Thursday, January 25, 2024

Antara Toleransi dan Prinsip dalam Islam.

Antara Toleransi dan Prinsip dalam Islam.

Islam adalah agama yang sempurna. Justeru itu, setiap tindakan, sikap, dan budi pekerti yang baik telah diajarkan oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui lisan dan perbuatan Nabi-Nya Sallallahu‘alaihiwasallam, tidak terkecuali sikap dan muamalah Islam terhadap orang-orang kafir, yang mana Islam juga telah mengajarkannya.


Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar kita untuk berbuat baik kepada mereka yang beragama Islam dan juga mereka yang kafir. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ


Maksudnya:’Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu (dari kalangan orang-orang kafir) dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil”. Al-Mumtahanah ayat 8.


Pada ayat yang lain, Allah Subhanahuwata’ala telah menghalalkan makanan yang mereka berikan kepada kita, dan Allah halalkan juga memberikan mereka makanan,


اَلْيَوْمَ اُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُۗ وَطَعَامُ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ ۖوَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ


Maksudnya:”Pada hari ini dihalalkan bagimu segala yang baik-baik. Makanan (sembelihan) ahli kitab itu halal bagimu, dan makananmu halal bagi mereka”. Al-Maidah ayat 5.


Sebagai seorang muslimin yang percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam adalah sebaik-baik suri tauladan bagi dirinya dan yakin bahawa Nabi Muhammad membawa kebenaran, seharusnya juga mengetahui dan mempelajari kembali bagaimana sikap Nabi terhadap orang kafir, bagaimana muamalah beliau dengan mereka, dan bagaimana batas toleransi yang benar yang telah beliau ajarkan.


Banyak riwayat-riwayat hadith yang  yang mengkisahkan bagaimana perlakuan dan akhlak Nabi terhadap orang kafir. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Baginda menziarahi orang yang sakit di antara mereka, berbuat baik terhadap orang-orang yang memerlukan bantuan di antara mereka.


Toleransi Baginda Nabi  Sallallahu‘alaihiwasallam juga tercermin dalam kisah penaklukan kota Makkah. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengampunkan dan memaafkan kaum Quraisy yang telah menyakiti beliau, kecuali beberapa orang saja. Bahkan, beliau memberikan jaminan keselamatan kepada penduduk Makkah, walaupun mereka belum mahu masuk ke dalam Islam. Dalam sebuah hadith  sahabat Abdullah bin Abbas radhiyallahu ‘anhu mengkisahkan,


أنَّ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ عامَ الفتحِ جاءَهُ العبَّاسُ بنُ عبدِ المطَّلبِ بأبي سفيانَ بنِ حربٍ فأسلمَ بمرِّ الظَّهرانِ فقالَ لَهُ العبَّاسُ: يا رَسولَ اللَّهِ إنَّ أبا سفيانَ رجلٌ يُحبُّ هذا الفخرِ، فلو جعلتَ لَهُ شيئًا قالَ: نعَم مَن دخلَ دارَ أبي سفيانَ فَهوَ آمنٌ، ومَن أغلقَ علَيهِ بابَهُ فَهوَ آمنٌ


Maksudnya:”Saat Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam hendak menakluki kota Makkah, Al-Abbas bin Abdul Mutthalib mendatanginya serta membawa Abu Sufyan bin Harb, maka masuk Islamlah dia (Abu Sufyan) di tempat yang disebut ‘Maar Adz-Dzahran’. Al-Abbas mengatakan kepada beliau (Nabi), ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan itu senang apabila memiliki kewibawaan, sekiranya engkau berikan sesuatu untuknya (untuk dibanggakan).’ Maka, Nabi mengatakan, ‘Siapa saja yang masuk ke rumah Abu Sufyan, maka ia mendapatkan jaminan keamanan (tidak dibunuh). Dan siapa pun yang menutup pintunya, maka ia juga mendapatkan keamanan”. Riwayat Abu Daud (3021), Ibnu Abi Syaibah  (38078) dan Al-Baihaqi (18740)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga pernah bersabda,


ألا مَن ظلمَ مُعاهدًا، أوِ انتقصَهُ، أو كلَّفَهُ فوقَ طاقتِهِ، أو أخذَ منهُ شيئًا بغَيرِ طيبِ نفسٍ، فأَنا حَجيجُهُ يومَ القيامةِ


Maksudnya:”Ketahuilah, bahawa orang yang menzalimi orang kafir yang menjalin perjanjian dengan Islam atau mengurangi haknya atau membebaninya di atas kemampuannya atau mengambil darinya sesuatu yang ia relakan, maka aku adalah lawannya pada hari Kiamat”. Riwayat Abu Daud (3052) 


Bahkan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam  memberikan ancaman bagi mereka yang membunuh orang-orang kafir yang sedang dalam perlindungan dan perjanjian damai dengan kaum muslimin. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَن قَتَلَ مُعاهَدًا لَمْ يَرِحْ رائِحَةَ الجَنَّةِ، وإنَّ رِيحَها تُوجَدُ مِن مَسِيرَةِ أرْبَعِينَ عامًا.


