Wednesday, November 15, 2023

Jangan berhenti kerana manusia.

Jangan berhenti kerana manusia.

Jika telah dimulai sesuatu perkara kerana Allah,maka janganlah menyerah kerana manusia. Teruskan apa yang sudah di niatkan. Jikalau akhirat yang niatkan, kelak Allah akan mengatur dan menyertakan dunia untuk ikut hadir menyertainya. Memang itu berat dan akan selalu terasa berat jika niat di awal salah. Kerana itu, perlulah meluruskan niat dan memupuknya dalam memperbaharui niat yang lurus.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


مَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِى قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِىَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهَ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ


Maksudnya:"Barangsiapa yang niatnya adalah untuk menggapai akhirat, maka Allah akan memberikan kecukupan dalam hatinya, Dia akan menyatukan keinginannya yang tercerai berai, dunia pun akan dia peroleh dan tunduk hina padanya. Barangsiapa yang niatnya adalah untuk menggapai dunia, maka Allah akan menjadikan dia tidak pernah merasa cukup, akan mencerai beraikan keinginannya, dunia pun tidak dia peroleh kecuali yang telah ditetapkan baginya". Riwayat Tirmidzi (2465). 


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الْإِنْسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ


Maksudnya:"Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya". Al-Insyiqaq ayat 6


Niat itulah yang akan menjadi kekuatan yang besar dalam kita menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Niat yang ikhlas menuntun manusia pada jalan kebaikan dan istiqamah. Seseorang yang ikhlas dalam menjalankan hidup dan beribadah akan memahami bahawa amalan dan ibadah yang ia lakukan itu akan diganjari pahala dan ia tidak akan mengejar penilaian manusia. Justeru dengan itu, semangat ibadahnya dan semangat hidupnya pun akan bangkit, samaada ada dokongan ataupun tidak ada dokongan dari manusia. Sebagaimana dalam sebuah hadith, 


Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ


Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

 

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi


Hadith ini memerlukan dua perkara dalam kehidupan kita:


Pertamanya niat yang tulus agar dipahalakan Allah. Antara tujuan niat membezakan antara adat dengan ibadah, jika ibadah akan dipahalakan Allah Subhanahuwata'ala.


Kita juga maklum bahawa niat merupakan perkara yang amat penting kerana ia yang akan menentukan tujuan amalan tersebut.

 

Kedua perlunya kita berhijrah daripada baik kepada yang lebih baik dan menggunakan hijrah untuk membaiki kehidupan kita. Sejarah telah membuktikan bermulanya kejayaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan para sahabat selepas berhijrah.


Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Lihat: Kemus Dewan Edisi Keempat, 1080]

 

Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:


Telah berkata Imam al-Nawawi:


النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ


Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. Lihat: al-Majmu’, 310/1.

 

Telah berkata Ibn Abidin:


قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ


Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan perbuatan”. Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1.

 

Berdasarkan definisi di atas, dapat  disimpulkan bahawa niat adalah lintasan hati dalam ketika ingin melakukan sesuatu perkara. 


Ikhlas itu berat, namun nilainya luar biasa. Niat kerana Allah itu tidaklah mudah, namun jika kita ikhlas dalam menjalankan sesuatu, maka nantinya Allah akan menjadikan yang sulit menjadi mudah, yang jauh menjadi dekat, dan yang tidak mungkin akan menjadi mungkin jika sudah Allah kehendaki.


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيْهِ بِـ : بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ فَهُوَ أَبْتَرُ


Maksudnya:"Setiap perkara penting yang tidak dimulai dengan ‘بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ’, amalan tersebut terputus berkahnya". Riwayat Al-Khatib dalam Al-Jami’, dari jalur Ar-Rahawai dalam Al-Arba’in, As-Subki dalam Tabaqat-nya.


Jika segala perbuatan dan ibadah yang kita kerjakan diniatkan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata'ala, maka sudah semestinya kita tidak goyah sedikit pun jika ada ujian atau ada orang yang tidak suka dengan kita. Dari hal itulah  kita sudah semestinya melaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam menjalankan setiap aktiviti dalam kehidupan kita. Jangan  kerana penilaian manusia, kita berhenti berdakwah. Jangan kerana Jumlah manusia yang sedikit dalam beribadah, kita berhenti istiqamah dalam hal kebaikan serta berhenti istiqamah dalam hal beribadah. Al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah memberikan nasihat,


تَرْكُ الْعَمَلِ لِأَجْلِ النَّاسِ رِيَاءٌ وَالْعَمَلُ لِأَجْلِ النَّاسِ شِرْكٌ


Maksudnya:"Meninggalkan amalan kerana manusia termasuk riya’ dan beramal kerana manusia termasuk syirik".


Semoga Allah Subhanahuwata'ala menjaga hidayah dan istiqomah kita, mengurniakan keberkatan dan keikhlasan dalam setiap amal yang kita perbuat.


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...