Wednesday, June 8, 2022

Aqal dalam mengitsbatkan(menetapkan) kewujudan Allah.

Aqal dalam mengitsbatkan(menetapkan) kewujudan Allah. 

Ada kalangan manusia yang menolak adanya Tuhan (Allah), golongan ini dikenali dengan golongan ateisme. Alasan mereka, kerana tidak dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinganya. Ada kalangan  manusia yang berakal cerdas dan bijak seperti sebahagian ahli sains, ahli falsafah tetapi bersifat sombong dan degil menolak adanya perkara-perkara ghaib, kerana berlagak dia tahu segala-galanya.


Sebahagian ahli falsafah Yunani  cenderung kepada penafian agama dan melepaskan diri daripada terikat dengan mana-mana agama seperti Eficure dan pengikutnya.


Kewujudan gaya fikir ateisme sebenarnya memang sudah wujud pada setiap zaman. Mereka bukanlah suatu agama namun satu gaya fikir yang terhasil daripada akal yang mula menyimpang daripada lumrah dan fitrah.


Sebahagian pengkaji berpendapat zaman awal kegemilangan pemikiran ateisme ialah ketika zaman Renaissance atau lebih tepatnya pada abad ke-18. Ketika itu, ramai yang bangga mengisytiharkan dirinya sebagai ateis. Perjuangan pemikiran ateisme adalah sekadar bersandarkan rasional yang dipaksakan kepada pengikut mereka agar menerimanya dan menganutinya. 

Antara dakwaan ateisme yang masyhur ialah: "Kewujudan Tuhan tidak memenuhi kriteria sebagai satu kewujudan"


Pada mereka Tuhan yang didakwa seluruh agama tidak dapat dicapai melalui lima pancaindera iaitu tidak dapat dilihat, disentuh, didengari, dihidu dan dirasai. Oleh itu, Tuhan dikatakan tidak benar-benar wujud melainkan khayalan yang direka semata-mata.


Di era moden ini, mereka juga mendakwa bahawa Tuhan tidak juga ditemui dengan alat dan mesin yang canggih. Hal ini menyebabkan keyakinan mereka lebih kuat bahawa Tuhan itu tidak ada. Jika kita mendengar hujah ini kita akan merasakan ada benarnya dakwaan mereka. Namun kita perlu sedar, sedetik sahaja hati kita berkata demikian maka akan tergelincir iman kita.


Allah telah menyebut kalangan ini kepada orang yang beriman dan budiman. Firman-Nya, 


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. Al-A’raf Ayat 179


Orang Islam menyakini kewujudan Allah kerana sudah dikhabarkan oleh Nabi dan seluruh umat Islam terdahulu. Kewujudan Allah yang sudah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad yang telah yakin dengan kewujudan Allah dengan pelbagai mukjizat yang diberikan kepada Baginda. Kemudian dikhabarkan kepada para sahabat Nabi sehingga sampai pada kita sekarang, khabar kewujudan Allah adalah mustahil untuk dinafikan. Dengan demikian, kita yakin kewujudan Allah yang termasuk dalam hal ghaibiyyat yang mesti diyakini setiap orang Islam.


Hakikatnya kita perlu sedar pembuktian sesuatu yang wujud tidak terhad kepada lima pancaindera sahaja. Sebaliknya khabar yang mutawatir atau pemberitahuan daripada ramai orang sehingga sukar dinafikan khabar itu juga merupakan suatu kaedah pembuktian kewujudan.


Sebagai contoh, kewujudan gunung tertinggi di dunia Gunung Everest yang diyakini oleh semua orang namun betapa ramai yang belum membuktikan kewujudannya dengan lima pancaindera. Lalu, adakah jika kewujudan gunung Everest tidak dibuktikan dengan lima pancaindera maka ia dianggap tidak wujud? Sudah tentu semua yakin ia wujud. Soalnya daripada mana keyakinan itu wujud?


Jawabnya ialah daripada seseorang yang pernah mendakinya kemudian menceritakan kisahnya kepada media di samping ramai pengkaji yang sudah mendokumentasikan hasil kajian mereka berkaitan gunung Everest. Oleh kerana ramai yang mengkhabarkan kepada kita tentang kewujudannya maka kita yakin ia wujud.


