Wednesday, August 25, 2021

Persaudaraan dalam Islam (الأخوة في الإسلام)

Persaudaraan dalam Islam (الأخوة في الإسلام)

Ukhwah atau persaudaraan dalam Islam adalah nikmat yang amat berharga kurniaan Allah Subhanahuwata'ala kepada umat Islam. Islam. Ianya merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya:" Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri". Riwayat Bukhari (12),Muslim (64,65),Tirmizi(2439)


Dimaksud dengan tidak beriman ialah tidak mencapai  puncak iman kerana iman seringkali dianggap tidak ada kerana ketiadaan rukun-rukun dan kewajipan-kewajipannya, seperti sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.


َ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيهَا أَبْصَارَهُمْ حِينَ يَنْتَهِبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu berkata; Nabi ﷺ bersabda, "Seorang pezina tidak sempurna imannya ketika sedang berzina, dan seorang peminum khamar tidak sempurna imannya ketika sedang minum-minum dan seorang pencuri tidak sempurna imannya ketika sedang mencuri dan seorang yang merampas hak orang agar pandangan manusia tertuju kepadanya tidak sempurna imannya ketika dia merampasnya". Riwayat Bukhari(2475)


عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَاللَّهِ لَا يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لَا يُؤْمِنُ وَاللَّهِ لَا يُؤْمِنُ قِيلَ وَمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الَّذِي لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَايِقَهُ


Maksudnya:"Dari Abu Syuraih bahawasanya Nabi ﷺ bersabda, "Demi Allah, tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman." Ditanyakan kepada beliau, "Siapa yang tidak beriman wahai Rasulullah?" beliau bersabda, "Iaitu orang yang tetangganya tidak merasa aman dengan gangguannya." Riwayat Bukhari(6016)


Imam an-Nawawi rahimahullah berkata,“Para ulama mengatakan bahawa maknanya ialah tidak beriman dengan iman yang sempurna, kerana pokok iman itu ada pada orang yang tidak memiliki sifat ini”. Syarah Shahih Muslim (II/16)


Maksud hadith di atas ialah di antara sifat iman yang wajib, adalah seseorang mencintai untuk saudaranya yang mukmin apa yang ia cintai untuk dirinya dan membenci untuknya apa yang ia benci untuk dirinya sendiri. Jika sifat tersebut hilang darinya, maka imannya berkurang. Lihat Jami'ul ‘Ulum wal-Hikam (I/303),Imam ibnu Rajab al-Hanbali. 


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


 مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ وَأَبْغَضَ لِلَّهِ وَأَعْطَى لِلَّهِ وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ اْلإِيْمَانُ. 


Maksydnya:"“Barangsiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi karena Allah, dan menahan (tidak memberi) kerana Allah, maka sungguh, telah sempurna imannya”.Riwayat Abu Daud(4681)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, 


 مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنِ النَّارِ وَيُدْخَلَ الْجَنَّةَ فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ، وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِيْ يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ. 


Maksudnya:"Barang siapa ingin dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka hendaklah ia mati dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari Akhir, dan hendaklah ia menunaikan dan berbuat (kebaikan) kepada orang lain apa yang ia senang bila orang lain (berbuat baik) kepadanya”. Riwayat Muslim(1844)


Abu Dzarr Radhiyallahu ‘anhu ia berkata: Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda kepadaku:


 يَا أَبَا ذَرٍّ! إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيْفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِيْ، لاَ تَتَأَمَّرَنَّ عَلَى اثْنَيْنِ، وَلاَ تَوَلَّيَنَّ مَالَ يَتِيْمٍ. 


Maksudnya:"“Wahai, Abu Dzarr! Sungguh, aku melihat engkau sebagai orang yang lemah dan aku mencintai untuk dirimu apa yang aku cintai untuk diriku. Janganlah engkau memimpin dua orang, dan jangan pula memegang harta anak yatim”. Riwayat Muslim(1826)


Dari an-Nu’man bin Basyir dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, 


 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. 


Maksudnya:"“Perumpamaan kaum mukminin dalam cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan bahu-membahu, seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuhnya yang lain ikut merasakan sakit juga, dengan tidak bisa tidur dan demam”. Riwayat Bukhari(6011)


Para ulama berbeza pendapat tentang pelaku dosa besar; apakah dia dinamakan mukmin yang kurang imannya atau tidak dikatakan mukmin? Sesungguhnya yang benar dikatakan: dia muslim dan bukan mukmin menurut salah satu dari dua pendapat, dan kedua pendapat tersebut diriwayatkan dari Imam Ahmad, atau ia mukmin dengan imannya dan fasik dengan dosa besarnya. 


