Hukum membina binaan kubur dan hukum meninggikan kubur.
Perkara pertama yang disunatkan ketika sampai ditanah perkuburan, adalah rmemberi salam secara umum kepada ahli kubur dan mendoakan mereka, semoga mereka beroleh rahmat, keampunan, selamat sejahtera dan afiyah (kekuatan). Di antara doa yang dianjurkan untuk dibaca adalah:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya: “Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusul, ( semoga Allah Ta’ala memberikan rahmat kepada orang-orang yang (telah meninggal) terlebih dahulu diantara kami dan orang-orang yang akan datang.”
Riwayat Muslim (975)
Tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:
1- Tanah mawat /tanah mati (الأرض الـمـوات - Rujuk dalam bab احـيـاء الـمـوات) iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut, tanah yang dimilik khas persendirian atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut.
Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan itu, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.
2-Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan Perkuburan orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.
3- Tanah perkuburan yang dinamakan Musabbalah (المقبرة المسبّلة) atau tanah perkuburan umum,
Menurut Syekh Muhammad Amin:
"Tanah Musabbalah ialah tanah atau kawasan yang memang orang biasa menguburkan mayyit disitu, ertinya ialah perkuburan umum". (Hasyiyah Qalyubi wa Umairoh 1/350)
Tanah perkuburan jenis ini biasa digunakan oleh penduduk-penduduk di kawasan itu untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam.
Menurut pengarang Hasyiyah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain mengkebumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh, dan tanah itu digunakan lagi untuk menegbumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.
Hukum mendirikan sebarang binaan di atas kubur dan hukum menambak atau meninggikan kubur:
1- Jika tanah perkuburan itu adalah tanah milik khas persendirian, maka adalah makruh didirikan sebarang binaan di atas atau di dalam kubur berkenaan.
2- Jika tanah perkuburan itu adalah tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atasnya dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentangi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekelilingnya kubur berkenaan).
Hukum membina binaan dan meninggikan kubur adalah perbuatan yang haram.
Seperti pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam di samping terdapat unsur-unsur pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat unsur-unsur kemegahan,kebanggaan dan menunjuk-nunjuk yang dicela oleh agama dan amat dimurkai Allah Subhanahuwata’ ala.
Ini berdasarkan hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Jabir r.a :
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ
Maksudnya :” Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam melarang membina kubur dengan batu kapur, juga (dilarang) untuk duduk di atasnya dan dilarang juga dibina binaan.” Riwayat Muslim (2289)
Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini. Menurut sunnah bahawa kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali bin Abu Talib RA, katanya, Abu al-Hayyaj al-Asadiy berkata:
أَلاَّ أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ
Maksudnya: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.” Riwayat Muslim (969)
Kata Imam al-Nawawi :
“Dan ditinggikan kubur dengan kadar satu jengkal sahaja dan diratakan lebih utama dari dibina binaan.” Rujuk Minhaj al-Talibin (1/347)
Apatah lagi jika ianya dibina di perkuburan awam (المقبرة المسبّلة). Ini kerana ianya boleh menimbulkan kesusahan dan kesempitan pada yang lain.
Syeikh Khatib al-Syirbini menyatakan:
مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج شرح الشيخ محمد الخطيب الشربيني علي متن منهاج الطالبين للامام ابي زكريا بن شرف النووي المجلد الاول.
(ولو بني) عليه ( في مقبرة مسبلة ) وهى التي جرت عادة اهل البلد بالدفن فيها ( هدم ) البناء لانه يضيق علي الناس ، ولا فرق بين أن يبنى قبة أو بيتا أو غير ذلك.
Maksudnya:"Jika seseorang membina binaan di atas kubur am/umum dan ianya merupakan kebiasaan penduduk negeri tersebut hendaklah ( diruntuhkan ) binaan tersebut kerana ianya menyusahkan orang lain. Dan tiada perbezaan samaada binaan itu berbentuk kubah, rumah atau dan lain-lain binaan". Lihat: kitab Mughni al-Muhtaj jilid satu mukasurat 364.
Imam Nawawi menyatakan:
قال أصحابنا رحمهم الله : ولا فرق في البناء بين أن يبنى قبة او بيتا او غيرهما.ثم ينظر فإن كانت مقبرة مسبلة حرم عليه ذلك ، قال أصحابنا ويهدم هذا البناء بلا خلاف. قال الشافعي فى الام : ورأيت من الولاة من يهدم ما بني فيها، قال ولم ار الفقهاء يعيبون عليه ذلك ولان في ذلك تضييقا علي الناس. قال أصحابنا وإن كان القبر فى ملكه جاز بناء ماشاء مع الكراهة ولا يهدم عليه. قال إصحابنا وسواء كان المكتوب على القبر فى لوح عند رأسه كما جرت عادة بعض الناس ام في غيره فكله مكروه لعموم الحديث. قال أصحابنا وسواء فى كراهة التجصيص للقبر فى ملكه او المقبرة المسبلة. واما تطبين القبر فقال إمام الحرمين والغزالى يكره ، ونقل ابو عيسي الترمذي في جامعه المشهور أن الشافعى قال لا بأس بتطبين القبر ولم يتعرض جمهور الاصحاب له، فالصحيح انه لا كراهة فيه كما نص عليه ولم يرد فيه نهي.
