Wednesday, November 23, 2022

Kezaliman adalah kegelapan-kegelapan di hari kiamat. Dan ubat penyakit zalim.

Kezaliman adalah kegelapan-kegelapan di hari kiamat. Dan ubat penyakit zalim.


Kata zalim berasal dari bahasa Arab, dengan huruf ظ ل م  yang bermaksud gelap.


Al-Qur’an menggunakan kata ظُلْمٌ selain itu juga digunakan kata بَغْيٌ, yang ertinya sama dengan zalim iaitu melanggar hak orang lain.


Namun pengertian zalim lebih luas maknanya berbanding بَغْيٌ, ianya bergantung pada kalimat yang disandarkannya.


Dari segi bahasa Zalim berasal  dari perkataan اَلظُّلْمُ : اَلْجَوْرُ وَمُجَاوَزَةُ الْحَدِّ,  yakni kezaliman, penyimpangan dan melampaui batas. 

Makna dasar dari "zalim adalah menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya". Lihat al-Mu’jamul Wasith (Bab zha’, hlm. 577).


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ada menyebutkan dalam sabdanya bahawa kezaliman adalah kegelapan-kegelapan di hari kiamat,


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ الله رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُول الله  صلى الله عليه وسلم: اتَّقُوا الظُّلْمَ ؛ فَإنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ القِيَامَةِ . وَاتَّقُوا الشُّحَّ ؛ فَإِنَّ الشُّحَّ أهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ . حَمَلَهُمْ عَلَى أنْ سَفَكُوا دِمَاءهُمْ ، وَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ


Maksudnya:"Dari Jabir bin ‘Abdillah Radhiyallahu anhu ia berkata, “Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, ‘Berhati-hatilah kalian terhadap kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan-kegelapan di hari Kiamat. Dan berhati-hatilah kalian terhadap sifat kikir kerana kekikiran itulah yang telah membinasakan orang-orang sebelum kalian. Kekikiran itu mendorong mereka menumpahkan darah dan menghalalkan kehormatan mereka". Muslim(2578)


Pada hadith ini terdapat peringatan dan ancaman dari berbuat zalim. 


Kezaliman merupakan sebab kegelapan bagi pelakunya yang akan membuatnya tidak boleh menentukan arah atau jalan yang akan dituju pada Hari Kiamat; atau boleh juga ia menjadi sebab kesempitan dan kesulitan bagi pelakunya. (Syarhu Sahih Muslim, 16/350; Tuhfatul Ahwadzi, “Kitab al-Birr wa Shilah an Rasulillah”, “Bab Ma Ja`a fiz Zhulum”)


Manusia sering melakukan kezaliman, padahal ianya bukanlah perkara yang remeh. Berbuat zalim adalah tabiat manusia, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ


Maksudnya:"Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)". Ibrahim ayat  34.


إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا


Maksudnya:“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung. Akan tetapi, semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat). Lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh". Al-Ahzab ayat  72.


Hukum berbuat zalim adalah haram dalam syariat Allah Subhanahuwata’ala. Bahkan, Allah Subhanahuwata’ala telah mengharamkan kezaliman bagi diri-Nya. Allah Yang Mahasuci berfirman dalam hadith Qudsi.


Dalam hadith Qudsi Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyebutkan bahawa Allah berfirman,


إِنِّي حَرَّمْتُ عَلَى نَفْسِي الظُّلْمَ وَعَلَى عِبَادِي فَلَا تَظَالَمُوا


Maksudnya:"Wahai hamba Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, lalu Aku mengharamkannya atas kalian semua, maka janganlah kalian saling menzalimi". Muslim (2557)


Setiap Muslim diajarkan agar tidak melakukan perbuatan zalim atau aniaya kepada orang lain dan terhadap dirinya sendiri. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan  azab bagi orang yang zalim.


Hal ini sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya pada surat Al-Furqan ayat ke-19,


  وَمَنْ يَظْلِمْ مِنْكُمْ نُذِقْهُ عَذَابًا كَبِيرًا  


Maksudnya:"Barangsiapa di antara kamu yang berbuat zalim, nescaya kami rasakan kepadanya azab yang besar". 


Ada tiga jenis kezaliman, sebagaimana  dijelaskan dalam hadith dari Anas bin Malik radhiallahu’anhu, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الظلمُ ثلاثةٌ ، فظُلمٌ لا يغفرُهُ اللهُ ، وظلمٌ يغفرُهُ ، وظلمٌ لا يتركُهُ ، فأمّا الظلمُ الذي لا يغفرُهُ اللهُ فالشِّركُ ، قال اللهُ : إِنَّ الْشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ، وأمّا الظلمُ الذي يغفرُهُ اللَّهُ فَظُلْمُ العبادِ أنفسُهمْ فيما بينهُمْ وبينَ ربِّهمْ ، وأمّا الظلمُ الّذي لا يتركُهُ اللهُ فظُلمُ العبادِ بعضُهمْ بعضًا حتى يَدِينَ لبعضِهِمْ من بعضٍ


Maksudnya:"Kezaliman ada tiga: kezaliman yang tidak Allah ampuni, kezaliman yang Allah ampuni dan kezaliman yang tidak mungkin dibiarkan oleh Allah.


