Hukum meninggalkan solat
Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya solat itu merupakan kewajipan berwaktu ke atas orang-orang yang beriman.
Al-Nisa’ ayat 103.
Ayat ini memberi maksud bahawa solat itu adalah merupakan suatu kefardhuan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditetapkan untuk mereka itu waktu yang wajib melakukannya (solat).
Ayat ini adalah merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut".
Riwayat al-Bukhari (597), Muslim (684)
Ketika Baginda mengutus Mu‘az bin Jabal ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepadanya:
أخْبِرْهُم أنَّ اللهَ تَعاَلَى قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ
Maksudnya: “Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu pada tiap-tiap siang dan malam.”
Riwayat al-Bukhari (1401) dan Muslim(27)
Hukuman bagi orang yang meninggalkan solat:
Hukum bagi orang yang meninggalkan solat tetapi tidak mengingkari kewajipannya (mengaku akan wajibnya hukum sembahyang itu) ada dua bahagian:
Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana uzur syar‘i seperti tidur, lupa dan lain-lain jenis uzur syar‘i, maka wajib ke atasnya qadha sembahyang dan dia tidak berdosa.
Kedua: Meninggalkan solat tanpa sebarang keuzuran kerana malas atau melalai-lalaikan dan mempermudah-mudahkannya sehingga habis waktunya adalah berdosa.
Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya (menggantikannya) semula.
[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/103-104]
Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau sebab malas sehingga habis waktunya itu adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata‘ala:
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ.قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Maksudnya:"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?.Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat
Al-Muddassir Ayat 42-43.
Akibat mereka yang meninggalkan sembahyang itu sudah pasti merupakan suatu dosa yang besar. Firman Allah Subhanahuwata‘ala,
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ
Malsudnya:"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,
الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya:"(Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya". Al-Ma'un ayat 4-5.
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
Maksudnya:"Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan". Maryam ayat 59.
Sementara itu banyak hadith-hadith Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam yang menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai mempunyai tanda kekufuran, antaranya:
Daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
إنَّ بـَيْـنَ الـرَّجُلِ وَبَـيْـنَ الشِّرْكِ وَالكُفْـرِ تَرْكُ الـصَّلاَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya jurang pemisah antara seseorang itu dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang.” Riwayat Muslim(116)
Hadith daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
إنَّ الْعَهْدَ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya perjanjian yang dibuat (oleh Allah) untuk membezakan di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka barangsiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir". Riwayat an-Nasa’ie(459)
Adapun perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/160]. Maka, dosa-dosa besar tidak akan terampun atau terangkat hanya dengan menggantikan solat fardhu namun perlu disertai dengan taubat kepada Allah Subhanahuwata'ala Sebaliknya solat-solat fardhu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana hadith Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam,
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadhan ke (puasa) Ramadhan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar".Riwayat Muslim (233)
Imam Ibn Rejab menyatakan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama’ berkata bahawa sesungguhnya solat menghapus dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, tetapi jumhur ulama’ berkata bahawa solat tidak akan terhapus sekadar dengan menggantikan solat namun perlulah bersama-sama dengan taubat. [Lihat: Fath al-Bari; 4/221].
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيماً
Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)". Surah al-Nisa’ ayat 31.
Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa jika seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar (yang telah dilarang daripadanya), maka Allah Subhanahuwata'ala akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya dan memasukkannya ke dalam syurga. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/271]. Jelas di sini bahawa dengan menjauhi dosa besar atau secara mafhum mukhalafahnya (tidak meninggalkan solat) maka dapatlah ia menghapuskan dosa-dosa kecil.
No comments:
Post a Comment