Maksudnya:"Telah berkata ulama’ mazhab Shafie rahimullah : dan tiada beza pada binaan samaada ia berbentuk kubah atau rumah atau lain-lainnya, hendaklah diselidik dahulu jika ianya kubur am haram dibuat binaan atasnya. Ulama berkata hendaklah dirobohkan binaan itu tanpa khilaf.Berkata Imam Shafie dalam kitab al-Um: dan aku lihat daripada pemerintah yang mana mereka merobohkan sebarang bentuk binaan dan aku tidak melihat ulama’ fiqah membantahnya kerana bahawasanya ianya menyusahkan manusia lain. Berkata lagi ulama samaada ianya ditulis diatas satu papan kenyataan di tepi kubur seperti mana kebiasaan adat setengah orang maka semuanya adalah makruh hukumnya kerana keumuman hadis.Berkata lagi ulama : dan begitu juga makruh samaada meletak kapur pada kubur yang dimiliki atau kubur yang am. Adapun meletakan tanah di perkuburan maka imam al Haramain dan imam al Ghazali telah berkata ia adalah makruh. Dan telah menaqal oleh Abu Isa At-tirmizi dalam kitab Jami’nya yang mashur bahawasanya As Shafie berkata tidak mengapa meletakkan tanah pada kubur, dan tiada satu tegahan dari Jumhur ulama. Maka pendapat yang sahih bahawa tidak makruh sepertimana nas dan tiada ada satu tegahan pun padanya. Lihat: al-Majmuk Sharh al-muhazzab juzuk lima muka surat 298.
Makruh hukumnya memplaster kubur untuk melapisi dindingnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. Juga makruh membina sesuatu binaan di atas kubur di tanah milik persendirian bukan di tanah perkuburan awam.
Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhaj ath-Thalibin ada berkata:
يكره تجصيص القبر والبناء والكتابة عليه ، ولو بني فى مقبرة مسبلة هدم
Maksudnya: "Makruh memplaster (campuran kapur, pasir dan air yang menjadi keras apabila kering untuk melapis dinding) kubur, membina (sesuatu binaan di tanah milik persendirian bukan di tanah perkuburan awam) dan membuat tulisan (selain nama bagi tujuan pengenalan) di atas kubur. Jika dibina (sesuatu binaan) di perkuburan orang awam (musabbalah) hendaklah dirobohkan". (Minhaj ath-Thalibin: 1/360)
Dalam kitab al-majmu’, an-Nawawi Rahimahullah dengan jelas mengatakan:
قال أصحابنا رحمهم الله : ولا فرق فى البناء بين أن يبنى قبة أو بيتا أو غيرهما ، ثم ينظر فإن كانت مقبرة مسبلة حرم عليه ذلك ، قال أصحابنا ويهدم هذا البناء بلا خلاف... وإن كان القبر فى ملكه جاز بناء ما شاء مع الكراهة ولا يهدم عليه
Maksudnya: Sahabat-sahabat kami Rahimahumullah berkata: “Tidak ada beza dalam membina binaan itu di antara membina kubah atau rumah atau selain keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika tanah perkuburan itu adalah perkuburan musabbalah (tanah perkuburan orang awam) adalah haram ke atasnya berbuat sedemikian: Sahabat-sahabat kami berkata (lagi): “Dan hendaklah dirobohkan binaan tersebut tanpa ada pertikaian (para sahabat-sahabat kami)…(Tetapi) jika sekiranya tanah perkuburan itu miliknya sendiri (maka) adalah harus dia membina apa-apa binaan dengan dihukumkan makruh dan tidak dirobohkan (binaan itu).” (Al-Majmu’: 5/260)
Al-‘Allamah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah pula berkata:
فيكره البناء عليه إن كان في غير نحو المقبرة المسبلة للدفن فيها وإلا حرم سواء كان فوق الأرض أو في باطنها ، فيجب على الحاكم هدم جميع الأبنية التي في القرافة المسبلة للدفن فيها وهي التى جرت عادة أهل البلد بالفن فيها لأنه يضيق على الناس ، ولا فرق بين أن يكون البناء قبة أو بيتا أو مسجدا أو غير ذلك ، ومنه الأحجار المعروفة بالتركيبة ، نعم استثناها بعضهم للأنبياء والشهداء والصالحين ونحوهم.
