Saturday, December 5, 2020

Hukum menyewa atau menjual air mani haiwan jantan.

Hukum menyewa atau menjual air mani haiwan jantan. 


Sebelum membahaskan hukum jual beli air mani haiwan, elok terlebih dahulu difahami status air mani haiwan dari sudut kesucian atau kenajisannya. Ada tiga pandangan berkenaan kesucian air mani yang terhasil selain dari manusia :


1-Kesemua air mani haiwan adalah suci kecuali air mani khinzir dan anjing.

2-Kesemua air mani haiwan adalah najis. Kerana ianya dianggap sebagai lebihan dan hasil dari pemprosesan makanan.

3-Air mani yang terhasil dari haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci.

Rujuk Al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie ( 1/77)


Imam al-Nawawi cenderung kepada sucinya air mani selain dari air mani anjing dan khinzir atau yang lahir dari kedua-duanya. Inilah  juga pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Ibnu Sabbagh dan al-Syasi.Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ( 2/555)


Berbalik kepada "Hukum menyewa atau menjual air mani haiwan jantan". 


Dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau mengatakan,


نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ عَسْبِ الفَحْلِ


Maksudnya:"Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam melarang jual beli mani jantan". Riwayat Bukhari (2284), Nasai (4671), Abu Daud (3429), dan yang lainnya. 


Dalam riwayat lain, dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, beliau mengatakan,


نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ ضِرَابِ الْجَمَلِ


Maksudnya:"Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melarang menyewakan air mani pejantan". Muslim (1565).


Yang dimaksud dengan “melarang mani pejantan” dalam hadith di atas mencakupi dua pengertian:


1- Jual beli mani pejantan.

2-Menyewakan pejantan untuk mengawini betina.


Ibnu Hajar mengatakan,


وعلى كل تقدير فبيعه وإجارته حرام لأنه غير متقوم ولا معلوم ولا مقدور على تسليمه


Maksudnya:"“Adapun maknanya, memperjual-belikan mani jantan dan menyewakan pejantan itu haram kerana mani pejantan itu tidak boleh diukur, tidak diketahui, dan tidak boleh diserah-terimakan.” (Fathul Bari, 4/461)


Syarat barang yang dijual ialah :


1-Suci dan bersih

2-Barang yang mendatangkan manfaat

3-Mampu diserahkan

4-Dimiliki oleh penjual

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Muamalat ( hlm 14-15)


Syarat-syarat ini disimpulkan oleh Ibnu Roslan di dalam Sofwah al-Zubad :


في طاهر منتفع به قدر # تسليمه ملك لذي العقد نظر


Syarat ini perlu dipenuhi bagi menjadikan jual beli tersebut sah.


Perbezaan Ulama dalam memahami status larangan dari Hadith di atas:


Pertama, status larangan di atas adalah larangan haram. 

Ertinya, pemilik haiwan jantan atau pemilik mani haiwan jantan, sama sekali tidak dibenarkan mendapatkan upah atau bayaran apapun dari pemilik haiwan betina yang dikawinkan.


Imam An-Nawawi menyebutkan,


قال الشافعي وأبو حنيفة وأبو ثور وآخرون استئجاره لذلك باطل وحرام ولا يستحق فيه عوض ولو أنزاه المستأجر لا يلزمه المسمى من أجره ولا أجرة مثل ولا شئ من الأموال قالوا لأنه غرر مجهول وغير مقدور على تسليمه


Maksudnya:"As-Syafii, Abu Hanifah, dan Abu Tsaur, serta beberapa ulama lainnya mengatakan bahawa menyewakan haiwan jantan untuk dikawinkan statusnya tidak sah dan haram. Pemiliknya tidak berhak mendapatkan ganti biaya. Meskipun penyewa itu mengawinkan haiwan jantan (milik orang lain) dengan betina miliknya, dia tidak berkewajiban membayar upah yang telah dinyatakan di awal, tidak pula upah yang semisal atau harta apapun.


Mereka beralasan, kerana semacam ini ada unsur gharar, tidak jelas, dan tidak boleh diserah-terimakan. (Syarh Shahih Muslim, an-Nawawi, 10/230)


Kedua, larangan dalam hadith di atas, tidak sampai darajat haram, tapi larangan makruh dan sebatas anjuran untuk bersikap baik kepada sesama manusia. Disamping hasil utama dari penyewaan jantan adalah terjadinya perkawinan antara jantan dengan betina, dan bukan semata anak.


Imam An-Nawawi menyebutkan,


وقال جماعة من الصحابة والتابعين ومالك وآخرون يجوز استئجاره لضراب مدة معلومة أو لضربات معلومة لأن الحاجة تدعو إليه وهي منفعة مقصودة وحملوا النهي على التنزيه والحث على مكارم الأخلاق…


Maksudnya:”Beberapa sahabat, tabiin, Imam Malik, dan beberapa ulama lainnya berpendapat, boleh menyewakan pejantan untuk dikawinkan dalam masa yang disepakati, atau untuk beberapa kali proses mengawini. Kerana ada keperluan untuk melakukan proses itu, dan mengahwinkan binatang merupakan manfaat utamanya.


Mereka memahami larangan di atas, sebagai larangan makruh dan motivasi untuk memiliki akhlak yang baik. (Syarh Sahih Muslim, an-Nawawi, 10/230)


Namun begitu, jika dalam bentuk "Hadiah", maka boleh diterima:


Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu,


أن رجلاً من كلاب سأل النبي صلى الله عليه وسلم عن عسب الفحل، فنهاه، فقال: يا رسول الله: إننا نطرق الفحل فنكرم، فرخص له في الكرامة


Maksudnya:"Ada seseorang dari suku Kilab yang bertanya kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tentang mani binatang, beliaupun melarangnya.Lalu beliau bertanya: ’Kami sering mengawinkan jantan dengan betina, lalu kami mendapat hadiah.’ Lalu beliau memberi keringanan untuk menerima hadiah dan bukan sewa. Riwayat Tirmizi (1274).


Dalam Tuhfah al-Ahwadzi penjelasan sunan Tirmidzi dinyatakan,


وفيه دليل على أن المعير إذا أهدى إليه المستعير هدية بغير شرط حلت له


Maksudnya:"Hadith ini merupakan dalil bahawa pemilik barang jika mendapat hadiah dari orang yang meminjam, tanpa syarat di depan, hukumnya halal". (Tuhfah Ahwadzi, 4/412)


Pahala Meminjamkan Pejantan Tanpa Sewa. 


Dari Abu Amir Al-Hauzani dari Abu Kabsyah Al-Anmari. Abu Kabsyah datang ke rumah Abu Amir lalu mengatakan, “Pinjami aku kuda pejantanmu untuk mengawini kuda betina milikku, kerana sungguh aku mendengar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ أَطْرَقَ فَرَسًا، فَعَقَبَ لَهُ الْفَرَسُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ سَبْعِينَ فَرَسًا حُمِلَ عَلَيْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ لَمْ تُعْقِبْ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ فَرَسٍ حُمِلَ عليه في سبيل الله


Maksudnya:“Barangsiapa yang meminjamkan kuda pejantannya secara percuma, lalu kuda betina yang dibuahi itu berketurunan, maka pemilik kuda jantan tersebut akan mendapatkan pahala tujuh puluh kuda yang dijadikan sebagai binatang tunggangan di jalan Allah. Jika tidak berketurunan maka pemilik kuda pejantan akan mendapatkan pahala seekor kuda yang digunakan sebagai hewan tunggangan di jalan Allah".Riwayat Ibnu Hibban (4765).





No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...