Friday, April 29, 2022

Ahli Syurga dan ciri-ciri mereka.

Ahli Syurga dan ciri-ciri mereka. 

Alam barzakh atau alam kubur adalah tempat menunggu bagi orang yang telah meninggal dunia untuk dibangkitkan sebelum menuju ke alam akhirat.


Syurga dan neraka pula berada di alam akhirat yang menjadi destinasi terakhir buat seluruh umat manusia.


Ahli syurga dan neraka, masing-masing mempunyai tanda-tandanya. Tanda seseorang itu bakal menjadi ahli syurga sudah pasti dapat dinilai daripada iman dan ibadat yang mereka lakukan di dunia.


وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا ۙ قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. Al-Baqarah ayat 25.


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ


Maksudnya:" Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam syurga (taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir)". Al-Hijr ayat 45.


دْخُلُوهَا بِسَلَامٍ آمِنِينَ


Maksudnya:"(Dikatakan kepada mereka): "Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman". Al-Hijr ayat 46.


وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ


Maksudnya:"Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas katil-katil. Al-Hijr ayat 47.


لَا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُمْ مِنْهَا بِمُخْرَجِينَ


Maksudnya:"Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya". Al-Hijr ayat 48.


Dikhabarkakan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pula mendengar tapak kaki Bilal di dalam Syurga, ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (256 H) di dalam kitab sahihnya:


Daripada Abu Hurairah RA berkata, telah berkata Nabi Sallallahu'alaihiwasallam kepada Bilal ketika solat Fajar, 

 

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ. قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي: أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ


Maksudnya: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam Syurga. Bilal menjawab: Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwudhuk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhuk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” [Riwayat al-Bukhari (1149).


Hadith ini juga menjadi dalil tuntutan untuk menunaikan solat sunat selepas daripada berwudhuk. Hal ini turut diperkatakan oleh Imam Ibn al-Jauzi apabila beliau mengatakan bahawa hadith ini menunjukkan galakan menunaikan solat selepas selesai berwudhuk agar wudhuk itu mencapai maksudnya. [Lihat: Fath al-Bari, 3/34]


Dari sini kita mendapat gambaran bahawa bakal ahli syurga sentiasa memenuhi hidup mereka dengan amal ibadat.


Justeru itu, setiap orang pasti mengetahui sama ada mereka banyak beribadat atau banyak melakukan perkara sia-sia dalam kehidupan sehariannya.


Dalam al-Quran, ada ayat-ayat yang menyebutkan ciri-ciri ahli syurga.


Antaranya, ahli syurga tidak bercakap perkara sia-sia. Semua yang keluar daripada mulut mereka hanyalah yang baik-baik sahaja. Mereka tidak mengata, mengumpat, mencerca, menghina serta membuka aib orang lain. 


لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا تَأْثِيمًا


Maksudnya:"Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa", Al-Waqiah ayat 25.


إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا


Maksudnya:"Akan tetapi mereka mendengar ucapan salam". Al-Waqiah ayat 26.


Para Malaikat akan mengucapkan salam sejahtera kepada ahli syurga akibat daripada kesabaran yang mereka tempuhi di dunia maka syurga adalah sebaik-baik tempat buat mereka.


سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ


Maksudnya: “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”. 

Al-Ra’d ayat 24


Bakal ahli syurga juga, mereka tidak pernah berdengki serta berdendam.Ini adalah sifat Muslim yang memiliki kebersihan dan kelembutan hati. Dalam hati tidak pernah terbit perasaan dengki atau iri hati dengan sesiapa saja walaupun melihat orang itu mendapat kelebihan daripada Allah Subhanahuwata'ala.


وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ


Maksudnya:"Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas katil-katil. Al-Hijr Ayat 47.


Bakal ahli syurga memiliki hati yang bersih dan berlapang dada,  mereka tidak iri hati dan tidak berdendam dengan sesiapa sahaja baik dengan ahli keluarga, jiran dan rakan taulan. 

Penyakit jiwa yang keji bernama “hasad” disebut dengan jelas oleh Al-Qur’an. Dalam al-Quran disebutkan tentang sikap sebahagian ahli kitab terhadap Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


اَمْ يَحْسُدُوْنَ النَّاسَ عَلٰى مَآ اٰتٰىهُمُ اللّٰهُ مِنْ فَضْلِهٖۚ   


Maksydnya:"Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan Allah kepadanya?". An-Nisa ayat 54.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pula menyebut dengan jelas agar siapapun mesti menghindari penyakit hati ini, 


اِياَّ كُم وَالحَسَدَ فَاِنَّ الْحَسَدَ يَاْ كُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَاْ كُلُ النَّارُ الحَطَبَ


Maksudnya: ”Jauhkanlah dirimu dari hasad kerana sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan-kebaikan sebagaimana api memakan kayu-bakar".  Riwayat Abu Daud. 