Adapun kezaliman yang tidak Allah ampuni, itu adalah kesyirikan. Allah berfirman: kesyirikan adalah kezaliman yang paling besar(Luqman ayat 13).


Adapun kezaliman yang Allah ampuni adalah kezaliman seorang hamba pada dirinya sendiri, iaitu antara ia dengan Allah.


Adapun kezaliman yang tidak mungkin dibiarkan oleh Allah adalah kezaliman hamba pada orang lain sehingga kezaliman tersebut terbayar". Riwayat Abu Daud Ath Thayalisi [2223], Abu Nu’aim dalam Al Hilyah [6/ 309],


Dalam hadith di atas ada tiga kategori kezaliman yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala: 


1- Kezaliman hamba kepada Rabb-nya


Kezaliman manusia kepada Penciptanya adalah dengan berbuat kufur kepada Allah atau berbuat syirik.


Seperti firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surat al-Baqarah ayat 254:


  وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ 


Maksudnya:"Dan orang-orang kafir itulah orang-orang zalim."


Ayat lain dalam Al-quran juga menyebut kezaliman seorang mahluk juga dinamai dengan berbuat syirik atau menyegutukan Allah dengan zat lain. Allah berfirman dalam surah Luqman ayat 13,


 إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 


Maksudnya:"Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar." 


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا


Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar". Al-Nisa ayat 48.


2. Kezaliman kepada sesama manusia


Menzalimi atau berbuat aniaya kepada sesama manusia adalah merupakan perbuatan yang dibenci Allah Subhanahuwata'ala. Menzalimi orang lain, iaitu menyia-nyiakan atau tidak menunaikan hak orang lain yang wajib ditunaikan. Perbuatan seperti menceroboh kehormatan orang lain, menyakiti tubuh atau hati orang lain sehingga mengambil harta orang tanpa alasan yang benar adalah perilaku yang dimurkai Allah. 


Kezaliman yang tidak akan dibiarkan oleh Allah, iaitu perbuatan hamba-hamba-Nya di antara sesama mereka, kerana ianya pasti akan ditun­tut di akhirat kelak oleh mereka yang dizalimi.


Allah menyebut akan mengambil amalan orang yang berbuat zalim dan diberikan kepada orang yang dizalimi. Bahkan akan menimpakan dosa orang yang dizalimi kepada orang yang menzalimi. 


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam  bersabda,


مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ لَا يَكُونَ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ


Maksudnya:"Barangsiapa menzalimi saudaranya berkaitan dengan kehormatan dirinya atau lainnya maka hendaklah ia segera meminta dihalalkan(atau minta maaf), sebelum tiba saatnya tidak berguna dinar ataupun dirham, sehingga -saat itu- amal soleh orang yang berbuat zalim tersebut akan dikurangi setimpal dengan kezalimannya. Jika ia tidak memiliki amal soleh maka kesalahan –dosa- orang yang ia zalimi akan dibebankan kepadanya". Riwayat Bukhari (2449)


Sebagaimana dalam hadith di atas setiap kezaliman yang dilakukan oleh setiap orang akan diberikan balasan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Dalam hal ini bererti Allah akan menegakkan keadilan bagi siapa saja tanpa kecuali.


Oleh itu, ketika merasa telah berbuat zalim hendaklah segera memohon untuk dimaafkan atau dihalalkan kepada yang terzalimi. 


Namun sebaliknya akan menjadi sulit  ketika perbuatan zalim tersebut tidak disedarinya, maka hal ini pasti tidak akan ada permohonan maaf. Akibatnya adalah ianya akan ditegakkan keadilan di akhirat kelak .


Oleh sebab itu kewaspadaan dalam hal ini sangat penting kerana akibatnya sangat dahysat, iaitu ketika berhadapan dengan keadilan Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak.


Metode penegakan keadilan sebagaimana penjelasan hadith di atas adalah pahala yang dimiliki akan diberikan kepada yang dizaliminya. Dan jika telah habis pahala itu dan perkara yang dizalimi itu masih ada, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diberikan padanya, sehingga pahala amal baiknya habis dan malah dosanya semakin banyak.


Dengan demikian yang terzalimi sewaktu di dunia akan merasai keberuntungan yang sangat besar, kerana pahalanya akan bertambah atau dosanya akan berkurang. Sehingga dengan keadaan demikian dengan rahmat Allah dapat menghantarkannya untuk masuk ke dalam syurga.


3. Zalim terhadap diri sendiri


Kezaliman terhadap  diri sendiri adalah ketika seorang hamba tidak taat kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Yakni tidak taat dalam rangka menunaikan ibadah kepada Allah. Di samping itu ketidaksesuaian sikap hidup terhadap ketentuan Allah dan Rasul-Nya merupakan bentuk kezaliman pada diri sendiri.


