Tanggungjawab Muslim di dalam bulan Ramadhan dan erti puasa.
Dalam bulan Ramadhan, setiap Muslim mempunyai beberapa tanggungjawab syar’i. Tanggungjawab-tanggungjawab ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melalui sunnah qauliyah (perkataan) beliau juga Sunnah fi'liyah beliau Sallallahu‘alaihiwasallam. Kerana bulan Ramadhan merupakan musim limpahan kebaikan. Nikmat-nikmat Allah Subhanahuwata'ala yang dianugerahkan kepada hamba-Nya pada bulan ini lebih banyak dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Lihat Fathul Bari 1/31
Tanggungjawab-tanggungjawab ini mencakupi banyak persoalan hukum syar’i, yang meliputi seluruh amalan selama satu bulan yang penuh dengan amal kebaikan dan ketaqwaan.
Pertama : الصيام (Puasa).
Secara umum, الصيام (puasa) mempunyai keutamaan yang besar. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda dalam hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah.
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلْفَةُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Maksudnya:"Semua amal perbuatan bani Adam adalah kepunyaan bani Adam sendiri, kecuali puasa. Puasa itu kepunyaanKu, dan Aku yang akan memberikan balasan. Maka, demi Zat yang nyawa Muhammad ada ditanganNya, sungguh di sisi Allah, aroma mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum daripada minyak kasturi". Muslim(1942)
Berkenaan lafaz ‘فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ’ (Puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya), Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Baidhawi berkata: Terdapat dua perkara yang menjadi sebab mengapa ibadah puasa diistimewakan dengan kelebihan seperti ini.
Pertama: Kerana ibadah-ibadah selainnya dapat dilihat oleh manusia, berbeza dengan puasa kerana ia merupakan rahsia antara hamba dan Allah Subhanahuwata'ala. Dia melakukannya dengan ikhlas dan mengerjakannya kerana mengharapkan redha-Nya. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah Subhanahuwata'ala dalam sabda Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam, ‘الصَّوْمُ لِي’ (Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku).
Kedua: Kerana seluruh perbuatan baik dilakukan dengan cara mengeluarkan harta atau menggunakan anggota fizikal. Manakala puasa mencakupi perbuatan mengekang hawa nafsu dan menjadikan fizikal menjadi lemah. Dalam ibadah puasa, terdapat unsur kesabaran menahan rasa lapar, haus dan meninggalkan syahwat. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah Subhanahuwata'ala dalam sabda Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam “Dia meninggalkan syahwat kerana-Ku". Lihat Fath al-Bari, 4/108
Ini adalah berdasarkan hadith Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Maksudnya: Setiap amalan baik anak Adam akan digandakan dengan sepuluh seumpamanya sehingga tujuh ratus gandaan. Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman: Kecuali puasa, kerana aku yang akan mengganjarinya, buat mereka yang meninggalkan syahwat, makan minumnya kerana Aku. Bagi yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan tuhannya dan bau mulut mereka yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Riwayat Muslim (1151
Disamping keutamaan yang bersifat umum ini, ada pula keutamaan bersifat khusus yang melekat pada bulan Ramadhan, berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Bukhari (37).
Dan sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,
صَوْمُ شَهْرِ الصَّبْرِ وَثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya:"Satu bulan sabar (berpuasa Ramadhan) ditambah tiga hari puasa pada setiap bulan, sama dengan puasa satu tahun". Ahmad (8626).
Yang dimaksud dengan bulan sabar yaitu bulan Ramadhan. Lihat At-Tamhid 19/61
Ibnu Abdil Barr rahimahullah (Lihat At-Tamhid) menjelaskan,"Dalam kamus Lisanul Arab, صوم juga bermakna sabar. Allah Subhanahuwata'ala berfirman.
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya:"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”. Al-Zumar ayat 10.
Puasa الصوم dari sudut bahasa ialah الإمساك iaitu menahan dari melakukan sesuatu.
Adalah orang arab apabila mereka mengatakan perkataan imsak ertinya ialah menahan diri.
Berkata Imam Al-Mawardi:
أَمَّا الصَّوْمُ فِي اللُّغَةِ: فَهُوَ الْإِمْسَاكُ يُقَالُ صَامَ فُلَانٌ بِمَعْنَى أَمْسَكَ عَنِ الْكَلَامِ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْماً) {مريم: 26) أَيْ: صَوْمًا وَسُكُوتًا
Ertinya: “Adapun puasa pada sisi bahasa maka iaitu bererti menahan. Dikatakan seorang itu puasa ertinya menahan dari berkata-kata. Telah berfirman Allah Taala: Sungguhnya aku telah bernazar bagi Tuhan akan berpuasa ertinya akan diam dari berkata-kata.”
