Thursday, February 8, 2024

Bahaya menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

Bahaya menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

Di antara perkara yang paling merbahaya, yang dapat merosakan individu dan masyarakat, mengganggu kedamaian dan melemahkan keselamatan dan keamanan mereka, adalah dengan penyebaran rumor yang tidak berasas serta informasi yang mengandung hoaks dan kesalahfahaman. 


Samaada ianya seputar politik, perubatan, agama, ilmiah, ataupun topik umum lainnya. Di mana sumbernya itu tidak jelas dan penulisnya tidak diketahui. Berapa banyak informasi yang dikongsikan oleh manusia yang tidak ada sumbernya dan tidak dipastikan serta disemak terlebih dahulu.


Di zaman yang mana informasi begitu cepat tersebar, isu dan rumor begitu mudahnya dikongsikan, fakta menjadi kabur, dan berita bohong begitu mudah ditelan. Seorang muslim yang hakiki, seharusnya lebih berhati-hati di dalam menyampaikan informasi yang didapatkannya, memastikan kebenarannya terlebih dahulu, serta menilai apakah yang akan disampaikannya itu memiliki kemanfaatan untuk dirinya ataukah tidak. 


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melarang kita dari bermudah-mudahan menyebarkan informasi yang baru saja kita dengar tanpa “crosscheck” terlebih dahulu. Beliau bersabda,


كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ


Maksudnya:”Cukuplah seseorang itu sebagai pendusta (pembohong), ketika dia menceritakan semua (berita) yang dia dengar”. Riwayat Muslim (5)


Dalam riwayat Abu Daud disebutkan dengan lafaz,


كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ


Maksudnya:”Cukuplah seseorang (dikatakan) berdosa jika dia menyampaikan seluruh yang dia dengar”. Abu Dawud (4992)


Imam Malik rahimahullah juga mengatakan, 


اعْلَمْ أَنَّهُ لَيْسَ يَسْلَمُ رَجُلٌ حَدَّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ، ولا يكون إماماً أبداً وهو يحدث بكل ما سمع


Maksudnya:”Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang aman dan selamat jika menceritakan semua yang dia dengar. Dan tidak akan mungkin seseorang menjadi pemimpin jika ia terus menceritakan apa yang dia dengar”. (Syarh Sahih Muslim)


Setiap muslim hendaklah merenungi dan mengamalkan firman Allah Subhanahuwata’ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ  


Maksudnya:”Hai orang-orang yang beriman, jika orang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.  Al-Hujurat ayat  6.


Tergesa-gesa di dalam menyebarkan rumor dan informasi yang belum jelas akan mendatangkan kesan yang sangat buruk terhadap masyarakat kita. Berita dan rumor yang bersimpang siur seringkali berhujung pada kekacauan dan perpecahan di antara kaum muslimin. Berapa banyak hubungan persaudaraan yang putus kerana rumor yang tidak berdasar. Berapa banyak hubungan berteman yang menjadi renggang kerana berita bersimpang siur yang tidak diklarifikasikan terlebih dahulu. 


Sesungguhnya, rumor dan hoaks merupakan salah satu sumber malapetaka bagi kaum muslimin yang harus kita hindari.


Marilah kita saling membantu di antara kita dengan saling mengingatkan, menasihati keluarga kita, saudara kita, dan teman-teman kita untuk lebih berhati-hati di dalam menerima sebuah berita, terlebih lagi di dalam menyebarkannya. Bukan dengan tanpa usual periksa terus posting, sharing, dan berkongsi di media sosial pada perihal sesuatu yang belum jelas sumber dan faktanya.


عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمٍ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ قُلْنَا : لِمَنْ ؟ قَالَ للهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ 


Maksudnya:”Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daari radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin, serta bagi umat Islam umumnya”. Riwayat Muslim(55)

 

Di antara bentuk berhati-hati kita terhadap rumor dan berita yang sampai kepada kita adalah dengan berfikir dua kali sebelum mem-posting atau menyebarkannya. Walaupun pun ianya berita yang benar, alangkah baiknya untuk meminta pertimbangan terlebih dahulu kepada mereka yang lebih faham agama. Layakkah berita ini kita sampaikan? Layakkah hal ini menjadi rujukan publik? Kerana bukan semua yang kita ketahui itu harus diceritakan kepada orang lain. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا


Maksudnya:”Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu)”. An-Nisa’ ayat 83.


