Friday, April 28, 2023

Kekalkan semangat Ramadhan dalam bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya.

Kekalkan semangat Ramadhan dalam bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya.

Semangat Ramadhan tidak seharusnya berakhir dengan ketibaan Syawal. Bulan Syawal perlu menjadi permulaan baharu untuk kita mempraktikkan apa yang dilazimi sepanjang bulan Ramadhan yang baru lepas, di mana kita menyucikan minda daripada pemikiran yang negatif dan mengurangkan keinginan duniawi yang melampau. Dengan kata lain, semangat Ramadhan hendaklah sentiasa kita kekalkan sebagai panduan untuk menjalani kehidupan pasca bulan puasa. 


Allah menganugerahkan Ramadhan sebagai medan tarbiyyah untuk mencari sebuah kemerdekaan. Memerdekakan diri daripada belenggu penjajahan syaitan dan hawa nafsu merupakan makna sebenar di sebalik Ramadhan. 


Hawa nafsu dan syaitan selalu menyuruh jajahannya untuk melakukan perbuatan jahat dan keji. Tidak ada kebaikan sedikit pun ketika jiwa dan diri kita dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan. Orang-orang yang terjajah akan gelap mata melihat cahaya terang kebenaran, amat sukar untuk membezakan antara yang benar dan salah. Ia akan selalu diarahkan pada segala hal yang akan mengsengsarakan dan membahayakan dirinya di dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Yasin ayat 60-62,


أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ


Maksudnya:"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", Ya sin ayat 60.


Oleh kerana itu, muslim perlu terus istiqamah untuk bebas daripada pengaruh syaitan dan hawa nafsu agar terus hidup sesuci fitrah manusia. 


Selari dengan firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Syams ayat 9  


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا


Maksudnya:"sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu".


Allah Subhanahuwata'ala pula telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang menolak keinginan nafsunya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Nazi’at ayat 40-41,


وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ


Maksudnya:"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya". Al-Nazi’at ayat 40.


فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ


Maksudnya:"Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)". Al-Nazi’at ayat 40.


Memandangkan pasca Ramadhan dimulakan dengan Syawal, maka pengisian sambutan Syawal perlu dipenuhi dengan ibadah dan amalan yang diredai Allah Subhanahuwata'ala. Ini juga bertepatan dengan kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali: “Sesungguhnya Hari Raya bukanlah bagi orang memperindahkan pakaian dan kenderaan semata-mata, namun hakikatnya Hari Raya ialah bagi sesiapa yang diampunkan dosa-dosanya. Hari Raya juga bukanlah untuk orang memakai pakaian yang baharu namun sesungguhnya Hari Raya itu adalah untuk sesiapa yang keimanannya bertambah-tambah".


Ketibaan Syawal menandakan tamat ibadat puasa oleh umat Islam selama sebulan pada bulan Ramadan. Ibadat puasa disyariatkan bagi melatih diri kita menjadi insan bertakwa yang sentiasa mentaati segala perintah Allah Subhanahuwata'ala. Selepas sebulan berada dalam madrasah Ramadhan, kita menyambut Aidilfitri sebagai tanda kejayaan usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala. Pada masa yang sama, kita mengharapkan agar Allah Subhanahuwata'ala memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang kembali kepada fitrah, yang suci (al-‘aidin) dan dalam golongan hamba-Nya yang berjaya (al-faizin). 


Fitrah ialah kejadian asal manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala, 

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ


Maksudnya: (Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. Al-Rum ayat 30


Begitu juga sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi". Al-Bukhari (1385)


Fitrah secara ringkasnya bermaksud asal kejadian manusia yang Allah Subhanahuwata'ala jadikan manusia di atasnya, yang dengan kesuciannya manusia mampu dan bersedia untuk menerima kebenaran Islam. Lihat Tafsir al-Baidhawi (أنوار التنزيل وأسرار التأويل، ج 4، ص 206)


Selain itu, kemeriahan sambutan lebaran juga perlu diisi dengan cara Islam yang diredai Allah Subhanahuwata'ala dan bukannya terikut-ikut dengan perbuatan yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. 


Jadi, unsur ketakwaan perlu dipelihara dan kita perlu berusaha menghindari daripada mencemarkan sambutan Syawal dengan unsur-unsur ketidakpatuhan kepada Allah Subhanahuwata'ala atau perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.


Kebahagiaan hidup yang sebenar pula adalah apabila hadirnya ketenangan saat kita melakukan amal ibadat dan ketika berurusan dengan manusia.


Islam itu indah apabila dijaga hubungan dengan Allah (حَبْلٍ مِّنْ اللَّهِ) dan hubungan sesama manusia (حَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ) dengan sempurna. Justeru itu, ambil kesempatan dengan keberkatan Syawal ini untuk mengeratkan silaturahim sesama manusia. Fitrah kehidupan manusia yang diciptakan Allah Subbhanahuwat'ala adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana itulah hikmah kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi.


Amal soleh secara umum mencakupi hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Hubungan dengan Allah biasanya disebut dengan Hablum Minallah (حَبْلٍ مِّنْ اللَّهِ) atau juga disebut Ubudiyah dan hubungan dengan sesama manusia sering disebut Hablum Minannas (حَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ).


Kedua-dua istilah ini tercantum dalam Al-Qur'an pada surat Ali Imran: 112


ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُواْ إِلاَّ بِحَبْلٍ مِّنْ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَآؤُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُواْ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الأَنبِيَاء بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ


Maksud:"Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh Para Nabi tanpa alasan yang benar. yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas."


Seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baharu dan mengekalkan momentum yang terjana ketika Ramadhan. Itulah nilai keberkatan di sebalik Aidilfitri yang diraikan agar amal ibadah dan kebajikan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan tidak sia-sia.


Ramadhan menuntut kita berusaha menjaga pahala puasa agar tidak berkurangan. 


Sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]


Demikian juga dengan bulan-bulan seterusnya sepanjang hidup, kita patut berusaha untuk mengelakkan dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala yang menyumbang kepada dosa. Inilah semangat yang kita harapkan daripada Ramadhan. Bermulanya Syawal menjadi titik tolak agar dosa-dosa itu tidak diperolehi tanpa sedar atau sebaliknya.


Oleh itu, Ramadhan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang sedang diraikan dijadikan sebagai langkah permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan yang baik.


Syawal bukan bermakna kita perlu melupakan semangat yang dibawa oleh Ramadhan yang merupakan kesinambungan semangat yang terhasil daripada “didikan” Ramadhan, yang mana jadual harian di dalam bulan Ramadhan telah disusun khusus oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin. Syawal seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Justeru, unsur kesyukuran atas nikmat kurniaan Ilahi perlu sentiasa tertanam kukuh dalam minda walaupun dalam menunaikan segala aktiviti harian kita.


Dalam hal ini, rasa keinsafan semata-mata adalah tidak memadai. Ia seharusnya disertai dengan reaksi kita menzahirkan rasa kehambaan pada setiap detik. Rasa keinsafan ini akan menjadi lebih mendalam sekiranya pengamatan  dihalakan kepada tujuan manusia dijadikan untuk beribadah kepada Allah Justeru semangat Ramadhan yang menganjurkan kita membanyakkan amalan amal ibadah seharusnya diteruskan pada Syawal dan pada bulan-bulan yang seterusnya.


Pada bulan Ramadhan, rintihan dan pengaduan banyak dihubungkan terus dengan Allah. Allah menjadi sebaik-baik tempat utama untuk kita mengadu dan bergantung di saat bermunajat dan qiyamullail pada malam-malam Ramadhan. Ia merupakan latihan untuk kita bergantung hanyalah kepada Allah apabila pelbagai ujian dan mehnah berlaku dalam hidup. Itulah fitrah manusia yang memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal". Al-Anfal Ayat 2


Seharusnya sambutan Syawal perlu disertakan dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan sepanjang Ramadhan yang menjadi medan tarbiyah untuk mencari sebuah kesempurnaan.

.

Semoga Aidilfitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada Ramadhan yang telah dilalui.


Muhasabah atau menghitung diri adalah sebahagian daripada jalan dalam mencapai ma’rifatullah. Muhasabah diri memerlukan persediaan hati yang penuh sedar, pemikiran yang celik dan terbuka, serta sensitif kepada bisikan-bisikan nafsu dan syaitan. Muhasabah adalah perintah dari Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Al-Hasyr ayat 18


Seseorang yang bertaqwa adalah mereka yang membawa sebaik-baik bekal, dan dalam perjalanan mencari bekal tersebut tidak jarang seseorang merasa lelah dan bosan yang mengakibatkannya tidak sedar diri sehingga tergelincir dan terjatuh dalam lemah semangat untuk melakukan amal saleh. Muhasabah akan membantu seseorang untuk menghadapi berbagai rintangan yang bakal ia ketemukan dalam pencariannya untuk mendapatkan bekal tersebut. Maimun bin Mahran rahimahullah berkata:


لَا يَكُوْنُ الْعَبْدُ تَقِيًّا حَتَّى يَكُوْنَ لِنَفْسِهِ أَشَدُّ مُحَاسَبَةً مِنَ الشَّرِيْكِ الشَّحِيْحِ لِشَرِيْكِهِ


Maksudnya:“Tidaklah seorang hamba menjadi bertaqwa sampai dia melakukan muhasabah atas dirinya lebih keras daripada seorang teman kerja yang kedekut yang membuat perhitungan dengan temannya”.


Jika kita mampu memelihara serta memperbanyakkan ruang meraih pahala di bulan suci itu, begitulah juga di luar tempohnya. Apa salahnya jika diteruskan sahaja amalan membaca al-Quran, bersedekah, mengerjakan solat sunat atau solat secara berjemaah di masjid atau surau dan duduk dalam majlis ilmu atau tazkirah yang diamalkan ketika Ramadhan.


Jangan jadikan amal kebajikan tertentu yang dilakukan hanya bermusim, seharusnya ia menjadi titik tolak untuk ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda.


Islam menuntut kita untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebaikan. Setiap amal kebaikan yang dilaksanakan seperti bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan lainnya, hendaklah berterusan dan diamalkan untuk menjadi pembakar semangat sebagai usaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Istiqamah yang dimaksudkan ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan menekuni melaksanakan syariat tanpa berubah dan tidak berpaling walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti diperintahkan Allah dan Rasul dalam Surah Fusilat Ayat 6,


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ ۗ وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ


Maksudnya:"Katakanlah: "Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepada-Nya dan mohonlah ampun kepada-Nya. Dan kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya.


Dari ’Aisyah –radhiyallahu ’anha-, beliau mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ


Maksudnya:"Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun itu sedikit".


Istiqamah adalah daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan.


Iltizam juga perlu ditanam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang menjadi khalifah di muka bumi. Tidak lain hanyalah bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik).


   





No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...