Tuesday, October 12, 2021

Akan tiba pada akhir zaman manusia tidak pedulikan Halal atau Haram.

Akan tiba pada akhir zaman manusia tidak pedulikan Halal atau Haram. 


Peristiwa akhir zaman banyak dikhabarkan oleh Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam melalui hadith-hadith Beliau. Ini kerana Baginda mahu kita sentiasa mempersiapkan diri atau bersedia untuk menghadapi hari kiamat yang menjadi rahsia Allah.


Tanda-tanda kiamat sama ada kecil ataupun besar akan diperlihatkan kepada manusia sebelum terjadinya hari kiamat yang amat dahsyat.


Akan tiba satu zaman, manusia tidak mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan. Perkara ini ada disebutkan oleh Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ أَمِنْ حَلَالٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu dari Nabi ﷺ bersabda, "Sungguh pasti akan datang suatu zaman pada manusia yang ketika itu seseorang tidak peduli lagi tentang apa yang didapatnya apakah dari barang halal ataukah haram". Riwayat Bukhari(2083)


Hadith  di atas mengisyaratkan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi awal umat Islam yang akan berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram. 


Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat seperti:


Pertama:Rasuah


Rasuah boleh ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.


Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (22/220) mentakrifkan rasuah dengan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”.


Secara umumnya  Allah Subhanahuwata'ala menyebutkan dalam Firman-Nya:


وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Surah al-Baqarah ayat 188.


Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim”. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)


Dalam sebuah hadith, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ


Maksudnya: “Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmizi (1337)  dan Ibn Majah (2313)


Di sini jelas bagi kita bahawa pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam. 


Begitu juga  dengan orang tengah yang terlibat dalam aktiviti rasuah. Sebagaimana terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam melarang perkara tersebut.


Dalam sebuah hadis menyebut daripada Thauban RA:


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا


Maksudnya: “Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya”

Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068)


Kaedah fiqh juga menyatakan:


الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ


Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.


Kedua:Riba


Riba adalah 'ziyadah', 'kenaikan' atau 'berlebihan' pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal berlaku pada sesuatu jenis kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah.


Riba juga boleh berlaku dalam pertukaran barang dengan barang yang diklasifikasikan sebagai ribawi, antaranya tukar emas lama seberat dua gram dengan emas baharu dua gram. Jika ada pertambahan atau pengurangan, maka ia adalah riba.


Imam an-Nawawi berkata, "Telah ijma' seluruh ulama Islam mengenai pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar dan dikatakan juga riba diharamkan oleh semua agama. Antara yang berpendapat demikian adalah Imam al-Mawardi (rujuk Al-Majmu', 9/391).


Adalah menjadi fenomena amat malang bagi umat Islam, apabila mereka leka dan tidak ambil endah mengenai besarnya dosa riba. Dalil menjelaskan, pemakan dan pemberi riba seolah-olah berperang dengan Allah Subhanahuwata'ala serta Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ. فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.

Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya". Al-Baqarah ayat 278-279


Ibn Abbas r.a. diriwayatkan pernah berkata: “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat: “Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah Subhanahuwata'ala.” (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)


Berkatalah Abu Hanifah rahimahullah pula: “Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan.” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)


Imam Malik bin Anas rahimahullah pula berkata: “Telah ku buka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari riba, kerana Allah Subhanahuwata'ala mengisytiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364)


Neraka adalah balasan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti riba, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya". Al-Baqarah ayat 275.


Riba mengakibatkan hilangnya keberkatan pada harta, dan riba juga akan menyebabkan hilangnya keberkatan hidup di dunia dan akhirat. 


Bentuk kehilangan berkat di dunia harta mereka yang terbabit dengan riba mudah hilang atau habis melalui jalan tidak berfaedah sehingga dia rasa miskin dan fakir walaupun mempunyai wang yang banyak. Malah, harta itu menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan dan menghinakan diri di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba.


Sebagaimana riwayat dari Ibn Mas’ud r.a, 

 

ِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَفَعَهُ لَنَا فِي أَوَّلِ مَرَّةٍ ثُمَّ أَمْسَكَ عَنْهُ يَعْنِي شَرِيكٌ قَالَ الرِّبَا وَإِنْ كَثُرَ فَإِنَّ عَاقِبَتَهُ إِلَى قُلٍّ


Maksudnya:"Dari Abdullah ia memarfu'kannya bagi kami pertama kali kemudian ia menahan darinya yakni Syarik ia berkata; Riba walaupun jumlahnya banyak(kuantitinya), sesungguhnya berhujung pada jumlah sedikit". Ahmad (3822),Sahih. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ


Maksudnya:"Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa". Al-Baqarah ayat 276.