Padahal dalam diri manusia ada aspek akal dan roh yang ghaib tidak dapat dilihat dan didengar. Kadang-kadang ditunjukkan adanya aspek roh dan akal itu melalui pergerakan anggota jasad dalam melakukan sesuatu mengikut pilihannya, kecuali orang berpenyakit gila tidak dapat mengawal dirinya atau kanak-kanak yang belum matang kejadiannya. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ


Maksudnya:"Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?". Az-Dzariyat ayat 21


Menurut Imam al-Thabari, makna “pada diri kamu” adalah wahai sekalian manusia pada diri kamu itu terdapat tanda dan pengajaran yang menunjukkan akan keesaan (kebesaran) Penciptamu. Selain itu, sesungguhnya tiada Tuhan bagimu selain daripada-Nya dan tidak ada sesuatu yang dapat menandingi ciptaan-Nya sebagaimana kamu (diciptakan). Manakala makna “tidakkah engkau melihatnya” bermaksud tidakkah engkau melihat padanya (penciptaanmu) lalu engkau berfikir akannya maka engkau mengetahui akan hakikat keesaan (kebesaran) Penciptamu iaitu Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 21/519]


Allah Subhanahuwata'ala menuntut hamba-hambanya untuk sentiasa melihat dan berfikir dengan apa yang terdapat pada diri mereka.


Makhluk yang zahir nyata pun tidak diketahui semua, termasuk organ yang halus dalam jasad manusia itu sendiri, seperti urat dan saraf dalam biji matanya yang paling dekat.


Terdapat banyak ayat-ayat atau nas-nas ilahi yang menceritakan akan tuntutan kita untuk sentiasa berfikir dan mengingati Allah Subhanahuwata'ala dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan kita akal agar kita dapat berfikir serta menggunakannya sebaik-baiknya agar dengannya dapat mengenali Allah serta kita tidak termasuk di dalam orang-orang yang kufur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata'ala. 


وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تُؤْمِنَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ


Maksudnya:"Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya". Yunus ayat 100


Dalam ilmu aqidah(عقائد الإيمان) atau ilmu tauhid, seseorang itu boleh juga membuktikan kewujudan Allah dan keesaannya berasaskan dalil aqal yang ijmali, iaitu wujudnya makhluk-makhluk dialam dunia ini membuktikan wujud penciptaannya, iaitu Allah 'Azawajalla. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


قَالَتْ رُسُلُهُمْ أَفِي اللَّهِ شَكٌّ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ


Maksudnya:"Berkata rasul-rasul mereka: "Apakah ada keragu-raguan terhadap (wujudnya) Allah, Pencipta langit dan bumi?....". Ibrahim ayat 10.


Walaupun mustahil akan terjadi secara realiti akan tetapi Allah Subhanahuwata'ala menyuruh berfikir serta membayangkan sekiranya   di langit dan bumi itu ada tuhan-tuhan selain Allah, maka pasti alam ini akan hancur dan tidak stabil. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ


Maksudnya:"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rusak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan".Al-Anbiya Ayat 22


Ayat di atas membayangkan bahawa dalam perkara menetapkan tauhid dan menolak syirik boleh menggunakan aqal yang bersifat fitrah. 


Sifat wajib Allah Subhanahuwata'ala adalah wujud. Wujud(وجود) ertinya Allah Subhanahuwata'ala merupakan zat yang pasti ada. Allah Subhanahuwata'ala adalah zat yang berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa pun.


Menurut Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari, wujud adalah Zat itu sendiri (‘ain mawjud), dan bukan sesuatu yang lain dari Zat. Ini kerana beliau menolak konsep ahwal iaitu sesuatu yang berada di antara wujud dan tiada (‘adam). Menurutnya, sesuatu itu sama ada benar-benar ada atau tiada. Tidak ada sesuatu yang berada di pertengahan antara keduanya. (Lihat al-Luma` fī al-Radd Ahl al-Ziyagh wa al-Bida`, m. 30-33; Hashiyah al-Imam al-Bajurī `ala Jawharah al-Tawhīd, m. 106)


Sekurang-kurangnya menjadi kewajipan ke atas setiap mukallaf untuk mengetahui dan menyakini bahawa Allah Subhanahuwata'ala itu ada. Perbahasan ilmu akidah yang mendalam seperti wujud-Nya itu ‘Ain Zat atau bukan ‘Ain Zat tidaklah wajib untuk diketahui oleh orang awam. (Lihat Risalah al-Tauhid, m. 15)


Bukti kewujudan Allah Subhanahuwata'ala adalah kebaharuan alam. Apa yang dimaksudkan dengan kebaharuan itu adalah wujud selepas tidak wujud. Alam pula adalah segala yang wujud selain Allah Subhanahuwata'ala. Keluarnya alam daripada tidak wujud kepada wujud adalah bukti akan kewujudan Allah Subhanahuwata'ala. Ini kerana alam pada kondisi ini adalah baharu atau ciptaan. Ciptaan tidak dapat tidak adalah daripada pencipta. Inilah yang dinyatakan daripada para Nabi bahawa nama bagi pencipta ini adalah Allah. (Lihat Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, m. 96-97)


No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...