Al-Quran mengemukakan satu cara yang betul (dalam menghadapi khabar khabar angin) kepada kelompok Muslimin itu:


 ‘وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ’


Maksudnya jika mereka merujukkan segala berita ketakutan atau keamanan yang sampai kepada mereka kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam andainya Baginda ada bersama mereka atau kepada ketua-ketua mereka tentulah hakikat berita itu dapat diketahui oleh orang-orang yang arif mengolahkannya dari celah-celah berbagai-bagai berita yang bertentangan dan berbagai-bagai keadaan dan latar belakang.


Oleh itu tugas seorang perajurit yang baik di dalam angkatan tentera Islam yang dipimpin oleh seorang panglima yang beriman – mengikut syarat dan batas keimanan yang sebenar itu – apabila menerima sesuatu berita ialah menyampaikan berita itu dengan segera kepada nabi mereka atau kepada ketua mereka bukannya terus bertindak menyebarkannya kepada rakan-rakan sejawatnya atau di kalangan orang-orang yang tidak berkepentingan, kerana pucuk pimpinannya yang beriman itulah pihak yang berwibawa dalam mempastikan hakikat yang sebenar dari berita-berita itu di samping berwibawa menentukan kemuslihatan sama ada sesuatu berita itu patut dihebohkan kepada orang ramai atau tidak walaupun setelah dipastikan kebenarannya.


Demikianlah cara al-Quran mendidik kelompok Muslimin. la menanam kepercayaan dan kesetiaan kepada pucuk pimpinan yang beriman dan mengajar peraturan dan disiplin tentera di dalam serangkai ayat sahaja, malah dalam sebahagian dari serangkai ayat sahaja, kerana permulaan ayat melukiskan satu gambaran yang keji tentera-tentera yang menghebohkan berita-berita keamanan dan ketakutan yang dipungutnya di sana sini tanpa memeriksa dan mempastikan kebenarannya dan tanpa merujukkannya kepada pucuk pimpinannya, sementara ayat tengah pula menyampaikan pengajaran itu dan ayat yang akhirnya mengikatkan hati mereka dengan Allah dalam menghadapi persoalan khabar ini di samping mengingatkan mereka terhadap limpah kurnia-Nya serta mendorong mereka supaya mensyukuri pengurniaan itu dan seterusnya memberi amaran supaya jangan mengikut syaitan yang sentiasa menunggu peluang untuk menyesatkan mereka dan ia cukup berkebolehan untuk merosakkan hati mereka andainya tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/177)


Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Maksud ‘يَسْتَنبِطُونَهُ’ adalah hasil pemikiran, keputusan hukum atau penyelesaian yang dikemukakan oleh orang alim. Ayat ini adalah menolak sikap orang yang terburu-buru dalam mengambil langkah sebelum meneliti dan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Sikap seperti ini menyebabkan orang tersebut mudah menyebarkan berita dan isu-isu yang sebenarnya tidak benar kepada kalangan orang ramai.


Maksud ayat di atas adalah berita tentang keamanan atau berita tentang keadaan gawat yang berasal dari sumber yang tidak pasti kadang sampai ke telinga orang-orang munafik atau orang-orang yang lemah imannya yang tidak mempunyai pengalaman dalam masalah yang berkaitan dengan kepentingan umum, kemudian mereka cepat-cepat menyebarkan berita itu kepada orang ramai padahal sikap seperti ini adalah sikap yang dapat membahayakan kemaslahatan umum.

Oleh sebab itu, masalah-masalah yang berhubungan dengan kepentingan umum hendaklah diserahkan kepada pimpinan kaum Muslimin iaitu Rasulullah SAW, atau kepada Ulil Amri iaitu orang-orang yang memiliki kekuasaan, yang bertugas menetapkan dan membatalkan keputusan (ahl al-halli wal ‘aqd) atau kepada anggota majlis syura. Mereka adalah orang-orang yang lebih mengetahui permasalahan tersebut dan lebih pandai dalam menyaring berita-berita yang benar. Dalam menyampaikan berita mereka juga mempertimbangkan apa yang perlu mereka lakukan, dan mereka juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang taktik dan strategi perang.


