Sunday, October 17, 2021

Akhir zaman: Terutusnya Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai Rasul

Akhir zaman: Terutusnya Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai Rasul

(Maulidurrasul)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah rasul terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini sekaligus menandakan bahawa manusia telah mendekati akhir zaman. Terutusnya baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam adalah gambaran pertama kiamat akan berlaku yang semakin mendekati manusia di akhir zaman. Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah menyempurnakan agama dan memberi panduan yang jelas kepada umat Baginda bagi mengharungi kehidupan di akhir zaman.


سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بِإِصْبَعَيْهِ هَكَذَا بِالْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ بُعِثْتُ وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ


Maksudnya:"Sahl bin Sa'd  radhiallahu'anhu, ia berkata; Aku pernah melihat Rasulullah ﷺ berkata sambil memberi isyarat dengan kedua jarinya seperti ini -yakni dengan jari tengah dan jari telunjuk-: "Sesungguhnya aku di utus, sementara kedatangan hari kiamat adalah sebagaimana jarak antara kedua jari ini (jarak selisih antara jari tengah dan telunjuk)". Riwayat Bukhari(4555)


Makna hadith ini adalah sebagai isyarat dekat kerana hampirnya dua jari ini. Ia dengan maksud waktu yang berbaki adalah sedikit berbanding usia dunia yang sudah mencapai jutaan tahun. Justeru, tiadalah sama sesuatu di hadapan ilmu Allah yang menyamakan satu hari di sisi-Nya, dengan seribu tahun mengikut kiraan kita. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 103)


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ


Maksudnya: "Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu". Surah al-Haj ayat 47.


Imam al-Qurtubi menyebut: Satu hari di sisi Tuhan kamu sama seperti seribu tahun mengikut kiraanmu. Ibn Abbas berkata -begitu juga Mujahid-: “Yakni hari-hari yang Allah ciptakan padanya langit dan bumi.” Ikrimah pula berkata: “Yakni hari-hari akhirat.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 12/78)


Ibn Kathir menyebut: Iaitu Allah Subhanahuwata'ala Maha Tinggi, Dia tidak mempercepatkan masa. Sesungguhnya kadar seribu tahun di sisi makhluk-Nya sama seperti sehari di sisi-Nya mengikut hukum-Nya. Ini kerana ilmu-Nya yang mampu membalas dan berkuasa, sedangkan sesuatu tidak luput darinya sekalipun dia menangguh dan menta’khirkannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/238)


Baginda Sallallahu'alaihiwasallam telah mengkhabarkan bahawa terutusnya Baginda adalah sebagai bukti hampir datangnya Hari Kiamat. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam adalah نبي الساعة (Nabi saat terjadi kiamat).


Dalam riwayat lain, baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ وَهْبٍ السُّوَائِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَذِهِ مِنْ هَذِهِ وَإِنْ كَادَتْ لَتَسْبِقُهَا


Maksudnya:"Dari Wahb As Suwaai, ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Dan aku diutus, sementara jarak antara aku dan hari kiamat adalah seperti jarak dari sini ke sini, dan hampir saja ia akan mendahuluinya". Riwayat Ahmad(18021)


Berdasarkan dua hadith yang dikemukakan ini, Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjelaskan bahawa kedudukan Hari Kiamat amat hampir dengan baginda ketika diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Ulama menjelaskan terdapat dua pandangan utama berkaitan hadith tersebut. Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud situasi kiamat semakin hampir ketika baginda diutuskan seperti rapatnya kedudukan dua jari tersebut. Isyarat jari telunjuk dan jari tengah bermaksud saat baginda diutuskan dengan hampirnya kiamat seperti panjang jari tengah daripada jari telunjuk. Jari telunjuk adalah hari kiamat manakala jari tengah adalah saat baginda diutuskan.


Berdasarkan dua pandangan tersebut, saat bermulanya tanda kiamat sehingga ke hari ini adalah satu tempoh yang telah lama berlalu. Kewafatan baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam melebihi 1400 tahun. Justeru itu, manusia yang masih lagi hidup pada hari ini adalah golongan yang berada pada situasi akhir zaman yang menunggu tibanya Hari Kiamat.