Maksudnya:”Siapa yang membunuh (kafir) mu’ahad (terikat perjanjian damai), maka dia tidak akan dapat mencium wangi surga. Padahal, sesungguhnya harumnya (syurga) dapat tercium dari jarak perjalanan empat puluh tahun”. Riwayat Bukhari (3166)


Sesungguhnya toleransi kaum muslimin inilah yang menjadi penyebab cepatnya peryebaran Islam di seluruh dunia. Semuanya kembali pada asas keadilan dan hikmah yang dibawa oleh syariat Islam. Keadilan yang berlaku untuk semua masyarakatnya dan siapapun yang sedang di bawah kepemimpinannya, tidak terkecuali mereka yang kafir.


Di dalam bertoleransi, Islam juga menerapkan beberapa aturan yang berupa perinsip agama seperti aqidah dan ibadah yang mesti ditaati dan tidak boleh dilanggar oleh setiap pemeluknya. Akidah dan ibadah adalah sesuatu yang wajib dipelihara supaya tidak tergelincir daripada landasan yang benar. Sebarang aktiviti atau amalan yang boleh membawa kepada kekufuran sama ada dengan mengatakan suatu perkataan, melakukan suatu perbuatan atau beriktikad dengan suatu pegangan yang membawa  maksud mengabdikan diri selain daripada Allah Subhanahuwata’ala adalah dilarang.


Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-Kafirun:


قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ(6)


Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”. Surah al-Kafirun ayat 1-6.


Di antaranya adalah larangan ikut serta di dalam merayakan perayaan agama lain dan kerana di dalam keikutsertaan seorang muslim pada hari raya mereka terdapat bentuk saling tolong menolong dalam sebuah dosa. Sedangkan Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ


Maksudnya:”Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”. Al-Ma’idah ayat 2.


Ikut serta dalam perayaan mereka merupakan salah satu bentuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir. Sedangkan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَومٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Maksudnya:”Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia bahagian dari kaum tersebut”. Riwayat Abu Daud (4031) dan Ahmad (5114).


Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain. Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur. Lihat Ali Wanis, alIhtifal bi A’yad al-Kuffar, hlm, 4.


Dalam surah al-Furqan, Allah Subhanahuwata’ala memuji golongan yang tidak menghadiri hari perayaan orang-orang musyrik. Firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا


Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.

Al-Furqan ayat 72.


Sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan kalimah al-zur dalam ayat di atas sebagai hari-hari perayaan orang musyrik. Lihat Ibnu Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim.


Oleh yang demikian, dapat difahami daripada ayat ini bahawa Allah Subhanahuwata’ala memuji individu-individu yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik.


Dalam surah al-Maidah, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”. Al-Maidah ayat 51.


Menurut para ulama, apa yang dimaksudkan teman rapat disini adalah menyerupai (tashabbuh) mereka dan membesarkan hari-hari perayaan mereka. Lihat Al-Zahabi, Tashbih al-Khasis bi Ahl al-Khamis fi Raddi al-Tashabbuh bi al-Mushrikin.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَومٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Maksudnya:”Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia bahagian dari kaum tersebut”. Riwayat Abu Daud (4031) dan Ahmad (5114).


Menurut seorang ulama mazhab Shafi’i, Hibatullah bin al-Hasan al-Lalaka’i,


وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ


Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”.


Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan tentang hukuman yang selayaknya menurut syarak bagi mana-mana individu muslim yang menyertai perayaan bukan Islam, kata beliau,


يُعَزِّرُ مَن وَافَقَ الكُفَارَ فِي أَعْيَادِهِم


Maksudnya: Dihukum ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka. Lihat Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin  Isa, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj.


Selain itu, menurut Abu Hafs al-Kabir, ulama mazhab Hanafi,


لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسِينَ سَنَةً ثُمَّ جَاءَ يَوْمُ النَّيْرُوزِ وَأَهْدَى إلَى بَعْضِ الْمُشْرِكِينَ بَيْضَةً يُرِيدُ تَعْظِيمَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ وَحَبَطَ عَمَلُهُ


Maksudnya: Jika seorang lelaki menyembah Allah selama 50 tahun lamanya, kemudian tibanya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan sebiji telur kepada sebahagian golongan musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya”. Lihat Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq


Jangan sampai kita tertipu dan merasa hilang harga diri serta malu ketika tidak ikut memeriahkan perayaan-perayaan semacam ini, merasa malu hanya kerana banyaknya manusia yang ikut merayakannya. Tugas kita hanyalah mentaati Allah dan Rasul-Nya.

 

Hiraukan cakap manusia, hiraukan kebiasaan mereka, kerana kebanyakan manusia tidak peduli dengan apa yang telah Allah Subhanahuwata’ala syariatkan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى الْاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۗاِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلَّا الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلَّا يَخْرُصُوْنَ


Maksudnya:”Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanyalah persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan”. Al-An’am ayat 116.


Allah Subhanahuwata’ala juga berfirman,


وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ


Maksudnya:”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya”. Yusuf ayat 103.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala sentiasa menjaga kita, memberikan kita hidayah untuk selalu menimbang segala ucapan, perbuatan, dan perayaan manusia dengan melihat dalil-dalil dari Al-Qur’an dan hadith.


Apa yang sejalan dengan keduanya ataupun salah satu dari keduanya, maka boleh diamalkan meskipun sedikit sekali dari masyarakat yang melakukannya.


Sedangkan apa yang menyelisihi keduanya ataupun salah satu darinya, maka tidak boleh diamalkan. Meskipun ramai sekali masyarakat dan manusia yang  melakukannya.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...