Tuesday, July 12, 2022

Menuntut Ilmu adalah Jihad dan adab dalam menuntut ilmu

Menuntut Ilmu adalah Jihad dan adab dalam menuntut ilmu

Menuntut ilmu adalah bahagian dari jihad di jalan Allah, kerana agama akan terjaga dengan dua keadaan iaitu dengan ilmu dan berperang (berjihad) dengan senjata.


Adapun dalil yang mendukung bahawa menuntut ilmu termasuk jihad adalah firman Allah Ta’ala,


وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ نَذِيرًا (51) فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا (52


Maksudnya:“Dan andaikata Kami menghendaki benar-benarlah Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang yang memberi peringatan (rasul). Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan jihad yang besar”. Al Furqon ayat 51-52.


Keutamaan dan kepentingan ilmu adalah kerana untuk menjaga syari’at.  Jihad dengan senjata juga mesti berbekalkan ilmu. Tidak mungkin bagi seseorang untuk berjihad, mengangkat senjata, mengatur strategi, membahagi ghonimah (harta rampasan perang), menawan tahanan melainkan mesti dengan ilmu. Ilmu itulah dasar segalanya. Ilmu yang dipuji di sini adalah ilmu agama yang sudah semistinya berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.


Berjuang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu amatlah penting dalam kehidupan dan ia merupakan salah satu jihad yang paling agung. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


 مَنْ خَرَجَ فِيْ طَلَبِ الْعِلْمِ فَهُوَ فِيْ سَبِيْلِ الله حَتَّى يَرْجِعَ

 

Maksudnya:"Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga ia kembali". Riwayat at-Tirmizi. 


Ilmu adalah kunci segala kebaikan dan pengetahuan. Ilmu juga merupakan kewajipan untuk menjalankan segala yang Allah Subhanahuwata'ala perintahkan kepada kita. Ada beberapa hal yang mewajibkan muslim untuk menuntut ilmu sebagai contoh ilmu Fardhu Ain yang wajib dipelajari dan berdosa sekiranya ditinggalkan.


Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ


Maksudnya:“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim”. Riwayat Ibnu Majah (224),


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah Subhanahuwata'ala akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah Subhanahuwata'ala akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. Riwayat Muslim (4867)


Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith ini:


-Allah Subhanahuwata'ala akan memudahkan jalan ke Syurga.

-Kelebihan datang ke masjid untuk mempelajari al-Qur’an.

-Mendapat sakinah dan rahmat daripada Allah Subhanahuwata'ala.

-Mendapat perlindungan daripada para malaikat.

-Syarat yang diperlukan untuk mendapat semua ini perlulah dengan niat yang betul.


Menuntut ilmu adalah merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan samada perkara tersebut baik atau tidak. Selain itu, Allah Subhanahuwata'ala juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:


يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ


Maksudnya: “Supaya Allah Subhanahuwata'ala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. al-Mujadalah ayat 11.


Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]


Dalam menuntut ilmu, seorang penuntut mestilah memastikan penampilan diri kemas dan bersih. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Jibril menjelmakan dirinya sebagai seorang lelaki. Selain itu juga, Jibril menunujukkan  cara beradab ketika berada dalam majlis ilmu dan beradab dengan ulama. Kedatangannya bermaksud untuk menyampaikan dan mengajar agama kepada Rasul dan umatnya.


عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ


Maksudnya:"Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi Sallallahu'alaihiwasallam………". Riwayat Muslim. 


Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk bertanya beberapa soalan tentang din(agama). Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. Jika dia tidak tahu, maka tidak tercela baginya untuk berkata: “Saya tidak tahu”. Inilah tanda wara’ para ulama atau orang berilmu.


Terdapat berapa adab atau karakter yang boleh diikuti sebagai seorang penuntut ilmu iaitu;


1-Menggunakan pakaian yang bersih ketika ingin belajar atau belajar. Ia ditunjukkan oleh Jibril dimana pakaian jibril yang sangat putih dan tiada kekotoran

2-Penampilan yang kemas. Ia ditunjukkan oleh jibril dimana rambutnya yang sangat hitam dan penampilan atau mukanya tidak mempunyai kesan perjalanan jauh.

3-Keperluan bertalaqqi untuk sesuatu ilmu. Ia ditunjukkan oleh Jibril dimana Jibril duduk dihadapan nabi sehinggan lutut bertemu lutut.


Dalam hadith lain, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


تَعَلَّمُوْاوَعَلِّمُوْاوَتَوَاضَعُوْالِمُعَلِّمِيْكُمْ وَلَيَلَوْا لِمُعَلِّمِيْكُمْ

 

Maksudnya:"Belajarlah kamu semua, dan mengajarlah kamu semua, dan hormatilah guru-gurumu, serta berlaku baiklah terhadap orang yang mengajarkanmu". Riwayat Tabrani. 

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...