Wednesday, January 25, 2023

Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj


Peristiwa agung Israk dan Mikraj di mana Baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dibawa dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa kemudian diangkat ke langit dalam hanya satu malam menunjukkan keagungan kuasa Allah Subhanahuwata’ala.


Allah Subhanahuwata'ala telah memperlihatkan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam keagungan kerajaan-Nya yang tiada terbatas. Peristiwa ini mendidik manusia untuk merasa diri kerdil di hadapan Allah Subhanahuwata’ala dan mengakui hakikat diri sebagai hamba Allah.


Umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini sebagai bukti keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Juga mengambil ibrah dari peristiwa ini dengan penuh penghayatan dan ketakwaan.


Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah Al-Israa' ayat 1,


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya:"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam) pada malam hari dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".


Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah diisrakkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan dari sana Baginda dimikrajkan ke langit. Seterusnya Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran pemerintahan dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala. Dalam peristiwa Israk tersebut, Baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perbuatan manusia berserta balasan yang bakal mereka terima. Ini adalah sebagai satu ujian kepada manusia terhadap keimanan dan ketakwaan mereka. Dengan demikian mudah-mudahan akan menambah lagi keimanan dan rasa takut untuk membuat kemungkaran.


Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Israa' ayat 60,


وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا


Maksudnya:"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhan meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran, maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".


Menurut Tafsir al-Jalalyn,

(Dan) ingatlah (ketika Kami wahyukan kepadamu, "Sesungguhnya Rabbmu meliputi segala manusia.") yakni ilmu dan kekuasaan-Nya meliputi mereka, dengan demikian maka mereka berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya. Maka sampaikanlah kepada mereka jangan sekali-kali engkau merasa takut terhadap seseorang pun kerana Rabbmu akan memelihara dirimu dari mereka. (Dan Kami tidak menjadikan rukyah yang telah Kami perlihatkan kepadamu) secara kenyataan pada malam isra (melainkan sebagai batu ujian bagi manusia) bagi penduduk Mekah kerana mereka ternyata mendustakannya sedang sebahagian yang lainnya yang telah beriman menjadi murtad sewaktu hal itu diceritakan kepadanya (dan begitu pula pohon kayu yang terkutuk di dalam Alquran) yaitu pohon zaqqum yang tumbuh di dasar neraka Jahim; Kami jadikan kisah itu sebagai batu ujian bagi keimanan mereka. Kerana mereka mengatakan bahwa api itu membakar pohon apa saja, mengapa pohon zaqqum dapat tumbuh di dalamnya? (Dan Kami takuti mereka) dengan pohon zaqqum itu (tetapi yang demikian itu tidak menambah kepada mereka) untuk takut (melainkan hanyalah kedurhakaan yang besar saja”. Lihat Tafsir al-Jalalyn.


Peristiwa Israk dan miraj berlaku pada tahun ke-12 kerasulan, selepas Baginda mendapat ujian yang berat iaitu menerima tentangan yang hebat dalam dakwah Baginda serta kehilangan isteri Khadijah Khuwailid dan bapa saudara disegani ramai Abu Talib Abdul Mutalib.


Tahun kematian dua kekasih hati Baginda itu digelar  sebagai Tahun Kesedihan/kedukaan (عام الحزني). Israk Mikraj mendatangkan kegembiraan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Dan sebagaimana lazimnya, pada setiap 27 Rejab, umat Islam akan merayakan sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai-bagai majlis ilmu dan keagamaan. Akan tetapi sejauh manakah penghayatan kita terhadap kisah-kisah yang telah diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu? 


Adalah tidak bermakna dan tidak bererti jika kita hanya memperingatinya sahaja, sedangkan tidak mengambil iktibar dan tidak membawa kepada perubahan yang positif kepada diri kita. Maka rugilah orang-orang yang mensia-siakan usia dan terus leka dan lalai dalam kehidupan. Sesungguhnya dengan ketaatan dan keimanan kepada Allah Subhanahuwataala sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan baik di dunia mahupun di akhirat.


Di antara peristiwa penting yang berlaku di dalam Israk dan Mi’raj ialah perintah solat secara khusus. Kisah ini diceritakan di dalam hadith sahih berkenaan Israk Mi’raj yang panjang. Kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menceritakan tentang peristiwa isra’ dan mi’raj, Baginda menyebut juga,


ثُمَّ فُرِضَتْ عَلَيَّ الصَّلَوَاتُ (الصَّلَاةُ) خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَمَرَرْتُ عَلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قَالَ أُمِرْتُ بِخَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي وَاللهِ قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِعَشْرِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قُلْتُ أُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسَ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ قَالَ سَأَلْتُ رَبِّي حَتَّى اسْتَحْيَيْتُ وَلَكِنِّي (وَلَكِنْ) أَرْضَى وَأُسَلِّمُ قَالَ فَلَمَّا جَاوَزْتُ نَادَى مُنَادٍ أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي


Maksudnya : “ Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab : Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari. Kata Nabi Musa : Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada  Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Kata Nabi Sallallahu'alaihiwasallam : Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyebut : Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama. Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata : Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?. Kata Nabi Sallallahu'alaihiwasallam : Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda : Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah. Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku". Al-Bukhari (3887)


Di antara hikmah berlakunya Israk dan Mikraj itu, di mana Allah Subhanahuwata’ala telah memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh, tidak lain melainkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif dan membina terhadap diri mereka. 


Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk solat maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikannya. Jika dahulunya makan riba, maka sekarang telah berubah dan tidak akan melakukannya lagi, begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah Subhanahuwataala dan meninggalkan larangan-Nya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.


Sesungguhnya banyak kejadian-kejadian yang telah diperlihatkan kepada Baginda Sallallahu'alaihiwasallam sewaktu Baginda diisrakkan. Antaranya :


Pertama : Baginda Sallallahu'alaihiwasallam telah melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu kembali seperti asalnya. Perbuatan itu dilakukan berulang-ulang kali, begitulah keadaannya berterusan. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bertanya kepada Jibril Alaihissalam,'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab : 'Mereka adalah sebagai gambaran golongan umat tuan yang suka melalaikan waktu solat sehingga habis waktunya'.


Umat Islam wajib mengerjakan solat fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan solatnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya jika ia seorang yang beriman, ia akan menjaga solatnya dengan sempurna baik dari perlaksanaannya mahupun waktunya. 


Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah Al-Maun ayat 4-5,


فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ. الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ


Maksud:"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya".


Nabi Salallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ


Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal”.

Riwayat al-Tirmizi (413), Ahmad (8017), Abu Daud (864) dan Ibn Majah (1425)


Allah Subhanahuwata'ala telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ


Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu".  Al-Mudassir ayat 42-48.


Kedua: Baginda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah melihat segolongan manusia yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Oleh itu, ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.


Imam al-Nawawi Rahimahullah menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan: “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran (تأويل) sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain". Syarah Muslim (1/205)


Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata: “Adapun dalil kefardhuan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.”


Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


مَنْ آتَاهُ اللهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ


Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu".

Al-Bukhari (1338)


Seterusnya, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam membacakan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَلا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْراً لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ


Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan". Ali-Imran ayat 180


Ketiga : Baginda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah melihat segolongan manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah. Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah. Lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril Alaihissalam : 'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab: 'Mereka adalah gambaran di antara umat tuan yang suka berzina. Mereka sebenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya'.


Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah mengingatkan hamba-hamba-Nya untuk tidak mendekati perbuatan zina sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Israa' ayat 32,


وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا


Maksudnya:"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan".


Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, bahwa Nabi ﷺ bersabda:


ثَـلَاثَةٌ لَا يُـكَـلّـِمُـهُمُ اللّٰـهُ يَوْمَ الْقِـيَـامَـةِ وَلَا يُـزَكّـِيْهِمْ (وَلَا يَـنْـظُـرُ إِلَيْهِمْ) وَلَـهُمْ عَـذَابٌ أَلِـيْمٌ: شَيْخٌ زَانٍ، وَمَـلِـكٌ كَـذَّابٌ ، وَعَائِـلٌ مُسْتَـكْبِـرٌ.


Maksudnya:"Ada tiga golongan manusia yang pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan berbicara kepada mereka, tidak akan menyucikan mereka (tidak akan memandang mereka), dan mereka mendapatkan siksa yang pedih, yaitu: Orang lanjut usia yang berzina, Raja (penguasa) yang pendusta, dan Orang miskin yang sombong". Muslim (107), an-Nasa-i (V/86) dan Ahmad (II/433).


Zina adalah perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri akhlak keturunan dan masyarakat.


Di antara keburukan zina ialah keruntuhan moral dan akhlak, melahirkan anak haram yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan itu hidup-hidup. Perbuatan itu dilakukan kerana malu dan juga kerana hendak menyembunyikan perbuatan kotor yang telah dilakukan itu.


Keempat: Baginda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah melihat lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.


Riba adalah 'ziyadah', 'kenaikan' atau 'berlebihan' pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal berlaku pada sesuatu jenis kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya". Al-Baqarah ayat 275.


Imam an-Nawawi berkata, "Telah ijma' seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu', 9/391).


Sebagai orang Islam, kita hendaklah mematuhi ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam, bukan mengingkarinya dan hanya menurut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan buruk perbuatan yang dilakukan. Itulah gunanya akal yang dikurniakan kepada manusia supaya manusia berfikir dan bertindak dengan waras dan betul.


Akhirnya marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, mudah-mudahan kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api Neraka.



 



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...