Wednesday, March 30, 2022

Takabbur (كبر) atau sombong.

Takabbur (كبر) atau sombong. 

Pekerti mazmumah ialah pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah adalah takabbur(كبر) atau sombong.


Takabbur juga disebut sebagai كبر (dalam Bahasa Arab) atau sombong  adalah salah satu sifat atau 'pakaian kebesaran' milik Allah, iaitu Al-Takabbur yang tak sepatutnya dipakai oleh sesiapa dari makhluk-Nya. Takabbur atau disebut takabur atau juga takbur adalah sifat sombong, bongkak, berlagak, meninggi diri, hidung tinggi, sama ada secara perbuatan gerak badan, secara pandangan, secara lisan mahu pun secara dalam hati.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ الْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي وَالْعَظَمَةُ إِزَارِي مَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا أَلْقَيْتُهُ فِي جَهَنَّمَ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Allah Subhanahuwata'ala berfirman: 'Kesombongan adalah pakaian-Ku, dan kebesaran adalah selendang-Ku, siapa saja yang mencabut salah satu dari keduanya dari-Ku, maka akan Aku lemparkan ia ke neraka jahanam". Ibnu Majah(3567)


Ujub  akan melahirkan kesombongan. Namun, terdapat perbezaan antara ujub dengan sombong. Adapun ujub tidak memerlukan orang lain, sedangkan sombong memerlukan orang lain sebagai pembandingnya.Takkabur atau sombong ertinya adalah membanggakan diri sendiri. Orang yang takkabur akan melihat diri sendiri lebih besar dari yang lain dan memandang dirinya lebih sempurna dibandingkan siapapun.


Dengan bahasa mudahnya Takabbur atau sombong ini merasa dirinya besar dan melihat (atau merasa) orang lain kecil, rendah, dia sahaja yang lebih, orang lain kurang. Merasa dia lebih baik, orang lain kurang baik. Merasa dia lebih berilmu, orang lain tak tahu apa. 


Hakikat sombong ada dua jenis, iaitu sombong terhadap al-haq(kebenaran) dan sombong terhadap makhluk:


Disebut dalam sebuah hadith bahawa hakikat sombong  adalah bermaksud menolak kebenaran dan merendahkan orang lain, 


عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاس


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan." Seorang laki-laki bertanya, "Sesungguhnya laki-laki menyukai baju dan sandalnya bagus (apakah ini termasuk kesombongan)?" Beliau menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia". Muslim(131)


Imam al- Nawawi rahimahullah berkata, “Hadith ini mengandungi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran” (Syarah Shahih Muslim Imam Nawawi, II/163,


1-Menolak kebenaran adalah dengan menolak dan berpaling darinya serta tidak mahu menerimanya. Oleh kerana itu, sesesiapa yang tidak mahu terima kebenaran, dia telah  sombong. wajib bagi setiap hamba untuk menerima kebenaran yang ada dalam Kitabullah dan ajaran para rasul ‘alaihimus salaam serta ijmak dan Qias. 


Sikap seorang muslim terhadap setiap kebenaran adalah menerimanya secara penuh sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jalla,


وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا


Maksudnya:"Dan tidaklah patut bagi mukmin laki-laki dan mukmin perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka". Al-Ahzab ayat 36.


2-Bentuk kesombongan yang kedua adalah sombong terhadap makhluk. Iaitu merendahkan dan meremehkan orang lain, memandang orang lain tidak ada apa-apa dan melihat dirinya lebih dibandingkan orang lain.

Hal ini muncul kerana seseorang bangga dengan dirinya sendiri dan menganggap dirinya lebih mulia dari orang lain. Kebanggaaan terhadap diri sendiri membawanya sombong terhadap orang lain, meremehkan dan menghina mereka, serta merendahkan mereka baik dengan perbuatan mahupun perkataan. Rasulullah Salallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ


Maksudnya:"Cukuplah seseorang dikatakan berbuat jahat jika ia menghina saudaranya sesama muslim”. Riwayat Muslim (4650).


Di antara bentuk kesombongan terhadap manusia di antaranya adalah sombong dengan pangkat dan kedudukannya, sombong dengan harta, sombong dengan kekuatan dan kesihatan, sombong dengan ilmu dan kecerdasan, sombong dengan bentuk tubuh, dan kelebihan-kelebihan lainnya. Dia merasa lebih dibandingkan orang lain dengan kelebihan-kelebihan tersebut. Padahal kalau kita renungkan, siapa yang memberikan harta, kecerdasan, pangkat, kesihatan, bentuk tubuh yang indah?