Adapun menceritakan semua pembicaraan yang pernah kita dengar atau mengkhabarkan berita dengan tanpa menelitinya terlebih dahulu dapat membahayakan negara. Oleh sebab itu, semua negara moden selalu mengawasi dan mengendalikan berita-berita yang disiarkan oleh majalah, radio, televisyen dan selainnya, supaya keadaan tidak menjadi kacau bilau dan supaya orang tidak bingung. Pengawasan berita ini perlu dilakukan baik dalam keadaan aman mahupun dalam keadaan perang.


Beliau turut berkata: Ahli ilmu, orang-orang yang berpengalaman dan para pemimpin adalah orang-orang yang paling berhak berbicara masalah yang menyangkut dengan kepentingan umum, mereka juga termasuk ahli ijtihad dalam masalah agama. Lihat Tafsir al-Munir, 5/176.


Kita semua akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah Subhanahuwata’ala di hari akhir nanti. Setiap perbuatan yang kita lakukan, setiap kata yang kita ucapkan, setiap posting yang kita sebarkan, semuanya itu akan dihisab oleh Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ


Maksudnya:”Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir”. Qaf surah 18.


Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,


وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولًا


Maksudnya:”Dan janganlah kamu mengikuti (melakukan dan mengatakan) apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.  Al-Isra’ ayat  36.


Mengesahkan dan mencari kebenaran pada setiap berita yang sampai kepada kita sebelum menerima dan menyebarkannya merupakan salah satu sifat kaum mukminin. Jangan sampai nanti timbul sebuah kebencian kepada saudara kita kerana berita yang belum kita mencari tahu kebenarannya. Jangan sampai muncul penyesalan kerana timbulnya sebuah kerosakan dan keretakan hubungan hanya kerana terburu-buru menyebarkan informasi yang belum jelas kebenarannya. Nabi Saallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda,


إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ والمغْرِبِ


Maksudnya:”Sesungguhnya ada hamba yang mengucapkan satu kalimat yang tidak jelas perkaranya, yang menggelincirkannya ke neraka yang lebih luas dari jauhnya timur dan barat”. Bukhari (6477) dan Muslim (2988)


Pada hadith yang lain ditegaskan,


إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن رِضْوانِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَرْفَعُهُ اللَّهُ بها دَرَجاتٍ، وإنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن سَخَطِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَهْوِي بها في جَهَنَّمَ.


Maksudnya:”Sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk keredaan Allah. Dia tidak menganggapnya penting. Dengan sebab satu kalimat itu, Allah menaikkannya beberapa derajat. Dan sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk kemurkaan Allah, dia tidak menganggapnya penting. Dengan sebab satu kalimat itu, dia terjatuh ke dalam neraka Jahanam”. Bukhari (6478)


Semoga Allah senantiasa menjaga lidah kita untuk tidak bercakap, kecuali yang bermanfaat bagi diri kita. Menjaga sikap dan tangan kita agar tidak menyebarkan berita dan informasi, kecuali setelah kita teliti dan periksa terlebih dahulu kebenarannya serta kita timbang apakah hal tersebut layak untuk kita sebarkan ataukah tidak. Kerana menjaga lisan merupakan pertanda keistiqomahan dan lurusnya hati seseorang. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لَا يَسْتَقِيمُ إِيمَانُ عَبْدٍ حَتَّى يَسْتَقِيمَ قَلْبُهُ وَلَا يَسْتَقِيمُ قَلْبُهُ حَتَّى يَسْتَقِيمَ لِسَانُهُ وَلَا يَدْخُلُ رَجُلٌ الْجَنَّةَ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ


Maksudnya:”Iman seorang hamba tidak akan istiqomah, sehingga hatinya istiqomah. Dan hati seorang hamba tidak akan istiqomah, sehingga lisannya istiqomah. Dan orang yang tetangganya tidak aman dari kejahatan-kejahatannya, ia tidak akan masuk syurga”. Ahmad (13048)


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ








No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...