Thursday, March 17, 2022

Ujub(Berbangga diri)


Ujub(Berbangga diri) 


Pekerti mazmumah ialah pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah adalah ujub atau bangga diri. 

Menurut Kamus Dewan, ujub bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego.

Ujub bermaksud bangga akan diri sendiri atau berasa takjub atau merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanya. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.


Ujub termasuk daripada sifat-sifat yang dicela. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ


Maksudnya: maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa". Surah al-Najm ayat 32.


Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/309) berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,


لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ


Maksudnya: Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu". Riwayat Muslim (5733)


Hadith ini sebagaimana riwayat Amru bin 'Atha' berkata: Aku menamakan nama anak perempuanku dengan Barrah (kebajikan atau kebaikan) lantas Zainab binti Salamah berkata kepadaku: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam melarang nama ini, sedangkan kamu menamakannya dengan Barrah.


Imam al-Nawawi berkata, makna hadis ini: hendaklah menukar nama yang buruk atau yang makruh kepada nama yang baik. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 14/120)


Lawan ujub ialah zikr al-minnah (ذكر المنّة) yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ia harus diingati bahawa amal soleh yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufik daripada Allah Subhanahuwata'ala. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya.


Menurut Imam al-Ghazali al-Arba’in fi Usul al-Din, hakikat ujub itu merujuk kepada pengagungan diri sendiri antaranya dari aspek kenikmatan yang dimiliki tanpa melihat kepada pemilik nikmat yang sebenar yakni Allah.


Namun, jika seseorang itu melihat bahawa ia memiliki ilmu, amal perbuatan dan seumpamanya yang merupakan kurniaan Allah dan berasa bangga dengannya dan bimbang kehilangannya maka ia bukanlah ujub. Ini kerana ujub lebih kepada tidak mengaitkan segala kenikmatan kepada pemberi asalnya yakni Allah.


Contoh sifat ujub yang sering ditemukan dalam kehidupan sehari-hari adalah sebagai berikut:


1-Ketika rajin beribadah, ia merasa kagum dengan ibadah yang dilakukannya.


2-Ketika merasa cukup berilmu, ia akan kagum dengan ilmunya.


3-Ketika merasa dirinya cantik atau tampan, ia akan terus mengagumi kecantikan atau ketampanannya tersebut.


4-Ketika merasa dirinya dermawan kepada semua orang, ia pun merasa kagum atas kebaikannya tersebut.


Sifat ujub amat berkait rapat dengan takbur dan riak. Ketika seseorang itu memiliki sifat ujub, maka secara tidak sedar bahawa dirinya telah memiliki sifat takabur ataupun sombong. Sifat inilah yang membuat seseorang itu tidak akan masuk syurga Allah. Seperti sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidak akan masuk surga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan." Seorang laki-laki bertanya, "Sesungguhnya laki-laki menyukai baju dan sandalnya bagus (apakah ini termasuk kesombongan)?" Beliau menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia". Muslim (131)


Ujub juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaaan, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِنْ قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْأَلُ عَنْ ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ


Maksudnya:"Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku". Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka". Al-Qasas ayat 78.


لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah(mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai". Al-Taubah ayat 25.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Maksudnya:"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri". Luqman 18.


Ujub ialah satu penyakit hati yang sukar diubati. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.


Tanda-tanda orang yang bersifat ujub ini ialah ia selalu berkata ‘aku begini, begini’. Ia menuruti sikap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-A’raf ayat 12,


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ


Maksudnya:"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". Al-A'raf ayat 12.


Selain itu, tanda ujub juga ialah suka mengangkat diri, anggap diri lebih berkebolehan melebihi orang lain, suka menonjol diri dalam perbincangan dan tidak suka jika ada orang lain tolak pandangannya.


Ia juga berkaitan dengan sikap takbur yang mana ia tidak suka diberi nasihat tetapi diri sendiri suka memberi nasihat secara kasar kepada orang lain. Seseorang yang beranggapan bahawa dirinya lebih baik dari orang lain, ini juga boleh dikaitkan dengan sifat takbur atau sombong.


Ujub hendaklah dirawat dan dihilangkan dengan proses penyucian diri serta menggantinya dengan akhlak yang mulia. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya". Surah Ali Imran ayat 188.


Antara cara untuk mengubati penyakut ujub adalah;


1- Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikirkan bahawa tiada benda di dunia ini akan kekal. Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri (muhasabah) sebagai hamba Allah kerana ini akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.


2-Hendaklah diinsafi bahawa seseorang itu dikatakan benar-benar hebat atau lebih baik adalah dilihat pada akhir umur atau hayat seseorang.

Pada masa sekarang tidak diketahui lagi, siapakah sebenarnya yang lebih hebat. Jika seseorang itu beranggapan dirinya yang lebih baik berbanding orang lain ketika ini, maka ia sebenarnya jahil tentang ini.


3- Jika ia melihat seseorang yang lebih muda darinya, maka ia perlu beranggapan bahawa orang muda itu masih kurang maksiatnya berbanding dengan dirinya yang lebih berumur yang banyak melakukan maksiat.


4- Jika ia melihat seseorang yang lebih tua, maka ia perlu membayangkan bahawa orang berumur itu lebih dahulu melakukan kebaikan atau lebih banyak melakukan kebaikan berbanding dirinya yang masih muda dan masih kurang kebaikan yang dilakukan.


5. Jika ia melihat seseorang yang lebih alim, maka ia perlu beranggapan bahawa orang tersebut lebih banyak ilmunya dan telah diberi pelbagai pemberian dari Allah berbanding dirinya yang masih jahil.


6. Jika ia melihat orang jahil, maka ia perlu beranggapan bahawa si jahil itu berbuat maksiat kerana kejahilannya sedangkan dirinya sendiri berbuat maksiat dalam keadaan berilmu.


7. Jika ia melihat orang kafir, maka ia perlu beranggapan bahawa si kafir itu mungkin akan memeluk Islam sedangkan dirinya belum tentu akan istiqamah dengan agama Islam ketika menemui ajal nanti.


Semoga sifat ujub dapat dibersihkan dari hati kita. Ingatlah bahawa segala nikmat yang kita miliki adalah kurniaan daripada Allah dan hendaklah kita syukuri segala nikmat-nikmat itu tanpa menyalahgunakan nikmat-nikmat Allah untuk menghina  orang lain.


Ingatlah pesan Allah; Sangat sedikit hamba Allah yang bersyukur, iaitu dengan menggunakan nikmat Allah untuk beribadah kepada Allah, 


يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ ۚ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ


Maksudnya:"Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih". Al-Saba' ayat 13.

No comments:

Post a Comment

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid  Syaitan sentiasa mengunjungi tempat-tempat ibadah, majlis zikir, dan masjid-masjid. Di sana, ia beru...