Wednesday, October 4, 2023

Mencari dan Mewujudkan Keamanan Bagi Diri.

Mencari dan Mewujudkan Keamanan Bagi Diri.


Keamanan dan keselamatan membolehkan masyarakat serta negara melaksanakan tugas ke tahap maksimum.


Keamanan berkait rapat dengan keimanan sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa aman serta tenteram daripada segala gangguan sama ada di dunia atau akhirat. 


Al-Quran mengungkapkan adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ


Maksudnya:"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk". Al-An'am ayat 82.


Kepentingan dan kebajikan manusia sebagai maslahat terbahagi kepada tiga iaitu:


Pertama: 

Maslahah Al-Daruriyyat (Maslahah yang merupakan keperluan asasi)


Ia merupakan maslahah yang amat diperlukan oleh manusia secara pasti dalam kehidupan mereka. Sekiranya perkara itu tidak dijaga maka kehidupan manusia akan pincang dan tidak sempurna.


Ia merujuk kepada pemeliharaan lima perkara iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Tanpa maslahah daruriyyah, kehidupan manusia akan menjadi binasa dan huru-hara. Bagi memenuhi keperluan daruri ini, syarak telah menentukan pelbagai hukum demi menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. 


Sebagai contoh, penentuan hukum qisas diadakan demi menjaga nyawa, penentuan kewajipan jihad dibuat demi menjaga agama dan lain-lain ketentuan hukum lagi yang menyentuh bidang ibadat, muamalat dan jenayah.


Beberapa contoh dan hukuman atas perbuatan mudharat ini merupakan salah satu bukti penerapan maslahah ad-daruriyyat. Tujuannya adalah untuk menarik manfaat dan menghindari mudharat,


فَكُلٌّ مِنَ الْاِعْتِدَاءِ عَلىَ الدِّيْنِ وَالْقَتْلِ الْعَمْدِ وَشُرْبِ الْمُسْكِرِ وَالْقَذفِ وَالزِّنَا وَصْفٌ مُنَاسِبٌ يُحَقِّقُ مَصْلَحَةً وَهُوَ مُعْتَبَرٌ شَرْعًا 


Maksudnya:"Maka semua bentuk penyerangan terhadap agama, membunuh dengan sengaja, minum khamr, menuduh zina, dan zina merupakan gambaran tepat untuk memperkuat maslahat, dan ini dianggap (menjadi dalil) secara syariat.”


Kedua: 

Maslahat Al-Hajiyyat iaitu perkara diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup mereka. Jika perkara ini tidak wujud, kehidupan tidak akan pincang, tetapi mereka berhadapan sedikit kesusahan.


Ianya merupakan keperluan manusia untuk menghilangkan kesulitan sahaja, ertinya jika keperluan ini tidak dimiliki oleh manusia, maka mereka akan kesulitan dan kesusahan, namun tidak mengganggu keberlangsungan hidupnya. Salah satu contoh dari maslahah yang satu ini adalah adanya akad-akad transaksi (mu’amalah) seperti jual beli, sewa, dan lain-lain, juga pengecualian oleh syariat seperti adanya kebolehan qasar solat ketika bepergian dan kebolehan menjamaknya, kebolehan tidak puasa bagi wanita haid, menyusui, dan sakit di bulan Ramadhan, hilangnya kewajipan solat bagi wanita haid dan nifas, dan lain-lain.


Semua kebolehan dalam beberapa contoh ini termasuk dalam kategori maslahah al-hajiyyat, iaitu keperluan manusia untuk menghilangkan kesulitannya, namun ianya tidak mempengaruhi pada keberlangsungan hidupnya. Maslahah yang satu ini juga menjadi dalil dan ketetapan dalam syariat untuk memberi kemudahan bagi manusia,


 وَهَذِهِ كُلُّهَا أَوْصَافٌ مُنَاسبَةٌ لِلْأَحْكَامِ الْمُقَرَّرَةِ لَهَا 


Maksudnya, “Semua ini merupakan gambaran yang sesuai dengan hukum-hukum yang sudah ditetapkan baginya".


Ketiga:

Maslahat Al-Tahsiniyyat iaitu perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara itu boleh mencacatkan dari segi penilaian serta adat kebiasaan.