Dan erti puasa dari sudut syarak ialah:
الإمساك عن المفطر من طلوع الفجر إلى غروب الشمس بنية
Ertinya: “Menahan dari perkara yang membatalkan puasa dari masa terbit fajar hingga masa tenggelam matahari dengan berniat.”
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:
إمْسَاكُ الْمُسْلِمِ الْمُمَيِّزِ عَنْ الْمُفْطِرَاتِ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ إلَى آخِرِهِ بِالنِّيَّةِ سَالِمًا مِنْ الْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ وَالْوِلَادَةِ وَمِنْ الْإِغْمَاءِ وَالسُّكْرِ فِي بَعْضِهِ
Ertinya: “Menahan diri oleh seorang Islam yang telah mumayyiz dari segala yang membatalkan puasa dari awal hari hingga akhirnya dengan niat dan keadaannya selamat dari haid dan nifas dan wiladah dan dari pengsan dan tidak sedar pada sebahagian hari.” (Kitab Asnal Matalib)
Kedua : Qiyamullail (Terawih)
Solat terawih ini sunnahnya dikerjakan secara berjamaah di dalam bulan Ramadhan. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya:"Sesungguhnya barangsiapa yang solat bersama imam sehingga imam itu selesai, maka ditetapkan pahala baginya, seperti solat sepanjang malam". Tirmizi (734)
Dalam menerangkan keutamaan solat terawih ini Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda.
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya:"Barangsiapa yang solat(terawih) kerana iman dan mengharap pahala, maka dia diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Bukhari (37).
Ketiga : Sedekah.
Kedermawanan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam paling menonjol pada bulan Ramadhan bila dibandingkan dengan kedermawanan beliau Sallallahu‘alaihiwasallam pada bulan-bulan yang lain.
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma,
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas". Al-Bukhari,3554)
Kedermawanan ini mencakup semua erti sedekah dan semua jenis perbuatan baik. Kerana kedermawanan itu banyak memberi dan sering memberi. Dan ini mencakup berbagai macam amal kebajikan dan perbuatan baik. Lihat Lathaiful Ma’âlarif, hlm. 173, oleh Ibnu Rajab rahimahullah
Keempat : Memberikan makan buka puasa kepada orang yang berpuasa
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah menganjurkan umatnya untuk melakukannya dan memberitahukan pahala yang sangat besar sebagai hasil yang bisa mereka raih. Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda.
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya:" Barangsiapa yang memberikan makanan buka puasa kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapatkan pahala, sebagaimana pahala orang yangberpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa”. Tirmizi (735)
Kelima : Membaca Al-Qur’an.
Bulan Ramadhan, merupakan bulan al-Qur’an, sebagaimana difirmankan oleh Allah Subhanahuwata'ala.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya:"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”. Al-Baqarah ayat 185.
Dalam sunnah ‘amaliyah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, terdapat keterangan tentang praktik nyatanya. Jibril Alaihissallam mengajak Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bertadarus al-Qur’an pada setiap malam bulan Ramadhan.
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas". Al-Bukhari,3554)
Keenam : Umrah
Imam Bukhari rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadith yang menjelaskan bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً مَعِيْ
Maksudnya:"Umrah pada bulan Ramadhan sama dengan haji bersamaku". Muslim(2202)
Ketujuh : Mencari Lailatul Qadar
Allah Subhanahuwata'ala berfirman.
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ﴿١﴾وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ﴿٢﴾لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu, apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan”. Al-Qadr 1-3.
Dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim ada riwayat yang menjelaskan bahwa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya:"Barangsiapa solat pada malam qadar kerana iman dan kerana ingin mencari pahala, maka dia diampuni dosanya yang telah lalu”.
Lailatul qadar itu berada pada malam-malam ganjil sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhân. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi rahimahulllah dan Ibnu Majah rahimahullah dengan sanad yang sahih dari Aisyah Radhiyallahu ‘anha, beliau Radhiyallahu ‘anha bercerita :
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَقُوْلُ قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya:,,Wahai Rasulullah, apakah yang aku katakan, jika aku mendapati lailatul qadar? Beliau Sallallahu‘alaihiwasallammenjawab,”Kata kanlah,
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya:"Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pemberi Maaf, maka maafkanlah aku.”
Demikianlah beberapa tanggungjawab pokok yang semestinya dilaksanakan oleh seorang muslim pada bulan yang penuh barakah ini. Adapun tanggungjawab-tanggungjawab selengkapnya yang wajib dijaga oleh seorang muslim pada bulan ini iaitu menahan diri dari segala perbuatan keji, sabar terhadap penderitaan, menjaga hati dan melaksanakan kewajiban zahir, dengan cara konsisten menjalankan hukum-hukum Islam dan mengikuti sunnah-sunnah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam.
No comments:
Post a Comment