Semuanya adalah kurniaan Allah. Jika Allah berkehendak, sangat mudah bagi Allah untuk mencabut kelebihan-kelebihan tersebut. Pada hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa, oleh kerana itu mengapa dia harus sombong terhadap orang lain?


Namun pun begitu, kadang-kadang boleh berlaku tersalah erti dengan mengatakan orang sombong atau takabbur, kerana orang itu tidak menegur kita, atau kelihatan seperti tidak mempedulikan kita, seakan-akan berlagak dan seumpamanya. Sedangkan itu mungkin kerana dia ada problem, banyak perkara perlu difikir dalam kepalanya, tidak perasan kehadiran kita dan sebagainya. Sombong dalam kefahaman setengah orang kurang tepat dan menyebabkan terjadinya "BURUK SANGKA".


Maka daripada kita pula yang menimba dosa dengan berburuk sangka kepada orang, ada baiknya kita tanya baik-baik kenapa orang itu menjadi sekian-sekian, ajak berbincang dan sebagainya, sehingga terbukti bahawa dia betul-betul MEMBESARKAN DIRINYA.  Dan adalah lebih baik lagi jika sentiasa bersangka baik dan masing-masing MUHASABAH DIRI agar tidak menjadi orang yang takabbur. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". Al-Hujurat ayat 12.


Sifat mengagungkan diri, sombong atau membesarkan diri (takabbur), adalah sifat yang hanya layak bagi Allah Subhanahuwata'ala, dan langsung tidak bagi makhluk. Dan Allah Subhanahuwata'ala akan mengazab dan memasukkan manusia yang takabbur ke dalam neraka. 


Antara makhluk Allah yang pernah berlaku takabbur atau sombong adalah Iblis. Sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ


Maksudnya:"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir". Al-Baqarah ayat 34.


Iblis secara terang-terangan takabbur terhadap Allah dan disaksikan oleh para Malaikat-Nya ketikamana dia diperintahkan sujud kepada Adam AS. Dia ingkar, tidak mahu patuh pada perintah Allah. Namun Allah yang bersifat dengan sifat الحليم, Yang Maha Lemah Lembut atau Yang Maha Penyantun tidak terus hukum iblis yang ingkar pada ketika itu juga, tetapi Allah bertanya dahulu kepadanya, 


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ


Maksudnya:"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". Al-A'raf ayat 12.


Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Terdapat sejumlah dalil dari al-Quran dan hadith yang menyebut tentang larangan keras terhadap perbuatan takabbur. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam al-Qur’an:


وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا


Maksudnya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang" Surah al-Israa’ ayat 37.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Malsudnya:"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri". Luqman Ayat 18


Sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, 


لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ


Maksudnya: Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong".Muslim (51)


Hanya Allah Subhanahuwata'ala yang berhak untuk bersifat dengan sifat al-mutakabbir. Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


هُوَ اللَّـهُ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ


Maksudnya: Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya.

Al-Hasyr ayat 23.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


لَا جَرَمَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ


Maksudnya:"Tidak diragukan lagi bahwa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahasiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong". Al-Nahl ayat 23.


فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ۖ فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ


Malsudnya:"Maka masukilah pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri itu". Al-Nahl ayat 29.


وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ ۚ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْمُتَكَبِّرِينَ


Maksudnya:"Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri". Al-Zar ayat 60.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ ; قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الشَّيْخُ الزَّانِي وَالْعَائِلُ الْمَزْهُوُّ وَالْإِمَامُ الْكَذَّابُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat; 'Seorang yang sudah tua berzina, orang miskin namun sombong, dan pemimpin yang pendusta". Al-Nasai(2528)


Begitu banyak bahaya yang akan ditanggung seseorang yang mempunyai sifat takabbur. Sehingga, sudah semestinya sifat tercela ini dihindari, ada beberapa cara atau langkah yang boleh dilakukan agar terhindar dari sifat takabbur, di antaranya:


1. Selalu bersikap tawadu' atau rendah hati.


2. Menjaga naluri keimanan dan selalu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala.


3. Memahami dan mengakui bahawa masih terdapat kekurangan dan kelemahan dalam diri sendiri.


4. Menumbuhkan kesadaran untuk saling menghormati antara sesama manusia.


5. Berusaha untuk selalu melihat ke bawah, khususnya dalam hal-hal yang bersifat duniawi.


6. Selalu bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala.


7. Menjaga emosi dan dari hal-hal yang dapat menimbulkan rasa bangga atau sombong.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...