Segera beramal sebelum datang kematian dan fitnah di akhir Zaman.
Seseorang itu janganlah selalu menunda dalam berbuat amal saleh dengan alasan kerana kesibukan duniawinya. Kerana, selama manusia masih hidup, ia tidak akan terlepas dari kesibukan. Orang yang berakal akan mengutamakan urusan akhirat yang pasti datang, dan mengalahkan urusan dunia yang pasti ditinggalkan.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ.وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ.وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا ۚ وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Wahai! orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.
Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?
Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan. Al-Munafiqun ayat 9, 10, 11.
Juga hadith,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ مُحْرِزِ بْنِ هَارُونَ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda, "Segeralah beramal (sebelum kedatangan tujuh hal, tidaklah kalian menunggu selain kefakiran yang membuat lupa, kekayaan yang melampaui batas, penyakit yang merosak, masa tua yang menguruskan, kematian yang menyergap tiba-tiba, Dajjal, seburuk-buruk hal ghaib yang dinanti-nanti, kiamat dan kiamat itu sangat membawa petaka dan sangat pahit." Berkata Abu Isa: Hadith ini hasan gharib, kami tidak mengetahui hadith Al A'raj dari Abu Hurairah kecuali dari hadith Muhriz bin Harun. Riwayat Tirmizi(2306)
Sesunggunya Allah Subhanahuwata'ala yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.
Justeru itu, janganlah mempersia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
Maksudnya:Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Perbanyaklah mengingat sesuatu yang dapat menghancurkan kenikmatan, iaitu kematian." Riwayat Ibn Majah(4248)
Oleh kerana itu, seseorang itu hendaklah memanfaatkan hidupnya dengan sebaik-baiknya, mengisinya dengan amal salih sebelum datang kematian menjemput.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ
Maksudnya:"Dari Abdullah bin Umar radhiallahu'anhuma dia berkata, "Rasulullah ﷺ pernah memegang bahuku dan bersabda, 'Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara." Ibnu Umar juga berkata; 'Bila kamu berada di petang hari, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang, pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu.' Riwayat Bukhari (5937),Tirmizi(2255),Ibnu Majah(4104), Ahmad(4534)
Hendaklah setiap orang berwaspada terhadap angan-angan panjang umur, sehingga menangguh-nangguhkan amal salih dan jangan menunggu-nunggu sebab maut sentiasa mengejar.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكْبَرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبَرُ مَعَهُ اثْنَانِ حُبُّ الْمَالِ وَطُولُ الْعُمُرِ رَوَاهُ شُعْبَةُ عَنْ قَتَادَةَ
Maksudnya:"Dari Anas bin Malik radhiallahu'anhu dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Anak Adam akan semakin tumbuh dewasa dan semakin besar pula bersamanya dua perkara, iaitu; cinta harta dan panjang umur." Bukhari (5942)
Sesungguhnya, masa atau umur 60 tahun bagi seseorang itu adalah merupakan waktu yang panjang hidup di dunia ini, cukup bagi seseorang itu merenungkan tujuan hidup, sehingga tidak ada uzur bagi orang yang telah mencapai umur tersebut.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً تَابَعَهُ أَبُو حَازِمٍ وَابْنُ عَجْلَانَ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dari Nabi ﷺ beliau bersabda, "Allah telah memberi uzur kepada seseorang dengan menangguhkan ajalnya hingga umur enam puluh tahun." Riwayat Bukhari (5940)
Nabi Sallahu'alaihiwasallam juga ada mengingatkan tentang batasan umur umatnya, sebagaimana dalam sabda Beliau Sallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Usia umatku berkisar antara enam puluh sampai tujuh puluh tahun, dan sedikit sekali mereka yang melebihi (usia) tersebut." Riwayat Ibn Majah(4226).
“Kita semua telah meyakini kematian, tetapi kita tidak melihat orang yang bersiap-siap menghadapinya! Kita semua telah meyakini adanya syurga, tetapi kita tidak melihat orang yang beramal untuknya! Kita semua telah meyakini adanya neraka, tetapi kita tidak melihat orang yang takut terhadapnya! Maka terhadap apa kamu bergembira? Kemungkinan apakah yang kamu nantikan? Kematian! Itulah perkara pertama kali yang akan datang kepadamu dengan membawa kebaikan atau keburukan. Wahai, saudara-saudaraku! Berjalanlah menghadap Penguasamu (Allah) dengan perjalanan yang bagus”. Lihat Mukhtashar Minhajul Qashidin.
Diantara dalil tuntutan terhadap bersegera dalam melakukan amal kebajikan adalah:
Firman Allah Subhanhuwata’ala,
وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya:"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Al Baqarah ayat 148.
Menurut Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di berkenaan ayat,
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Maksudnya:"Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan".