Antara tanda hilangnya keberkatan harta orang terlibat dengan riba adalah hilangnya atau habisnya harta pemilik secara tidak berfaedah dengan mudah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Antaranya juga harta tersebut akan menjadi penyebab untuk pemiliknya melakukan banyak maksiat serta kerosakan, hilang sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti rompakan, kecurian, penipuan serta doa orang yang dizalimi olehnya juga lebih makbul. (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982, 1/224).


Ketiga:Arak


Haram meminum minuman yang memabukkan sama ada arak (خمر), iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain.


Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah ayat 90.


Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.


Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.


Terlebih dahulu Ayat al-Quran  mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, namun pun begitu pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.


Ini berdasarkan hadith daripada Nabi Salallahu'alaihiwasallam:


كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ


Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)


Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.


Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.


Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam bersabda:


لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا


Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”

Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020


Keempat:Menggadai maruah


Salah satu pekerjaan yang diharamkan adalah bekerja di tempat-tempat yang boleh menggadaikan maruah diri sebagai seorang Muslim.


Pekerjaan tersebuat seperti pelacur, teman sosial (di kelab malam), penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan), bonser (pengawal keselamatan untuk tempat maksiat), tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki), menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konspirasi bertujuan mengaibkan seseorang Muslim dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), membuat video atau mengambil gambar dan sebagainya.


Maruah ialah nilai-nilai kebaikan atau kemuliaan diri atau kehormatan diri – izzatunnafsi – yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan atau sesuatu bangsa. 


Maruah atau kemuliaan diri atau izzatunnafsi bagi Muslim ialah imannya. Kedua, ke-lslamannya, yakni hukum-hukum yang lima yang tertegak dalam dirinya baik hukum wajib, sunat, makruh, haram atau mubah. Yang termasuk maruah itu ialah kehormatan anak isteri, harta dan negaranya. Ketiga, ialah akhlak yang mulia yang menghiasi diri seperti jujur, ikhlas, sabar, kasih sayang, pemurah, berani, benar, tawaduk, berlapang dada, pemaaf dan lain-lain lagi.


Demikianlah tiga ciri-ciri penting tentang maruah seorang muslim. Inilah harga diri seorang Islam. Mulianya, terhormatnya dan agungnya umat Islam ialah apabila mereka mempunyai ketiga faktor ini. Yaitu memiliki maruah diri. Tanpa iman Islam dan akhlak, umat Islam akan hilang maruah yakni hilang kemuliaan, kehormatan dan keagungan diri. Mereka terhina, tidak bahagia dan tidak dipedulikan. Ada, tapi seperti tidak ada, tidak diperhitungkan. Sebab itu seorang Islam yang tahu dan sedar akan hal ini akan berbuat apa saja demi mendapatkan dan mempertahankan maruahnya selaku seorang Islam.


Menjaga kehormatan diri antara perkara yang berkaitan dengan maruah diri. Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhkan maruah diri sendiri serta maruah keluarganya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ


Maksudnya:"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali… ". Al-Nur ayat 31.


Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam bersabda:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَكَانَ يَقُولُ إِنَّ مِنْ خِيَارِكُمْ أَحْسَنَكُمْ أَخْلَاقًا


Maksudnya:"Dari 'Abdullah bin "Amru radhiallahu'anhu berkata, "Nabi ﷺ tidak pernah sekalipun berbicara kotor (keji) dan juga tidak pernah berbuat keji dan beliau bersabda, "Sesungguhnya di antara orang yang terbaik dari kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya'. Bukhari (3295)


Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambarkan ketinggian martabat Islam yang jelas menggariskan elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama. 


Kelima:Perkara yang haram dihalalkan dan yang haram dihalalkan. 


Umat Islam perlu memastikan setiap perkara yang dilakukan setiap hari perlu berlandaskan kepada syariat Islam dan memastikan hanya perkara yang halal sahaja dilaksanakan dan menjauhi segala yang diharamkan.


