Tuesday, April 4, 2023

Hargai dan syukuri nikmat Allah.

Hargai dan syukuri nikmat Allah.

Terlalu banyak nikmat Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada manusia semasa hidup di dunia. Namun manusia sering lalai dan alpa dalam mensyukurinya. Antara nikmat itu ialah ijad (kewujudan) dan imdad (menyokong kewujudan), iman, Islam, sihat fizikal dan mental; selamat daripada musibah, ilmu pengetahuan, kemerdekaan, keamanan, dan kemakmuran. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا


Maksudnya:"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya". Al-Nahl ayat 18.


Bakr Al Muzani (w.106/108H-tabi'in)  pernah berkata,


يا ابن آدم ، إنْ أردتَ أنْ تعلمَ قدرَ ما أنعمَ اللهُ عليك ، فغمِّضْ عينيك


Maksudnya:“Wahai manusia, jika engkau ingin tahu kadar nikmat yang telah Allah peruntukkan bagimu, maka penjamkanlah matamu”.


Dalam sebahagian atsar disebutkan,


كم مِنْ نِعمَةٍ لله في عرقٍ ساكن


Maksudnya:"Betapa banyak nikmat Allah yang terdapat dalam pembuluh darah kita". Lihat Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 76.


Pengertian nikmat dapat difahami sebagai segala bentuk kesenangan, keselesaan dan memenuhi keperluan manusia seperti makanan, kesihatan, tempat tinggal, kenderaan dan keamanan. Lazimnya kesemua manusia sukakan nikmat Allah dan tidak akan sesekali menolaknya atau mahukan musibah.


Sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Rajab dalam Jaami’ul ‘Ulum (2: 82), bahkan nikmat itu ada dua jenis, nikmat diniyyah (agama) dan nikmat duniawiyah(dunia). Keadaan selamat, terhindar dari bahaya, kesihatan dan rezeki adalah nikmat duniawiyah. Sedangkan bersyukur dengan mengucapkan "الحمد لله", itu pun nikmat. Nikmat duniawiyah dan diniyyah sama-sama adalah nikmat dari Allah. Kata Ibnu Rajab dan ini yang patut digarisbawahkan,


لكن نعمة الله على عبده بهدايته لشكر نعمه بالحمد عليها أفضل من نعمه الدنيوية على عبده ، فإنَّ النعم الدنيوية إنْ لم يقترن بها الشُّكرُ


Maksudnya:"Akan tetapi nikmat Allah pada hamba dengan memberi hidayah untuk bersyukur terhadap nikmat dengan mengucapkan "الحمد لله" lebih afdhol dari nikmat duniawiyah yang diberikan pada hamba. Kerana nikmat duniawiyah, jika tidak dikaitkan dengan syukur, maka itu malah jadi musibah.”  Sebagaimana kata Ibnu Hazm,


كل نعمة لا تقرب من الله عز وجل، فهي بلية.


Maksudnya:“Setiap nikmat yang tidak digunakan untuk mendekatkan diri pada Allah, itu hanyalah musibah". Lihat Jaami’ul Ulum wal Hikam, 2: 82.


Tujuan Allah mengurniakan pelbagai nikmat kepada manusia adalah untuk membuktikan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Nikmat itu juga bagi memudahkan segala urusan kehidupan seharian manusia. Menguji keimanan dan kesabaran seseorang hamba. Menguji sejauh mana manusia mensyukuri nikmat yang dimiliki dan memanfaatkan ke arah jalan yang diredai oleh Allah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ. وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ


Maksudnya:"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta". Al-Ankabut ayat 2-3.


Allah Subhanahuwata'ala pasti akan menayai nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada hamba-hambanya, firman Allah Subhanahuwata'ala.


ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ


Maksudnya:"Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu". Al-Takasur ayat 8


Di antara nikmat yang akan ditanyakan pada hamba di hari kiamat nanti adalah nikmat sihat. Dari Abu Hurairah, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ أَوَّلَ مَا يُسْأَلُ عَنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِى الْعَبْدَ مِنَ النَّعِيمِ أَنْ يُقَالَ لَهُ أَلَمْ نُصِحَّ لَكَ جِسْمَكَ وَنُرْوِيكَ مِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ


Maksudnya:"Sungguhnya nikmat yang pertama Kali akan ditanyakan pada hamba  pada hari kiamat kelak adalah dengan pertanyaan: “Bukankah Kami telah memberikan kesihatan pada badanmu dan telah memberikan padamu air yang menyegarkan?". Tirmidzi (3358).


