Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada (اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ)
ٍ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya:"Dari Abu Dzar ia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku, "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergauilah manusia dengan akhlak yang baik". Riwayat Tirmizi(1987),Ahmad (20392,20435,20556)
Feqh Hadith:
1-Bertaqwalah kepada Allah.
2-Iringi keburukan dengan kebaikan.
3-Bergaul bersama manusia dengan akhlak yang baik.
Maksud takwa:
Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan”.
Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari”.
Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan”.
Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala”.
Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas”.
Suatu ketika, Abu Hurairah ditanya oleh seseorang, ''Wahai Abu Hurairah, apakah yang dimaksud dengan takwa itu?'' Abu Hurairah tidak menjawab pertanyaan itu, tetapi memberikan satu ilustrasi.
''Pernahkah engkau melalui suatu jalan dan engkau melihat jalan itu penuh dengan duri? Bagaimana tindakanmu untuk melaluinya?'' Orang itu menjawab, ''Apabila aku melihat duri, maka aku menghindarinya dan berjalan di tempat yang tidak ada durinya, atau aku langkahi duri-duri itu, atau aku mundur.'' Abu Hurairah cepat berkata, ''Itulah dia takwa!'' Riwayat Ibnu Abi Dunya.
Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ…
Maksudnya:"…Dialah (Allah) yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi ampunan”. Al-Muddatstsir ayat 56.
Tafsiran ayat di atas ialah "Dia (Allah) adalah Rabb Yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan berhak memberi ampun,” yakni Dia patut ditakuti dan disembah, kerana hanya Dia-lah Tuhan yang sepatutnya disembah dan patut untuk memberi ampunan pada siapa saja yang bertakwa pada-Nya dan mencari ridha-Nya". Lihat Tafsir as-Sa'di
Initipati Takwa adalah; Takwa seseorang kepada Rabb-nya ialah ia meletakkan antara dirinya dan apa yang ia takutkan dari Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya dari itu semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut ialah mengerjakan ketaatan dan menjauhi larangan.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
...اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ …...
Maksudnya:"…Bertakwalah kalian kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya….”. Ali ‘Imran ayat 102.
Ciri-ciri orang bertakwa pula adalah sebagaimana yang telah disebut oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya,
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ. الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ. وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ. أولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ
Maksudnya:"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal". Ali-Imran 133-136.
Seluruh amal mesti memiliki permulaan dan tujuan akhir. Suatu amal tidak dikatakan sebagai ketaatan dan qurbah (amalan yang mendekatkan diri kepada Allah) sampai ia bersumber dari keimanan. Dengan demikian, yang menjadi pendorong seseorang itu untuk melakukan suatu amal adalah semata-mata dari keimanan , bukan adat (kebiasaan), hawa nafsu, mengharap pujian dan kedudukan, dan lainnya. Amal tersebut harus diawali dengan keimanan, sedang tujuan akhirnya adalah mengharap pahala dari Allah dan keredhaan-Nya, inilah yang disebut dengan al-ihtisab (mengharapkan pahala).
Kerana itulah, dua pokok ini sering disebutkan secara bergandingan, seperti dalam sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْـمَـانًا وَاحْتِسَابًا…
Maksudnya:“Barangsiapa puasa di bulan Ramadhan atas dasar keimanan dan mengharap pahala…”. Riwayat Bukhari(37). Ahmad(6979)
مَن قَامَ لَيْلَةَ الْقَدَرِ إِيْـمَـانًا وَاحْتِسَابًا…
Maksudnya:“Barangsiapa menghidupkan malam Lailatul Qadar atas dasar keimanan dan mengharap pahala…”. Riwayat Bukhari(1768).
Takwa adalah wasiat Allah Subhanahuwata'ala untuk generasi terdahulu dan yang terakhir.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ “…
Maksudnya:"Dan sungguh, Kami telah memerintahkan kepada orang yang diberi kitab suci sebelummu dan (juga) kepadamu agar bertakwa kepada Allah…”.
Al-Nisa ayat 131.