Al-Qurthubi menjelaskan: "Tanda pertama ialah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam kerana baginda adalah rasul akhir zaman. Baginda diutuskan dan tidak akan ada lagi rasul selepasnya sehingga hari kebangkitan semula." (al-Tazkirah 1/710)


Ibn Hajar meriwayatkan daripada al-Qurtubi: "Kesimpulan hadith tersebut menunjukkan Hari Kiamat sudah dekat dan akan segera datang. Reaksi tersebut menjelaskan pengertian Hari Kiamat semakin dekat dan tanda-tandanya pun akan terus menyusul sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala: 


فَهَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَنْ تَأْتِيَهُمْ بَغْتَةً ۖ فَقَدْ جَاءَ أَشْرَاطُهَا ۚ فَأَنَّىٰ لَهُمْ إِذَا جَاءَتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ


Maksudnya:"(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya)Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (yaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, karena sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesadaran mereka itu apabila Kiamat sudah datang?

Surah Muhammad ayat 18


Al-Qurthubi rahimahullah berkata, “Tanda Kiamat yang pertama adalah diutusnya Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, kerana Beliau adalah Nabi akhir zaman dan beliau telah diutus sementara tidak ada lagi Nabi di antara beliau dan hari Kiamat". At-Tadzkirah fii Ahwaalil Mautaa’ wa Umuuril Aakhirah (hal. 626).


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ 


“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup Nabi-Nabi…” Al-Ahzaab ayat 40.


Dalam masa sama, peristiwa yang menggambarkan tanda kiamat akan menyusul sebagaimana jari telunjuk yang diikuti dengan jari tengah tanpa diselangi dengan jari yang lain atau salah satunya mempunyai kelebihan atas yang lain.


Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengkhabarkan mengenai kejadian yang akan terjadi hingga Hari Kiamat, perkara ini adalah kerana Allah Subhanahuwata'ala memperlihatkan kepada Baginda tentang perkara ghaib yang akan terjadi namun masa sebenar akan berlaku kiamat hanya dalam pengetahuan Allah Subhanahuwata'ala.


Pengetahuan tentang Hari Kiamat ini adalah masalah yang dirahsiakan oleh Allah dan tidak diperlihatkan kepada makhluk. Tidak ada seorang pun manusia yang mengetahui bilakah Hari Kiamat akan berlaku kecuali Allah Subhanahuwata'ala.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sering menyebut kiamat dan permasalahnya, maka ramai yang bertanya tentang bila waktu terjadinya kiamat. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menceritakan kepada mereka bahawa itu adalah masalah ghaib yang tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah Subhanahuwata'ala. Maka al-Quran diturunkan untuk memberi penjelasan bahawa Hari Kiamat itu adalah perkara yang menjadi rahsia Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


 يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Surah al-A'raf ayat 187.


Oleh demikian, gambaran pertama kiamat ini adalah satu bentuk motivasi untuk beribadah dan sentiasa bersedia dengan mempersiapkan diri dengan amal soleh dan bertaubat kepada Allah Subhanahuwata'ala. Dengan jarak daripada baginda diutuskan dengan situasi yang berlaku hari ini, manusia tidak boleh alpa dan lalai daripada mengingati Allah Subhanahuwata'ala sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


 اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ


Maksudnya:"Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya)".Surah al-Anbiya' ayat 1.


Daripada Ibnu Umar, dia berkata: 


عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالشَّمْسُ عَلَى قُعَيْقِعَانَ بَعْدَ الْعَصْرِ فَقَالَ مَا أَعْمَارُكُمْ فِي أَعْمَارِ مَنْ مَضَى إِلَّا كَمَا بَقِيَ مِنْ النَّهَارِ فِيمَا مَضَى مِنْهُ


Maksudnya:"Dari Ibnu Umar dia berkata; Kami pernah duduk di sisi Nabi ﷺ saat matahari berada di atas Qu'aiqi'an (sebuah gunung di Makkah) setelah Asar. Beliau pun bersabda, "Tidaklah umur kalian dibandingkan dengan umur mereka yang telah berlalu, kecuali sebagaimana sisa siang ini dari yang telah berlalu". Riwayat Ahmad(5695),Sahih. 


Ini menggambarkan tempoh masa tersebut tersangatlah singkat namun ketentuan kehidupan manusia hanya Allah Subhanahuwata'ala sahaja yang mengetahui. Oleh itu, kehidupan manusia akhir zaman ini adalah tempoh yang singkat, maka berusahalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahuwata'ala selagi masih ada sisa-sisa terakhir umur kita.


Justeru itu, marilah kita tingkatkan amalan dan memperbanyakkannya dengan penuh keikhlasan agar kita membawa bekalan sebaik-baiknya di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ


Maksudnya: Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah). Surah al-Baqarah ayat 197.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...