Friday, February 12, 2021

Bulan Rajab termasuk di dalam bulan-bulan Haram

Bulan Rajab termasuk di dalam bulan-bulan Haram. 

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Tambahan pula, Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman berkaitan bulan Haram ini di dalam surah al-Taubah:


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”. [al-Taubah:36]


Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.

[Tafsir Ibn Kathir, 4:130

Definisi Bulan Haram


Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan di dalam Islam iaitu Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ


Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah Subhanahuwata'ala menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. [Riwayat al-Bukhari (4054)]


Antara makna hadith ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa bulan-bulan ini kembali kepada asalnya serta menghapuskan al-Nasi’ (penangguhan). Telah berkata al-Khattabi bahawa mereka (orang jahiliyyah) berselisih di antara bulan-bulan dalam satu tahun pada menghalalkan, mengharamkan, menpercepatkan, melambatkan berdasarkan sebab-sebab yang datang kepada mereka. Antaranya, bagi mempercepatkan peperangan maka mereka menghalalkan bulan haram kemudian mereka mengharamkannya pada bulan yang lain iaitu selain daripada bulan haram. [Lihat: Fath al-Bari, 325/8]


Definisi Rejab


Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118] Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.


Kabilah Bani Mudhar


Syeikh Mustafa al-Bugho mengatakan Rejab Mudhor ini dinisbahkan kepada Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain ketika menta’liqkan hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari.


Fatwa Ulama’-Ulama’ Berkaitan Puasa Rejab


Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 95/28] mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadith daripada Imam Muslim:


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، صِيَامُ شَهْرِ اللهِ الْمُحَرَّمِ


Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada  bulan Allah al-Muharram”. [Riwayat Muslim (1163)]


Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah makruh berdalilkan dengan sebuah hadith di dalam Sunan Ibn Majah:


Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ


Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab”. [Riwayat Ibn Majah (1743)][Imam al-Syaukani [Lihat: Nail al-Authar 293/4 ]mengatakan hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’][Hadith ini adalah dhaif jiddan (teramat lemah)]


Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini. Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseoang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.


Pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, Antaranya ialah:


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]


Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]


Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda Sallahu'alaihiwasallam”. [Faidh al-Qadhir, 210/4]


Hadith-Hadith Tidak Sahih Berkaitan Bulan Rejab


Antara hadith-hadith yang tidak sahih berkaitan bulan Rejab:


Dikatakan bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

فَضْلُ شَهْرِ رَجَبٍ عَلَى الشُّهُورِ كَفَضْلِ الْقُرْآنِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ


Maksudnya: “Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan lain adalah seperti kelebihan al-Qur’an berbanding semua jenis kalam”.


Hadith ini palsu dan ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar di dalam al-Tabyin. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 85/2]


Dikatakan bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

لَا تَغْفَلُوا عَنْ أَوَّلِ جُمُعَةٍ مِنْ رَجَبٍ فَإِنَّهَا لَيْلَةٌ تُسَمِّيهَا المَلَائِكَةُ الرَّغَائِب


Maksudnya: “Janganlah kamu lalai pada Jumaat yang pertama daripada bulan Rejab kerana sesungguhnya terdapat padanya satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai al-Raghaib”.


Hadith ini dusta keseluruhannya menurut Ibn al-Qayyim. [Lihat: al-Manar al-Munif, 95]


Dikatakan bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

إِنَّ فِيْ الجَنَّةِ نَهْرًا يُقَالُ لَهُ رَجَب مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ العَسَلِ، مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَب سَقَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ


Maksudnya: “Bahawasanya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai tersebut”.


Hadith ini bathil menurut Imam al-Zahabi. [Lihat: Mizan al-Mu’tadil, 189/4]


Dikatakan bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

مَنْ صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَجَبٍ يَعْدِلُ ذَلِكَ بِصِيَامِ سَنَةٍ ، وَمَنْ صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ أُغْلِقَ عَنْهُ سَبْعَةُ أَبْوَابِ النَّارِ ، وَمَنْ صَامَ مِنْ رَجَبٍ عَشْرَةَ أَيَّامٍ نَادَىْ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ سَلْ تُعْطَهْ


Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari pertama bulan Rejab umpama berpuasa setahun, barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab sepuluh hari diseru daripada penyeru dari langit bahawa mintalah lalu diberikan (apa yang diminta)”.


Hadith ini bathil dan tiada asal baginya menurut Imam al-Syaukani. [Lihat: al-Fath al-Rabbani, 3212/6]


Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa dikatakan Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:

 


فِي رَجَبٍ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ مَنْ صَامَ ذَلِكَ الْيَوْمَ ، وَقَامَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ كَانَ كَمَنْ صَامَ مِنَ الدَّهْرِ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَقَامَ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَهُوَ لِثَلاثٍ بَقِينَ مِنْ رَجَبٍ ، وَفِيهِ بُعِثَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya: “Dalam bulan Rejab terdapat hari dan malam yang mana berpuasa pada hari tersebut dan mendirikan malamnya (Qiyamullail) adalah seperti seseorang yang berpuasa setahun selama 100 tahun dan berqiyamullail selama 100 tahun. Hari tersebut adalah 3 hari terakhir daripada bulan Rejab dan padanya juga dibangkitkan Muhammad Sallahu'alaihiwasallam.”


riwayat Salman al-Farisi RA tersebut ada diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman dan Fadhail al-Awqat. Akan tetapi, Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa sanad hadith tersebut adalah dhaif.


Adapun berkaitan status hadith ini adalah munkar sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalni bahawa hadith ini teramat munkar. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 31] Tambahanpula, Syeikh Ibn Arraq al-Kinani menyatakan di dalam sanad terdapat perawi yang didhaifkan oleh Ibn Ma’in dan . [Lihat: Tanzih al-Syariah, 161/2]


Kesimpulan dari apa yang dinyatakan oleh Para Ulama:

Bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu.


No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...