Perkara yang halal, maka ia adalah halal. Perkara yang haram, maka ia adalah haram. Itu adalah prinsip Islam secara asasi. Sebagaimana Sabda Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ فَمَنْ تَرَكَ مَا شُبِّهَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ كَانَ لِمَا اسْتَبَانَ أَتْرَكَ وَمَنْ اجْتَرَأَ عَلَى مَا يَشُكُّ فِيهِ مِنْ الْإِثْمِ أَوْشَكَ أَنْ يُوَاقِعَ مَا اسْتَبَانَ وَالْمَعَاصِي حِمَى اللَّهِ مَنْ يَرْتَعْ حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ


Maksudnya:"Dari An-Nu'man bin Basyir radhiallahu'anhu berkata, telah bersabda Nabi ﷺ, "Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Namun diantara keduanya ada perkara yang syubhat (samar). Maka barangsiapa yang meninggalkan perkara yang samar karena khawatir mendapat dosa, berarti dia telah meninggalkan perkara yang jelas keharamannya dan siapa yang banyak berdekatan dengan perkara samar maka dikhawatirkan dia akan jatuh pada perbuatan yang haram tersebut. Maksiat adalah larangan-larangan Allah. Maka siapa yang berada di dekat larangan Allah itu dikhawatirkan dia akan jatuh pada larangan tersebut". Riwayat Bukhari (1910)


Sebagaimana yang diketahui umum, binatang yang diharamkan secara tetap dari sudut daging, kulit, darah dan semua berkaitan denganya adalah babi. Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 Al-Baqarah ayat 173


Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam Islam. firman Allah Subhanahuwata'ala, 


 وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ


Maksudnya:"Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya". Al-Maidah ayat 88.


Pada ayat lain, Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ


Maksudnya:  "....Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk...." (Al-A'raf, ayat 157) 


Oleh itu, tiada keringanan untuk menggunakan semua yang berkaitan babi walaupun ada kelebihan seperti dinyatakan oleh pihak barat.


Begitu juga haram memakan haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Seperti penyembelih yang beragama Budha, Hindu, Majusi dan sebagainya, yang mana agama mereka bukanlah agama yang diturunkan kitab kepada mereka dan sudah pasti mereka bukan daripada kalangan ahli kitab. Oleh itu, hukum memakan makanan sembelihan bukan ahli kitab adalah haram. Ini adalah sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala;


وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ


Maksudnya:“ Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah Subhanahuwata'ala ketika menyembelihnya...” .

Surah al-An’am ayat 121.


Maka jelas memakan makanan sembelihan bukan Islam (bukan ahli kitab) adalah haram kerana cara sembelihan mereka yang tidak mengikut syara’.


Syariat yang diturunkan Allah Subhanahuwata'ala bagi manusia sudah sangat sempurna dan menyeluruh. Demikian juga soal pengaturan halal-haram yang dijalankan umat manusia. Jadi, manusia tak boleh melanggar hal-hal yang sudah diharamkan. Demikian pula, manusia tak boleh menambah-nambah item pengharaman yang sebenarnya dihalalkan Allah Subhanahuwata'ala.


Di dalam hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith Nabi Salallahu'alaihiwasallam:


مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ )وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا)


Maksudnya: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah Subhanahuwata'ala, kerana sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala tidak lupa barang sedikitpun. Kemudian Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam membaca daripada firman Allah Subhanahuwata'ala: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam ayat 64).


Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar. 


Sabda Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam, 


الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ


Maksudnya: “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah Subhanahuwata'ala di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah Subhanahuwata'ala di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”

Riwayat al-Tirmizi(1648) dan Ibn Majah(3358). 


 Firman Allah Subhanahuwata'ala;


قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ * قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ


Maksudnya;“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui * Katakanlah: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui".Surah Al-’Araf ayat 32-33.


Jika dilihat kepada ayat ini, ianya adalah rentetan dari tindakan orang arab Qurisyh jahiliyyah dahulu yang mewajibkan kepada semua jemaah haji di Makkah melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. Mereka beralasan, melakukan haji di Makkah bermakna membuang dosa. bagi membersihkan dosa, maka hendaklah buka pakaian. Ini kerana, apabila pakaian terlucut dari badan, maka samalah seperti dosa terlucut dari badan. Lihat At-Tafsri Al-Kabir : 7/77.


No comments:

Post a Comment

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid  Syaitan sentiasa mengunjungi tempat-tempat ibadah, majlis zikir, dan masjid-masjid. Di sana, ia beru...