Adapun orang yang mengerjakan dosa-dosa kecil, iman tidak hilang dari dirinya secara total, namun ia orang mukmin yang kurang beriman dan imannya berkurang sesuai dengan kadar dosa kecil yang ia kerjakan. 


Sedangkan pendapat yang mengatakan bahawa pelaku dosa besar dinamakan seorang mukmin yang kurang imannya diriwayatkan dari Jabir bin ‘Abdillah Radhiyallahu ‘anhu, dan merupakan pendapat Ibnul-Mubarak, Ishaq, Ibnu ‘Ubaid, dan selain mereka.


Berbalik kepada perbincangan "Persaudaraan dalam Islam", yang sebenarnya persaudaraan itu merupakan sendi dan tunjang kekuatan perpaduan umat Islam yang dapat menjamin keharmonian dalam kehidupan. Kerana itu ikatan persaudaraan perlu dijaga dan dipelihara agar terus berpanjangan dan tetap dinikmati, hidup subur dan berterusan hingga ke akhir hayat. 


Ke arah menjadikannya kenyataan, Islam telah menggariskan beberapa syarat, antaranya ialah: Persaudaraan itu hendaklah dibina atas dasar ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahuwata'ala berasaskan iman dan taqwa, berlandaskan syariat Islam dan diamalkan secara konsisten baik dikala senang mahupun dikala susah.


Inilah rahsia yang menghasilkan perpaduan dalam persaudaraan, kerana orang yang beriman akan melaksanakan suruhan Allah atas dasar keikhlasan yang akan menjadikan mereka orang yang berakhlak lohor dan mulia. Ia akan sentiasa berusaha menyuburkan ukhuah Islamiah itu dengan ikatan kasih sayang dan sanggup berkorban, baik berkorban harta, masa, tenaga atau fikiran. Jika perkara ini diamalkan oleh semua orang perpaduan dapat dicapai, kehidupan menjadi aman, negara bertambah maju dan kukuh serta selamat dari sebarang ancaman atau pengaruh anasir yang tidak baik.


Hasil kewujudan ukhuah Islamiah itu dapat dirasakan dan dinikmati bila mana sifat ingin bantu membantu dan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya bersemarak ke dalam jiwa dan turut merasa senang jika saudara-saudara kita memperolehi nikmat dan kebahagiaan, jauh sekali merasa dengki dan khianat.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam banyak memberikan panduan dan nasihat kepada umatnya bagaimana cara mengeratkan hubungan silaturrahim tersebut, antaranya sebagaimana sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dari hadith yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari dari Ibnu Umar Radiallahu Anha ia berkata: Baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Maksudnya:"Bahwa 'Abdullah bin 'Umar radhiallahu'anhuma mengkhabarkannya bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya dari kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat". Riwayat Bukhari(2262)


Inilah rahsia orang-orang Islam yang menjadikan ikatan persaudaraan itu sebagai benteng perpaduan ummah. Kerana umat yang bersatu padu, yang saling bertolong-tolongan dan bantu membantu termasuk membimbing dan memberi petunjuk untuk melakukan kebaikan dan menolak kejahatan, serta saling berkasih-kasihan akan membentuk satu pertahanan atau benteng yang sangat kuat dan kukuh dan sukar untuk dipecah belahkan. Kerana itulah juga Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjadikan kaum Ansar dan Muhajirin adalah bersaudara.Dengan ikatan muhibah tersebut , akhirnya segala usaha dan rancangan mengambangkan Islam menjadi kuat dan berjaya kerana mendapat sokongan dan dukungan pengikut-pengikut Baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang sentiasa dan bersatu hati.


Kita perlu ingat bahawa umat yang berpecah belah, tiada perpaduan, tiada silaturrahim menyebabkan tiada kekuatan. Menjadi umat yang lemah dan rapuh. Contoh yang boleh menjadi ikhtibar terlalu banyak. Kita lihat negeri yang tidak bersatu, suka berpecah belah, negaranya tidak aman dan harmoni, sebaliknya menghadapi berbagai-bagai masalah yang merugikan diri sendiri. Bukankah Allah Subhanahu Wata'ala telah memberikan peringatan dengan firman-Nya, 


"وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Maksudnya:"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk". Ali-Imran ayat 103


Akhirnya, marilah kita sama-sama meningkatkan, menjaga dan memelihara tali persaudaraan kita, jangan sampai putus dan musnah. Binalah dengan asas keimanan dan kekuatan. Berdoalah kepada Allah Subhanahuwata'ala semoga tali persaudaraan kita tetap kukuh untuk selama-lamanya. Mudah-mudahan dengan demikian kita dapat membina keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita ini. آمیـــــــــــــن یارب العالمین


".

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...