Menzalimi diri sendiri, iaitu dengan berbuat dosa dan maksiat. Kezaliman seorang hamba adalah dengan mengotori dirinya dengan berbagai bentuk dosa, pelanggaran dan keburukan berupa kemaksiatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman dalam Al-quran surah al-Baqarah ayat 57,


 وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ  


Maksudnya:"Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." 


إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ


Maksud:"Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri". Yunus ayat 44.


Justeru kerana tabiat manusia suka berbuat zalim maka kita mestilah berusaha mencari ubat untuk mengubati penyakit zalim tersebut. 

Bukankah Allah telah memerintah kita agar membersihkan jiwa dari perkara yang mengotorinya?


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠


Maksudnya: “Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” Asy-Syams ayat  9—10


Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan para hamba-Nya agar bersungguh-sungguh membersihkan jiwa mereka dari perbuatan keji, baik berupa kezaliman, sombong, hasad, dan selainnya. Allah Subhanahuwata'ala berjanji akan menunjukkan jalan keselamatan bagi orang   menyucikan jiwa kerana mengharapkan keredaan-Nya.


وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ


Maksudnya:"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik". Al-Ankabut ayat  69.


Berikut ini juga beberapa perkara yang dapat membantu seseorang agar terhindar dari berbuat zalim:


1-Bertakwa kepada Allah


Takwa merupakan wasiat Allah Subhanahuwata'ala kepada seluruh hamba-Nya dari awal  hingga yang akhir. Ia juga adalah asas agama ini. Dengan takwa, seorang hamba akan dapat menahan diri dari melanggar batasan-batasan Allah Subhanahuwata'ala. Kerana itu, hendaklah setiap jiwa berusaha merealisasikan takwa serta mengetahui keagongan dan kebesaran Allah Subhanahuwata'ala,


وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ….


Maksudnya:".....Bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung". Al-Baqarah ayat 189.


وَمَا قَدَرُواْ ٱللَّهَ حَقَّ قَدۡرِهِۦ وَٱلۡأَرۡضُ جَمِيعًا قَبۡضَتُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَٱلسَّمَٰوَٰتُ مَطۡوِيَّٰتُۢ بِيَمِينِهِۦۚ سُبۡحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ


Maksudnya:"Dan mereka tidak mengagongkan Allah dengan pengagongan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan". Al-Zumar ayat 67


Sesungguhnya,seseorang yang berbuat zalim Dan seandainya ia benar-benar mengagongkan Allah Subhanahuwata'ala sebagaimana mestinya, nescaya ia akan menahan diri dan berhenti berbuat zalim.


2-Tawadhu (rendah hati)


Dalam sabdanya, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan penekanan agar seseorang itu senantiasa bersikap tawadhu.


إِنَّ اللهَ تَعَالَى أَوْحَى إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوْا حَتَّى لاَ يَبغِي أَحَدٌ عَلىَ أَحَدٍ وَلاَ يَفْخَرُ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ


Maksudnya:“Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta’ala mewahyukan kepadaku (untuk menyampaikan) agar kalian bersikap tawadhu; hingga seseorang tidak akan berlaku zalim kepada orang lain dan tidak menyombongkan diri di hadapan orang lain". Muslim (1556)


Tawadhu adalah ubat penyakit zalim. Adapun kesombongan, ia merupakan pemicu atau pencetus seseorang untuk berbuat zalim. Seseorang akan memperolehi sifat tawadhu dengan cara terus melatih dan membiasakan jiwanya agar bersikap dengan sifat tawadhu.


2-Menjauhi sifat hasad


Sebabnya, hasad sendiri adalah merupakan sebab kezaliman. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah melarang dari berbuat hasad.


لاَ تَحَاسَدُوْا


Maksudnya:“...Dan janganlah kalian saling hasad…".Muslim(2564)


Menyemangati jiwa untuk meraih janji Allah untuk orang-orang yang berlaku adil

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ …


Maksudnya:"Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-NYA pada hari kiamat, di hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-NYA,…”


Di antara tujuh golongan itu, disebutkan salah satunya,


إِمَامٌ عَادِلٌ


“..Pemimpin yang adil…". Bukhari (6308)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga bersabda,


إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ


Maksudnya:“...Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar (panggung) yang terbuat darcahaya….". Muslim(3406)


3-Berdoa dengan tulus iohlas kepada Allah.


Allah Subhanahuwata’ala adalah Zat Yang Maha Mengabulkan doa, sebagaimana firman-Nya,


وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ


Maksudnya:"Rabb kalian telah berfirman, ‘Berdoalah kalian kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkan permintaan kalian.’. Ghafir ayat 60


Justeru itu, hendaklah seorang hamba senantiasa memohon pertolongan kepada-Nya, agar dirinya dijauhkan dari perbuatan zalim.



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...