Maksudnya: "Maka adalah dimakruhkan (membina) binaan di atas kubur jika (binaan itu) bukan di seumpama tanah perkuburan orang awam mengebumikan mayat. Jika tidak, (jika binaan itu di seumpama tanah perkuburan orang awam) adalah haram (hukumnya) sama ada (binaan itu) di atas tanah atau di dalam tanah. (Oleh itu) adalah wajib ke atas pemerintah meroboh segala binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan musabbalah bagi tujuan pengebumian mayat iaitu tanah perkuburan yang telah menjadi kebiasaan penduduk suatu negeri mengebumikan mayat, kerna ianya menyempitkan ke atas manusia (yang lain); dan (pengharaman itu) tidak ada beza di antara binaan yang berbentuk kubah atau rumah atau masjid atau selainnya yang di antaranya ialah susunan batu-batu yang biasa diketahui (tambak daripada batu atau simen yang membentengi atau yang melingkungi kubur); (kecuali) apa yang dikecualikan oleh sebahagian ulama seperti kubur para nabi, syuhada’, orang-orang salih dan seumpama mereka. (Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim: 1/381)
Adapun jika ada keperluan seperti takut tanah kubur runtuh ataupun ditakuti ada yang akan mengorek kubur maka tidak haram. Akan tetapi. Perlu diingat ianya dibina sekadar yang perlu sahaja tidaklah sampai berlebihan.
Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan :
“Jika ditakuti (kubur) dibongkar atau takut akan haiwan yang mengorek ataupun takut tanah kubur runtuh maka tidak makruh dibina dan diletakkan batu kapur.”
Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-minhaj (4/203)
Al-Malibari Rahimahullah juga berkata:
(وكره بناء له) أي للقبر ، (أو عليه) لصحة النهي عنه بلا حاجة كخوف نبش أو حفر سبع أو هدم سيل. ومحل كراهة البناء إذا كان بملكه. فإن كان بناء نفس القبر بغير الحاجة مما مر أو نحو قبة عليه بمسبلة وهى ما اعتاده أهل البلد الدفن فيها ، عرف أصلها ومسبلها أم لا ، أو موقوفة حرم وهدم وجوبا لأنه يتأبد بعد انمحاق الميت ، ففيه تضييق على المسلمين بما لا غرض فيه.
Maksudnya:": Dan dimakruhkan membina binaan baginya iaitu bagi (di dalam) kubur atau di atas kubur tanpa sesuatu hajat keperluan seperti takut digali (oleh pencuri) atau digali oleh binatang atau runtuh kerana banjir, kerana ada hadith sahih yang melarangnya. Dan hukum makruh membina yang sedemikian itu ialah jika tanah perkuburan itu adalah miliknya sendiri. Jika binaan di tanah perkuburan itu (dibina) tanpa hajat keperluan seperti mana yang telah lepas (disebutkan) atau binaan seumpama kubah di atas kubur itu (dibina) di tanah perkuburan musabbalah iaitu tanah perkuburan yang sudah biasa penduduk suatu negeri itu mengebumikan mayat atau di tanah perkuburan waqaf (sama ada) diketahui asalnya (kedudukan tanah itu di mana sebelumnya ianya adalah tanah persendirian kemudian orang yang memilikinya menjadikannya sebagai tanah perkuburan awam atau sebelumnya ia adalah tanah mawat kemudian dijadikan sebagai tanah perkuburan awam) dan diketahui orang yang mewaqafkannya atau pun tidak diketahui, (maka) ia adalah haram dan wajib dirobohkan, kerana binaan itu akan kekal setelah mayat hancur luluh. Binaan itu juga akan menyempitkan tanah perkuburan orang Islam dengan tiada sebarang keperluan di sisi syara’. ( I’anah ath-Thalibin: 2/188-189)
Larangan makruh ini dikuatkan dengan realiti bahawa kematian itu adalah pemutus bagi kemewahan dan kecantikan yang dibanggakan sewaktu hidup, sehingga jadilah kubur itu ingatan kepada kematian bukan kemewahan. Apatahlagi tidak boleh menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan binaan di atas kubur. Firman Allah Taala:
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ (1) حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ (2)
Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Surah al-Takathur ayat 1-2.
Syeikh Ali al-Sobuni dalam Sofwah al-Tafasir menyebut tafsir: “Maksudnya mereka itu yakni manusia terlalu sibuk dan berbangga dengan harta benda, anak-anak, dan para pengkut sehingga melupakan untu berbuat taat kepada Allah da meninggalkan persiapan akhirat…sehinggalah kematian tiba kepada mereka. Lalu mereka dikebumikan di dalam kubur-kubur.”
Kesimpulannya bahawa ulama sepakat bahawa meninggikan kuburan dan membangunkan di atasnya sebuah bangunan itu hukumnya makruh jika makam itu berada di tanah milik sendiri. Dan menjadi haram hukumnya jika makam itu berada di pemakaman umum yang di kiri serta kanannya banyak kuburan saudara muslim lainnya. (Hasyiyah Ibnu Abdin 1/601, Hasyiayh Al Dasuqi 1/424-425, Al Majmu 5/296, Al Inshaf 2/549-550)
No comments:
Post a Comment