Friday, June 18, 2021

Hasad dengki pemusnah kebaikan

Hasad dengki pemusnah kebaikan

Hasad adalah kalimah Arab yang diterjemahkan sebagai dengki. 

Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan berkenan


Perasaan hasad dengki merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam, dan Allah Subhanahuwata'ala mengarahkan agar kita meminta perlindungan dari Allah Subhanahuwata'ala dari kejahatan sifat dengki. Firman Allah ‘Azza wa Jalla:


وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


Maksudnya: Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. Al-Falaq ayat 5.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ


Maksudnya:"dari Abu Hurairah bahwa Nabi ﷺ bersabda, "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kabaikan seperti api memakan kayu bakar". Riwayat Abu Daud (4257)


Salah satu sebab manusia berasa dengki disebabkan harta. Seorang manusia akan mudah dengki apabila melihat orang lain lebih berharta.


Di samping itu, hasad juga berlaku kerana kecantikan rupa paras  seseorang. Orang berwajah cantik sering menjadi tumpuan sama ada sama jantina mahupun berlawanan jantina.


Manifestasi dengki biasanya datang dalam pelbagai bentuk yang negatif. Ada pendengki yang melakukan fitnah, melakukan sihir dan sehingga ke tahap membunuh.


Sehubungan itu, seseorang yang berpenyakit hasad dengki sentiasa gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh orang yang didengkinya. Apabila perasaan itu tidak lagi dapat dikawal, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai dengan apa cara sekalipun.


Dan situasi inilah yang menatijahkan gejala negatif seperti mereka-reka cerita, menfitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya bertujuan memburuk-burukkan orang yang didengki. Malah, ada di kalangan yang dihidapi penyakit hasad itu sanggup bersekongkol dengan orang jahat menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial hatta melanggani tukang-tukang sihir dan mengamalkan perbuatan keji lainnya semata-mata untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.


Manusia yang berjaya kebiasaannya melakukan pengorbanan ketika dalam proses menuju kejayaan. Biasa kita dengar pengorbanan yang mereka lakukan bukan sedikit.


Tanya pada diri sekuat mana kita sudah berusaha untuk menjadi seperti mereka yang berjaya itu atau kita lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja tidak berfaedah?


Sememangnya ubat mujarab dalam mengubati penyakit hasad adalah bersyukur. Walaupun kita tidak kaya tetapi Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kita rezeki yang sentiasa mencukupi dan tidak pernah pula meminta-minta.


وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Al-Nahl ayat 18.


Walaupun kurang dari segi rupa, Allah tetap berikan kita rumah tangga yang bahagia. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, Allah kurniakan kita anak yang bijak dan pandai.


Kita tidak memiliki harta yang banyak tetapi Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan kita banyak masa bersama keluarga. Jiwa menjadi tidak bahagia apabila hasad bersarang dalam diri.


Sepanjang masa kita berharap supaya orang yang kita dengki itu perniagaan yang dijalankan segera jatuh, kecantikannya kian pudar atau kita berharap dia dibuang kerja.


Kita sibuk menghabiskan masa meneliti nikmat Allah yang masih kurang tetapi lupa Allah telah mengurniakan kita banyak lagi rezeki lain.


Maka berhenti bersikap dengki kerana nasib diri kita tidak berubah lantaran bersikap sedemikian dan sentiasa ingin menjatuhkan orang lain.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman yang bermaksud: 


الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


Maksudnya:“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. (Surah al-Mulk, ayat 2)


Mereka yang menghidap sifat mazmumah seperti hasad perlu kembali kepada panduan yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, sebagaimana sabdanya, 


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ


bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Janganlah kalian saling membenci, saling mendengki, saling membelakangi(bermasam muka), dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga hari." Riwayat Muslim (4642)


Namun terdapat juga hadith yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dan dengki ini. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam:


لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا


Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.

Riwayatbal-Bukhari (73)


Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan:


لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ


Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah Subhanahuwata'ala) sepanjang malam dan siang.


Riwayat al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)


Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadith ini sebenarnya membawa maksud al-ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu, dan lafaz hasad digunakan dalam erti kata majaz. Keinginan ini juga disebut sebagai munafasah atau persaingan, dan ianya terpuji (Mahmud) jika dalam perkara ketaaatan. (Rujuk Fath al-Bari 1/167)

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...