Saturday, August 20, 2022

Keagungan Salam

Keagungan Salam

Salam adalah merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya (seagama dengannya). Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ


Maksudnya: “Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera”. Yunus ayat 10.


Ada hadith yang jelas menggambarkan asal permulaan salam sehingga ia disyariatkan sejak dahulu lagi. Salam yang merupakan ucapan penghormatan sesama manusia mengikut neraca syariah.


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 


خَـلَقَ اللَّهُ عَزَّ وجَلَّ آدَمَ علـى صُورَتِهِ طُولهُ سِتُّونَ ذِراعاً، فَلَـمَّا خَـلَقَهُ قال: اذْهَبْ فسَلِّـمْ علـى أولئِكَ: نَفَرٍ مِنَ الـمَلائِكَةِ جُلُوسٍ فـاسْتَـمعْ ما يُحَيُّونَكَ فإنَّها تَـحِيَّتُكَ وتـحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فقال: السَّلامُ عَلَـيْكُمْ، فقالوا: السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ: وَرَحمَةُ اللَّهِ


Maksudnya: “Telah Allah Subhanahuwata'ala cipta Adam dengan ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah Subhanahuwata'ala menciptanya, Allah Subhanahuwata'ala berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepadamu kerana itu adalah sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ)”. Riwayat al-Bukhari (5759) dan Riwayat Muslim (5075)


Keterangan kiraan 60 hasta:


60 hasta bersamaan 27 meter.

27 meter bersamaan 88.56 kaki


1 hasta = 45 cm

1 hasta = (45 ÷ 100) m

1 hasta = 0,45 meter

1 meter = 2,2222 hasta


1 meter = 3.28 kaki


Antara lafaz “salam” yang boleh digunakan adalah:


السلام عليكم

السلام عليكم ورحمة الله

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Diantara keagungan salam adalah para Malaikat akan mengucapkan salam sejahtera kepada ahli syurga akibat daripada kesabaran yang mereka tempuhi di dunia maka syurga adalah sebaik-baik tempat buat mereka. 


سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ


Maksudnya: “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”. [al-Ra’d:24]


Berdasarkan ayat ini, salam merupakan ucapan penghormatan yang mulia kerana ia digunakan kepada ahli syurga. Selain itu, firman Allah Subhanahuwata'ala,


إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا


Maksudnya: “Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain)”. al-Waqi’ah ayat 26.


Di dalam ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala telah menceritakan kepada kita akan keadaan di dalam syurga, di mana kita tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia melainkan ucapan selamat dan sejahtera antara sesama ahli syurga.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا


Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. al-Nisa’ayat 86.


Ayat di atas pula merupakan khitab (cara komunikasi) Allah Subhanahuwata'ala kepada hamba-hambanya yang mukallaf bahawa mereka diminta untuk mengucapkan atau membalas ucapan tersebut dengan lebih baik atau sama seperti yang diucapkan apabila terdapat manusia yang mendoakan kita dengan panjang umur atau dengan kesejahteraan.


Merujuk kepada firman Allah Subhanahuwata'ala ini, jelaslah menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti yang diucapkan itu.


Antara hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya:


Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:


أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )


Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam: Islam manakah yang paling baik? Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. Riwayat al-Bukhari (11, 27, 5767) dan di dalam Riwayat Muslim, (56).


Antara lain memberi maksud dari hadith di atas agar salam menjadi budaya dan doa sesama orang Islam samada yang dikenali atau tidak.


Daripada al-Barra’ bin Azib RA berkata:


قَالَ الْبَرَاءُ بْنُ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجِنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَهَانَا عَنْ خَوَاتِيمِ الذَّهَبِ وَعَنْ آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَعَنْ الْمَيَاثِرِ وَالْقَسِّيَّةِ وَالْإِسْتَبْرَقِ وَالدِّيبَاجِ تَابَعَهُ أَبُو عَوَانَةَ وَالشَّيْبَانِيُّ عَنْ أَشْعَثَ فِي إِفْشَاءِ السَّلَامِ


Maksudnya: “Bahawa [Al Bara` bin Azib] radliallahu 'anhuma berkata; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah memerintahkan kami tujuh perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan kami untuk menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, menjawab orang yang bersin, menunaikan sumpah, menolong orang yang terzalimi, menebarkan salam dan memenuhi undangan. Kemudian beliau melarang kami untuk mengenakan cincin emas, memakai bejana perak, mencabut uban, mengenakan Al Qassiyyah (pakaian yang bercampur dengan bahan sutera), Al Istibraq (kain yang dilapisi dengan bahan sutera) dan Ad Diibaj (sejenis pakain dari kain sutera). Hadits ini diperkuat oleh [Abu Awanah] dan [Asy Syaibani] dari [Asy'ats] dalam menyebarkan salam. Riwayat al-Bukhari (4777).


Dalam hadith ini terdapat 7 arahan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam kepada kita untuk dilaksanakan terutamanya hubungan sesama manusia, salah satunya ialah menyebarkan salam. Natijah pelaksanaan perintah ini akan melahirkan masyarakat yang saling mawaddah dan berkasih sayang.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ


Maksudnya: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. Riwayat Muslim (81)


Hadith ini dengan jelas mengkhabarkan kepada kita bahawa salam merupakan punca dan asbab kasih sayang yang sebenarnya merupakan sejuzuk daripada tanda kesempurnaan iman yang akhirnya melayakkan kita menuju ke syurga-Nya.


Memberi salam yang pertama adalah wajib Dan merupakan satu rukun dari rukun-rukun solat berdasarkan sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam :


مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ


Maksudnya : “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam”. Riwayat al-Tirmizi (238).


Imam Nawawi mengulas hadis di atas dengan katanya :


“Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/475-476)]


Di dalam sebuah hadith  yang sahih bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah mengajar kita cara untuk memberi atau mengucapkan salam sesama Islam.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ ، وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ


Maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai”. Riwayat al-Bukhari (5765), Riwayat Muslim (4019).


Berdasarkan hadith ini menunjukkan disunatkan kepada kita untuk memulakan ucapan salam kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Di samping itu juga, tidak menjadi masalah bagi orang yang berjalan atau orang yang duduk untuk mengucapkan salam jika orang yang berkenderaan atau orang yang berjalan tidak mengucapkannya walaupun mereka inilah yang sepatutnya memulakan ucapan salam berdasarkan hadith di atas. Ini bertujuan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Berdasarkan dalil-dalil di atas dan dalil-dalil yang lain maka para ulama’ mengatakan hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkkan dan amat dituntut oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam (سنة مستحبة) walaupun di sana terdapat perintah atau arahan daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk kita menyebarkan dan mengucapkan salam, namun perintah tersebut bukanlah bersifat wajib. Inilah pendapat yang masyhur dalam kalangan para alim ulama. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib kerana Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan kita untuk menjawabnya, berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا


Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”. al-Nisa’ ayat 86.


Budaya mengucapkan salam sudah semakin dilupakan dan tidak diamalkan di dalam masyarkat kita pada hari ini. Mengucapkan salam tidak memerlukan belanja atau tenaga, ia cuma memerlukan kita melafazkannya dengan bibir yang disertakan hati yang ikhlas. Betapa mulianya salam sehingga Jemaah haji yang pulang dari Mekah salah satu daripada tanda hajinya mabrur adalah sentiasa suka memberi salam. Semoga Allah Subhanahuwata'ala memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. آمين.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...