Friday, March 11, 2022

Hasad dengki

Hasad dengki

Pekerti mazmumah ialah pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah adalah hasad dengki atau irihati. 


Hasad dengki atau irihati timbul daripada perasaan tidak senang yang muncul dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Sifat ini berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap nikmat atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain.


Sifat atau perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. 


Penyakit ini biasanya berjangkit pada orang-orang yang bergelut dalam dunia politik, bisnes, dalam dunia pekerjaan, keluarga, bahkan di kalangan orang-orang berilmu pun hasad dengki masih berlaku juga .


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا ۗ إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ


Maksudnya:"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi Jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan". Ali Imran ayat 120.


Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan, makhluk yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. 


Kisahnya, Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan mengharapkan keredaan Allah Subhanajuwata'ala semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". Al-Maidah ayat 27.

 

Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, selain itu Qabil juga turut mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.


Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun menemui Habil dan menyatakan,“Sesungguhnya aku mahu membunuhmu.” Habil pun bertanya dengan perasaan yang amat hairan, “Mengapa engkau mahu membunuh aku?” Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, “Kerana Allah menerima korbanmu dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan berbangga kepada keturunanku.”


…..قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ.


Maksudnya:"Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". Al-Maidah ayat 27.


فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ


Maksudnya:"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang diantara orang-orang yang merugi. Al-Maidah ayat 30


Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi Nuh a. s. 


Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat


Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.


أَنَّ الزُّبَيْرَ بْنَ الْعَوَّامِ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الْأُمَمِ قَبْلَكُمْ الْحَسَدُ وَالْبَغْضَاءُ هِيَ الْحَالِقَةُ لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَفَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِمَا يُثَبِّتُ ذَاكُمْ لَكُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ


Maksud:"Bahawa Az Zubair bin Al 'Awwam menceritakan padanya bahawa Nabi ﷺ bersabda, "Penyakit umat-umat sebelum kalian menular mendatangi kalian; hasad dan kebencian, itu pencukur/pemangkas. Aku tidak mengatakan mencukur/memangkas rambut tapi memangkas/mencukur agama. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, kalian tidak masuk surga hingga kalian beriman dan kalian tidak beriman hingga kalian saling menyintai. Maukah kalian aku beritahu yang menguatkan hal itu pada kalian?; Yaitu sebarkanlah salam diantara kalian". Riwayat al-Tirmizi(2434). 


Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seIslam adalah keperluan bagi kekuatan ummah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seIslam).


Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.


Lebih malang lagi apabila wujud manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh dengan hasad dengki hinggakan sanggup me’wakaf’kan diri setiap hari untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain.


Orang seperti ini hakikatnya mendustai agama kerana membantah kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman dalam al-Quran: 


أَمْ يَحْسُدُونَ النَّاسَ عَلَىٰ مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۖ فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَآتَيْنَاهُمْ مُلْكًا عَظِيمًا



Maksudnya:"Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran karunia yang Allah telah berikan kepadanya? Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar". Al-Nisa’ ayat 54.


Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip Qada dan Qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka telah ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.


Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dan rasa cukup dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan perilakunya terpancar seri dan sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya. 


Yang lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah hinggakan rezeki yang diperoleh sendiri mampu membahagiakan diri dan keluarga kerana setiap sen yang diperoleh bukan melalui jalan menjatuhkan orang lain.


Bagi yang menjadi mangsa hasad dan khianat, usahlah pula rasa gundah-gulana kerana sesungguhnya rezeki kita tidak sesekali ditentukan oleh tingkah dan olah manusia.


Semuanya ditentukan Allah semata-mata. Jika sudah ditakdirkan Allah, buatlah atau rancanglah macam mana sekalipun, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya. Ini jelas disebut Allah dalam al-Quran: 


مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ


Maksudnya:"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.Al-Hadid ayat 22.


Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam sabdanya, 


عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ قَالَ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ فَإِنَّ الرَّجُلَ مِنْكُمْ لَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجَنَّةِ إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ كِتَابُهُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ وَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Maksudnya:"Dari Zaid bin Wahb berkata 'Abdullah telah bercerita kepada kami Rasulullah ﷺ, dia adalah orang yang jujur lagi dibenarkan, bersabda, "Sesungguhnya setiap orang dari kalian dikumpulkan dalam penciptaannya ketika berada di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi 'alaqah (zigot) selama itu pula kemudian menjadi mudlghah (segumpal daging), selama itu pula kemudian Allah mengirim malaikat yang diperintahkan empat ketetapan dan dikatakan kepadanya, tulislah amalnya, rezekinya, ajalnya dan sengsara dan bahagianya lalu ditiupkan ruh kepadanya. Dan sungguh seseorang dari kalian akan ada yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan surga kecuali sejengkal saja lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni neraka dan ada juga seseorang yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan neraka kecuali sejengkal saja lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni syurga". Bukhari(2969)


Justeru bila kita telah menyakini bahawa takdir rezeki adalah termasuk daripada hak mutlak Allah, nescaya jiwa kita akan lebih tenang dan terhindar daripada gelodak nafsu untuk menjatuhkan orang lain oleh kerana hasad dengki.


Hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Diantara kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;


1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ bersabda, "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kabaikan seperti api memakan kayu bakar". Abu Daud (4257),Dhaif. 


2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النَّاسِ أَفْضَلُ قَالَ كُلُّ مَخْمُومِ الْقَلْبِ صَدُوقِ اللِّسَانِ قَالُوا صَدُوقُ اللِّسَانِ نَعْرِفُهُ فَمَا مَخْمُومُ الْقَلْبِ قَالَ هُوَ التَّقِيُّ النَّقِيُّ لَا إِثْمَ فِيهِ وَلَا بَغْيَ وَلَا غِلَّ وَلَا حَسَدَ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin 'Amru dia berkata; Ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ, "Manusia macam apakah yang paling mulia?" Beliau menjawab, "Setiap (pemilik) hati yang selamat dan selalu jujur dalam bertutur kata." Mereka (para shahabat) berkata, "Jujur dalam bertutur kata telah kami ketahui, lantas apakah maksud dari hati yang selamat?" Beliau bersabda, "Hati yang bertakwa dan bersih, yang tak ada dosa dan kezaliman padanya, serta tak ada iri dan dengki". Riwayat Ibn Majah (4206)


3-Bahaya sifat dengki terhadap iman seseorang. 


Hasad dengki adalah tanda dari lemahnya iman. Ketika seseorang itu hasad dengki kepada seseorang, pada hakikatnya dia membenci ketika Allah memberikan nikmat kepada sebahagian hamba-Nya. 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَجْتَمِعَانِ فِي النَّارِ مُسْلِمٌ قَتَلَ كَافِرًا ثُمَّ سَدَّدَ وَقَارَبَ وَلَا يَجْتَمِعَانِ فِي جَوْفِ مُؤْمِنٍ غُبَارٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَفَيْحُ جَهَنَّمَ وَلَا يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدٍ الْإِيمَانُ وَالْحَسَدُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak akan berkumpul di neraka, seorang muslim yang membunuh orang kafir kemudian bersikap istiqamah dan berlaku sederhana, dan tidak akan berkumpul dalam diri orang yang beriman, debu di jalan Allah dan panasnya jahanam, dan tidak akan berkumpul di hati seorang hamba, keimanan dan rasa dengki". Al-Nasai(3058)


Didalam hadith yang lain disebutkan bahawa Abu Hamzah, Anas bin Malik ra., yang merupakan salah seorang khadam Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya:"Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri". Bukhari(12)


Dari hadith diatas dapat diambil kesimpulan, bahawa  hasad dengki merupakan salah satu tanda yang menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna. Juga sebagaimana hadith berikut, 


ُ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسًا يُحَدِّثُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِلنَّاسِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ وَحَتَّى يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ


Maksudnya:Dari Qatadah berkata; saya telah mendengar Anas menceritakan dari Nabi ﷺ bersabda, "Tidak (sempurna) iman seseorang sehingga mencintai manusia sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan mencintai saudaranya hanya karena Allah 'Azza wa Jalla ". Ahmad(13372)


Seseorang membenci orang lain mendapat nikmat dan ingin melihat kehilangan nikmat itu ialah manusia yang terpesong jalan hidupnya disebabkan kegelapan merintanginya iaitu cintanya kepada dunia serta kesenangan hidup sementara.


Tingkah laku seperti ini adalah satu kesalahan kerana kegagalan memberi penilaian yang tepat mengenai hakikat kehidupan dan alpa untuk menghadapi kehidupan akhirat yang pasti.


Mukmin sebenar ialah apabila melihat sesuatu nikmat diperoleh seseorang, maka hatinya berasa gembira dan memandangnya sebagai kelebihan yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada hamba-Nya.


Seorang Muslim hendaklah mempunyai pemikiran luas, hati bersih dan akhlak terpuji sehingga dia dapat memandang sesuatu dengan melihat kepentingan umum bukan kepentingan diri sendiri.


Masyarakat Islam yang sebenar pula adalah masyarakat yang diasaskan atas rasa kasih sayang, hormat menghormati, tolong-menolong serta saling menghargai antara satu sama lain. Tidak ada tempat bagi fahaman yang mementingkan diri.


Tidak ada suatu yang melapangkan dada, menyejukkan pandangan mata dan menghapuskan kedukaan seseorang itu selain daripada hidup melalui hati bersih, tidak menyimpan dendam, dengki serta sakit hati terhadap orang lain.


Sebagai penutup, setiap Muslim mesti berlindung dari sifat hasad dengki dan juga dari orang-orang yang hasad. Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ


Maksudnya:"Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh". Al-Falaq ayat 1


وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


Maksudnya:"Dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki". Al-Falaq ayat 5



No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...