Saturday, July 10, 2021

Ibadah Qurban dan hukumnya.

Ibadah Qurban dan hukumnya.

Dalam bulan Zulhijjah seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidiladha dan kita dituntut untuk membesarkannya dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih

Di samping itu juga, antara ibadah yang sangat dituntut ialah melaksanakan ibadah korban (bagi yang berkemampuan) iaitu berkorban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kambing, kerbau atau lembu pada waktu yang tertentu.


Adapun maksud waktu yang tertentu untuk menyembelih binatang korban itu ialah pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu selepas naik matahari pada Hari Raya Adha (setelah selesai sembahyang sunat Hari Raya Adha pada sepuluh Zulhijjah) sehingga terbenam matahari akhir hari tashrik iaitu hari ketiga belas Zulhijjah.


Allah Subhanahuwataala telah berfirman:


فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ


Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). 

Surah al-Kauthar ayat 2


Ibadah korban yang khusus untuk Rasulullah Salallahualaihiwasallam pula hukumnya adalah wajib. Hal ini berdasarkan kepada sabda Baginda Salallahualaihiwasallam, salah satu darinya adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi; 


أُمِرْتُ بِالنَّحْرِ وَهُوَ سُنَّةٌ لَكُمْ  


Maksudnya:“Aku diperintahkan (diwajibkan) untuk berkorban, dan hal itu merupakan sunnah bagi kalian” (Hadith Riwayat Al-Tirmizi). 


Justeru itu, berdasarkan hadith di atas hukum melaksanakan ibadah korban ini adalah sunat Muakkad (sangat dituntut) bagi setiap muslim yang berkemampuan. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/478)


Kesunnahan dalam hal ini adalah sunat kifayah jika ada dalam satu keluarga itu salah seorang dari mereka telah menjalankan ibadah korban maka gugurlah tuntutan sunat kifayat bagi pihak yang lain, tetapi jika hanya dia seorang sahaja maka hukumnya adalah sunat ‘ain. Syarat untuk melaksakan ibadah korban ini adalah ditujukan kepada orang muslim yang merdeka, sudah baligh, berakal dan mampu.


 وَالْاُضْحِيَة- ....(سُنَّةٌ) مُؤَكَّدَةٌ فِيحَقِّنَاعَلَى الْكِفَايَةِ إِنْ تَعَدَّدَ أَهْلُ الْبَيْتِ فَإِذَا فَعَلَهَا وَاحِدٌ مِنْ أَهْلِ الْبَيْتِ كَفَى عَنِ الْجَمِيعِ وَإِلَّا فَسُنَّةُ عَيْنٍ وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ اَلْحُرُّ اَلْبَالِغُ اَلْعَاقِلُ اَلْمُسْتَطِيعُ 


“Hukum berkorban adalah sunat muakkad yang bersifat kifayah apabila jumlahnya dalam satu keluarga yang ramai, maka jika salah seorang dari mereka sudah menjalankannya maka sudah mencukupi untuk kesemuanya jika tidak maka menjadi sunat ain. Sedangkan mukhatab (orang yang terkena khitab) adalah orang islam yang merdeka, sudah baligh, berakal dan mampu” (Muhammad al-Khathib asy-Syarbini, al-Iqna’ fi Halli Alfazhi Abi asy-Syuja’, Bairut-Maktab al-Buhuts wa ad-Dirasat, tt, juz, 2, h. 588)


Di dalam sebuah hadith , Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:


إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ


Maksudnya: “Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, ( hari raya ) ialah kami bersembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun”.

Riwayat Bukhari (965) dan Muslim (1961)


Makna perkataan: “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” ialah sebelum masuk waktu sembahyang hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan sembahyang.


Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Waktunya bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji (Hari Raya Korban) iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijah. Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat sunat hari raya”.


Jubair bin Mut’im RA meriwayatkan, katanya:


وَكُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ


Maksudnya: “Setiap Hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih)”.


Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya (16751).Dhaif


1-Bermulanya waktu sembelihan itu selepas timbulnya matahari pada hari sembelihan iaitu hari ke-10 Zulhijjah, sehinggalah berakhirnya hari tasyriq dan ini menjadikan waktu sembelihan korban itu selama 4 hari. Iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


2-Justeru itu sesiapa yang melakukan sembelihan sebelum waktu yang disebutkan di atas, maka sembelihannya itu tidak dikira sebagai korban. Ianya hanyalah dikira sebagai sedekah sahaja (iaitu sembelihan untuk mendapat daging semata-mata).


3-Sekiranya seseorang itu telah bernazar untuk melakukan sembelihan namun telah berakhirnya hari tasyriq, maka wajib ke atasnya untuk melakukan sembelihan tersebut dan ianya di kira sebagai qadha’ dan qadha’ tidak gugur dengan berlalunya waktu.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...