Tuesday, June 28, 2022

Zikir kepada Allah banyak-banyak (اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا)

Zikir kepada Allah banyak-banyak (اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا)

Zikir dari segi bahasa bermaksud sebut dan ingat. Dari sudut peristilahan tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa merasa hadir hati berserta Allah.

Lihat Miftah al-Falah. 


Zikir bermaksud mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi sebutan dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan, atau apa saja yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.


Al-Qur’an dan hadith menyebut tentang persoalan zikir dengan menyentuh pelbagai aspek dan kaitan. Antaranya menyentuh tentang perintah dan galakan melakukan zikir, kelebihan zikir, hakikat zikir, kaifiyyat melakukan zikir, waktu keutamaan melakukan zikir, hubungan zikir dengan perkara-perkara lain, kesan dan faedah zikir, golongan ahli zikir dan sebagainya lagi


Zikir adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam. Perintah supaya melaksanakan zikir ditemui dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Zikir adalah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan tanpa ada halangan dan keterikatan dengan syarat-syarat tertentu untuk diamalkan sebagaimana ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ia adalah rahsia dan penghubung secara langsung antara hamba dengan Tuhannya. Setiap mukmin yang mengingati Allah pasti akan diingati oleh-Nya.


Ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Antara perkara yang disebut tentang zikir ini ialah suruhan sepaya memperbanyakkan zikrullah. Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadith yang menyuruh supaya memperbanyakkan zikir. 

Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah Subhanahuwata'ala secara umum. 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”.


Seseorang itu tidak mencapai darjat ingat kepada Allah dengan ingatan yang banyak sehinggalah dia mengingati Allah dalam semua keadaan dan ketika iaitu satu tingkatan di mana zikir sudah menjadi sesuatu yang sebati dengan diri. 


Abdullah bin Busr menceritakan bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam sangat banyak untuk aku lakukan. Beritahu aku sebuah amalan yang boleh aku pegang teguh.” Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pun bersabda:


لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله


Maksudnya“Hendaklah lisanmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah". Riwayat Ibnu Abi Syaibah, At-Tirmizi dan lain-lain. At-Tirmizi berkata: “Hadith hasan Gharib.


Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


أنا عند ظن عبدي بي، وأنا معه إذا ذكرني، فإن ذكرني في نفسه، ذكرته في نفسي، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم


Maksudnya:"Aku dengan sangkaan hambaKu terhadapKu. Akan Aku selalu bersamanya jika dia selalu mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dan dalam dirinya, nescaya Aku mengingatinya dalam diriKu. Dan jika dia mengingatiku dalam sebuah majlis, nescaya Aku akan mengingatinya dalam majlis yang lebih baik daripada majlis mereka". Riwayat Bukhari dan Muslim. 


Penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadith kebanyakkannya merujuk kepada makna menyebut dan mengingati Allah (zikrullah) dan perkara yang berkaitan dengannya merangkumi tasbih, tahlil, takbir, solawat dan sebagainya. Inilah makna hakiki bagi perkataan zikir. 


Oleh itu makna hakiki bagi perkataan zikir ialah zikrullah. Manakala penggunaan perkataan zikir dengan makna yang lain adalah secara majazi(pinjaman) yang memerlukan qarinah (kaitan) tertentu.

Ini kerana perkataan zikir merupakan lafaz isytiraq (dikongsi oleh beberapa makna secara hakiki dan majazi). Mengenai lafaz isytiraq ini, makna yang diiktibarkan ialah makna hakiki yang biasa digunapakai bagi lafaz tersebut. 


Penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadih yang merujuk kepada beberapa makna lain seperti makna al-Qur’an, sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ


Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) yang telah menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya Kami pulalah yang akan menjaganya". al-Hijr ayat 9.


Penggunaan perkataan zikir dengan makna solat jumaat, sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui". Al-Jumu`ah ayat 9.


Penggunaan perkataan zikir dengan makna ilmu, sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ


Maksudnya: Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui". Al-Nahl ayat 43


Keagungan dan ketinggian kedudukan amalan zikir menempati kedudukan yang sangat tinggi di antara amalan-amalan yang disyariatkan dalam Islam. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Maksudnya: “dan sesungguhnya Zikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”. Al-`Ankabut ayat 45.


Keagungan dan ketinggian kedudukan amalan zikir ini dapat dilihat dari banyak sudut. Diantaranya:


Untuk membina sakhsiah muslim yang baik, pembersihan dan penyucian hati perlu diberikan tumpuan dan keutamaan sebagaimana yang dapat dilihat pertunjuknya dalam hadith di mana Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam badan manusia ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah bahawa ia adalah hati. Riwayat al- Bukhari, juz.1, hlm.90


Justeru itu, zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat terhadap-Nya. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang menyentuh tentang persoalan zikir mendapati bahawa ia adalah amalan penyuci hati, pembuka hijab rohani, penguat keimanan, penghapus kemunafiqan, pemadam gelora nafsu, penghalau gangguan syaitan dan sebagainya.