Takwa adalah wasiat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada umatnya,ketika berkhutbah pada haji Wada’ iaitu di hari penyembelihan haiwan korban. Beliau berwasiat kepada manusia agar mereka bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin mereka,
أَبَا أُمَامَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ فَقَالَ اتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ وَصَلُّوا خَمْسَكُمْ وَصُومُوا شَهْرَكُمْ وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالِكُمْ وَأَطِيعُوا ذَا أَمْرِكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ
Maksudnya:" Abu Umamah berkata, saya telah mendengar khutbah Rasulullah ﷺ ketika haji wada', beliau bersabda, "Bertakwalah kepada Allah Rabb kalian, kerjakanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat mal kalian, dan taatilah pemimpin kalian, nescaya kalian masuk syurga Rabb kalian". Tirmizi (616)
Takwa digandingkan dengan nama Allah SubhanahuwaTa’ala , seperti dalam firman-Nya,
وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ...
Maksudnya:"… Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan (kembali)”. Al Maidah ayat 96.
Maksudnya ialah takutlah kepada kemurkaan dan kemarahan-Nya kerana itu adalah hal paling besar yang harus ditakuti. Hukuman dari Allah di dunia dan akhirat ada kerana kemurkaan dan kemarahan-Nya.
Takwa digandingkan dengan hukuman Allah Azza wa Jalla dan tempat hukuman tersebut, seperti Neraka atau waktunya seperti hari Kiamat, sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala berfirman,
وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya:“Dan periharalah dirimu dari api Neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.” Ali ‘Imran ayat 131.
وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ
Msksudnya:“Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah…”. Al-Baqarah ayat 281.
Bertakwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dikala bersendirian adalah pertanda kesempurnaan iman dan mempunyai pengaruh baik, iaitu Allah Azza wa Jalla membuat orang tersebut disanjung oleh orang-orang beriman.
اِتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ
Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada….
Maksudnya ialah bertakwalah kepada-Nya di saat sendirian mahupun ramai, atau ketika dilihat manusia ataupun tidak dilihat manusia.
Dan dalam sebuah hadith , Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdo’a,
اَللَّـهُمَّ إِنِّيْ أَسْـأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّـقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian (dijauhkan dari hal-hal yang tidak baik), dan kecukupan". Riwayat Muslim(2721)
Sebagaimana yang diisyaratkan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya,
, وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya:".....Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu". Nisa ayat 1.
Maka berbahagialah orang yang memperbaiki diri saat ia sendirian, yang mana Allah Subhanahuwata’ala memperbaiki keadaan dirinya ketika bersama manusia. Barangsiapa mencari pujian manusia dengan kemurkaan Allah Azza wa Jalla , maka orang yang memujinya akan menjadi penghina baginya
Cara-cara untuk meraih ketakwaan:
1-Menuntut ilmu syar’i.
2-Melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata’ala dan menjauhkan larangan-Nya. Perintah yang paling besar adalah tauhid (mentauhidkan Allah) dan larangan yang paling besar adalah syirik (mempersekutukan Allah).
3-Bergaul dengan orang-orang yang soleh.
4-Selalu merasa diawasi oleh Allah Azza wa Jalla .
Kelebihan Takwa:
Banyak nas-nas dari al-Qur'an dan al-Hadith yang menjelaskan tentang kelebihan-kelebihan takwa, di antaranya adalah sebagai berikut:
1-Syurga diwariskan kepada orang-orang yang bertakwa iaitu Surah Maryam ayat 63,
تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا
Maksudnya:"Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa".
2-Takwa sebagai sebab seorang hamba dicintai oleh Allah iaitu Surah Ali Imran ayat 76,
بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya:"(Bukan demikian), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.
3-Dibukakannya keberkatan dari langit dan bumi bagi orang yang bertakwa iaitu Surah al-A’raf ayat 96,
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya:"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya".
4-Allah Subhanahuwata’ala bersama dengan orang-orang yang bertakwa iaitu Surah an-Nahl ayat 128,
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ
Maksudnya:"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan".
5-Dimudahkannya urusan di dunia dan akhirat serta dimudahkan rezekinya bagi orang yang bertakwa iaitu Surah ath-Thalaq,
…وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
Maksudnya:".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Ayat 2
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ…..
Maksudnya:"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya….". Ayat 3.
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا….
Maksudnya:"….Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya". Ayat 4
6-Takwa adalah sebaik-baik bekal seorang hamba di dunia dan di akhirat iaitu Surah al-Baqarah ayat 197,
….وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ.
Maksudnya:"Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal".
7-Kesudahan yang baik di dunia dan akhirat adalah bagi orang-orang yang bertakwa iaitu Surah al-’raf ayat 128.
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya:"Musa berkata kepada kaumnya: "Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa".
Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya:"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". Al-Hujurat ayat 13