Dan kebanyakan manusia lalai dari nikmat sihat tersebut. Dari Ibnu ‘Abbas, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,


نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ


Maksudnya"Ada dua kenikmatan yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang". Bukhari (6412).


Nikmat sihat yang telah dikatakan oleh Abu Darda,

الصِّحَّةُ غِنى الجسد


Maksudnya:"Sihat adalah ghina jasad (iaitu bentuk kecukupan yang ada pada badan kita)”. (Kitabusy Syukr, hal. 102. Dinukil dari Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 76).


Mengenai surat At Takatsur ayat 8, Ibnu ‘Abbas berkata,


النعيم : صحَّةُ الأبدان والأسماع والأبصار ، يسأَلُ الله العبادَ : فيما استعملوها ؟ وهو أعلمُ بذلك منهم ، وهو قوله تعالى : { إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً }  .


Maksudnya:Yang namanya nikmat adalah badan, pendengaran dan penglihatan yang dalam keadaan sihat. Allah kelak akan menanyakan mengenai nikmat tersebut untuk apakah dimanfaatkan?” Allah yang pasti mengetahui hal itu. Kerana Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً


Maksudnya:"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya". Al Isra’ ayat 36. Lihat Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 77.


Wahab bin Munabbih berkata bahawa telah tertulis dalam hikmah keluarga Daud,


العافية المُلك الخفيُّ


Maksudnya:"Sihat itu bagaikan kerajaan yang tersembunyi". Lihat Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 76.


Ibnu Mas’ud berkata,


النعيمُ : الأمنُ والصحة


Maksudnya:"Termasuk nikmat adalah rasa aman dan sihat". (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Katsir. Dinukil dari Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 77).


CARA MENGHARGAI NIKMAT


Terdapat beberpa cara mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Diantaranya;


Pertama: Melalui hati. 


Bersyukur dengan hati dilakukan dengan cara senantiasa menyedari, mengingati dan menghadirkan dalam hati bahawa setiap nikmat yang kita rasakan tersebut dari Allah, dan bukan dari siapa pun. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim ayat 7.


Kedua: Dengan lidah.


Melalui perkataan, iaitu mengucap Alhamdulillah setiap kali mendapat nikmat. 


Hendaklah memuji Allah Subhanahuwata'ala di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:


هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ


Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya". Al-Naml ayat 40.


Ketiga: Melalui tubuh badan.


Iaitu dengan perbuatan sujud syukur dan menggunakan nikmat untuk kebaikan bersama-sama ahli keluarga serta masyarakat.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا


Maksudnya: "Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!".Saba’ ayat 13.


Ibn Kathir berkata: Iaitu, Kami katakan kepada mereka: "Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Perkataan " شُكْرًا" adalah masdar yang bukan dari fi'il (اعْمَلُوا) atau ia adalah dalam bentuk maf'ul lahu (مفعول له). Atas asas kedua-dua taqdir tersebut, menunjukkan bahawa syukur boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat.


Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam daripada Abu Bakrah R.A:


أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ


Maksudnya: “Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah Subhanahuwata'ala". Riwayat Abu Daud (2774).


Cara menghargai nikmatnya ialah dengan memanfaatkannya ke arah kebaikan dan tidak menggunakannya ke jalan maksiat dan tidak melakukan pembaziran terhadap nikmat pemberian Allah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ….


Maksudnya:.....Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih". As-Saba ayat 13.


Maksudnya: Hanya sedikit dari kalangan hamba-hamba Allah yang menggunakan mikmat Allah untuk beribadah kepada Allah.


Tidak berasa bangga diri, angkuh dan sombong dengan nikmat yang diperoleh. Berkongsi nikmat yang dimiliki bersama-sama orang lain melalui sedekah kepada fakir miskin. Sentiasa mengingati bahawa Allah adalah sebagai pemberi nikmat yang mutlak dan Dia berhak pada bila-bila masa untuk menggandakan atau menarik balik daripada kita.


