Thursday, November 12, 2020

Mahsyar: Al-Quran adalah wahyu dan petunjuk Allah, agar manusia mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Al-Quran adalah Kalamullah Al-Qadim dan bukannya makhluk.

Mahsyar: Al-Quran adalah wahyu dan petunjuk Allah, agar manusia mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Al-Quran adalah Kalamullah Al-Qadim dan bukannya makhluk. 


Al-Quran Kalamullah Al-Qadim adalah wahyu dan tujuan diturunkan adalah sebagai petunjuk untuk manusia menjalani kehidupan di dunia mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah sehingga akhirnya nanti mendapat kebahagiaan di akhirat.Firman Allah Subhahanuwata'ala :


ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ


Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”


Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Al-Quran mengandungi hidayah yang mana ianya menuntun mereka yang mencari kebenaran dan petunjuk. Ianya membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/39)


Sebagai kalamullah Al-Quran juga adalah menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :


مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ


Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakan ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat Al-Tirmizi (2910)


Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makhluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)


Firman Allah Subhahanuwata'ala, 


قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا


Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad)  “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”. Al-Isra’ ayat 88.


Kelebihan Al-Quran pada Hari Kiamat


Di antara kelebihan al-Quran adalah sebagaimana riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya (22976), Ibnu Majah di dalam Sunannya (3781) dan ianya juga dinukilkan oleh Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat (5764). Lafaz hadith tersebut ialah :


يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ , فَيَقُولُ : أَنَا الَّذِي أَسْهَرْتُ لَيْلَكَ ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارَكَ


Maksudnya : “Al-Quran datang pada hari kiamat kelak seperti seorang lelaki yang kekuningan tubuhnya lalu dia berkata : Akulah yang menyebabkan engkau bangun malam dan menyebabkan engkau dahaga di siang harimu".


Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menghukumkan sanad hadith ini sebagai sanad yang hasan. (Rujuk Musnad Ahmad, tahkik Al-Risalah, 38/76). Secara ringkasnya, hadith tersebut adalah hadith yang hasan.


Adapun Al-Quran ia adalah merupakan Kalamullah Al-Qadim. Ia bukannya makhluk sepertimana dakwaan golongan Muktazilah.


Imam Abdul Rauf Al-Munawi menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadith ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Rujuk Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/81).


Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda :


اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ


Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya". Riwayat Muslim (1910)


Begitu juga di dalam hadith yang lain menyebut :


يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ حَلِّهِ فَيُلْبَسُ تَاجَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ زِدْهُ فَيُلْبَسُ حُلَّةَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ ارْضَ عَنْهُ فَيَرْضَى عَنْهُ فَيُقَالُ لَهُ اقْرَأْ وَارْقَ وَتُزَادُ بِكُلِّ آيَةٍ حَسَنَةً


Maksudnya : “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan,tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah.  Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan”. Riwayat Al-Tirmizi (2839)


Pada asasnya , banyak hadith-hadith lain yang semisal dengan hadith-hadith di atas menceritakan bahawa Al-Quran datang pada hari kiamat dengan pelbagai bentuk.


Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Di antara yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :


المُراَدُ أَنَّ ثَوَابَهُما يَأتِي كَغُمَامَتَينِ


“Yang dimaksudkan dengan hadith tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya.” (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , 6/90).


Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak dalam berbagai bentuk bukan membawa kepada kefahaman bahawa Al-Quran itu makhluk. Namun yang dimaksudkan adalah syafaat, pahala dan ganjaran hasil dari pembacaan dan beramal dengan Al-Quran. Pahala-pahala itu nanti akan datang pada hari kiamat kelak dengan pelbagai bentuk untuk memberikan syafaat dan perlindungan kepada mereka yang berhak.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...