Peranan zikir juga, ialah menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagian setelah ia dapat dibersihkan serta disucikan dan penyakit-penyakitnya dapat dibuang. Perkara ini hanya tercapai menerusi zikrullah, 


الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ


Maksudnya:"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram". Ar-Ra’d Ayat 28


Pengaruh zikir juga akan memberi kesan dalam menyedarkan hati yang lalai apabila seseorang itu telah melakukan dosa dan kesalahan. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, kemudian dia ingat kepada Allah, maka dia akan mengalami kesedaran jiwa (intibah). Dia akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya. Dengan mengingati Allah, seseorang itu akan mendapat kesedaran yang mendorongnya untuk beristighfar dan bertaubat.


وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


Maksudnya:"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik". Al-Hasyr Ayat 19


Keampunan kepada lelaki ataupun perempuan yang banyak berzikir mengingat Allah dengan hati dan lisan mereka, Allah menyiapkan untuk mereka ampunan bagi dosa-dosa mereka dan pahala yang besar, iaitu syurga yang mulia sebagai kurnia bagi mereka dan balasan atas amalan mereka.


…..وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا.


Maksudnya:"….laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar". Al-Ahzab ayat 35.


Zikir sebagai penghapus dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan agama. Ini terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia, maka di kala itu dorongan-dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan persoalan ini Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


سَبَقَ الْمُفْرِدُونَ قَالُوا وَمَا الْمُفْرِدُونَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمُسْتَهْتَرُونَ فِي ذِكْرِ اللَّهِ يَضَعُ الذِّكْرُ عَنْهُمْ أَثْقَالَهُمْ فَيَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِفَافًا


Maksudnya: Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam zikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”. Sunan al-Tirmidhi, juz.12, hlm.23.


Apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat-sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang.Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.


Zikir juga berfungsi mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan diperteguhkan. Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Perkara ini dapat dilihat pada pesanan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. kepada para sahabat sebagaimana sabda baginda, 


جددوا ايمانكم  قيل يا رسول الله وكيف نجدد إيماننا قال أكثروا من قول لا إله إلا الله


Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah. Musnad Ahmad, juz.2, hlm.359.


Zikir juga berfungsi menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan ma`rifat. Menyebut, memahami, meyakini dan mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan akan membawa kepada pembukaan pintu ma`rifat sehingga sampai ke tingkatan `Arash. Mengenai perkara ini Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. bersabda, 


مَا قَالَ عَبْدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَطُّ مُخْلِصًا إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ


Maksudnya: Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada `Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar". Sunan al-Tirmidhi, juz.12, hlm.15.


Kesan-kesan zikir seperti yang dijelaskan ini menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan keimanan dan ketaqwaan dan seterusnya pembinaan sakhsiah muslim yang berkualiti. 


Zikir juga berfungsi sebagai pencetus kekuatan, semangat dan keyakinan terhadap kerja. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam mendatangi rumah Ali Dan Fathimah dan mengajarkan zikir sebagai ganti daripada pembantu, 


أَلاَ أُخْبِرُكُمَا بِمَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟! إَذَا أَوَيْتُمَا إِلىَ مَضْجَعِكُمَا تُسَبِّحَانِ اللهَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِيْنَ وَتَحْمَدَانِهِ ثَلاَثًا وَثلَاَثِيْنَ وَتُكَبِّرَانِهِ أَرْبَعًا وَثَلاَثِيْنَ فَذَلِكَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ


Maksudnya:"Mahukah kalian berdua aku tunjukan pada sesuatu yang lebih baik dari seorang pembantu?! Apabila kalian hendak tidur, maka ucapkanlah subhânallâh 33 kali, alhamdulillâh 33 kali dan Allahu akbar 34 kali. Maka itu semua jauh lebih baik bagi kalian dari seorang pembantu”. Riwayat al-Bukhari (3502), Muslim (2727), Abu Dawud (2988).


Ulama menjelaskan bahawa yang dimaksud “lebih baik” pada hadith di atas bukan hanya dalam perkara pahala, akan tetapi juga menunjukan bahawa barangsiapa tekun membaca zikir-zikir tersebut akan diberi oleh Allah Subhanahuwata'ala kekuatan, semangat dan keyakinan terhadap kerja yang membuatnya tidak memerlukan pembantu lagi.


Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah Subhanahuwata'ala. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)

No comments:

Post a Comment

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam.

Mendirikan Masyarakat Atas Dasar Aqidah Islam. Aqidah yang dimaksudkan dalam membentuk masyarakat Islam ialah aqidah yang berpandukan, لَا إ...