Usaha tani sebagai memakmurkan bumi Allah.
Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdal atau utama di sisi agama Islam berbanding perniagaan, perusahaan atau perkilangan.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya,
أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ قَامَتْ السَّاعَةُ وَبِيَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ فَإِنْ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا يَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya:"Anas bin Malik berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Jika terjadi hari kiamat sedang salah seorang dari kalian mempunyai benih tanaman, jika mampu hendaklah jangan berdiri sampai dia menanamnya". Ahmad(12512)
Hadith ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia. Pertanian pula merupakan satu ibadah.
Hukum bertani boleh menjadi fardu ain dan satu kewajipan bagi seseorang jika itulah sumber pendapatannya untuk diri dan keluarga bagi keperluan menyara kehidupan. Begitu juga, jika pemerintah mengeluarkan arahan kepada seseorang yang ada kepakaran dalam satu-satu bidang pertanian yang diperlukan negara atau masyarakat dan tidak ada orang lain yang mampu melakukannya, maka dia juga wajib menjalankan usaha itu.
Namun, apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha sedemikian, maka menjadi fardu kifayah kepada sesiapa melakukannya demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua.
Sebelum era perindustrian, pertanian adalah dianggap sebagai perniagaan. Manusia mencari nafkah dengan mengusahakan pelbagai tanaman dan aktiviti penternakan.
Allah Subhanahuwata'ala menganugerahkan negara ini dengan iklim khatulistiwa yang berhawa tidak ekstram membolehkan apa sahaja jenis tanaman hidup subur.
Tidak seperti negara lain yang kekurangan kawasan tanah bersesuaian bagi menjalankan aktiviti pertanian.
Hakikat itu sepatutnya kita syukuri dengan melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat.
Namun pun begitu, kita sesekali dikejutkan dengan isu tanah terbiar. Kadang-kadang sektor pertanian hanya dianggap menjadi ‘milik’ mereka yang berusia. Sehingga banyak tanah kosong milik individu tidak diusahakan, sedangkan tanah itu berupaya dijadikan sebagai tapak usaha tani yang produktif.
Terdapat juga tanah terbiar milik perseorangan yang menjadi sarang hidupan berbahaya dan lebih merunsingkan, tanah terbiar itu dipenuhi lalang dan menjadi lokasi sarang nyamuk membiak.
Seharusnya isu tanah terbiar tidak timbul kerana kita sedia maklum Islam sangat menggalakkan umatnya menjalankan usaha memakmurkan bumi Allah dengan sesuatu yang boleh memberi manfaat seperti bertani.
Apabila seseorang mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian, ia satu usaha memakmurkan bumi Allah.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ
Maksudnya:"Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, karena itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertobatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." Hud ayat 61
Ayat ini menunjukkan konsep hidup yang dinamakan amanah. Selain tujuan beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala, manusia dihidupkan untuk memakmurkan bumi ini dengan segala bentuk kebaikan. Konsep ini sudah diperkatakan sejak zaman awal peradaban manusia.
Tanggungjawab memakmurkan bumi bukan terhad kepada pembangunan rohani semata, sebaliknya juga membabitkan amanah memunafaat dan memelihara alam yang didiami oleh hampir keseluruhan makhluk bernyawa ciptaan Allah Subhanahuwata'ala.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya:"Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan". Al-Mulk ayat 15.
Dalam Islam, setiap usaha baik yang memberi manfaat untuk dirinya, keluarga dan masyarakat dikira amal yang berpahala di sisi Allah.
Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَة
Maksudnya: “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah". Bukhari (2320)
Ibn Battal ketika menjelaskan hadith di atas menyebut: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala.” (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)
Daripada aspek akidah, pertanian dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Bertani akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Walaupun petani perlu bekerja keras dan menggunakan segala kepakaran untuk menjayakan usaha pertaniannya, namun yang memberikan hasil adalah Allah Subhanahuwata'ala.
Allah Subhanahuwata'ala befirman,
وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۗ انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: "Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuhtumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugusgugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman".
AI-An'am ayat 99
Sebagai penutup, Allah Subhanahuwata'ala menjadikan rezeki daripada-Nya sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang berusaha dan bekerja, berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah Subhanahuwata'ala dan sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya.
No comments:
Post a Comment