Saturday, September 19, 2020

Kubur (قَبْر) dan maksudnya.

Kubur (قَبْر) dan maksudnya. 

Selepas tiba saat kita kembali menghadap Allah Subhanahuwata'ala, perkara yang perlu diingat ialah jasad sudah tiada lagi nilainya, walaupun semasa hayat banyak masa dan wang ringgit yang telah kita dihabiskan demi menjaga jasad. Hakikatnya, walaupun jasad sudah tidak mampu bergerak roh akan terus melalui perjalanan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. 


Akhirat adalah destinasi yang akhir buat manusia. Tapi malangnya ianya telah dilupakan oleh manusia. Persediaan untuk ke sana diabaikan. Tempat persinggahan sementara ke Akhirat ialah Alam kubur atau Barzakh (بَرْزَخ).


Kubur ada dua maksud:


Maksud yang pertama adalah kubur dunia iaitu sebagai tempat menyimpan mayat. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Al-Quran


ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ


Maksudnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.

Abasa ayat 21.


Berdasarkan ayat di atas Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan supaya setiap mayat manusia wajib dikuburkan dengan cara yang baik kerana kesucian manusia serta larangan untuk membuang dan membakarnya. Ini sepertimana yang disyarahkan oleh al-Imam Qurtubi di dalam tafsirnya:


"Allah Subhanahuwata'ala menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya”.

(Lihat AI-Jami' Li Ahkam al-Quran, 19/219


Para ahli feqah tidak khilaf bahawa sunat bagi lelaki menziarahi perkuburan adalah berdasarkan hadith, 


Daripada Buraidah al-Aslami RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ


Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” [Riwayat Ahmad (23005)] [Syeikh Syu’aib menghukum hadith ini sebagai hadith yang sahih dan sanadnya kuat]


Hadith, daripada Jabir RA, katanya:


نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ


Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.”

Riwayat Muslim (970)


Berdasarkan hadith di atas adalah makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. 


Walau bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.


Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini. Menurut sunnah bahawa kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali bin Abu Talib RA, katanya, Abu al-Hayyaj al-Asadiy berkata:


أَلاَّ أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ


Maksudnya: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.”Riwayat Muslim (969


Lihat kitab Fiqh al-Manhaji (1/617-618):



Maksud Kubur yang kedua adalah satu alam yang semakna dengan Barzakh(بَرْزَخ). 


Setiap manusia yang hidup di dunia ini pasti akan melalui alam kubur. Alam ini disebut juga alam barzakh yang ertinya perantara antara alam dunia dengan alam akhirat, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ


Maksudnya:"Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan. All-Mukminun ayat 100.


Diantara dalil tentang alam kubur yang dimaksudkan dengan barzakh adalah dari Ali bin Abi Talib RA,  beliau berkata: Manusia meragui tentang azab kubur sehingga diturunkan firman Allah Subhanahuwata'ala: 


أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ﴿١﴾حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ﴿٢﴾كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ﴿٣﴾ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٤


Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Surah al-Takathur ayat 1-4.


Athar Ali bin Abi Talib ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no: 3355). Beliau menilainya 'gharib'. 


Al-Qurtubi berkata: “Surah ini mengandungi hal berkenaan azab kubur dan sesungguhnya kami telah menyebut di dalam kitab al-Tazkirah bahawa beriman dengannya (azab kubur) adalah wajib dan membenarkannya adalah satu kemestian. Mengikut apa yang dikhabarkan dengannya oleh yang benar, bahawa Allah Subhanahuwata'ala menghidupkan hamba yang mukallaf dalam kuburnya dengan mengembalikan kehidupan kepadanya dan menjadikannya daripada akal sama seperti sifat kehidupan yang terdahulu untuk dia berakal dan faham apa yang dipersoal dan apa yang patut dijawab dengannya. Dia akan faham apa yang didatangkan kepadanya daripada Tuhan dan apa yang disediakan baginya dalam kuburnya sama ada kemuliaan atau kehinaan. Inilah mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah.”


Juga firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ


Maksudnya:"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki”.Ibrahim ayat 27.


Tafsiran ayat “Allah meneguhkan(iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh …” dijelaskan dalam hadits berikut.


عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « الْمُسْلِمُ إِذَا سُئِلَ فِى الْقَبْرِ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ ( يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِى الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِى الآخِرَةِ)


Maksudnya:"Dari Al-Bara’ bin ‘Azib, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, “Jika seorang muslim ditanya di dalam kubur, ia akan berikrar bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, maka inilah tafsir ayat: ‘Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat". Riwayat Bukhari (4699)


Dari Al-Bara’ bin ‘Azib pula, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menerangkan tentang ayat “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat”, beliau mengatakan,


فِى الْقَبْرِ إِذَا قِيلَ لَهُ مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ


Maksudnya:!“Di dalam kubur akan ditanyakan siapa Rabbmu, apa agamamu, dan siapa nabimu", Riwayat Tirmidzi (3120). Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih. Hadith ini dikeluarkan pula oleh Bukhari (1369) dan Muslim ( 2871)


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوْ قَالَ أَحَدُكُمْ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَحَدِهِمَا الْمُنْكَرُ وَالآخَرُ النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ ، فَيَقُولُ : أَرْجِعُ إِلَى أَهْلِي فَأُخْبِرُهُمْ ، فَيَقُولَانِ : نَمْ كَنَوْمَةِ الْعَرُوسِ الَّذِي لا يُوقِظُهُ إِلا أَحَبُّ أَهْلِهِ إِلَيْهِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ.


وَإِنْ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ : سَمِعْتُ النَّاسَ يَقُولُونَ فَقُلْتُ مِثْلَهُ لا أَدْرِي . فَيَقُولَانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ ذَلِكَ ، فَيُقَالُ لِلأَرْضِ : الْتَئِمِي عَلَيْهِ ، فَتَلْتَئِمُ عَلَيْهِ ، فَتَخْتَلِفُ فِيهَا أَضْلاعُهُ ، فَلا يَزَالُ فِيهَا مُعَذَّبًا حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ


Maksudnya:“Apabila mayit atau salah seorang dari kalian sudah dikuburkan, ia akan didatangi dua malaikat hitam dan biru, salah satunya Munkar dan yang lain Nakir, keduanya berkata, “Apa pendapatmu tentang orang ini (Nabi Muhammad)?” Maka ia menjawab sebagaimana ketika di dunia, “Abdullah dan Rasul-Nya, aku bersaksi bahawa tiada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Keduanya berkata, “Kami telah mengetahui bahawa kamu dahulu telah mengatakan itu.” Kemudian kuburannya diperluas 70 x 70 hasta, dan diberi penerangan, dan dikatakan, “Tidurlah.” Dia menjawab, “Aku mahu pulang ke rumah untuk memberitahu keluargaku.” Keduanya berkata, “Tidurlah, sebagaimana tidurnya pengantin baru, tidak ada yang dapat membangunkannya kecuali orang yang paling dicintainya, sampai Allah membangkitkannya dari tempat tidurnya tersebut.”


Apabila yang meninggal adalah orang munafik, ia menjawab, “Aku mendengar orang mengatakan aku pun mengikutinya dan saya tidak tahu.” Keduanya berkata, “Kami berdua sudah mengetahui bahawa kamu dahulu mengatakan itu.” Dikatakan kepada bumi, “Himpitlah dia, maka dihimpitlah jenazah tersebut sampai tulang rusuknya berserakan, dan ia akan selalu merasakan azab sampai Allah bangkitkan dari tempat tidurnya tersebut.” Riwayat Tirmizi (1071). Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan. 


Barzakh pula menurut kamus Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur: Makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh. (Lihat Lisan al-Arab, 3/8)


Disebut dalam Mukhtar al-Sihah: Makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 73)


Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat berkata: Al-Barzakh (البرزخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 45)


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ


Maksudnya: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Al-Mukminun (100)


Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas menukilkan beberapa pandangan, antaranya:


Muhammad bin Ka`ab mentakrifkannya sebagai sesuatu antara dunia dan akhirat, bukan bersama ahli dunia yang boleh makan dan minum dan bukan bersama ahli akhirat yang menerima balasan amal mereka.

Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat. Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.

Al-Dahhak menyebut, ia adalah satu tempoh antara kematian dan hari dibangkitkan.

Mujahid pula memberi definisi al-barzakh sebagai penghalang untuk mereka (orang yang mati) kembali ke dunia. (Lihat Tafsir al-Quran al-`Azim, 5/494. Lihat juga Ma’alim al-Tanzil, 5/428)

Imam al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 6/113)


Syeikh al-Maraghi berkata: “Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690)


Kesimpulan


Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa maksud kubur ada dua;  Pertama kubur tempat simpan mayat atau kubur dunia  dan kubur maksud kedua pula adalah kubur akhirat yang sama erti dengan Barzakh. Dimana ianya adalah merupakan satu tempat yang akan ditempati oleh mereka yang telah mati sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar. Ia merupakan tempat di antara kehidupan dunia dan akhirat. Oleh itu, sesiapa yang mati bermakna mereka telah memasuki alam barzakh.

No comments:

Post a Comment

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur Kematian adalah suatu kenyataan yang pasti dihadapi oleh setiap makh...