Thursday, January 21, 2021

Proses kejadian manusia (Adam, Hawa dan anak Adam)

Proses kejadian manusia (Adam, Hawa dan anak Adam) 


Al-Quran menjelaskan bahawa Adam 'Alaihissalam  diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala daripada tanah yang kering kemudian dibentuk oleh Allah dengan bentuk yang sebaik-baiknya. Setelah sempurna,  Allah Subhanahuwata'ala meniupkan roh kepada Adam 'Alaihissalam,  


الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ ۖ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنْسَانِ مِنْ طِينٍ


Maksudnya:"Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah". Al-Sajdah ayat 7.


Sebenarnya Yang dimaksudkan dengan manusia (الْإِنْسَانِ) ialah Adam 'Alaihissalam yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala daripada tanah,  lalu ia menjadi bentuk yang indah dan rupa paras Yang cantik. Lihat Al-Qurtubi, Al-Jami' li Ahkam al-Quran. 


Juga firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنْتَشِرُونَ


Maksudnya"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak. Al-Rum ayat 20.


Sehubungan dengan ini,  ulama telah menyatakan bahawa proses kejadian manusia pertama iaitu Adam 'Alaihissalam adalah melalui beberapa peringkat:


Peringkat pertama: Boleh diistilahkan sebagai "peringkat tanah atau saripati Tanah"( سلالة من طين)


Pada peringkat ini didapati bahawa Allah Subhanahuwata'ala melakukan beberapa penyaringan debu tanah. Firman Allah:


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah".  Al-Mu’minun Ayat 12.


Peringkat kedua: Tanah ini dicampurkan dengan air hingga menjadi tanah liat atau peringkat Tanah Melakat (طين لازب )


فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا ۚ إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لَازِبٍ


Maksudnya:"Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): "Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?" Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat". Al-Saafat ayat 11.


Peringkat ketiga: Peringkat Tanah Berbau (حماء مسنون)


Peringkat ini adalah dengan merujuk kepada firman Allah ,


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk". Al-Hijr ayat 26.


Peringkat keempat: Tanah liat ini ditinggalkan untuk satu tempoh hingga kering, lalu tanah itu menjadi seperti tanah liat kering atau peringkat tanah keras ( الصلصال)


Perkataan ini tidak sempurna jika perumpamaannya tidak dijelaskan bersama iaitu كاالفخار yang membawa erti seperti tembikar. Maka jelas bahawa pada peringkat ini dari aspek fizikalnya manusia yang ingin diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala berada dalam keadaan yang keras seperti sifat tembikar. Sebagaimana firman Allah". 


خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ


Maksudnya:"Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar". Al-Rahman ayat 14.


Peringkat kelima: Peringkat Peniupan Roh, iaitu kemudian Allah Subhanahuwata'ala memasukkan roh pada jasad yang dijadikan-Nya,  iaitu jasad Adam 'Alaihissalam.  


فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ


Maksudnya:"Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". Sad Ayat 72


Pada asasnya,  segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dunia ini selalu dalam keadaan berpasang-pasangan. Begitu juga halnya dengan manusia. Allah Subhanahuwata'ala berkehendak menciptakan lawan jenisnya,  iaitu Hawa untuk dijadikan teman hidup iaitu isteri,


سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui". Yasin ayat 36.


Al-Quran menjelaskan tentang proses kejadian manusia kedua iaitu Hawa, 


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا


Maksudnya:"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. Al-Nisa ayat 1.


Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan "pasangannya/زَوْجَهَا ialah Hawa yang diciptakan daripada tulang rusuk kiri Adam 'Alaihissalam. Lihat al-Tafsir al-Munir, jil. 2 hlm. 556.


Al-Quran juga merakamkan kisah kejadian semua keturunan Adam dan Hawa,  iaitu manusia diciptakan Allah Subhanahuwata'ala di dalam rahim ibunya berdasarkan firman-Nya, 


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ.ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ.ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah.Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Al-Mu'minun ayat 12-14.


Ayat-ayat ini menunjukkan penciptaan manusia. Proses kejadiannya, melalui sembilan peringkat menjadi bukti nyata tentang kewujudan Allah Subhanahuwata'ala Dan keesaan serta kekuasaan-Nya yang agung. 


Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah mula mencipta Adam 'Alaihissalam daripada tanah liat atau tanah.  Dia mencipta anak Adam sebagai makhluk daripada air benih(mani) bertemu dengan mani perempuan,  lalu mula terbentuk janin. 


Kemudian air benih bertukar menjadi sebuku darah beku(segumpal darah), kemudian menjadi seketul daging Dan menjadi beberapa tulang.  Tulang-tulang itu dibaluti daging yang zahir padanya bentuk-bentuk manusia,  kemudian menjadi makhluk baharu yang berlainan dari makhluk awal dengan peniupan roh yang bergerak sifatnya selepas IA sebelumnya merupakan sesuatu yang tidak hidup. Lihat al-Tafsir al-Munir, jil. 9,hlm. 341.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...