Perintah untuk berlumba kepada kebaikan merupakan suatu yang lebih dari sekadar perintah untuk berbuat baik, kerana berlumba berbuat kebaikan meliputi beberapa hal, iaitu dengan melakukannya, menyempurnakannya, dan menempatkannya dalam bentuk yang paling sempurna, serta bersegera kepadanya. Barangsiapa yang berlumba kepada kebaikan di dunia, maka dia akan menjadi pemenang di akhirat dengan syurga, dan orang-orang yang terdepan dalam perlumbaan adalah makhluk yang paling tinggi darajatnya. Kebaikan itu meliputi segala hal yang diwajibkan dan disunahkan, seperti solat, puasa, zakat, haji, umrah, dan Jihad serta memberikan manfaat secara luas mahupun sempit Ketika suatu hal yang paling mendorong jiwa untuk berlumba-lumba kepada kebaikan dan menggiatkan nya adalah apa yang dijanjikan oleh Allah terhadapnya dari pahala, maka Allah berfirman, yang bermaksud:“Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian pada hari kiamat Sesungguhnya Allah Maha penguasa atas segala sesuatu,” Allah akan mengumpulkan kalian pada hari kiamat dengan kuasa-Nya, kemudian Allah akan membalas segala perbuatan setiap orang sesuai dengan perbuatannya,
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
Maksudnya:"Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga)". Al-najm ayat 31. Ayat yang mulia ini dapat dijadikan dalil untuk mengadakan setiap perkara yang mulia yang berkaitan dengan suatu perbuatan, seperti solat pada awal waktu, bersegera dalam menunaikan kewajiban, seperti puasa, haji, umrah, mengeluarkan zakat, mengerjakan sunah-sunah Ibadah dan adab-adabnya. Sungguh hanya milik Allah sajalah ayat yang sangat lengkap dan paling bermanfaat ini. Tafsir as-Sa'di / Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di.
Begitu juga Allah Subhanhuwata’ala berfirman,
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya:“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa". Ali Imran ayat 133.
Di antara perintah untuk bersegera dalam melakukan kebajikan atau kebaikan iaitu perintah untuk menduduki saf pertama. Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksydnya:“Sebaik-baik saf laki-laki adalah saf pertama dan yang buruk adalah yang terakhir. Sebaik-baik saf perempuan adalah yang terakhir dan yang buruk adalah yang awal.” Riwauat Muslim (440).
Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
Maksudnya:“Bersegeralah melakukan amalan salih sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya keraa sedikit dari keuntungan dunia” (HR. Muslim no. 118).
Hadith ini mengandungi perintah untuk bersegera melakukan amalan salih. Iaitu bersegera dalam melakukan amalan salih sebelum datang cubaan yang merubah keadaan. Jika seseorang mempunyai kesempatan untuk melakukan satu kebaikan, maka segeralah melakukannya, jangan menunda-nunda.
Apa yang dimaksudkan dengan amalan salih adalah memenuhi dua syarat, iaitu ikhlas pada Allah dan mengikuti tuntunan Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam.
Dalam hadith ini juga dikhabarkan bahawa fitnah akhir zaman begitu menyesatkan. Satu fitnah datang dan akan berlanjutan pada fitnah berikutnya. Dimana akan datang fitnah seperti potongan malam. Ertinya fitnah tersebut tidak terlihat. Ketika itu manusia tidak tahu ke manakah mesti berjalan. Ia tidak tahu di manakah tempat keluar.
Fitnah boleh jadi kerana syubhat keracunan pemikiran seperti pemikiran libralisme,pluralisme,pragmatisme, sekularisme dan sebagainya. Dan juga boleh jadi timbul dari syahwat, iaitu dorongan hawa nafsu untuk melakukan maksiat.
Muncul dan tersebarnya dipelusuk alam golongan athies yang tidak percaya akan adanya Rabb pencipta. Demikian pula muncul juga keyakinan bahawa semua agama itu sama saja yang penting dapat menjalani hidup. Boleh saja pagi harinya dia beriman, tetapi petang harinya dia sudah kafir sebagaimana hadith diatas.
Fitnah di atas itu diibaratkan dengan potongan malam yang sekali lagi tidak diketahui. Sehingga seseorang di pagi hari dalam keadaan beriman dan petangnya harinya dalam keadaan kafir. Dalam satu hari, bayangkanlah ada yang boleh jadi demikian. Atau ia di petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi harinya kafir.
Hadith di atas juga mengkhabarkan manusia boleh menjadi kafir kerana menjual agamanya.
Bagaimanakah boleh menjual agama? Menjual agama yang dimaksud di sini adalah menukar agama dengan harta, kekuasaan, kedudukan atau bahkan dengan perempuan.
Justeru itu berpegang teguhlah dengan agama dan jangan sekali-kali menukar atau menjual agama dengan dunia yang murah ini.
Maksud dari kafir di sini bukanlah makna kiasan, tetapi makna hakiki iaitu lawan dari iman atau tidak beriman lagi dengan agamanya. Al-Qurthubi menjelaskan hal ini, beliau berkata,
ولا إحالة ولا بعد في حمل هذا الحديث على ظاهره، لأن المحن والشدائد إذا توالت على القلوب أفسدتها بغلبتها عليها، وبما تؤثر فيها من القسوة و الغفلة التي هي سبب الشقوة
Maksudnya:“Bukan tidak mungkin untuk memaknai hadith ini dengan makna zahirnya (benar-benar kafir), kerana ujian dan fitnah apabila datang berturut-turut akan merusakkan hati dan mengalahkannya. Akan memberikan pengaruh yang berupa kerasnya hati, kelalaian yang merupakan sebab kebinasaan.” [Al-Mufhim 1/326]
Para ulama telah membei peringatan bahawa zaman ini adalah zamannya fitnah dan ujian serta sibuknya manusia dengan urusan duniannya yang melalaikan. Dua sumber utama fitnah iaitu syubhat dan syahwat sangat mudah menyambar manusia di era internet dan media sosial di saat ini. Fitnah tersebut perlahan-lahan akan mengeraskan hati sebagaimana tikar yang dianyam,
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ كَالْحَصِيرِ عُودًا عُودًا
Maksudnya:“Fitnah-fitnah akan mendatangi hati bagaikan anyaman tikar yang tersusun seutas demi seutas”. Riwayat Muslim (144/207)
No comments:
Post a Comment