Maslahah al-tahsiniyyat merupakan pelengkap hidup manusia atau keperluan yang tidak sampai pada taraf dharuri (mendesak) ataupun keperluan pokok. Contohnya dalam konteks maslahah ini adalah seperti mandi sebelum solat, menggunakan pakaian-pakaian bagus, berbuat baik, dan lain-lainnya. Semua ini juga menjadi salah satu maslahah yang dijadikan dalil dalam Islam untuk mendokong kesempurnaan hidup manusia, baik dalam beragama mahupun bersosial.


Inilah tiga maslahah pokok yang menjadi dalil para ulama ketika mencetuskan sebuah hukum, yang diambil dari kitab karangan Syeikh Wahbah bin Musthafa az-Zuhaili, yaitu al-Wajiz fi Ushulil Fiqh, cetakan Darul Fikr, tahun 1995, halaman 92-93.


Selain tiga maslahah ini, masih ada lagi satu maslahah yang jarang dimasukkan dalam konsep maslahah secara umum oleh para ulama ushul fiqh, namun menjadikannya bab secara khusus, kerana perbezaan pandangan ulama perihal boleh dan tidaknya menerapkan maslahah yang ini. Maslahah tersebut adalah maslahah mursalah. Lihat Syeikh Musthafa Dib, Atsarul Adillah al-Mukhtalaf Fiha fil Fiqh al-Islami, [Damaskus: Darul Qalam, 2007], halaman 40). 


Seorang mukmin dituntut untuk mencari dan mewujudkan keamanan bagi dirinya, keluarganya, dan negaranya. Berikut ini adalah sebab-sebab yang akan membantu kita mewujudkannya:


Pertama: 

Beriman dan mengesakan Allah Subhanahuwata'ala serta menegakkan syiar-syiar ajaran Islam yang mulia ini. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ


Maksudnya:"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridai-Nya untuk mereka. Dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik".  An-Nur ayat 55.


Kedua: 

Mensyukuri semua nikmat yang telah Allah Subhanahuwata'ala berikan, tidak terkecuali nikmat keamanan yang sudah kita peroleh ini. Dengan rasa syukurlah sebuah nikmat akan bertahan dan bertambah. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ


Maksudnya:"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu". Ibrahim ayat  7.


Sebaliknya, mengingkari sebuah kenikmatan, maka akan memusnahkan kenikmatan tersebut dan menggantinya dengan hukuman berupa rasa takut dan azab. Di ayat yang selanjutnya Allah Ta’ala mengingatkan,


وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ


Maksudnya:"Dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim ayat 6.


Ketiga: Mengamalkan kebaikan dan menjauhkan diri dari keburukan. Kerana dosa dan maksiat menandakan kesialan dan mendatangkan keburukan, menghilangkan rasa aman, dan menggantinya dengan rasa takut. Adapun beramal soleh dan beribadah, maka akan menimbulkan rasa aman dari segala ketakutan dan kebimbangan di dunia dan akhirat. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


مَنْ جَاۤءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهٗ خَيْرٌ مِّنْهَاۚ وَهُمْ مِّنْ فَزَعٍ يَّوْمَىِٕذٍ اٰمِنُوْنَ


Maksudnya:"Barangsiapa membawa kebaikan, maka dia memperoleh (balasan) yang lebih baik daripadanya, sedang mereka merasa aman dari kejutan (yang dahsyat) pada hari itu". An-Naml ayat 89.


Keempat:

Sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah Subhanahuwata'ala agar diberikan kestabilan, keamanan dan ketenangan. 


Nabi Ibrahim ‘alaihis salam pernah berdoa,


رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا


Maksudnya:"Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa". Al-Baqarah ayat 126.


Marilah kita berdoa bersama-sama untuk  kita, keluarga kita, rumah-rumah kita, hati kita,jiwa kita dan negara kita. Semoga Allah Subhanahuwata'ala sentiasa memberikan ketenangan dan keamanan, keselamatan, dan kesejahteraan. Kerana sesungguhnys hal-hal tersebut merupakan kunci untuk kebahagiaan-kebahagiaan lainnya. ٱمين


أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ







No comments:

Post a Comment

Makruh Mencita-citakan Mati

Makruh Mencita-citakan Mati  Kematian itu menukarkan seseorang itu daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan dan daripada satu negeri (dun...