Golongan yang paling beruntung adalah umat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang akan terus masuk ke syurga tanpa hisab. Itulah kelompok manusia paling mulia dan istimewa di atas padang mahsyar kelak.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah menyebutkan ciri-ciri individu yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Di antara hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda dikatakan kepada Baginda :


هَذِهِ أُمَّتُكَ وَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ هَؤُلَاءِ سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ ثُمَّ دَخَلَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَهُمْ فَأَفَاضَ الْقَوْمُ وَقَالُوا نَحْنُ الَّذِينَ آمَنَّا بِاللهِ وَاتَّبَعْنَا رَسُولَهُ فَنَحْنُ هُمْ أَوْ أَوْلَادُنَا الَّذِينَ وُلِدُوا فِي الْإِسْلَامِ فَإِنَّا وُلِدْنَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَبَلَغَ النَّبِيَّ فَخَرَجَ فَقَالَ هُمُ الَّذِينَ لَا يَسْتَرْقُونَ وَلَا يَتَطَيَّرُونَ وَلَا يَكْتَوُونَ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Maksudnya : “ Ini adalah umat engkau dan ada di kalangan umat engkau akan masuk syurga tanpa hisab yang mana jumlahnya hanya 70,000. Kemudian Nabi SAW masuk ke rumah Baginda tanpa menjelaskan kepada para sahabat (tentang sifat atau ciri orang yang akan masuk syurga tanpa hisab). Maka mulalah orang ramai berkumpul. Mereka berkata : Kami adalah kaum yang beriman dengan Allah dan mengikut utusan-Nya. Maka kami ada golongan yang akan masuk syurga tanpa hisab atau golongan tersebut adalah dari kalangan anak kami yang lahir dalam keluarga Islam walaupun kami lahir di zaman Jahiliyyah. Perkara ini sampai kepada Nabi lalu Baginda keluar dari rumahnya dan bersabda : Orang yang akan masuk syurga tanpa hisab adalah mereka yang tidak meminta jampi, tidak menilik nasib, tidak mencederakan dirinya dan sentiasa bertawakal kepada Tuhan". Riwayat Al-Bukhari (6472)


Sedangkan, disisi lain Allah Subhanahuwata'ala tetap akan memanggil seorang demi seorang rasul dan nabi untuk disoal serta dibentang-kan buku amalan mereka di hadapan Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


فَلَنَسْأَلَنَّ الَّذِينَ أُرْسِلَ إِلَيْهِمْ وَلَنَسْأَلَنَّ الْمُرْسَلِينَ


Maksudnya:"Maka sesungguhnya Kami akan menanyai umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (Kami)". Al-A’raaf ayat 6)


Kumpulan kedua, adalah mereka yang akan masuk ke syurga dengan cara ditimbang amalan mereka,  akan tetapi sesaat pun mereka tidak akan masuk ke dalam neraka.


Selesai saja timbangan, mereka akan terus ke telaga Kauthar dan selepas melintasi titian sirat, mereka terus masuk ke dalam syurga.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا


"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu". Al-Israa’ ayat 14.


Buku yang memuatkan amalannya, semuanya berat kepada ibadat dan dia juga banyak berbuat baik kepada manusia.


Ketika diumumkan sesiapa yang mempunyai tuntutan terhadapnya juga tiada.Semuanya berpuas hati termasuk isteri, anak-anak serta kawan-kawannya.


Terdapat juga golongan yang selepas ditimbang amalan, mereka adalah termasuk kumpulan ahli neraka.


Selepas tinggal dan disiksa di dalam neraka untuk tempoh tertentu, mereka dikeluarkan oleh malaikat sehingga penghuni neraka lain berasa hairan.


Ini disebabkan, ketika di dunia dahulu mereka pernah bersahabat dan berdampingan dengan orang-orang soleh yang terlebih dahulu menjadi ahli syurga.


Golongan yang dikeluarkan dari neraka itu mendapat syafaat daripada sahabatnya yang soleh.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


فَمَا لَنَا مِنْ شَافِعِينَ. وَلَا صَدِيقٍ حَمِيمٍ


Maksudnya;"Maka kami tidak mempunyai pemberi syafa'at seorangpun, dan tidak pula mempunyai teman yang akrab". Asy-Syu’araa’ ayat 100-101


Yang dimaksud dengan حَمِيمٍ ialah kerabat.

Qatadah mengatakan bahawa demi Allah, mereka mengetahui bahawa teman yang soleh itu dapat memberikan manfaat dan kerabat yang soleh itu dapat memberikan syafaat. Rujuk tafsir Ibn Katshir. 


Sebaik sahaja orang beriman berada di pintu gerbang syurga, mereka melihat sesuatu yang sangat indah dan istimewa menanti mereka. Mereka terus berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan lafaz doa yang pertama adalah bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala.


وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ ۖ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ ۖ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ ۖ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (surga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran". Dan diserukan kepada mereka: "ltulah surga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan". Al-A’raf Ayat 43.


Tidak ada lafaz lain yang keluar daripada mulut penghuni syurga melainkan ucapan الحمد لله dan bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Justeru itu ketika di dunia, kita disarankan agar sering melafazkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Baik ketika diberi kesenangan mahupun ketika ujian datang bertandang supaya saat kita kembali bertemu Allah Subhanahuwata'ala nanti, Allah Subhanahuwata'ala permudahkan urusan kita untuk masuk ke syurga.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...