Monday, June 28, 2021

Buruk sangka dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Buruk sangka dan mencari-cari kesalahan orang lain. 


Buruk sangka (su'u dzan) adalah salah satu sifat mazmumah manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati . Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu yang menyebabkan si pelaku itu berasa puas. 


Ia adalah suatu penyakit hati yang akan menyerang sesiapa sahaja. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang kukuh mampu mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain ini. 


Berprasangka  atau dalam istilah al-Quran disebut ‘Zhan’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat global yang hidup dalam dunia tanpa sempadan kini. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, khidmat pesanan ringkas (SMS), internet dan instrumen-instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini.


Buruk sangka dan suka mencari salah orang lain adalah perbuatan yang sangat dimurkai Allah Subhanahuwata'ala. Sifat buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan ummah. 


Salah satu punca kelemahan umat Islam hari ini sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan umah amat terkait dengan fenomena prejudis dan berprasangka buruk sesama sendiri. Sikap berprasangka buruk bagaikan budaya yang sukar dibendung lantas menjadikan manusia saling bercakaran dan bermusuhan. 


Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah Subhanahuwata'ala. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:" "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani".  Al-Hujurat ayat 12.


Dalam ayat ini terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka, kerana sebahagian tindakan berprasangka ada yang merupakan perbuatan dosa. Dalam ayat ini juga terdapat larangan berbuat tajassus. Tajassus ialah mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keaiban-keaiban orang lain, yang biasanya merupakan kesan dari prasangka yang buruk.


Dalam erti kata lain, kita disaran untuk tidak terpengaruh dengan individu yang suka bersangka.


Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa yang menambahkan prasangka sedia ada.


Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan oleh hadith berikut, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Jauhilah oleh kalian buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan. Jangan saling mencari tahu (aib orang lain) dan jangan saling mengintip". Abu Daud (4271)


Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. 


Sebab itulah isu yang kecil, cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu lama untuk disebarkan. Semuanya mampu dilakukan dengan kecanggihan teknologi yang disalah guna bagi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan.


Oleh itu, sebagai hamba beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala, kita perlu menjaga pertuturan atau berdiam diri.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَسْكُتْ


Maksudnya;"Dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya berkata baik atau diam". Riwayat Ibnu Majah (5670)


Disebutkan dalam kitab Al-Hilyah karya Abu Nu’aim bahawa Abu Qilabah Abdullah bin Yazid Al-Jurmi berkata : “Apabila ada berita tentang tindakan saudaramu yang tidak kamu sukai, maka berusaha keraslah mancarikan alasan untuknya. Apabila kamu tidak mendapatkan alasan untuknya, maka katakanlah kepada dirimu sendiri, “Saya kira saudaraku itu mempunyai alasan yang tepat sehingga melakukan perbuatan tersebut”.


Sufyan bin Husain berkata, “Aku pernah menyebutkan tentang kekurangan seseorang di hadapan Iyas bin Mu’awiyyah. Beliau pun memandang wajahku seraya berkata, “Apakah kamu pernah ikut memerangi bangsa Romawi?” Aku menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya lagi, “Kalau memerangi bangsa Sind, Hind (India) atau Turki?” Aku juga menjawab, “Tidak”. Beliau berkata, “Apakah layak, bangsa Romawi, Sind, Hind dan Turki selamat dari kehinaanmu sementara saudaramu yang sesama muslim tidak selamat dari kehinaanmu?” Setelah kejadian itu, aku tidak pernah mengulangi lagi berbuat seperti itu”


Seseorang itu mudah terpengaruh dengan sangkaan dibuat oleh orang lain atas beberapa sebab. 

Diantaranya, disebabkan tidak kenal orang itu. Elakkan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan baik.


Seterusnya, bagi mengelakkan terpengaruh dengan segala perkhabaran yang tidak dipastikan kesahihannya, penting untuk kita sentiasa peka dan memahami situasi dilalui oleh individu berkenaan.


Jika diabaikan perkara sebegini, sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan. Jiwa akan hancur luluh, perasaan tertekan, rumah tangga runtuh, kedamaian musnah, masyarakat menjadi porak-peranda.


Semua itu gara-gara perangai buruk sangka. Islam mendesak umatnya supaya mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.


Sebab yang lain, individu yang tidak mempunyai pendirian akan mudah terpengaruh dengan segala sangkaan negatif yang diterima daripada pihak lain. Apabila menerima maklumat atau berita negatif mengenai sesuatu berkaitan peribadi seseorang, selidik (tabayyun) terlebih dahulu.


Jangan terus mempercayai atau memberi maklum balas secara negatif. Allah Subhanahuwata'ala berfirman yang bermaksud:


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu". Al-Hujurat ayat 6.


Perkara buruk ini telah menjadi darah daging pada sesetengah umat Islam sekarang ini terutama yang sentiasa iri hati dan bersangka buruk terhadap saudara Islamnya. Dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti yang kukuh. Malah orang yang bersangka buruk itulah yang diagungkan sebagai orang yang hebat dan bijak. 


وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا


Maksudnya:"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata". Al-Ahzab ayat 58.


Inilah petanda akhir zaman kerana umat Islam tidak lagi berbangga dengan kerja-kerja amalnya dan mereka merasa besar dan gah dengan dosa yang dilakukan oleh mereka. 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". Al-Hujurat ayat 11.


Sebagai penutup marilah kita sama-sama merenung firman Allah Subhanahuwata'ala pada ayat berikut, 


إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ


Maksydnya:"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar". Al- Nur ayat 11

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...