Sungguh rugi pelaku maksiat walaupun sesaat. Di dunia hilang nikmat ketaatan dan di akhirat akan dihantar ke neraka.
Maksiat adalah merupakan tindakan manusia yang melanggar hukum tingkahlaku yang bertentangan dengan perintah Allah. Maksiat dapat melemahkan dan memutuskan jalan menuju Tuhan. Maksiat membuat seorang individu untuk berbuat suatu hal yang condong kepada kemungkaran.
Maksiat terjadi kerana manusia tidak sabar ketika menjauhi larangan Allah dan tidak kuatnya iman yang bersemayam di dalam dada. Sehingga syaitan mudah mengombang-ambingkan fikiran dan nafsunya.
Firmah Allah Subhanahuwata'ala
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan". Al-Anbiya ayat 35
Perbuatan maksiat mempunyai ciri-ciri intrinsik iaitu dapat menghasilkan kepuasan diri, mengasyikkan serta nikmat sehingga dapat membuat seorang individu senang dan bahkan kecanduan untuk melakukan kembali hal tersebut contohnya Zina, sesuatu yang merosakkan akal seperti arak, dadah, ganja dan sebagainya yang dapat menimbulkan kecanduan psikologi.
Andaikata orang yang melakukan maksiat menyedari, betapa kenikmatan maksiat itu hanya sesaat, kemudian setelah itu dia merasakan akibat dari kemaksiatannya, iaitu kemurkaan Allah, dosa dan siksa-Nya, maka orang itu tidak akan sanggup melakukan maksiat.
Namun, apa yang terjadi adalah ramai orang terpesona dengan kenikmatan sesaat. Betapa tidak, orang berzina, hanya dapat merasakan nikmatnya zina saat sebelum dan setelah puncak kepuasan seksualnya. Itu pun tidak lama, tetapi setelah itu dia menderita . Bahkan, aibnya pun tak terperi. Terlebih lagi, jika zinanya itu menghasilkan anak haram, maka beban itu akan ditanggung seumur hidup.
Tetapi, ada orang yang melakukan maksiat, berzina dan berzina, mencuri dan mencuri, makan riba dan makan riba, minum arak dan minum arak, hisap dadah dan hisap dadah, namun anehnya tetap merasa tidak ada masalah. Baginya, kemaksiatannya itu tidak nampak secara nyata dalam hidupnya. Dia pun enjoy menikmati hidup bergelimang dengan maksiat.
Sepertimana Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَا قَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا فَطَارَ
Maksudnya:"Dari Al Aswad keduanya berkata; Abdullah berkata; Sesungguhnya seorang mukmin memandang dosanya laksana akar gunung, ia takut akan menimpanya, sementara orang fajir memandang dosa-dosanya laksana seekor lalat yang hinggap pada hidungnya, ia berkata kepadanya seperti ini, lalu lalat itu terbang". Riwayat Ahmad(3448).
Apa yang akan terjadi pada orang seperti ini? Jawapannya adalah "Kemaksiatan itu diganjari dengan kemaksiatan".
Maksudnya adalah ketika orang ini melakukan satu maksiat, lalu diikuti dengan maksiat yang berikutnya, maka kemaksiatan berikutnya itu sesungguhnya adalah siksa Allah, tetapi dia tidak merasai, bahawa sesungguhnya dia sedang disiksa oleh Allah.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
ٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ{ كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu beliau bersabda, "Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka di titikkan dalam hatinya sebuah titik hitam dan apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan dan apabila ia kembali maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutup hatinya, dan itulah yang diistilahkan "Ar raan" yang Allah sebutkan: كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.(Al Muthaffifin ayat 14)". Riwayat Tirmizi (3257)
كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya:"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka. Al Muthaffifin ayat 14.
Sebaliknya dari sisi yang lain pula , “Kebaikan setelah kebaikan adalah pahala bagi kebaikan itu.”
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya:" Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan". Al-Nahl ayat 97.
Orang yang melakukan maksiat, terkadang tidak merasa dirinya melakukan maksiat. Padahal, jelas maksiatnya itu membuat hatinya tidak lagi merasakan nikmatnya ketaatan. Disaat dia solat dan berdoa pun tidak merasa khusyu'. Solat dan doanya pun kehilangan rohnya. Akibatnya; dia solat dan berdoa akan tetapi tidak ada pengaruhnya.
Bagi orang seperti ini, kelazatan munajatnya hilang. Kelazatan solatnya hilang. Kelazatan membaca Al-Qur’annya hilang. Kelazatan belajarnya hilang. Dia pun lama kelamaan akan malas munajat, kerana tidak merasakan lagi nikmatnya munajat kepada Allah. Dia mulai meninggalkan solat, kerana solatnya terasa hampa. Dia pun mulai meninggalkan al-Qur’an, kerana baginya al-Qur’an tidak lagi menarik hatinya. Dia pun malas datang pengajian, kerana nikmat ketaatannya lenyap. Akhirnya, dia pun jauh, dan semakin jauh dari ketaatan.
Maksiat itu telah membunuh kelazatan ketaatannya kepada Allah Subhanahuwata'ala.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِسْلَامِ مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَمَنْ أَحَبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ
Maksudnya:"Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang nescaya dia akan mendapatkan manisnya Islam, iaitu; orang yang lebih mencintai Allah dan rasul-Nya daripada selain mereka berdua, orang yang mencintai seseorang kerana Allah, dan orang yang tidak senang kembali kepada kekafiran sebagaimana ia membenci untuk dicampakkan ke dalam Neraka". Riwayat Al-Nasa'i(4903)
Jika kita sudah mulai dihinggapi tanda-tanda di atas, maka waspadalah. Segeralah kembali, sebelum kita jauh pergi meninggalkan jalan Allah Subhanahuwata'ala. Jauhi maksiat dan segera lakukan perbuatan yang baik, iaitu niat ikhlas kerana Allah dan benar caranya sesuai dengan syariat.
Sekali lagi,jauhilah dari maksiat dan perbaikilah amal . Tingkatkan ahsanul amal (أَحْسَنُ عَمَلًا) atau perbuatan yang baik. Sebagaimana Allah terangkan dalam Al Mulk ayat 2.
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ
Maksudnya:"Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kalian -wahai manusia- siapa di antara kalian yang paling baik amalnya. Dia Maha Perkasa, tidak ada sesuatu pun yang dapat mengalahkan-Nya, Maha Pengampun atas dosa-dosa hamba-Nya yang bertaubat kepada-Nya."
Maksiat akan menghantarkan manusia ke neraka. Sedangkan amal yang baik akan mengantarkan manusia ke syurga.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Dan barang siapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka. Tiadalah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan". Al-Naml ayat 90
وَمَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِهِ ۖ وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا ۖ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَاهُمْ سَعِيرًا
Maksudnya:"Dan barangsiapa yang ditunjuki Allah, dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang Dia sesatkan maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong-penolong bagi mereka selain dari Dia. Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya". Al-Isra ayat 97.
No comments:
Post a Comment