pada sosok Abu Bakar As-Shiddiq radhiyallahu ‘anhu apabila mendengar Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


قَدْ أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ؛ رَأَيْتُ سَبْخَةً ذَاتَ نَخْلٍ بيْنَ لَابَتَيْنِ


Maksudnya:"Sungguh aku telah dinampakkan negeri tempat hijrah kalian dan aku melihat negeri yang subur ditumbuhi dengan pepohonan kurma di antara dua bukit yang kukuh.” Riwayat Bukhari (2297)


Mendengar hal tersebut, Abu Bakar bergegas untuk bersiap-siap untuk hijrah, namun Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menahannya seraya berkata,


Maksudnya:"Janganlah kamu tergesa-gesa, kerana aku berharap aku akan diizinkan (untuk berhijrah)".


Rasulullah sangat ingin berangkat untuk hijrah dengan didampingi oleh Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu dan Abu Bakar pun berharap demikian. Beliau menanti perintah dan izin dari Allah Subhanahuwata’ala agar Nabi-Nya diperbolehkan berhijrah sementara beliau memberi makan dua haiwan tunggangan yang dimilikinya dengan dedaunan samur (السَّمُرُ) selama empat bulan.


Keempat: Pentingnya planing dan perencanaan yang matang serta memanfaatkan segala sumber daya yang ada dalam merencanakan sesuatu.


Hijrah mengajarkan kita bagaimana perencanaan yang baik dan matang memiliki peranan penting dalam mencapai sebuah kejayaan. Dan salah satu asas terbesar di dalam merencanakan sesuatu adalah menggunakan sumber daya yang ada secara tepat, efektif, dan optimal.


Dalam hijrah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, wanita memiliki peranan penting. Perkara ini terwakilkan dengan apa yang diceritakan Aisyah radhiyallahu ‘anha perihal dirinya dan saudaranya Asma’,


فَجَهَّزْنَاهُما أحَثَّ الجِهَازِ؛ وضَعْنَا لهما سُفْرَةً في جِرَابٍ، فَقَطَعَتْ أسْمَاءُ بنْتُ أبِي بَكْرٍ قِطْعَةً مِن نِطَاقِهَا، فأوْكَأَتْ به الجِرَابَ، ولِذلكَ كَانَتْ تُسَمَّى ذَاتَ النِّطَاقِ


Maksudnya:"Lalu, kami mempersiapkan untuknya bekal dengan cepat. Kami membuatkan untuk keduanya Sufrah (tempat membawa makanan untuk musafir) dalam Jirab (bejana tempat menaruh perbekalan). Kemudian Asma’ binti Abu Bakr memotong ikat pinggangnya, dan mengikatkan ke bejana tersebut. Dari situlah ia dinamai dengan dzatunnithaq (yang memiliki ikat pinggang)". Riwayat Bukhari (5807)


Di antara bukti matangnya perencanaan dalam hijrah Nabi, seorang penggembala bernama Amir bin Fuhairah dengan sengaja menggiring kawanan haiwan gembalaannya melalui jalur gua dengan tujuan untuk menghilangkan jejak kaki Nabi dan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu yang mengarah ke sana. Kemudian ia juga memberi Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam minum dari susu kambingnya.


Bukti lainnya, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menyewa Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan yang mengetahui medan dan laluan jalan menuju ke Madinah, meskipun ia seorang musyrik. Hal ini diperbolehkan selama ia boleh dipercaya dan profesional di dalam pekerjaannya. Dengan begitu, orang tersebut dapat membimbing Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dan Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu untuk mengambil jalan yang berbeza dari jalan biasanya yang dilalui manusia.


Kelima:  Kuatnya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam di dalam bertawakal dan menyerahkan seluruh urusan kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


اِنَّ الَّذِيْ فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْاٰنَ لَرَاۤدُّكَ اِلٰى مَعَادٍ


Maksudnya:"Sesungguhnya yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukum-hukum) Al Quran, benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali". Al-Qasas ayat  85


Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Maksudnya adalah akan mengembalikanmu ke Makkah sebagaimana Ia juga menyuruhmu untuk keluar darinya".


Cuba kita cermati dengan lebih dalam, salah satu momen dari kisah hijrah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ini. Siapakah yang dapat menghalangi kaum musyrikin untuk menemukan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, sedangkan mereka sudah berdiri di depan pintu gua, kalau bukan Allah Ta’ala?


Sehingga Abu Bakr mengatakan, “Jikalau salah satu dari mereka melihat ke bawah kakinya, tentu saja mereka akan menemukan kita.”


Maka, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengatakan kepadanya,


ما ظَنُّكَ يا أبَا بَكْرٍ باثْنَيْنِ اللَّهُ ثَالِثُهُمَا؟!


Maksudnya:"Tidakkah engkau beranggapan wahai Abu Bakr, bahawa jika ada dua orang, maka Allah yang ketiganya?". Riwayat Bukhari (3653) dan Muslim (2381)


Firman Allah Subhanahuwata'ala,

 

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Al-Taubah ayat 40

 

Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".


Tawakal merupakan jalan sukses menuju kemenangan; semakin susah ujian yang dihadapi oleh seseorang mukmin, namun hal tersebut akan membuatnya semakin bertawakal kepada Allah Subhanahuwata’ala. Maka, yakinlah bahawa kemudahan dan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala semakin dekat dengan dirinya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


حَتّٰٓى اِذَا اسْتَا۟يْـَٔسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوْٓا اَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوْا جَاۤءَهُمْ نَصْرُنَاۙ فَنُجِّيَ مَنْ نَّشَاۤءُ ۗوَلَا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِيْنَ


Maksudnya:"Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan kaumnya) dan telah meyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka (para rasul) itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki. Dan siksa Kami tidak dapat ditolak dari orang yang berdosa".  Yusufayat 110.


Saat dunia ini terasa sempit, saat ujian datang bertubi-tubi, jangan sekali-kali menyerah dan teruslah berusaha, bertawakallah dan gantungkanlah seluruh urusan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kerana pertolongan-Nya terkadang datang di titik di mana seorang hamba sudah hampir menyerah terhadap ujian yang menimpanya.


Terakhir: Selain dari makna asalnya adalah meninggalkan dan berpindah dari negeri kafir menuju negeri muslim, hijrah juga dimaknai dengan meninggalkan kemaksiatan dan menjauh dari dosa-dosa. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ


Maksudnya:"Seorang muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) kaum muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya. Adapun muhajir (orang yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata’ala". Bukhari (10) dan Muslim (40)


Renungilah hadith diatas. Berusahalah untuk terus beramal dengan amalan yang akan menghantarkan kita untuk menjadi seorang muhajir yang hakiki. Seseorang yang berhijrah kerana Allah Subhanahuwata’ala dan diberikan keistiqomahan di dalam menjalaninya.


Semoga Allah tuliskan kita semua sebagai hamba-Nya yang dapat menjalani salah satu syariat dan sunnah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, berhijrah dari kemaksiatan menuju ketaatan, dari gelapnya dosa menuju terangnya hidayah dan keimanan.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...