Lantaran itu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


 عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يُحِبَّ أَنْ يَرَى أَثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ


Maksudnya:"Dari 'Amru bin Syu'aib dari Ayahnya dari Datuknya ia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Sesungguhnya Allah suka bila melihat bekas nikmat-Nya yang diberikan kepada hamba-NYa". Tirmizi(2744)


Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam Surah al-Dhuha:


وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ


Maksudnya: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.


Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWt kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.” (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 20/102)


Kebaikan bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata'ala ialah diri akan sentiasa berasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dapat memberi kelapangan dada dan ketenangan hati. Sentiasa menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya. Pada setiap masa berterima kasih kepada Allah yang memberikan nikmat termasuk berdoa agar ia diberkati, berlipat ganda, dan berkekalan.


TANDA-TANDA TIDAK BERSYUKUR


Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:


لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ


Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia". Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)


Hati yang selalu berasa keluh kesah, gelisah, tidak tenang adalah tanda-tanda akibat tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah.


Malah pada masa sama, gemar pula menggunakan nikmat tersebut ke jalan maksiat dan dosa. Sentiasa berasa tidak cukup dengan nikmat yang dimiliki dan diperoleh. Nikmat yang dimiliki boleh ditarik balik oleh Allah dan boleh hilang sekelip mata pada bila-bila masa.


Berkaitan hal ini, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ


Maksudnya"Ada dua kenikmatan yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang". Bukhari (6412).


Langkah-langkah yang perlu dilakukan supaya nikmat sentiasa bertambah ialah membayar zakat harta apabila cukup syarat. Hendaklah bersyukur dengan nikmat yang ada. Tidak kedekut untuk bersedekah kepada fakir miskin. Menggunakan nikmat tersebut ke arah jalan yang diredai Allah. Tidak bersikap bangga diri dan sombong dengan nikmat tersebut.


Lantaran itu Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mengingatkan dalam sabdanya: 


… فَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَسَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ…..


bersabda:"....Wahai sekalian manusia, janganlah kalian mengharapkan berjumpa dengan musuh akan tetapi mohonlah kepada Allah keselamatan…". Bukhari(2801)


Terdapat beberapa akibat apabila tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Antaranya:


Pertama: Ditarik balik nikmat oleh Allah.


Kedua:Individu dan masyarakat akan berada dalam keadaan mundur iaitu tidak maju.


Ketiga:Kesempitan hidup dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahuwata'ala.


Keempat:Tidak dihormati dan dipandang hina oleh masyarakat.


Kelima:Mendapat azab Allah Subhanahuwata'ala pada hari akhirat kelak.


Apakah nikmat yang telah perolehi di dunia ini benar-benar telah disyukuri, disalurkan untuk melakukan hak Allah dan tidak disalurkan untuk perbuatan maksiat? Jika nikmat tersebut benar-benar telah disyukuri, maka ianya kelak akan diberikan nikmat yang lebih mulia dan lebih afdhal.


Atau ada yang telah tertipu dengan nikmat tersebut? Malah mereka tidak mensyukurinya? Bahkan sungguh celaka, mereka yang  telah memanfaatkan nikmat tersebut dalam kemaksiatan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ


Maksudnya"Dan (ingatlah) hari (ketika) orang-orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan): “Kamu telah menghabiskan rezkimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu telah bersenang-senang dengannya; maka pada hari ini kamu dibalasi dengan azab yang menghinakan". Al Ahqaf ayat 20. 


Maka, bersyukurlah atas nikmat yang dikurniakan selagi kita bernyawa. Apabila bersyukur Allah Subhanahuwata'ala akan melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita. Bersyukur dan membesarkan kenikmatan Allah adalah melalui hati dan lidah, iaitu perbuatan orang yang beriman dan bertakwa.


Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur.


وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ


Maksudnya:"Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur". Ali Imran ayat 145.


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim ayat  7.


Mudah-mudahan kita dapat menyalurkan segala nikmat dalam kebaikan, dengan mengakui dalam hati bahawa itu adalah nikmat dari Allah, menyebut "الحمد لله" dengan lisan, dan menyalurkan nikmat tersebut dalam ketaatan, bukan dalam maksiat.



No comments:

Post a Comment

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan

Balasan Mereka Yang Memulakan Satu Kebaikan Atau Kesesatan dan Keburukan Manusia dikenali dan dikenang bukan sekadar pada masa hidupnya, tet...